
Ada yang bertanya mengenai warna putih pada lidah baby yang menyusu. Adakah ianya normal, ataupun jangkitan.
MILK TONGUE (lidah susu)
Adalah normal sebenarnya untuk bayi yang menyusu untuk ada lidah yang diselaputi susu. Selalunya lidah akan putih selepas menyusu, dan hilang setelah beberapa lama. Boleh lihat bahawa selaput putih hanya pada lidah, dan mudah dicuci.
Cara cucian lidah
– Ibu / penjaga boleh cuci lidah ini dengan tuala / kain yang telah dibasahkan dengan air minum, dan lap dengan lembut.
– Disyorkan basuh sewaktu bayi dalam keadaan gembira dan ingin bermain untuk mengelakkan bayi rasa stress setiap kali cucian dilakukan.
– Jangan lakukan sejurus selepas menyusu.
– Boleh juga gunakan berus gusi yang lembut sebagai pengganti tuala / kain.
ORAL THRUSH / CANDIDA
Selain daripada susu, lapisan putih dalam mulut boleh juga disebabkan jangkitan kulat. Ini boleh terjadi pada bayi yang menyusu badan / botol.
Boleh disebabkan oleh
– pemberian antibiotic,
– ibu yang mempunyai keputihan yang banyak sewaktu mengandung,
– jangkitan dari puting, mainan, dll
Selaput putih yang disebabkan kulat adalah lebih tebal, dan biasanya akan meliputi pipi bahagian dalam, dan lelangit juga. Tidak mudah untuk dicuci, dan kadangkala boleh menyebabkan pendarahan sekiranya dibersihkan dengan kuat. Bayi juga boleh kelihatan tidak selesa sewaktu menyusu. Tanda candida di tempat lain juga mungkin boleh dilihat, seperti ruam pada kemaluan dan lubang dubur bayi. Atau candida rash pada pipi dan kulit lain.
Untuk oral thrush, boleh diberikan rawatan, antaranya adalah sapuan minyak kelapa dara, atau ubat untuk membunuh kulat. Ibu yang menyusu badan haruslah kurangkan pengambilan makanan yang manis dan tingkatkan pengambilan makanan yang tinggi probiotic dan prebiotic. Probiotic dan prebiotic adalah penting untuk pastikan bakteria baik sihat, dan boleh melawan candida yang berleluasa.
TONGUE TIE
Selain itu, sekiranya bayi mempunya tongue tie, juga boleh menyebabkan lidah selalu kelihatan putih. Ini disebabkan lidah yang terikat dan tidak sampai pada lelangit. Jadi susu akan melekat pada lidah. Tongue tie adalah satu keadaan yang boleh mengganggu penyusuan, dan juga percakapan pada kemudian hari. Boleh bawa ke doktor untuk dikenalpasti, dan boleh dilakukan prosedur untuk melepaskan ikatan tersebut sekiranya perlu.
HIGH HARD PALATE
Jika lelangit bayi adalah tinggi juga lidah boleh selalu kelihatan putih. Sekiranya ia hanya susu, ibu / penjaga harus selalu mencuci lidah seperti yang disyorkan.
Dr. Aimi Jaafar
Klinik Taqwa Bangi
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Tak Nampak Ibu Je Menangis & Mengamuk. Ibu Bapa Kena Tahu Bukan Semua Tangisan Perlu Dihentikan

Tak nampak ibu je menangis & mengamuk. Malah tangisannya seperti kanak-kanak didera. Ia banyak berlaku kepada bayi 4 hingga 20 bulan. Tapi kenapa? Rupanya tidak semua tangisan perlu dihentikan.
Perkongsian daripada konsultan tangisan bayi, Puan Uswatun Hasanah Mohd Habib perkara ini sering menjadi dilema para ibu bapa. Tangisan yang bagaimana perlu dipenuhi dan bagaimana pula mengendalikan keadaan.
Uswatun memberikan respond dan jawapan kepada persoalan yang diajukan seperti berikut;
Soalan:
Anak saya berusia 12bulan . Memang dari newborn kalau tiada orang, dia merengek . Smpai sekarang. Tak boleh ditinggal. Saya memang tak boleh buat kerja apa pun. Saya cuba konsep bagitahu anak sebelum ke mana-mana seperti nak pergi toilet tapi dia menangis juga. So saya kena bawa. Saya pernah biarkan dia menangis, saya buat kerja . Tapi tiada respon yang positif Kalau ikutkan, saya dulu memang macam anak saya sekarang: tak boleh berenggang dengan ibu saya. Adakah itu personaliti semula jadi?.
Jawapan oleh Uswatun:
Tak tersebut oleh saya betapa teramat kerapnya saya menerima soalan seumpama ini hingga saya tertanya, apa yang buat ramai ibu seperti ‘takut’ dan merasa terancam dengan tangisan anak? Bagaimana harus saya buat ibu merasa selesa berdepan dengan anak yang menangis?
KONSEP TANGISAN ANAK MENGIKUT USIA
Baik, saya bentangkan fakta konsep tangisan berikut agar ibu faham. Jadi sila beri perhatian penuh
#1. Pada usia 1-3 bulan:
Tangisan berada dalam bentuk reflek. Bermaksud bayi tak berfikir atau belajar untuk menangis. Mereka ‘just do it’. Ia dikawal oleh ratusan reflek yang membantu keseluruhan operasi sistem badannya. Sebab itu, amat biasa ibu berkata telah letih mendukung, memujuk tetapi bayi tetap menangis seolah tak perasan ibu dah cuba nak bantu tenangkan.
#2. Selepas 4 bulan:
Tangisan perlahan-lahan berubah menjadi kelakuan sukarelanya. Maka amat biasa kita melihat bayi diusia ini seperti membuat proses ‘scan’ sebelum menangis bila cuba diambil individu asing.
dalam masa yang sama;
#3. sehingga usia bayi 20 bulan:
Bayi mengalami 10 perubahan drastik neuron (otaknya di upgrade secara pesat) yang menyebabkan bayi lebih 3C: crying (menangis), clingy ( nak berdukung/tak boleh berpisah) & cranky (merengek).
Apa point penting disini? :- Bermula usia 4 bulan,bayi mula memahami respon yang diterimanya dari setiap individu dan menggunakan pemahaman ini untuk menjustifikasi kelakuannya. Bayi mula bereksperimen dengan konsep autonomi (mengambil undang-undang ditangan sendiri) melalui cara mengawal beberapa aspek disekelilingnya.
Tak faham? Ok contoh begini: kerana ibunya seorang yang kalut dan segera datang bila dia menangis,maka bayi akan kerap mengguna tangisannya untuk menghalang ibu pergi. Sedangkan bila bersama pengasuh (yang berpewatakan lain dari ibunya),bayi lebih berkerjasama bila perlu diletakkan ,’diminta’ bermain sendiri atau bersama rakan.
Kuat merengek sejak dilahirkan dan tak boleh jika tiada orang
Berbalik pada soalan puan. Kuat merengek sejak dilahirkan dan tak boleh jika tiada orang itu adalah salah satu ciri bayi ‘high demand’ (menuntut perhatian tinggi). Kesemua 12 ciri lengkap bayi high demand ini telah saya terang lengkap dalam buku tulisan saya, ‘mengapa bayi anda menangis’.
Apa yang membuat bayi jadi high demand? Itu memang personaliti unik dimana dia diciptakan begitu. Ia bukan sesuatu yang bayi saja-saja pilih untuk jadi. Bayi yang sudah sedia kala berpersonaliti sukar sudah tentu makin memberi cabaran ketika memasuki fasa perubahan neuron yang saya sebut di atas.
Baik, adakah personaliti anak dipengaruhi oleh personaliti ibubapanya semasa kecil? Tak semestinya walau ada kemungkinannya kerana ‘traits’ atau ciri itu ada dalam diri ibubapanya. Namun itu semua TIDAK PENTING. Apa yang penting? Cara bayi dibesarkan atau corak/gaya ‘parenting’ ibu bapanya. Inilah yang membentuk sikap anak. Inilah yang saya maksudkan dalam contoh ibu kalut diatas.
Ibu bapa perlu tenang, terkawal dan rasional
Ya benar merengek,menangis dan bertantrum itu merimaskan dan meresahkan. Namun ibubapa perlu ingat,mereka adalah orang dewasa. Ibubapa patut jadi model tenang, terkawal dan rasional. Bayi dan anak kecil memang sudah pakar dalam bab melepas geram, membuat orang cemas dan berperangai tidak ‘cool’ langsung. Jadi, untuk apa ibu bapa menjadi model dalam kelakuan yang sama?. Baca semula soalan itu baik-baik.
Sekarang jawab pula soalan ini, berapa ramai ibu bapa yang boleh kekal terkawal dan rasional saat anak menangis dan merengek? Tidak ramai!. Ini lah masalahnya. Anak kecil yang belum faham ayat, adalah pembaca reaksi bahasa tubuh, intonasi,ekspresi wajah dan aura tenaga yang amat cekap.
Jadi, tak kira walau anda telah membaca kesemua buku ‘parenting’ yang ada didunia ini,jika anda gagal dalam peraturan pertama menjadi ibubapa iaitu sentiasa mengawal diri dan cuba kekal rasional, ketahuilah,tidak banyak yang boleh anda ubah tentang anak anda.
3 corak parenting
Mengapa saya berkata begitu? Kerana pakar psychology mengkelaskan corak ‘parenting’ ibubapa kepada 3 golongan:
Konsisten, ‘ambivalent’ (campur aduk) & ‘resistance’ (menjauhi).
Ibubapa yang mampu membuat anak mendengar kata atau lebih berkerjasama ialah ibubapa yang konsisten. Tidak kira dalam apa situasi, ibubapa ini fokus dengan misi yang ingin dicapai. Berbalik lagi kepada soalan puan, ada disebut puan amalkan cara memberitahu sebelum kemana-mana sebagai salah satu langkah yang sering di saran pakar perkembangan kanak-kanak sebagai cara melatih mengurangkan rengekan anak kerana ibu tidak ‘hilang’ dengan drastik.
Ya tahniah atas usaha puan ini. Persoalannya, sejauh mana puan konsisten bukan sahaja dari cara memberitahu setiap kali ingin beredar, tapi juga dari segi berapa konsisten respon/reaksi puan setelah bersatu semula dengan anak?. Adakah puan bersatu dalam keadaan ‘energy level’ cemas dan rasa bersalah kerana beredar dari anak? Atau adakah ‘energy level’ puan neutral dan terkawal?
Cemas untuk beberapa minit sahaja, ibu kawal diri!
Mari lihat pula situasi dimana puan terpaksa membawa anak masuk ke dalam tandas kerana anak menangis. Soalan pertama saya, adakah puan rasa anak menangis ketika itu sebab cedera, dalam kesakitan atau dia cemas/memprotes kerana puan perlu hilang sebentar ke tandas?. Saya amat yakin puan tahu benar jawapannya.
Jadi adakah perlu untuk puan cukup cemas hingga terpaksa membawanya masuk ke dalam tandas?. Membawa anak masuk bersama-sama ke dalam tandas untuk menunaikan hajat atau mandi bukan satu kelaziman (melainkan dalam situasi seperti anda berdua di tandas awam dimana meninggalkan anak akan merisikokan anak hilang).
Sudah tentu ibu perlu bijak dalam soal mencari masa sesuai untuk urusan tandas atau alih perhatian anak dengan memasang tv atau meletak mainan untuk membeli masa. Namun, apa perlunya cemas jika ia sekadar beberapa minit? .
Tak kira berapa kuat dia menangis, selesaikan urusan anda dan keluar kepadanya dalam keadaan terkawal seperti ‘tiada apa yang perlu dirisaukan wahai anak’ atau jika tidak,anak akan belajar bahawa dia hanya perlu menjerit sekuat hati dan ibu pasti akan mengheretnya kemana saja hatta ke tandas!.
Fahamilah tangisan anak
Saya selalu berkata pada ibubapa, fahamlah, menangis bukan selalu bererti anak dalam kesakitan dan kecemasan hingga perlu di ‘selamatkan’. BUKAN SEMUA TANGISAN PERLU DIHENTIKAN tak kira berapa teruk ia kelihatan!. Ya,anak mungkin menangis teresak-esak, ‘hilang suara’ atau muntah. Semua ini fenomena biasa dan selalunya tidak merbahaya. Ibu perlu tahu beza tangisan sebenar atau manipulasi. Saya yakin semua ibu tahu. Tetapi sebahagian ibubapa memilih untuk tunduk pada anak lalu menyampaikan mesej yang salah atau campur aduk pada anak.
Ada banyak cara untuk buat anak rasa disayangi tanpa ibu perlu tunduk pada anak. Contoh cara?. Baik,mari ambil situasi melatih anak duduk di ‘car seat’ . Amat biasa anak memprotes,menjerit, meronta malah hingga terbatuk-batuk muntah,kan?. Apa yang perlu ibu lakukan diawal proses ialah memberitahu anak bahawa anda mahu meletaknya di ‘car seat’. Kemudian, teruskan saja perjalanan walau anak mula menangis. Anda tentu lebih tahu anak menangis kerana ingin berlepas diri dari ‘car seatnya’ semata-mata.
Tenangkan anak dengan kata-kata atau nyanyian. Jika amukan anak makin teruk dan anda sukar fokus, berhentikan kenderaan di tempat selamat dan tenangkan anak dengan cara anda. Setelah reda,letak kembali anak di ‘car seat’ nya dan teruskan semula perjalanan. Ya, ia mungkin memerlukan anda mengulangi hal ini beberapa kali pada setiap kali dan mengambil masa yang lama pula. Namun untuk mengalah melatih anak duduk di ‘car seat’ dan mula mengamalkan memangku anak hanya kerana dia benci ‘car seat’nya adalah salah. Anda perlu jadi orang dewasa dalam hal ini hingga anak tahu dia tidak akan menang dalam permainan protes ini.
Percayalah, dengan berlaku konsisten, anak tidak perlu masa yang lama untuk terima pelajaran ‘car seat’ ini. Sama juga dengan banyak lagi pengalaman pelajaran hidup yang lain seperti mencerai puting,mencerai buaian, belajar tidur sendiri, mencerai lampin (potty training), berkongsi mainan, mendisiplin perangai buruk anak, memasuki ‘daycare’ (berpisah dengan ibubapa), menaiki basikal dan banyak lagi. Adakah ibubapa perlu menghentikan anak dari terus belajar berbasikal hanya kerana dia pulang dengan luka dan darah serta menjerit kesakitan misalnya?. Adakah ibu perlu segera berhenti kerja kerana anak menangis setiap kali dihantar ke penjaga misalnya? Adakah anak tak perlu masuk sekolah hanya kerana dia menangis teresak-esak bila ibunya beredar misalnya?
Stress yang positif
Kesemua situasi diatas ialah contoh respon stress positif. Dengarkan ini, SEMUA bentuk respon stress positif amat diperlukan untuk anak jadi manusia normal. Bagaimana? . Emosi dan memori manusia dikawal oleh bahagian otak yang di panggil sistem limbik. Perkembangan sistem limbik amat bergantung kepada pengalaman. Untuk membentuk sistem limbik yang normal, anak perlu ada pengalaman interaksi sosial yang NORMAL sesama rakan dan ibubapa. Apa dia pengalaman interaksi sosial yang normal ini?
IANYA SEMUA PERASAAN YANG MANUSIA BIASA PATUT RASA seperti gembira, sedih, kecewa, cemas, geram, lega dan macam-macam lagi. Jadi jelas, ibu bukan untuk memperisai anak dari semua rasa tak seronok. Ibu bukan untuk hentikan setiap tangisan, baiki perasaan anak, alih rasa sebenar anak apa lagi tidak mengendahkannya. Perasaan itu wujud.
Buat 3 perkara ini supaya anak boleh sesuaikan diri
Anda perlu buat 3 hal ini sahaja:
1. Sahkan perasaan itu.
2. Biar anak merasakannya dan
3. Bantu dia laluinya. Contoh?. Bila anak menangis setiap kali anda perlu pergi katakan: “Adik sedih. Adik sedih mama pergi.Mama pergi 5 minit je ok..?”. Pergi terus tanpa rasa bersalah. Kembali seperti yang dijanjikan dan tenangkan anak dengan energy level yang neutral dan bukan dengan sebaliknya rasa bersalah seperti,” sorry sayang. kesian anak mama kena tinggal..” .
Adakah anak akan serta merta ok dan tak lagi merengek ? Tidak. tetapi seiring masa, pengalaman demi pengalaman, anak akan lebih pandai menghadapinya. Inilah cara sistem limbik ini berkerja. Jadi, bagaimana anak boleh cekap untuk hadapinya jika tidak diberi peluang demi peluang?.
Adakah anak stress sepanjang proses ini? Ya. Ianya stress positif yang saya sebut diatas. Jenis stress ini tidak memudaratkan. Malah diperlukan untuk anak berkembang. Bagaimana kita dapat tahu ini?. Kerana hormon stress iaitu cortisol boleh dikesan melalui air mata dan air liur. Cortisol bukanlah buruk semata-mata. Ia sangat diperlukan untuk survival. Ia benarkan kita untuk hadapi stress dan pulih dari stress.
Sebagai contoh, terdapat satu kajian di mana sekumpulan bayi ‘newborn’ dihadapkan dengan beberapa ujian fizikal selama 2 hari berturut. Pada hari pertama, bayi menangis dan kadar cortisol yang direkodkan adalah tinggi.
Pada hari kedua, bayi masih menangis sama banyak seperti hari pertama, tetapi tiada peningkatan dalam paras cortisol. Ia menunjukkan bayi kenal pengalaman sebelum ini (pada hari pertama) dan pengalaman itu bantu bayi pulih dan belajar dari pengalaman. Bayi kini menangis kerana marah dan tak selesa tetapi bukan kerana tekanan emosi. Sama halnya bila kajian diulang terhadap situasi bayi mendapat suntikan imunisasi. Jelas, stress bukan satu masalah. Cortisol juga bukan satu masalah melainkan jika ia terus meningkat dalam satu tempoh yang panjang seperti dalam kes anak mangsa dera.
Ibu bapa akan selesa menghadapi tangisan anak
Saya berharap,dengan maklumat ini,ibu akan lebih selesa menghadapi tangisan anak. Ada banyak tip untuk mengurangkan rengekan termasuk permainan yang dapat meningkatkan keyakinan diri anak,yang ditulis ramai pakar kanak-kanak bagi membantu ibubapa. Pada akhirnya, ibubapa yang paling layak menentukan kejayaan yang ingin dilihat pada diri anak masing-masing.
Sumber: Uswatun Hasanah By Mohd Habib
Konsultan Tangisan Bayi
Artikel berkaitan: [Jangan Biar Bayi Berbaring Je. Tummy Time Boleh Kuatkan Otot & Merangsang Bayi. Umur Sehari Dah Boleh Mula!]
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Achey Guna Carrier Tapi Tiara Nampak Tak Selesa, Netizen Bagi Cadangan Cara Penggunaannya

Penggunaan carrier bukan sekadar memudahkan mama papa untuk membawa bayi, ia malah menguatkan ikatan hubungan dengan si anak. Apa yang dilakukan oleh Achey ini memang baik di samping mengeratkan hubungan antara bapa dan anak.
Achey yang telah menggunakan carrier untuk membawa anak angkatnya Tiara Zinnirah, 5 bulan. Namun Tiara kelihatan tidak selesa didalamnya.
View this post on InstagramA post shared by achey Bocey 013-6408967 (mngr) (@acheykintangkintung) on
Netizen memberikan komen positif kepada Achey dan menyatakan beberapa info mengenai babywearing seperti berikut;
CARRIER YANG ERGONOMIK
POSISI DUKUNGAN PERLU LEBIH TINGGI
KEDUDUKAN LUTUT TINGGI DARIPADA PUNGGUNG
PENGGUNAAN CARRIER YANG DISARANKAN
Pastikan pinggul bayi berada pada paras tulang rusuk mama/papa. Bayi seperti duduk dengan kedua belah paha terbuka dan mengelilingi bahagian bawah tulang rusuk ibu (spread squat position). lutut bayi lebih tinggi daripada punggung dan seolah-olah terlipat sedikit bagi memastikan bahagian pinggul disokong.
[Bacaan berkaitan: Kenali Alat Penggendong Bayi. Jangan Guna Sesuka Hati, Beringat Tentang 6 Perkara Ini]
Sumber: acheykintangkintung
Talasemia adalah penyakit kecacatan darah yang diwarisi. Ciri abnormal pada gen menyebabkan hemoglobin dalam sel darah merah menjadi tidak normal. Adakah anda atau ahli keluarga anda pembawa atau penghidap talasemia tanpa disedari? Siapa yang berisiko untuk mendapat talasemia, apakah tanda-tandanya serta rawatan yang boleh dilakukan kepada penghidap talasemia?
Ikuti rangkuman info mengenai penyakit talasemia dalam rancangan TV Pa&Ma bertajuk ‘Bahaya Talasemia’ yang akan ke udara pada pada Selasa, 16 Oktober 2018 di Astro Prima & Astro Maya HD jam 12 tengah hari dan ulangannya pada 9 malam.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Anak Menangis Sampai Tak Bersuara, Namanya Raungan Senyap. Jangan Biarkan, Bahaya!

Ibu bapa mana yang tidak risau apabila melihat anak tiba-tiba kebiruan akibat tahan nafas. Lebih teruk lagi jika perkara ini sering menjadi punca anak pengsan.
Mungkin ada ibu bapa yang beranggapan bahawa anak mereka sengaja tahan nafas, maka reaksi pertama adalah memarahi mereka.
Namun, apa yang anda perlu tahu adalah perbuatan ini bukannya sengaja dilakukan. Fenomena ini dikenali sebagai breath holding spells atau raungan senyap kebiruan.
Ia merupakan satu refleks di luar kawalan badan. Ini bermakna, anak anda tidak boleh mengawalnya namun ia akan kembali normal dalam tempoh kurang daripada seminit selepas itu.
Dalam kebanyakan situasi, fenomena ini boleh diramal dan selepas faktor pencetusnya dikenal pasti, ia boleh dihindari.
Baca artikel ini yang dikongsi oleh Hello Doktor untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.
Ketahui jenis raungan senyap kebiruan
Dalam situasi anak menahan nafas sehingga nampak kebiruan, bukan semuanya akan menjurus mereka untuk pengsan.
Ia boleh berlaku dalam kalangan kanak-kanak yang berusia di antara 6 bulan hingga 6 tahun namun lazimnya dialami oleh mereka yang berusia 2 tahun.
Jika terdapat sejarah masalah kesihatan ini dalam kalangan ahli keluarga, kanak-kanak tersebut lebih berisiko untuk mengalaminya.
Terdapat dua jenis raungan senyap kebiruan yang mempunyai punca berbeza:
- Raungan senyap kebiruan sianotik – keadaan ini boleh berlaku apabila kanak-kanak berhenti bernafas dan wajah mereka bertukar menjadi biru. Ia sering berpunca daripada perkara yang membuatkan mereka sedih seperti dimarahi. Semasa anak anda sedang menangis, mereka hanya menghembus nafas dan tidak menarik nafas. Ia boleh menyebabkan wajah mereka bertukar menjadi warna biru atau ungu (lebih serius).
- Raungan senyap kebiruan pallid (tak bermaya) – keadaan ini lebih jarang berlaku dan lebih sukar untuk dijangka berbanding dengan fenomena sianotik. Berbeza dengan jenis sebelum ini, ia berlaku apabila kanak-kanak sedang dalam ketakutan atau mereka terkejut. Wajah mereka akan menjadi pucat lesi dan bertukar putih semasa ia sedang berlaku.
Kedua-dua jenis raungan senyap kebiruan boleh menyebabkan kanak-kanak berhenti bernafas dan kadangkala mereka boleh pengsan.
Jika keadaan ini terlalu ekstrem, ia boleh menyebabkan masalah sawan.
Apa yang ibu bapa perlu lakukan jika anak menahan nafas hingga biru?
Perkara penting yang anda perlu faham adalah ia bukannya sesuatu yang disengajakan.
Ramai ibu bapa yang akan panik dan mula memarahi anak mereka walhal ia di luar kawalan badan mereka.
Antara tanda yang boleh dialami oleh anak anda semasa episod kebiruan adalah:
- Tangisan berhenti secara tiba-tiba
- Kulit dan bibir menjadi kebiruan
- Berhenti bernafas semasa ia sedang berlaku
- Tubuh menjadi kaku dan mereka tidak bergerak
Dalam kebanyakan situasi, anak anda akan kembali normal beberapa saat selepas kebiruan.
Namun, ada juga yang kekal biru walaupun sudah lama mereka berada dalam keadaan begitu.
Keadaan ini boleh berlaku terutamanya jika ibu bapa kerap memarahi anak ketika mereka berada dalam episod tersebut.
Apa yang anda perlu lakukan adalah:
- Anda perlu bertenang, jangan panik, berhenti daripada membuatkan anak anda sedih seperti marah dan cuba untuk menenangkan mereka.
- Jangan goncang tubuh anak anda dan ketika badan mereka menjadi kaku, baringkan mereka dalam posisi mengiring.
- Pastikan tiada makanan atau objek lain di dalam mulut anak anda untuk mengelakkan daripada tercekik.
- Pastikan tiada perabot atau objek berbahaya berdekatan dengan anak jika mereka mula mengalami simptom sawan.
- Jika anak masih tidak bernafas melebihi 1 minit, lakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR). Ia merupakan satu prosedur kecemasan yang dilakukan dengan cara memberi tekanan pantas dan berterusan di kawasan dada mangsa dengan/tanpa memberi bantuan pernafasan secara berkala.
- Bawa anak ke hospital dengan kadar segera jika keadaan menjadi lebih serius.
Cara menghindarkan episod berhenti bernafas
Bagi kebanyakan kanak-kanak, fenomena kebiruan akan hilang apabila usia mereka meningkat.
Apa yang lebih mencabar bagi ibu bapa adalah mencari jalan untuk mendisiplinkan anak mereka tanpa mencetuskan kebiruan semasa mereka sedih.
Dalam banyak keadaan, perkara ini memerlukan rujukan doktor bagi mengenal pasti jalan terbaik bagi anda dan anak anda.
Fenomena anak tidak bernafas ini tidak boleh menjadi alasan untuk ibu bapa menuruti kehendak dan melayan segala kerenah anak-anak tanpa batasan.
Mereka memerlukan tunjuk ajar dan cara untuk beradaptasi dengan perubahan emosi yang berlaku.
Fenomena kebiruan mungkin nampak berbahaya namun dalam kebanyakan masa, ia hanya memerlukan kesabaran dan teknik yang betul dalam menguruskan episod kebiruan.
Konklusi
Episod kebiruan yang melibatkan anak tahan nafas di luar kawalan boleh membuatkan ibu bapa panik.
Walau bagaimanapun, dalam kebanyakan kes, ia akan beransur pulih dengan sendiri dalam tempoh kurang daripada 1 minit.
Jika keadaan berlarutan, rujukan kepada doktor boleh membantu mengenal pasti punca yang menyebabkan ia menjadi serius.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI