Biar Isteri Tentukan Dia Nak Berpantang Di Mana Sebab Berpantang Perlu Keadaan Yang Selesa!

Share

Lazimnya, ibu yang habis bersalin, tubuh badan secara automatik menjadi lemah. Berlaku perubahan hormon dan pada masa sama amat mudah dijangkiti kuman. Berdasarkan cara lama, proses berpantang mengambil masa dalam lingkungan 42 hingga 100 hari. Memang lama. Jangka masa yang panjang ini dikatakan satu proses untuk seseorang wanita kembali ke bentuk asal badan.

Bagi ibu baru yang bakal berpantang tak lama lagi, anda boleh ikut tip untuk persiapan bilik berpantang yang dikongsi oleh Ayu Roses.

TIPS BILIK BERPANTANG

Kalau boleh semua ibu-ibu nak berpantang dengan selesa. Sediakan satu tempat khas untuk ibu berpantang, nanti tak adalah kejap-kejap kat ruang tamu, kejap-kejap dekat bilik. Macam Ayu berpantang sendiri, bersalin C-zer, pergerakan sangat terhad. Ayu pilih berpantang kat dalam bilik je, kat situ kita tidur dengan baby, kat situ salin baju & pampers baby. So tak payah susah-susah nak usung baju pampers anak dari bilik ke ruang tamu.

1. Rumah Siapa?

Part nie biar isteri yang buat pilihan dimana dia nak berpantang. Yelah kejap pantang kat rumah sini, kejap berpantang kat rumah tu, nanti emosi terganggu boleh buat gaduh, tak pasal-pasal meroyan tau.

2. Lantai@Tilam

Ibu dilarang sama sekali tidur diatas lantai tanpa lapik tilam atau toto yang tebal ye. Kalau boleh tidur lah di atas katil, memudahkan untuk bangun, tak kira lah bersalin normal atau czer. Socks dipakai masa pantang tujuannya elak ibu pijak lantai sebab lantai tu sejuk. Dah terkena kat batang hidung sendiri, biasanya kalau nak mandi ayu tanggal socks dengan selipar depan pintu bilik air, ade sekali tu konon-konon nak pergi mandi, bukak socks dari bilik, sambil berjalan nak ke bilik air tiba-tiba menggigil satu badan, dah kena bentan urat, 2 hari demam tak boleh bangun, pengajaran buat semua dan diri sendiri.

3. Barang Baby

Sebelum nak melahirkan make sure ibu dah setting barang baby. Letak segala barang baby seperti bedak,minyak angin,wipes,lotion,cotton buds dan sebagainya dalam satu bakul.

Siapkan juga pakaian baby yang bersih berdekatan dengan tilam/katil tempat ibu berpantang. Disebabkan bersalin C-zer susah nak tunduk-tunduk, ayu d.i.y guna meja ikea untuk tukar baju dan pampers baby, barang-barang baby semua ada kat atas meja, senang nak capai.

Jika anda memilih untuk berpantang sendiri di rumah, pastikan penglibatan suami dalam memberikan bantuan.

Suami perlu menjadi orang kuat yang membantu isteri sepanjang tempoh berpantang.

Pastikan 7 senarai semak ini memang ada dalam to do list anda.

1. Persiapan makanan

Salah satu faktor penting dalam penjagaan ibu berpantang adalah pemakanan. Ibu lepas bersalin mesti makan makanan yang berkhasiat dan tidak boleh terlepas waktu makan.

Tetapi ibu tidak boleh makan sebarangan jenis makanan. Jadi, pastikan beberapa minggu sebelum bersalin, anda sudah buat persiapan menu makanan berpantang dan bahan-bahan yang diperlukan serta cara memasaknya.

Ini bagi memudahkan suami membantu menyediakan masakan tersebut. Maklumlah pada minggu-minggu awal, ibu tidak boleh bergerak banyak.

Menu orang berpantang mudah disediakan dan ringkas sahaja. Barang basah yang sudah dibeli, simpan di dalam peti sejuk. Pastikan sudah siap dipotong dan dibersihkan untuk satu kali masak.

Pada minggu pertama, ibu digalakkan makan makanan kering bagi mempercepatkan pengecutan rahim.

Pastikan juga waktu makan tepat untuk mengelakkan perut masuk angin. Makan nasi ketika panas dalam kadar sederhana.Tetapi ibu perlu makan dengan kerap apatah lagi sedang menyusukan bayi, maka ibu cepat berasa lapar.

2. Peranan suami

Suami adalah orang yang paling rapat dengan anda. Sokongan dan bantuan suami sangat penting bagi membolehkan ibu menjalani tempoh berpantang dengan sempurna tanpa tekanan.

