Betulkah Minyak Kelapa Dara Boleh Mudahkan Ibu Bersalin? Doktor O&G Jelaskan Kebenarannya

Share

Trend ibu-ibu hamil sekarang ramai yang mengamalkan pengambilan minyak kelapa dara (VCO) kerana dikatakan memudahkan proses kelahiran bayi. Semua ibu hamil berdoa supaya proses bersalin mereka mudah dan berjalan lancar. Tambah bersyukur sekiranya berpeluang melahirkan anak tanpa perlu melalui proses guntingan perineum yang akan dijahit selepas bayi berjaya keluar.

Benarkah minyak tersebut mampu membuatkan ibu bersalin tak perlu melalui proses guntingan dan jahitan? Atau adakah ia sekadar mitos oleh penjual produk tersebut untuk melariskan jualan?

Menurut Dr Siti Esah Bahari, Pakar Obstetrik & Ginekologi (O&G) KPJ Selangor, ada beberapa kelebihan yang dinikmati oleh ibu hamil yang mengamalkan penggunaan minyak kelapa dara semasa mengandung. Tetapi ia bukanlah bermakna dengan menggunakan minyak tersebut, ibu hamil dijamin seratus peratus akan bebas daripada jahitan.

1. Ia boleh membantu perubahan serviks. Oleh itu akan memudahkan dan melembutkan serviks sebelum berlaku kontraksi.

2. Bahkan masa proses bersalin ia juga mengurangkan penggunaan ubat-ubatan dan prosedur pembedahan.

3. Mengurangkan risiko koyak semasa meneran dan ibu tak perlu episiotomi sekiranya menggunakan minyak kelapa dara sebagai urutan perineum pada hujung kehamilan.

Apakah perineum?

Ia adalah kawasan di antara faraj dan dubur.

Urutan perineum menggunakan minyak kelapa dara hanya boleh diamalkan apabila usia kandungan mencecah 35 minggu ke atas sahaja.

Urutan boleh dibuat dalam keadaan berikut:

1. Di atas katil iaitu bersandar pada dinding

2. Di atas kerusi

3. Di atas mangkuk tandas

4. Di atas sofa

Cara urutan

a. Basuh tangan bersih-bersih dan pastikan kuku sentiasa pendek. Bertenang dalam kedudukan mencangkung di tempat yang selesa.

b. Sapukan minyak kelapa dara. Jangan guna minyak lain selain daripada minyak kelapa dara.

c. Urutan perlu dilakukan dalam bentuk gerakan ‘U’ berulangkali.

d. Urutan perineum hendaklah dilakukan perlahan-lahan selama 10 minit setiap hari (sekurang-kurangnya 4 kali seminggu). Selepas 1-2 minggu anda akan terasa lebih regangan.

Semoga dengan perkongsian berguna daripada doktor pakar yang berpengalaman luas menyambut kelahiran bayi, ibu-ibuu hamil dapat mengamalkan tip tersebut dan dipermudahkan proses kelahiran bayi.

Published by
Hasnita Sawal