Bulan Ramadhan sangat sinonim dengan amalan-amalan kebaikan khususnya bersedekah. Amalan bersedekah ini juga seringkali dipertanggungjawabkan kepada golongan orang dewasa. Namun amalan mulia bersedekah ini jarang-jarang diterapkan dan dititikberatkan kepada anak-anak kecil. Anak-anak kecil hanya menjadi pendengar setia topik sedekah di slot tazkirah tetapi bukan pelaku kepada amalan bersedekah. Ataupun, mereka hanya berperanan sebagai penerima pemberian orang dewasa.
Baca: Jom Join Cabaran RM10 SSPN X PA&MA
Ibubapa seharusnya menerapkan amalan yang sangat dituntut dalam Islam ini seawal mungkin kepada anak-anak. Bukan hanya sekadar pada lisannya, tetapi pada amalnya. Bak kata orang bijak pandai “melentur buluh biarlah dari rebungnya”.
Konsep bersedekah dalam Islam adalah terlalu luas untuk dikupas dan diperjelas dan ia tidak tertumpu kepada wang ringgit dan harta sahaja. Latih anak-anak untuk bersedekah.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah S.A.W. telah bersabda: “Apabila mati seorang manusia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara: Sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak yang soleh yang mendoakan baginya.” (Riwayat Muslim).
Bagaimanakah mahu melatih si kecil untuk bersedekah? Mudah sahaja! Mari kita lihat alternatif ini.
- “Tabung Subuh”
Ibubapa boleh menyediakan tabung di rumah untuk anak-anak bersedekah sejurus selepas menunaikan solat subuh. Didik anak-anak untuk mengamalkannya setiap hari. Lama kelamaan anak-anak akan terbiasa dengan amalan bersedekah. Amalan bersedekah ini dapat menyucikan jiwa dan harta. Hati akan lebih tenang dan aman dengan bersedekah. Jiwa juga akan damai dan terhindar dari perasaan negatif.
- Menyediakan Hidangan Iftar
Ibu boleh mengajak anak semasa menyediakan hidangan untuk iftar. Masaklah lebih untuk diniatkan dikongsikan bersama jiran tetangga. Kemudian, bungkus makanan dan dengan menjaga SOP, ajaklah si kecil menghantar makanan tadi ke jiran tetangga kita. Kita niatkan juga agar perbuatan kita diteladani oleh si kecil dan menjadi amalannya. Dalam amalan bersedekah, kita perlulah ikhlas, bukan disebabkan balasan ataupun nama. Sedekah juga perlu dilakukan tanpa dihebahkan.
- Keperluan asas
Ibu bapa boleh membeli barang-barang keperluan asas untuk disedekahkan kepada fakir miskin. Ajak anak bersama-sama sorting dan packing barang-barang. Sambil packing, jelaskan pada mereka niat kita membeli dan mengagihkan barang-barang tersebut. Didik mereka untuk sama-sama berkongsi kegembiraan pada yang kurang bernasib baik. Sedekah juga diriwayatkan dalam hadis riwayat Muslim, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: “Tangan di atas lebih baik daripada tangan di bawah. Tangan di atas adalah yang memberi dan tangan di bawah adalah yang meminta.” Ibarat tangan kanan yang memberi, tangan kiri tidak mengetahui.
- Baju raya, kasut raya
Sekiranya ada rezeki yang lebih, berkongsilah pada yang lebih memerlukan. Sharing is caring. Ajak anak pilih baju raya atau kasut raya. Tidak semestinya perlu ke shopping malls, online shopping pun sudah memadai di kala pandemik COVID-19 masih di luar sana! Tanya pendapat anak tentang barangan yang kita ingin beli. Terima pendapat anak, mereka pasti rasa sangat dihargai.
- Memberi salam
Bersedekah bukan sahaja berupa harta atau wang ringgit. Bersedekah boleh juga boleh diberikan dalam pelbagai bentuk. Hadiahkan salam pada guru atau sesama adik-beradik. Sebelum anak masuk ke pintu pagar sekolah, titipkan pesanan kepada anak-anak untuk memberi salam dengan cara normal baharu (meletakkan tangan kanan di dada kiri) kepada guru-guru, rakan-rakan, tukang kebun sekolah, mahupun pengawal keselamatan sekolah. Salam adalah doa yang dipanjatkan kepada Allah SWT terhadap orang yang ditemui.
Berpesan-pesanlah pada anak-anak untuk sentiasa istiqamah dalam berbuat amal kebaikan. Daripada Aisyah R.A., Nabi S.A.W. bersabda: “Wahai manusia lakukanlah amalan mengikut keupayaan kamu. Sesungguhnya Allah tidak jemu sehinggalah kamu jemu. Amalan yang paling Allah sukai ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Ingatkan anak-anak untuk terus istiqamah dalam melakukan kebaikan agar menjadi contoh teladan kepada orang lain. Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang dapat menunjukkan suatu kebaikan (kemudian diikuti dan dilakukan kebaikan tersebut oleh seseorang yang lain) maka dia akan mendapat pahala seperti orang yang melakukannya.” (Riwayat Muslim).
Kredit: Dr. Rahimah Saimin
Pensyarah Kanan
Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU)
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI