Ada satu hasil kajian mengatakan bayi yang dilahirkan oleh ibu berusia lebih bijak. Sejauh mana kebenaran hasil kajian ini?
Kajian yang pernah dijalankan oleh London School of Economics dan dilakukan di Sweden melibatkan seramai 1.5 juta wanita yang dilahirkan di antara tahun 1960 hingga 1991.
Kajian ini menunjukkan faktor umur ibu berusia berjaya menghasilkan anak yang mendapat keputusan yang baik di sekolah adalah tinggi.
Hasil kajian ini yang digunapakai dalam membuktikan perkaitan antara umur ibu dan tahap kepintaran anaknya.
Selain itu kajian juga mendapati golongan ibu berusia mempunyai anak-anak yang kurang berhenti sekolah sebelum waktu tamat persekolahan yang sepatutnya dan lebih ramai anak mereka masuk universiti.
Ini yang jadi penanda aras tahap kepintaran si anak adalah lebih baik apabila dilahirkan oleh ibu-ibu yang berusia.
Selain daripada kajian tersebut, beberapa kajian serupa pernah dilakukan di Amerika Syarikat dan Britain. Hasilnya menunjukkan perkaitan yang lebih kurang sama.
Kenapa kajian mendapati ibu berusia mempunyai kelebihan untuk melahirkan anak yang pintar?
Faktor ekonomi yang lebih stabil membuatkan ibu mampu menjaga kesihatan diri dan bayi sejak daripada usia awal kandungan lagi.
Dengan kestabilan ekonomi, ibu mampu membeli makanan berkhasiat, mengamalkan pengambilan asid folik, mengambil makanan yang tinggi DHA dengan membeli ikan-ikan berkualiti dan mahal seperti salmon dan tuna.
Ibu juga boleh teruskan amalan pemakanan berkhasiat dan berkualiti sepanjang menyusukan bayi dan selepas bercerai susu.
Biasanya ibu yang sudah berusia akan lebih matang dan mampu mengawal emosinya. Jadi bila ibu sentiasa positif, gembira dan mampu mengawal perasaan stres atau sedih maka ia akan mempengaruhi pembentukan perwatakan si anak sejak dalam kandungan lagi.
Perwatakan anak selepas kelahiran banyak dipengaruhi oleh apa yang berlaku semasa dia berada dalam kandungan ibu dan apa yang dirangsang kepadanya selepas lahir.
Kepintaran tak semestinya berasal daripada genetik sahaja. Sebenarnya dari dalam kandungan ibu boleh merangsang kepintaran anak.
Emosi ibu yang stabil dan positif akan melahirkan anak yang mempunyai emosi terkawal, lebih fokus, kurang mengamuk dan membuat ragam sekaligus jadi mudah belajar dan lebih cerdik.
Doktor Ulas Fakta Itu
Dr Nuril Azwa Hasny, Pakar Obstetrik & Ginekologi, Salam Shah Alam Specialist Hospital berpendapat walaupun penemuan kajian tersebut kelihatan menarik namun ibu-ibu perlu ambil kira beberapa risiko jika ibu lebih berusia hamil terutamanya yang berumur 40-an.
Antara risikonya seperti kelahiran bayi abnormal iaitu sindrom Down yang boleh berlaku dalam satu daripada 200 kelahiran serta pelbagai jenis penyakit yang akan mencetuskan komplikasii kehamilan dan kelahiran seperti diabetes dan tekanan darah tinggi.
Risiko kehamilan di usia 40-an sangat tinggi dan ketara. Jika ibu ada penyakit, anaknya pun turut mudah tidak sihat. Contohnya diabetes memberi risiko bayi macrosomic atau cacat.
Selain itu risiko lain termasuk air ketuban kurang, IUGR, kelahiran pramatang, eklampsia, praeklampsia dan banyak lagi.