Sedang ramai antara kita yang mungkin masih rasa selamat dengan keadaan penularan wabak pandemik Covid-19 dengan berada di luar rumah, lepak di kedai makan dan sebagainya, perkongsian yang dibuat oleh seorang pakar perubatan yang merupakan barisan hadapan dalam menanggani pesakit positif Covid-19 ini diharap dapat membuka mata semua.
Seperti semua sedia maklum Perintah Kawalan Pergerakan telah dikuatkuasakan hari ini namun masih ada segelintir yang mengambil ringan perintah tersebut. Tular hari ini ada yang tidak rasa bersalah makan dan lepak di gerai walhal sudah diberitahu hanya boleh beli dan bungkus sahaja. Ramai juga yang mengambil keputusan untuk pulang ke kampung apabila ramai berasak-asak di Balai Polis semalam untuk mendapatkan borang rentas negeri.
Melalui perkongsian seorang doktor, Faiqah Natasha di Facebook, beliau berkongsikan tekanan yang terpaksa dilalui sewaktu bertindak sebagai benteng berhadapan dengan virus pembawa maut Covid-19. Berada dalam pasukan tersebut memerlukan dia dan rakan yang lain memakai sut khas bagi mengelakkan jangkitan terhadap diri sendiri.
Lebih menyentuh hati apabila dia yang masih memberikan susu ibu kepada anak terpaksa mandi berkali-kali sebelum mengepam susu untuk bekalan anaknya yang masih kecil. Berhadapan dengan saat genting dan mencabar, membuatkan doktor wanita ini menjadi paranoid terkenangkan risiko yang mungkin boleh berlaku.
Perlu sentiasa bersedia dengan kes-kes yang melibatkan virus pembawa maut ini, hinggakan tidak berkesempatan untuk mengeringkan rambutnya yang mungkin panjang. Lantas doktor wanita ini nekad memotong rambutnya sendiri. Hasilnya sudah pastilah kurang menarik yang mana menurutnya seperti ‘Ronald McDonald.
Namun wanita ini mempunyai keluarga yang sangat menyayangi dan mencintainya. Pulang sahaja ke rumah, suami yang mengerti dengan perjuangan isteri tercinta terus memberikan sokongan moral agar isteri tersayang terus kuat dalam menjalankan tugas itu. Malah pujian dari salah seorang anaknya juga membuatkan hati ibu ini terubat.
Semoga barisan hadapan petugas kesihatan yang mengendalikan kes postif Covid-19 ini akan terus diberikan kesihatan dan dilindungi yang Maha Esa. Untuk orang ramai di luar sana, sahutlah saranan kerajaan dengan mematuhi apa yang telah diperintahkan. Semoga dengan kerjasama semua, penularan pandemik Covid-19 ini akan berkurangan dan seterusnya berakhir di Malaysia dan seluruh dunia.
Sumber: Faiqah Natasha