Ada yang kata bayi yang kurus dan menyusu susu ibu tidak mendapat susu ibu yang cukup. Sehingga ada yang menyuruh ibu menambahkan susu formula kepada si manja. Bagaimana cara untuk mengetahui bayi mendapat susu yang cukup atau tidak?
Menurut Rita Rahayu Omar, paling mustahak bagi anda untuk yakin dengan diri sendiri apabila memutuskan mahu menyusukan bayi dengan susu ibu. Walau bagaimanapun, keyakinan ini hanya akan timbul dan menjadi lebih mantap lagi jika anda mempunyai ilmu berkenaan asas penyusuan susu ibu yang betul. Dengan berbekalkan ilmu, ibu mampu menangkis sebarang maklumat kurang tepat yang diberikan oleh mana-mana pihak. Perlu diketahui bahawa tidak semua anggota kesihatan dilatih dalam bidang penyusuan. Oleh itu, rujuklah kepada anggota kesihatan terlatih yang bergelar kaunselor ataupun pakar laktasi.
Anda boleh memerhati dan menilai kelakuan bayi, kekerapan menyusu, keadaan payu dara, kuantiti susu yang diperah keluar, sensasi pancutan refleks bukanlah cara untuk menentukan sama ada penghasilan susu anda cukup atau tidak.
Sekiranya jumlah lampin basah dan kotor bayi adalah normal (5 – 6 helai lampin basah atau 3 – 4 helai lampin kotor), bermakna bayi mendapat cukup susu. Peningkatan berat badan yang baik (100 hingga 150gm seminggu) juga merupakan petanda bayi mendapat cukup susu.
Anda juga perlu menilai sama ada dia peka, cergas, pertumbuhan dan perkembangannya normal dan memeriksa petanda-petanda ini.
BAYI KERAP MENYUSU
Perlu diketahui bahawa susu ibu sangat mudah di hadam (mengambil masa lebih kurang 1.5 hingga 2 jam sahaja). Oleh itu, bayi yang menyusu susu ibu akan menyusu dengan lebih kerap.
Faktanya, bayi juga mempunyai keperluan yang tinggi untuk menghisap. Anda akan dapati bayi gemar berada dekat dengan anda supaya dia berasa lebih selesa dan selamat. Ini adalah perkara normal. Jangan pula disalah ertikan sebagai memanjakan bayi.
KEKERAPAN DAN TEMPOH PENYUSUAN BAYI MENINGKAT SECARA MENDADAK
Hal sebegini dipanggil growth spurt. Pada waktu ini, bayi akan menyusu dengan lebih kerap (mungkin setiap 1 jam) dan akan sering meragam. Keadaan ini sering membuatkan ibu panik. Situasi ini hanyalah sementara dan akan kembali normal selepas beberapa hari hingga seminggu.
Growth spurt biasanya berlaku selepas bayi dilahirkan, 7 – 10 hari, 2 – 3 minggu, 4 – 6 minggu, 3 bulan, 4 bulan, 6 bulan dan 9 bulan. Ini merupakan anggaran sahaja. Yang pasti, setiap bayi adalah berlainan. Jadi, anda perlu bersedia untuk menangani cabaran ini. Growth spurt merupakan satu proses semula jadi yang mana kekerapan penyusuan oleh bayi dapat membantu anda meningkatkan penghasilan susu. Anda dinasihatkan untuk tidak mengambil sebarang suplemen ketika ini kerana ia akan memberikan isyarat negatif kepada tubuh. Kesannya, penghasilan susu akan berkurangan.
BAYI MERAGAM
Kebanyakan bayi akan meragam terutamanya pada waktu petang dan malam. Biasanya ia akan reda setelah beberapa ketika. Cara paling baik untuk menenangkan bayi ialah mendukung, memeluk dan kerap memberi payu dara sebelum dia mula meragam. Bayi hanya mahu dibelai dan ingin rasa selamat kerana selama ini dia berada di dalam rahim yang keadaannya sangat tenang.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Asal Tinggal Sekejap Anak Menangis. Sampai Ibu Pun Stres! Nak Tahu Sebab, Ini Jawapan Pakar
Anak saya berusia 12 bulan. Memang dari newborn kalau tiada orang, dia merengek. Smpai sekarang. Tak boleh ditinggal. Saya memang tak boleh buat kerja apa pun. Saya cuba konsep bagitahu anak sebelum ke mana-mana seperti nak pergi toilet tapi dia menangis juga. So saya kena bawa. Saya pernah biarkan dia menangis, saya buat kerja . Tapi tiada respon yang positif Kalau ikutkan, saya dulu memang macam anak saya sekarang: tak boleh berenggang dengan ibu saya. Adakah itu personaliti semula jadi?.
