Ibu yang menyusukan anak, ada yang khuatir dan gusar kerana kurang pasti tentang fakta ini. Risiko tulang rapuh pada masa hadapan setelah menyusukan anak bertahun-tahun adalah antara mitos yang perlu diperbetulkan dalam masyarakat.

Ada ibu yang menyusukan anaknya sejak daripada kelahiran anak pertama, kedua dan seterusnya tanpa henti, walau pun semasa hamil tetap menyusukan secara tandem selepas bayi dilahirkan.

Lantaran sakit-sakit badan dan sendi, ramai yang mengesyaki ia adalah gejala kerapuhan tulang. Persoalannya, bolehkah tempoh penyusuan yang lama ini boleh menyebabkan ibu mengalami kerapuhan tulang?

Jadi ibu-ibu ini risau akan kesihatan diri sendiri. Menurut Rita Rahayu Omar, Pakar Laktasi & IBCLC, kehamilan dan amalan penyusuan susu ibu merupakan tempoh di mana jumlah keperluan kalsium adalah tinggi.

KALSIUM DIPERLUKAN KETIKA WANITA HAMIL DAN MENYUSUKAN ANAK

Terdapat kebimbangan jika sekiranya pengambilan kalsium di dalam diet tidak mencukupi bagi memenuhi keperluan tambahan ibu dan anak. Tahap kesihatan ibu dan anak mungkin dalam bahaya kerana bone loss daripada rangka ibu, mengurangkan pertumbuhan tulang janin dan rembesan kalsium terjejas.

Semasa hamil dan menyusukan anak, kalsium diperlukan untuk perkembangan janin dan penghasilan susu. Amaun yang diperlukan kira-kira 200mg /hari. Ia adalah jumlah yang besar jika dibandingkan dengan pengambilan kalsium harian oleh kebanyakan wanita.

Sejak sekian lama, keperluan kalsium tambahan untuk kehamilan dan penyusuan susu ibu perlu cukup selari dengan peningkatan pengambilan kalsium dalam diet. Ia merupakan cadangan di kebanyakan negara sejak dahulu dan disokong dengan data daripada kajian haiwan.

JANGAN RISAU, TUBUH MENGALAMI PROSES PENYESUAIAN FISIOLOGI

Walau bagaimanapun, terdapat pemahaman terkini tentang metabolisme kalsium dan tulang semasa kehamilan dan penyusuan susu ibu. Ia telah dibincangkan dan bukti kajian mendapati kehamilan dan penyusuan susu ibu dikategorikan sebagai proses penyesuaian fisiologi.

TIDAK PERLU AMBIL KALSIUM BERLEBIHAN

Proses ini bebas. Ia tidak memerlukan peningkatan pengambilan kalsium untuk perkembangan janin dan penghasilan susu ibu.

Terdapat data kukuh yang menunjukkan pengambilan kalsium yang kurang semasa proses penyusuan susu ibu tidak menjejaskan prestasi penyusuan dan bone loss.

Walau bagaimanapun, lebih banyak kajian diperlukan untuk menentukan sama ada pengambilan kalsium yang rendah sebelum atau semasa mengandung boleh memberi kesan merosakkan prestasi pembiakan dan penyusuan susu ibu serta tahap kesihatan jangka panjang si ibu dan anaknya.

Rujukan

1) Prentice A. 1994. Maternal calcium re-quirements during pregnancy and lactation. Am. J. Clin. Nutr. 59S:477–83

2) Prentice A. 2000. “Calcium in Pregnancy and Lactation”Annu. Rev. Nutr. 2000.20:249-272

 

 

Tinggalkan Komen