Berbincanglah dan terangkan kepada suami bagaimana dia boleh membantu anda semasa berpantang.

Suami mesti membantu menguruskan kerja-kerja rumah seperti membasuh, menjemur dan melipat pakaian, menjaga anak, memasak makanan berpantang isteri dan menguruskan keperluan isteri berpantang.

Oleh itu sebaiknya, suami mengambil cuti yang panjang lebih kurang seminggu atau dua minggu untuk menguruskan isteri dan anak yang baru lahir. Bantuan amat diperlukan terutama jika ibu bersalin secara pembedahan

3. Sediakan jadual berpantang

Rutin harian semasa berpantang amat penting supaya ibu dapat rehat yang cukup. Sediakan jadual rutin waktu mandi, bertungku, bertangas, berpilis, memakai bengkuk, berurut, mengepam susu (untuk stok jika anda bekerja) dan menguruskan bayi.

Dengan adanya jadual, anda akan berdisiplin mengikut rutin berpantang supaya cepat kembali cergas.

4. Hantar anak di taska

Sekiranya anda mempunyai anak, pastikan mereka juga mempunyai jadual aktiviti harian supaya mereka tidak membuat ‘perangai’ dan boleh mengganggu emosi ibu.

Jika mereka memang anda tinggalkan di taska atau pengasuh ketika bekerja, maka sepanjang berpantang anda perlu tetap menghantar mereka.

Sukar untuk anda menjalani tempoh berpantang sendirian tanpa bantuan orang lain dan dalam masa yang sama perlu menjaga anak-anak lain terutama jika mereka berusia di bawah enam tahun.

5. Mencari bidan/tukang urut

Keperluan ini sangat penting untuk memastikan rutin berpantang dapat dilaksanakan dengan lancar.

Oleh itu pastikan anda sudah membuat tempahan awal bidan atau tukang urut untuk mengurut anda semasa berpantang.

Sekarang bukan sahaja ada khidmat tukang urut, kalau ada bajet lebih anda juga boleh mengupah confinement lady yang akan membantu menguruskan penjagaan ibu dalam berpantang.

Menariknya, anda boleh pilih pelbagai pakej yang ditawarkan mengikut bajet anda.

Pakej yang ditawarkan termasuk mengurut, memakaian bengkuk, memasak makanan berpantang dan memandikan bayi. Ia lebih mudah dan banyak membantu ibu berpantang.

6. Kelengkapan ibu bersalin dan bayi

Pastikan kesemua kelengkapan untuk anda dan bayi sudah tersedia. Antara kelengkapan ibu yang mesti ada adalah stoking, baju sejuk, kain batik, bengkung, tungku, herba berpantang, pam payu dara, keperluan menyimpan susu ibu perahan, tuala wanita dan coli penyusuan.

Sementara keperluan bayi pula termasuk pakaian, lampin pakai buang, tisu basah, sarung kaki dan tangan, set tilam, minyak telon, bedung dan lain-lain yang penting.

Bagaimanapun jika kehabisan stok barangan keperluan tersebut dan tiada sesiap boleh membantu membelikan, anda boleh beli sahaja secara online. Kini ada bermacam kedai barangan ibu dan bayi yang menawarkan khidmat jualan secara online.

7. Persediaan mental, fizikal dan emosi

Anda mungkin fikir anda kuat dan boleh menguruskannya sendirian tetapi selepas melalui tempoh berpantang sendiri, ternyata ia tidak semudah yang disangka.

Oleh itu pastikan anda sudah membuat persiapan mental, fizikal dan emosi. Banyakan mencari maklumat dan info daripada pengalaman ibu-ibu lain yang pernah melaluinya.

Berpantang seorang diri memang berisiko. Anda mungkin akan bersedih dan tertekan apabila semuanya perlu dilakukan sendiri kerana biasanya ibu berpantang dilayan seperti ‘permaisuri’ oleh orang yang menjaganya.

Oleh itu pastikan anda sudah menjangkakan cabaran yang akan dilalui sepanjang tempoh berpantang terutama dalam bab menjaga bayi baru lahir.

Elakkan daripada rasa tertekan kerana jika emosi tidak stabil,anda mungkin berasa sedih atau meroyan.

Tetapi kini dengan kecanggihan teknologi internet, anda tak perlu risau kerana boleh sahaja mendapatkan maklumat dan info yang diperlukan dengan sekali klik sahaja di telefon pintar. Yang penting ada khidmat internet!

Kredit: Ayu Roses,Majalah Pa&Ma

Saksikan Pa&Ma TV dengan tajuk Anak Main Kotor-Kotoran pada hari Rabu ini di Astro Ria

Published by
NuFa