Jawapan:
Tak tersebut oleh saya betapa teramat kerapnya saya menerima soalan seumpama ini hingga saya tertanya, apa yang buat ramai ibu seperti ‘takut’ dan merasa terancam dengan tangisan anak? Bagaimana harus saya buat ibu merasa selesa berdepan dengan anak yang menangis?. Baik, saya bentangkan fakta konsep tangisan berikut agar ibu faham. Jadi sila beri perhatian penuh
- Pada usia 1-3 bulan: tangisan berada dalam bentuk reflek. Bermaksud bayi tak berfikir atau belajar untuk menangis. Mereka ‘just do it’. Ia dikawal oleh ratusan reflek yang membantu keseluruhan operasi sistem badannya. Sebab itu, amat biasa ibu berkata telah letih mendukung, memujuk tetapi bayi tetap menangis seolah tak perasan ibu dah cuba nak bantu tenangkan.
- Selepas 4 bulan: tangisan perlahan-lahan berubah menjadi kelakuan sukarelanya. Maka amat biasa kita melihat bayi diusia ini seperti membuat proses ‘scan’ sebelum menangis bila cuba diambil individu asing.
dalam masa yang sama;
- sehingga usia bayi 20 bulan: bayi mengalami 10 perubahan drastik neuron (otaknya di upgrade secara pesat) yang menyebabkan bayi lebih 3C: crying (menangis), clingy ( nak berdukung/tak boleh berpisah) & cranky (merengek).
Apa point penting di sini? :- Bermula usia 4 bulan,bayi mula memahami respon yang diterimanya dari setiap individu dan menggunakan pemahaman ini untuk menjustifikasi kelakuannya. Bayi mula bereksperimen dengan konsep autonomi (mengambil undang-undang ditangan sendiri) melalui cara mengawal beberapa aspek disekelilingnya.
Tak faham? Ok contoh begini: kerana ibunya seorang yang kalut dan segera datang bila dia menangis,maka bayi akan kerap mengguna tangisannya untuk menghalang ibu pergi. Sedangkan bila bersama pengasuh (yang berpewatakan lain dari ibunya),bayi lebih berkerjasama bila perlu diletakkan ,’diminta’ bermain sendiri atau bersama rakan.
Berbalik pada soalan puan. Kuat merengek sejak dilahirkan dan tak boleh jika tiada orang itu adalah salah satu ciri bayi ‘high demand’ (menuntut perhatian tinggi). Kesemua 12 ciri lengkap bayi high demand ini telah saya terang lengkap dalam buku tulisan saya, ‘mengapa bayi anda menangis’. Apa yang membuat bayi jadi high demand? Itu memang personaliti unik dimana dia diciptakan begitu. Ia bukan sesuatu yang bayi saja-saja pilih untuk jadi. Bayi yang sudah sedia kala berpersonaliti sukar sudah tentu makin memberi cabaran ketika memasuki fasa perubahan neuron yang saya sebut di atas.
Ibu Bapa Perlu Kawal Situasi
Baik, adakah personaliti anak dipengaruhi oleh personaliti ibubapanya semasa kecil? Tak semestinya walau ada kemungkinannya kerana ‘traits’ atau ciri itu ada dalam diri ibubapanya. Namun itu semua TIDAK PENTING. Apa yang penting? Cara bayi dibesarkan atau corak/gaya ‘parenting’ ibubapanya. Inilah yang membentuk sikap anak. Inilah yang saya maksudkan dalam contoh ibu kalut diatas.
Ya benar merengek,menangis dan bertantrum itu merimaskan dan meresahkan. Namun ibubapa perlu ingat,mereka adalah orang dewasa. Ibubapa patut jadi model tenang, terkawal dan rasional. Bayi dan anak kecil memang sudah pakar dalam bab melepas geram, membuat orang cemas dan berperangai tidak ‘cool’ langsung.Jadi, untuk apa ibubapa menjadi model dalam kelakuan yang sama?. Baca semula soalan itu baik-baik.
Sekarang jawab pula soalan ini, berapa ramai ibubapa yang boleh kekal terkawal dan rasional saat anak menangis dan merengek? Tidak ramai!. Ini lah masalahnya. Anak kecil yang belum faham ayat, adalah pembaca reaksi bahasa tubuh, intonasi,ekspresi wajah dan aura tenaga yang amat cekap. Jadi, tak kira walau anda telah membaca kesemua buku ‘parenting’ yang ada didunia ini,jika anda gagal dalam peraturan pertama menjadi ibubapa iaitu sentiasa mengawal diri dan cuba kekal rasional, ketahuilah,tidak banyak yang boleh anda ubah tentang anak anda.
Mengapa saya berkata begitu? Kerana pakar psikologi mengkelaskan corak ‘parenting’ ibubapa kepada 3 golongan:
Konsisten, ‘ambivalent’ (campur aduk) & ‘resistance’ (menjauhi).
Ibubapa yang mampu membuat anak mendengar kata atau lebih berkerjasama ialah ibubapa yang konsisten. Tidak kira dalam apa situasi, ibubapa ini fokus dengan misi yang ingin dicapai. Berbalik lagi kepada soalan puan, ada disebut puan amalkan cara memberitahu sebelum kemana-mana sebagai salah satu langkah yang sering di saran pakar perkembangan kanak-kanak sebagai cara melatih mengurangkan rengekan anak kerana ibu tidak ‘hilang’ dengan drastik. Ya tahniah atas usaha puan ini. Persoalannya, sejauh mana puan konsisten bukan sahaja dari cara memberitahu setiap kali ingin beredar, tapi juga dari segi berapa konsisten respon/reaksi puan setelah bersatu semula dengan anak?. Adakah puan bersatu dalam keadaan ‘energy level’ cemas dan rasa bersalah kerana beredar dari anak? Atau adakah ‘energy level’ puan neutral dan terkawal?.
Tak Perlu Risau Jika Tak Mudaratkan Bayi
Mari lihat pula situasi dimana puan terpaksa membawa anak masuk ke dalam tandas kerana anak menangis. Soalan pertama saya, adakah puan rasa anak menangis ketika itu sebab cedera, dalam kesakitan atau dia cemas/memprotes kerana puan perlu hilang sebentar ke tandas?. Saya amat yakin puan tahu benar jawapannya.
Jadi adakah perlu untuk puan cukup cemas hingga terpaksa membawanya masuk ke dalam tandas?. Membawa anak masuk bersama-sama ke dalam tandas untuk menunaikan hajat atau mandi bukan satu kelaziman (melainkan dalam situasi seperti anda berdua di tandas awam dimana meninggalkan anak akan merisikokan anak hilang). Sudah tentu ibu perlu bijak dalam soal mencari masa sesuai untuk urusan tandas atau alih perhatian anak dengan memasang tv atau meletak mainan untuk membeli masa. Namun, apa perlunya cemas jika ia sekadar beberapa minit? . Tak kira berapa kuat dia menangis, selesaikan urusan anda dan keluar kepadanya dalam keadaan terkawal seperti ‘tiada apa yang perlu dirisaukan wahai anak’ atau jika tidak,anak akan belajar bahawa dia hanya perlu menjerit sekuat hati dan ibu pasti akan mengheretnya kemana saja hatta ke tandas!.
Saya selalu berkata pada ibubapa, fahamlah, menangis bukan selalu bererti anak dalam kesakitan dan kecemasan hingga perlu di ‘selamatkan’. BUKAN SEMUA TANGISAN PERLU DIHENTIKAN tak kira berapa teruk ia kelihatan!. Ya,anak mungkin menangis teresak-esak, ‘hilang suara’ atau muntah. Semua ini fenomena biasa dan selalunya tidak merbahaya. Ibu perlu tahu beza tangisan sebenar atau manipulasi. Saya yakin semua ibu tahu. Tetapi sebahagian ibubapa memilih untuk tunduk pada anak lalu menyampaikan mesej yang salah atau campur aduk pada anak.
Bagi Anak Faham Secara Berperingkat
Ada banyak cara untuk buat anak rasa disayangi tanpa ibu perlu tunduk pada anak. Contoh cara?. Baik,mari ambil situasi melatih anak duduk di ‘car seat’ . Amat biasa anak memprotes,menjerit, meronta malah hingga terbatuk-batuk muntah,kan?. Apa yang perlu ibu lakukan diawal proses ialah memberitahu anak bahawa anda mahu meletaknya di ‘car seat’. Kemudian, teruskan saja perjalanan walau anak mula menangis. Anda tentu lebih tahu anak menangis kerana ingin berlepas diri dari ‘car seatnya’ semata-mata. Tenangkan anak dengan kata-kata atau nyanyian. Jika amukan anak makin teruk dan anda sukar fokus, berhentikan kenderaan di tempat selamat dan tenangkan anak dengan cara anda. Setelah reda,letak kembali anak di ‘car seat’ nya dan teruskan semula perjalanan. Ya, ia mungkin memerlukan anda mengulangi hal ini beberapa kali pada setiap kali dan mengambil masa yang lama pula. Namun untuk mengalah melatih anak duduk di ‘car seat’ dan mula mengamalkan memangku anak hanya kerana dia benci ‘car seat’nya adalah salah. Anda perlu jadi orang dewasa dalam hal ini hingga anak tahu dia tidak akan menang dalam permainan protes ini.
Percayalah, dengan berlaku konsisten, anak tidak perlu masa yang lama untuk terima pelajaran ‘car seat’ ini. Sama juga dengan banyak lagi pengalaman pelajaran hidup yang lain seperti mencerai puting,mencerai buaian, belajar tidur sendiri, mencerai lampin (potty training), berkongsi mainan, mendisiplin perangai buruk anak, memasuki ‘daycare’ (berpisah dengan ibubapa), menaiki basikal dan banyak lagi. Adakah ibubapa perlu menghentikan anak dari terus belajar berbasikal hanya kerana dia pulang dengan luka dan darah serta menjerit kesakitan misalnya?. Adakah ibu perlu segera berhenti kerja kerana anak menangis setiap kali dihantar ke penjaga misalnya? Adakah anak tak perlu masuk sekolah hanya kerana dia menangis teresak-esak bila ibunya beredar misalnya?.
Kesemua situasi diatas ialah contoh respon stress positif. Dengarkan ini, SEMUA bentuk respon stress positif amat diperlukan untuk anak jadi manusia normal. Bagaimana? . Emosi dan memori manusia dikawal oleh bahagian otak yang di panggil sistem limbik. Perkembangan sistem limbik amat bergantung kepada pengalaman. Untuk membentuk sistem limbik yang normal, anak perlu ada pengalaman interaksi sosial yang NORMAL sesama rakan dan ibubapa. Apa dia pengalaman interaksi sosial yang normal ini?: IANYA SEMUA PERASAAN YANG MANUSIA BIASA PATUT RASA seperti gembira, sedih, kecewa, cemas, geram, lega dan macam-macam lagi. Jadi jelas, ibu bukan untuk memperisai anak dari semua rasa tak seronok. Ibu bukan untuk hentikan setiap tangisan, baiki perasaan anak, alih rasa sebenar anak apa lagi tidak mengendahkannya. Perasaan itu wujud.
Anda perlu buat 3 hal ini sahaja: 1. sahkan perasaan itu. 2. biar anak merasakannya dan 3. bantu dia laluinya. Contoh?. Bila anak menangis setiap kali anda perlu pergi katakan: “Adik sedih. Adik sedih mama pergi.Mama pergi 5 minit je ok..?”. Pergi terus tanpa rasa bersalah. Kembali seperti yang dijanjikan dan tenangkan anak dengan energy level yang neutral dan bukan dengan sebaliknya rasa bersalah seperti,” sorry sayang. kesian anak mama kena tinggal..” .
Adakah anak akan serta merta ok dan tak lagi merengek ? Tidak. tetapi seiring masa, pengalaman demi pengalaman, anak akan lebih pandai menghadapinya. Inilah cara sistem limbik ini berkerja. Jadi, bagaimana anak boleh cekap untuk hadapinya jika tidak diberi peluang demi peluang?.
Adakah anak stress sepanjang proses ini? Ya. Ianya stress positif yang saya sebut diatas. Jenis stress ini tidak memudaratkan. Malah diperlukan untuk anak berkembang. Bagaimana kita dapat tahu ini?. Kerana hormon stress iaitu cortisol boleh dikesan melalui air mata dan air liur. Cortisol bukanlah buruk semata-mata. Ia sangat diperlukan untuk survival. Ia benarkan kita untuk hadapi stress dan pulih dari stress. Sebagai contoh, terdapat satu kajian di mana sekumpulan bayi ‘newborn’ dihadapkan dengan beberapa ujian fizikal selama 2 hari berturut. Pada hari pertama, bayi menangis dan kadar cortisol yang direkodkan adalah tinggi. Pada hari kedua, bayi masih menangis sama banyak seperti hari pertama, tetapi tiada peningkatan dalam paras cortisol. Ia menunjukkan bayi kenal pengalaman sebelum ini (pada hari pertama) dan pengalaman itu bantu bayi pulih dan belajar dari pengalaman. Bayi kini menangis kerana marah dan tak selesa tetapi bukan kerana tekanan emosi. Sama halnya bila kajian diulang terhadap situasi bayi mendapat suntikan imunisasi. Jelas,stress bukan satu masalah. Cortisol juga bukan satu masalah melainkan jika ia terus meningkat dalam satu tempoh yang panjang seperti dalam kes anak mangsa dera.
Saya berharap,dengan maklumat ini,ibu akan lebih selesa menghadapi tangisan anak. Ada banyak tip untuk mengurangkan rengekan termasuk permainan yang dapat meningkatkan keyakinan diri anak,yang ditulis ramai pakar kanak-kanak bagi membantu ibubapa. Pada akhirnya, ibubapa yang paling layak menentukan kejayaan yang ingin dilihat pada diri anak masing-masing.
USWATUN HASANAH BT MOHD HABIB
KONSULTAN TANGISAN BAYI
PANEL DOKTORBUDAK.COM
Sumber tulisan:
Website Dr Sear
Zero to three bulletin
Sciencemom.com
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Cuba Lakukan 9 Rangsangan Ini Pada Si Manja, Baik Untuk Otak. Bayi Lebih Bijak!
Setiap ibu bapa pastinya mahukan anak bijak, kan? Ada cara yang boleh dilakukan untuk merangsang perkembangan otak bayi, confirm si cilik cerdik selepas ini!
Baca: DUIT RAYA ANAK HILANG TANPA KESAN? INI CARA TERBAIK IBU AYAH KENA BUAT
Memahami perkembangan otak bayi
Semasa dilahirkan, otak bayi mengandungi 100 bilion neuron.
Pada tahun pertama kehidupannya, anak akan mengembangkan trilion sambungan sel otak – dikenali sinapsis saraf. Mengagumkan!
Jumlah rangsangan yang diterima oleh bayi secara langsung akan mempengaruhi berapa banyak sinapsis yang terbentuk.
Rangsangan berulang dan konsisten dapat menguatkan hubungan ini dan menjadikannya kekal, manakala sambungan yang tidak digunakan mungkin terputus.
Tahap awal perkembangan inilah yang memutuskan cara anak akan belajar dan berfikir, sama ada semasa kanak-kanak atau ketika dewasa nanti.
Melalui penyelidikan otak membuktikan, persekitaran mempunyai kesan kepada perkembangan otak bayi dan kesihatan secara keseluruhan.
Ini bermakna anda sebagai ibu bapa perlu memberikan rangsangan kepada anak.
Jadi apakah cara terbaik untuk merangsang perkembangan otak si manja agar mereka membesar menjadi anak bijak?
Anak bijak: Rangsang perkembangan otak bayi
Berikut dikongsikan 9 tip mudah, rangsangan melalui buku dan aktiviti interaktif yang dipantau penting bagi memastikan otak si kecil berkembang dan bersedia untuk proses pembelajaran masa hadapan.
1. Berbual dengan si kecil
Respons kepada percakapan bayi dengan nada sebutan yang menggembirakan.
Kemudian gunakan nada tinggi semasa menyebut frasa seperti “si comel Mama”.
Cara bertutur ini dikenali sebagai parentese, ekspresi wajah berlebihan dan vokal tinggi membantu anak menyerap semua bunyi bahasa anda.
Paling penting, ibu ayah harus menyedari bahawa bahagian otak yang berfungsi untuk memahami pertuturan dan menghasilkan bahasa memerlukan banyak input.
2. Bermain dengan sentuhan tangan
Aktiviti seperti peekaboo atau penggunaan boneka tangan dapat menarik perhatian dan fokus si manja anda.
Penggunaan tangan dapat menunjukkan kepada anak bagaimana kita berinteraksi secara fizikal dalam dunia ini.
Tambahan pula aktiviti melibatkan tangan sudah tentu menyeronokkan dan dapat membantu perkembangan otak bayi.
3. Berikan perhatian sepenuhnya
Apabila si kecil menunjukkan sesuatu, berikan fokus kepada apa yang ditunjukkannya.
Lebih baik lagi jika anda dapat memberikan pandangan atau komen mengenai barang atau perkara tersebut.
Perhatian bersama yang diberikan anda ini boleh mengesahkan betapa pentingnya minat dan perhatian si kecil kepada ibu bapa mereka.
4. Pupuk minat awal terhadap buku
Pilih buku dengan gambar besar dan berwarna-warni.
Wujudkan kegembiraan kepada bayi dengan menunjukkan gambar tertentu serta membuat bunyi yang bersesuaian. Misalnya, jika terlihat gambar kucing, bunyikan ‘meow meow’.
Modulasi nada suara akan membantu mempermudahkan atau menghuraikan jalan cerita serta mendorong anak untuk bercakap mengenai buku tersebut.
Dalam membantu perkembangan otak bayi, bina bahasa reseptif anak- memahami perkataan yang diucapkan – lebih penting daripada mengembangkan bahasa ekspresifnya (bertutur) ketika masih kecil.
5. Binakan rasa sayang si manja pada tubuhnya sendiri
Usap perut dan rambut bayi ketika sesi membaca buku, bermain malahan saat menukar lampin, juga penting untuk menjadikan anak bijak.
Kajian menunjukkan bayi yang jarang disentuh mempunyai otak lebih kecil daripada saiz normal pada usia mereka.
Interaksi pada jarak dekat juga membantu memfokuskan anak kepada percakapan anda.
6. Tindak balas segera apabila si kecil menangis
Menenangkan, mendukung dan memeluk anak dapat membina litar otak positif pada bahagian berkaitan emosi.
Pegangan dan pelukan daripada ibu ayah serta jalinan hari ke hari dengan bayi, memberikan isyarat selamat kepada otak.
7. Wujudkan jalinan kepercayaan
Apabila anak sedang bermain, elakkan daripada memberikan fokus kepada telefon seperti memeriksa Facebook, Instagram atau sebarang platform media sosial.
Sebaliknya, luangkan masa untuk bermain dan berinteraksi bersamanya.
Bayi yang mempunyai ikatan dengan ibu ayahnya secara emosi akan lebih berkemampuan untuk meneroka persekitaran dan belajar dengan baik.
Ini bermakna ia penting untuk perkembangan otak bayi!
8. Tindak balas jelas terhadap tindakan anak
Otak si kecil yang sedang berkembang akan belajar untuk memahami jika anda bertindak balas terhadap tingkah lakunya dengan cara boleh diramal, meyakinkan dan bersesuaian.
Pastikan anda bersikap konsisten.
9. Aturkan sesi permainan tertentu
Bermain menggunakan air, pasir atau slime pasti menyeronokkan untuk si kecil.
Permainan ini dapat merangsang perkembangan otak bayi dan dalam masa sama mengajar anak mengenai sifat cecair, pepejal dan campuran.
Pengalaman berkaitan deria sentuhan penting kepada pembelajaran otak anak!
Baca: Resipi Chicken Wrap Ala Gyros, Lagi Cepat Guna Roti Capati, Sos Pun Power
Kesimpulan
Jika mahu anak bijak, tahun-tahun awal sangat penting dalam menggalakkan perkembangan otak mereka.
Tempoh perkembangan otak bayi dan keupayaan membina rangkaian ini hanya berlaku sekali seumur hidup.
Sebagai ibu bapa, inilah peluang anda untuk membantu merangsang pembentukan litar otak si manja!
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
WEBINAR AKU TAK TAKUT BERANAK
Sertai Webinar keibubapaan terbesar dianjurkan tahun ini. Pastikan anda bersama kami untuk bersama-sama mendapat ilmu dan peluang memenangi pelbagai hadiah.
