Pisang memang makanan kegemaran si manja. Rasa pisang yang lemak manis dan tekstur yang lembut menjadikan ia buah kesukaan anak kecil. Tapi betul ke makan pisang boleh menyebabkan susu bayi tersumbat hingga tak boleh buang air kecil?

Ekoran dari kisah viral kanak-kanak makan pisang hingga tersumbat usus dan tidak boleh membuang air kecil, Dr Sakinah Sulong telah berkongsi tentang info  mengenai pisang dan perkaitannya dengan sistem penghadaman si kecil.

Rupa-rupanya ia berkait rapat dengan tahap keranuman buah pisang & kuantiti pengambilan. Berikut ialah perkongsian beliau;

Baru-baru ini, telah tular cerita seorang anak kecil telah mengalami masalah tersumbat usus hingga tak dapat kencing dikatakan akibat memakan pisang. Ia menimbulkan rasa takut ibu-ibu pada pisang.

Adakah benar pisang menyebabkan usus tersumbat?

Pisang adalah buah yang mudah didapati di negara beriklim tropika seperti Malaysia. Ianya mudah didapati dan murah harganya.

 

Selama ini, pisang memang jadi antara kegemaran saya dan anak-anak. Alhamdulillah kami semua tiada masalah.

Ia kaya dengan potassium dan kaya karbohidrat jadi sesuai dijadikan snek ringkas, lebih-lebih lagi bagi seseorang yang nak memulakan aktiviti fizikal seperti hiking atau berbasikal.

PISANG TIDAK MASAK/TIDAK RANUM MENYEBABKAN SEMBELIT

Cerita yang dikongsi ada kebenaran tapi tak semuanya tepat. Pisang tak masak yang boleh menyebabkan sembelit atau menerukkan sembelit. Bukannya pisang yang masak.

Pisang tak masak mengandungi tinggi tannin dan amylase-resistant starch menyebabkan ia sukar dicernakan.

Berlainan dengan pisang yang masak.

Kandungan tannin sudah berkurang, begitu juga amylase-resistant starch. Kandungan gulanya lebih tinggi.

Jadi ia kurang menyebabkan sembelit.

KUANTITI PISANG YANG DIAMBIL

Pisang juga boleh jadi sumber fiber yang membantu melawaskan pencernaan. Bagi setiap 120gm pisang, terdapat lebih kurang 3gm fiber. Keperluan fiber anak-anak berumur 3-5 tahun adalah 8-10gram sehari. Jadi dengan mengambil 2-3 biji pisang setiap hari sudah memadai.

Bukan untuk diambil dalam kuantiti yang banyak sekaligus!

Jadi para ibu yang risau,

Nak bagi pisang, bagi lah pisang yang masak ranum dan berilah dalam kuantiti yang sederhana. Segalanya perlu diberi secara sederhana.

Sekiranya anak mempunyai masalah sembelit, mungkin boleh juga cuba buah yang lain seperti betik dan epal hijau. Dan jangan lupa berikan air masak secukupnya.

Satu lagi, galakkan anak membuat aktiviti fizikal seperti bermain di padang untuk mengaktifkan salur pencernaannya. Elakkan bertangguh untuk ke tandas bagi mereka kerana makin lama mereka bertangguh, najis akan menjadi semakin keras.

Semoga bermanafaat dan menghilangkan salah faham pada pisang.

Pisang tak bersalah! 😋😋😋

Sumber: Dr Sakinah Sulong

Tinggalkan Komen