Bertungku Lepas Bersalin Cepat Kecutkan Rahim Dan Kembalikan Bentuk Badan Ibu

Share

Amalan bertungku sudah diketahui umum kebaikannya kepada ibu selepas bersalin. Jika dahulu ia hanya menjadi amalan berpantang masyarakat Melayu tetapi kini kaum lain turut mengamalkannya.

Mungkin dahulu amalan ini dilakukan oleh ibu atau nenek kepada wanita yang baru lepas bersalin tetapi kini terdapat pusat rawatan selepas bersalin yang turut memberi kemudahan tersebut kepada sesiapa sahaja yang baru lepas bersalin.

Amalan bertungku dilakukan sebelum si ibu membalut bahagian pinggang  hingga ke punggung atau lebih dikenali sebagai berbengkung. Salah satu sebab mengapa ibu disarankan bertungku iaitu membantu mengecutkan rahim dan mengeluarkan darah beku.

Darah nifas yang dikeluarkan oleh wanita selepas bersalin biasanya mengalir keluar sepanjang tempoh pantang 44 hari yang diamalkan oleh masyarakat Melayu. Dikatakan rahim tidak bersih sepenuhnya daripada kotoran darah sekiranya ia berhenti awal daripada masa yang sepatutnya.

Jadi, amalan bertungku dapat membantu melancarkan pengaliran darah kotor dan toksin keluar dari badan ibu.

Amalan bertungku juga dikatakan mampu memecahkan lemak dalam badan, mengecutkan rahim dan organ yang bengkak ketika proses bersalin, dan mengembalikan semuanya kepada keadaan asal.

Ada pelbagai kaedah orang menggunakan tungku dan ini salah satu daripadanya.

*Bakar tungku (batu sungai atau tungku besi) kemudian balut dengan daun serai, lengkuas, pandan, dan lain-lain, kemudian lapik menggunakan kain yang tebal tetapi masih boleh dirasai kehangatannya.

Bertungkulah selama sejam, tapi jika masa tidak mengizinkan, sekurang-kurangnya setengah jam.

Published by
Wan Amy