🔸 27 JUN 2021
🔸 8.00 PAGI – 10.00 MALAM
🔸 Secara virtual di platfotm ZOOM
Selain berpeluang menceduk ilmu yang dikongsi, anda juga berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah sebab ada 70 hadiah best yang ditawarkan termasuklah sebuah handphone 📱
Jom jadi peserta terawal!
✍🏻 Daftar sebagai peserta di:
https://bit.ly/3yT61Ex
Jom daftar sekarang untuk berpeluang menang hadiah cabutan bertuah!_
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Jaundis Pada Bayi, Apa Boleh Anda Buat? Ini Kata Pakar Laktasi Tentang 3 Jenis Jaundis
Jaundis banyak terjadi di kalangan bayi yang baru dilahirkan. Tapi apakah pula yang dimaksudkan dengan jaundis berpanjangan (prolonged jaundice), breastmilk jaundice dan breastfeeding jaundice dan perkaitannya dengan susu ibu?
Menurut Dr Ezura Madiana Md Monoto, IBCLC dan Pakar Perubatan Keluarga dan Perunding Laktasi, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, jaundis berlaku apabila kandungan bilirubin di dalam darah meningkat akibat daripada hemolysis atau pemecahan sel-sel darah merah yang telah matang.
Keadaan ini adalah normal dan berlaku pada setiap tiga atau empat bulan mengikut jangka hayat sel-sel darah merah di dalam badan manusia. Selalunya, penghasilan bilirubin tidak menyebabkan jaundis kerana hati dapat memetabolismakannya dan ia dikumuhkan melalui sistem pencernaan.
FAKTOR TERJADINYA JAUNDIS PADA BAYI
Bagi bayi yang baru dilahirkan, mereka selalunya akan mengalami jaundis secara fisiologi bermula hari ke-2 selepas kelahiran. Ini berlaku kerana enzim-enzim hati untuk memetabolismakannya masih lagi pramatang untuk berfungsi secara efisyen.
Selain itu, bayi yang baru dilahirkan mempunyai jumlah sel-sel darah merah yang lebih banyak berbanding orang dewasa dan jangka hayat sel tersebut juga lebih pendek. Secara tidak langsung, bilirubin yang dihasilkan oleh bayi pada ketika ini adalah lebih banyak daripada biasa.
Jaundis fisiologi selalunya mula dikesan ketika bayi berusia dua hari dan bacaan bilirubin memuncak pada hari ketiga atau keempat dan seterusnya akan berkurangan dan menjadi normal.
PROLONGED JAUNDICE
Sekiranya jaundis fisiologi melebihi 14 hari bagi yang dilahirkan cukup bulan atau 21 hari bagi bayi pramatang, ia dipanggil prolonged jaundice.
Faktor yang menyebabkan prolonged jaundice
Antara faktor yang menyebabkan prolonged jaundice ialah;
- Breast milk jaundice·
- Jangkitan kuman·
- Hemolysis·
- Dehidrasi ·
- Hypothyroidism.
*Diagnosis prolonged jaundice yang disebabkan oleh faktor breast milk jaundice adalah diagnosis dengan pengecualian setelah faktor-faktor lain telah disiasat dan diketepikan.
BREAST MILK JAUNDICE
Breast milk jaundice selalunya berlaku kepada bayi yang dilahirkan cukup bulan, sihat dan aktif dan hanya minum susu ibu sahaja.
Faktor yang menyebabkan breast milk jaundice tidak dapat dikenalpasti apa yang walaupun ada spekulasi menyatakan ia mungkin berkaitan dengan bahan di dalam susu ibu yang menghalang metabolisme bilirubin.
Namun, dinasihatkan sekiranya jaundis ini menjadi lebih ketara disebabkan oleh perkara lain, contohnya pengambilan jamu oleh ibu yang menyusukan adalah disarankan untuk ibu memberhentikan pengambilan jamu buat sementara waktu. Breast milk jaundice juga cenderung untuk berlaku di dalam keluarga yang pernah mengalaminya (genetik).
Bayi yang mengalami breast milk jaundice turut mempunyai kenaikan berat badan yang memberangsangkan dengan penyusuan susu ibu sahaja, membuang air besar dengan kerap iaitu sebanyak 8 hingga 10 kali sehari serta membuang air kecil yang jernih dengan banyak. Adakalanya jaundis ini berlarutan sehingga dua hingga bulan selepas kelahiran. Dalam keadaan ini, penyusuan susu ibu harus diteruskan dan tidak sepatutnya dihentikan langsung walaupun seketika walau pun bayi memerlukan rawatan fototerapi. Selagi bayi menyusu dengan baik dan paras bilirubin dipantau, ia jarang membawa kepada komplikasi yang serius.
BREASTFEEDING JAUNDICE
Breastfeeding jaundice pula merujuk kepada situasi apabila bayi tidak mendapat susu ibu yang cukup. Ia tidak berkaitan dengan breast milk jaundice. Susu ibu yang mencukupi akan meningkatkan pencernaan dan pergerakan usus bayi, secara tidak langsung ia menyingkirkan bilirubin.
Faktor yang menyebabkan breastfeeding jaundice ialah;
- Breastfeeding jaundice selalunya berlaku apabila bayi yang baru dilahirkan tidak mendapat permulaan yang baik dalam penyusuan susu ibu seperti pelekapan yang tidak betul yang menyebabkan penyusuan susu ibu tidak efisyen yang boleh menyebabkan dehidrasi. ·
- Ia juga boleh berlaku apabila bayi diberikan suplementasi selain daripada susu ibu yang dapat menghalang penyusuan susu ibu dengan baik.
Breastfeeding jaundice selalunya akan pulih sendiri apabila pelekapan diperbetulkan yang memastikan bayi dapat menyusu dengan baik dan jumlah penyusuan meningkat. Bantuan daripada Perunding Laktasi atau mereka yang mahir dalam penyusuan susu ibu adalah penting bagi memastikan bayi mendapat susu ibu secukupnya.
PENYUSUAN BOLEH ELAK JAUNDIS BAGI BAYI BARU LAHIR
Untuk memastikan kandungan bilirubin di dalam darah berada di dalam tahap yang selamat, Academy of Breastfeeding Medicine (ABM) menyarankan penyusuan susu ibu secara eksklusif digalakkan dan dimulakan seawal sejam selepas kelahiran bagi mengelakkan kelambatan proses penyusuan susu ibu yang boleh memberi risiko jaundis yang ketara.
Bayi yang baru dilahirkan tidak sepatutnya diberikan air, glukosa ataupun susu formula. Suplementasi dengan susu perahan susu ibu, susu daripada bank susu ibu atau susu formula (mengikut aturan keutamaan) perlu dihadkan kepada bayi yang mempunyai indikasi tertentu seperti mempunyai pengurangan berat badan melebihi 10% selepas dilahirkan walaupun masalah penyusuan susu ibu telah diperbetulkan, kegagalan penghasilan susu ibu atau inefficient milk transfer dalam tempoh tertentu serta terdapat tanda-tanda bayi mengalami dehidrasi yang signifikan.
ABM juga menyarankan pengurusan penyusuan susu ibu yang optimum dimulakan seawal mungkin termasuk;
- Memastikan posisi yang ideal serta pelekapan yang baik dengan bantuan anggota kesihatan yang terlatih.
- Ibu juga perlu dibantu untuk mengenali feeding cues bayi lapar seperti pergerakan mulut, tangan dimasukkan ke mulut dan bersuara.
- Bayi perlu diletakkan di payudara sebelum dia menangis. Menangis merupakan tanda lambat bayi tersebut lapar dan agak sukar untuk memulakan penyusuan susu ibu jika bayi sudah menangis.
PERAH BANTU STIMULASI PAYUDARA BILA BERJAUHAN DENGAN BAYI
Dalam keadaan tertentu seperti bayi pramatang atau bayi dan ibu terpaksa dipisahkan sejurus kelahiran, ibu boleh memanfaatkan stimulasi manual dan perahan susu secara teknik Marmet (menggunakan tangan) atau memerah menggunakan pam payudara bagi mengoptimumkan bekalan susu dan mengelakkan kelambatan proses penghasilan susu.
Ibu perlu tenang dan diberi sokongan mental dan emosi daripada suami, ahli keluarga, rakan-rakan serta pembimbing ibu menyusu bagi membantu ibu mengharungi pengalaman penyusuan susu ibu yang mencabar namun memberi impak yang besar dan manfaat kepada ibu dan bayi.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI