Pasti ramai ibu yang menyangkakan tak perlu nak membersihkan mulut bayi selagi mereka belum makan kan? Tapi sebenarnya kita dah mula seawal mungkin dan tak perlu nak tunggu anak dah makan atau tumbuh gigi.
Dari awal dah mula lagi baik untuk bayi itu sendiri supaya terbiasa dan tak sukar untuk ajar berus gigi. Kadang-kadang ada anak yang susah berus gigi ni mereka langsung tak nak buka mulut sehingga buatkan ibu jadi malas nak gosok gigi dan akhir sekali biar macam tu je.
Persoalannya bila nak mula bersihkan mulut bayi? Macam mana nak mulakan?
Menurut Doktor Gigi, Dr Izaza Mohd Zan, membersihkan mulut bayi yang baru lahir boleh dimulakan dengan menggunakan kain basah.
Kain paling best guna adalah kain “GoodMorning” sebab nipis dan tak berbulu. Kalau nak best lagi, guna gauze atau kain kasa atau kain lampin yang bersih.
Kain yang dah basah tadi, balut jari telunjuk dan gunakan jari telunjuk untuk bersihkan bahagian dalam mulut perlahan-lahan.
Bersihkan mulut setiap kali lepas menyusu atau sekali sehari setiap pagi. Bersihkan atas gusi, bawah lidah, atas lidah dan sekitar lelangit serta sekitar dalam mulut.
Kenapa kena bersihkan? Untuk elak susu melekat dalam mulut dan elak jangkitan kulat atau fungus dalam mulut bayi.
Sumber: Dr Izaza Mohd Zan