“Besar Nanti Jadi Anak Yang Soleh Ya” Sentiasa Ucapkan Perkataan Positif Pada Anak

Share

“Besar nanti jadi anak soleh ya sayang,” ungkapan sering diucapkan kebanyakan ibu bapa kepada anak. Namun bagaimana caranya untuk menjadikan anak itu sebagai anak yang soleh dan solehah?

Anak soleh bermula daripada didikan
Setiap ibu bapa pastinya inginkan anak yang soleh, mendengar kata dan bijak. Tetapi bagaimana sebenarnya cara yang terbaik untuk menjadikan si kecil membesar menjadi anak soleh? Adakah ia sukar untuk dilakukan?

Sebenarnya, untuk menjadikan anak membesar sebagai insan yang soleh dan solehah bukanlah satu perkara yang sukar untuk dilakukan. Ini kerana ia bermula daripada cara didikan ibu bapa itu sendiri.

Dalam erti kata yang mudah, jika ibu bapa mendidik anak dengan cara yang betul dan terbaik, maka impian memperolehi anak soleh dan mendengar kata, pastinya akan dapat dicapai. Tetapi bagaimana?

Mengalas tanggungjawab sebagai ibu bapa memerlukan komitmen dan kesabaran yang tinggi. Dalam masa yang sama tanggungjawab tersebut perlu dilengkapi dengan perasaan kasih sayang.

Kaedah mendidik anak
Bagaimana yang dikatakan sebagai cara didikan yang betul dan terbaik agar si manja membesar menjadi anak soleh? Penulis akui, setiap ibu bapa mempunyai cara dan pendekatan yang berbeza dalam mendidik anak.

Walau bagaimanapun, berikut adalah antara beberapa kesilapan yang tanpa disedari dilakukan oleh kebanyakan individu bergelar ibu bapa:

Penggunaan bahasa yang kasar
Anda pasti pernah berada dalam situasi di mana seorang ibu memarahi anaknya di depan khalayak umum, bukan? Ataupun pernah tak anda mendengar jiran anda menjerit dan menggunakan bahasa yang kasar kepada anaknya?

Apakah perasaan anda tatkala mendengar jeritan, maki hamun dan amarah seorang ibu kepada anaknya? Mungkin anda berasakan itu adalah cara si ibu melepaskan tekanannya akibat sikap si anak.

Tetapi sebenarnya perbuatan seperti itu lebih cenderung menjadi ikutan si anak apabila dewasa kelak. Mereka mungkin akan menjerit, marah dan memaki sesiapa sahaja yang tidak mengikut keinginannya. Adakah anda mahu anak anda menjadi individu seperti itu?

Bukankah setiap tutur kata ibu bapa itu adalah doa? Bukankah anak itu cerminan diri ibu bapa? Maka jika anda mahu si kecil menjadi anak soleh dan solehah, maka elakkan daripada menuturkan perkataan kasar yang tidak elok. Ubah diri anda terlebih dahulu sebagai ibu bapa sebelum anda membentuk si manja menjadi anak yang baik.

Memaksa anak
Anda mahukan anak mendengar setiap kata dan mengikut telunjuk anda. Anda langsung tidak cuba memahami keinginan si kecil. Adakah anda sedar tindakan anda itu boleh menyebabkan si kecil menjadi tertekan? Lebih menakutkan jika mereka tidak mempunyai keinginan dan semangat untuk melakukan sesuatu seperti bermain?

Ya, kita semua sebagai ibu bapa mahukan yang terbaik untuk anak-anak, tetapi adakah apa yang kita rasakan terbaik itu, sememangnya terbaik buat si kecil? Bayangkan jika anda berada di tempat si manja dan dipaksa melakukan sesuatu yang bukan kehendak anda, apakah perasaan anda? Malahan, tidak mustahil ia boleh menyebabkan wujudnya dendam dalam hati si manja.

Sebaiknya, jangan terlalu memaksa anak anda mengikut telunjuk anda semata-mata. Berikan si kecil peluang menikmati zaman kanak-kanak mereka. Benarkan mereka untuk mempunyai pengalaman dan memori menyeronokkan dan akan dikenang sepanjang hayat mereka.

Jika mereka mempunyai minat dalam sesuatu perkara, bantu mereka untuk menjadi terbaik dalam apa juga bidang kegemaran mereka. Jika mereka masih kabur, maka ia adalah tugas anda untuk membantu mereka membina dan mewujudkan perkara yang mereka gemari.

Melarang anak
Pernah tak si kecil secara tiba-tiba datang kepada anda dan menyatakan “Mama, Husna nak tolong sapu sampah”, apakah reaksi anda? Mengizinkan atau menghalang? Jika anda mengizinkan, maka anda membuat keputusan yang betul walaupun hakikatnya si kecil mungkin hanya akan menambahkan lagi kerja anda.

Ini sekurang-kurangnya dapat mendidik sifat dan keinginan untuk membantu dalam diri mereka. Dalam masa yang sama membangunkan rasa tanggungjawab dalam diri anak anda.

Sebaliknya, jika anda memarahi mereka dan menolak keinginan mereka untuk membantu, malah lebih teruk lagi apabila anda memarahi mereka, percayalah situasi ini akan menyebabkan mereka sukar untuk membantu dalam melakukan tugasan di rumah.

Menipu
Kenapa anak takut untuk bercakap benar apabila melakukan kesalahan? Sudah tentu kerana mereka bimbang akan dimarahi anda. Kenapa anak gemar untuk menipu? Pastinya kerana mereka pernah melihat anda menipu.

Seperti yang dikatakan pada awal tadi, anak adalah cerminan diri anda sendiri. Jika anda merupakan individu yang tidak beradab, gemar meninggikan suara dan menipu, maka tidak mustahil anak anda juga akan bersikap sebegitu. Si kecil mudah meniru apa yang sering mereka lihat.

Buat perangai
Anak meminta anda membelikan sesuatu dan anda tidak memenuhi permintaannya, apa yang akan berlaku? Adakah dia mengamuk, menangis atau mendiamkan diri? Jika mereka mengamuk dan membuat perangai, ini bermakna mereka sudah biasa dengan situasi segala kehendak dan keinginan mereka dipenuhi.

Mungkin ada antara anda bertanyakan, adakah ia sesuatu yang tidak bagus sedangkan anda mampu untuk memberikannya? Sebenarnya, anak anda harus mempunyai satu kesedaran bahawa bukan semua perkara yang diingini akan diperolehi.

Mereka harus belajar bersyukur dengan apa yang mereka miliki dan bukannya hanya tahu meminta-minta. Ini kerana dikhuatiri sikap ini akan terbawa-bawa sehingga anak anda sukar menerima pendapat dan pandangan individu lain.

Segalanya bermula daripada didikan anda sebagai ibu bapa. Banyakkan bersabar, okay?

Sumber: Hello Doktor

Published by
NuFa