Pada usia anak 2 tahun ke atas mereka seakan mahu berdikari, seakan telah memperolehi kunci untuk membuat semua perkara sendiri. Kadang tu bila dihalang boleh mengamuk. Adakah ini perkembangan yang bagus? Jawapannya ya sebab waktu ini anak sedang meneroka dan belajar sesuatu dari persekitarannya.
Berdasarkan perkongsian Puan Aminah Hussain, ada beberapa peringkat perkembangan yang sepatutnya anak boleh buat pada usia dua tahun.
Secara fizikalnya anak sepatutnya sudah boleh berlari dan menyepak bola. Sesetengah kanak- kanak juga sudah boleh melompat, membuka seluar atau lampin pakai buang serta mulai meniru setiap perbuatan abang, kakak atau ibu bapanya. Jika diberi mainan anak mungkin akan merosakkannya dan mengoyak buku.
Iman semasa umurnya 2 tahun telah mula berhati-hati terhadap orang yang tidak dikenali dan wajah yang jarang dilihat. Dia menjadi lebih gelisah apabila dipisahkan dari Ibu. Namun jika orang yang jarang dilihat berada disampingnya selama 10 hingga 15 minit dia akan mesra dengan orang itu, tapi masih sesekali melihat Ibu atau Abahnya, takut- takut hilang dari pandangan.
Anak juga sudah mampu mengenal anggota badan dengan baik. Seperti Iman yang petah bercakap di usianya 2 tahun, mata, telinga, perut, pusat, hidung dan mulut mampu dituturkan dan ditunjuk dengan tepat dan betul. Ajar anak tanpa menggunakan slang pelat dan inshaAllah anak- anak ibu semua akan mampu bercakap dengan baik pada usia 3 tahun.
Mereka juga mula menunjukkan minat terhadap buku. Apabila diberi pen dan keras mereka mampu melukis bulatan yang kurang cantik. Kanak- kanak di usia 2 tahun juga mampu memahami arahan mudah seperti, “jom kita keluar sayang” atau soalan mudah seperti “nak makan nasi tak?”
Anak sudah mampu menghafal dan mengingat. Kemampuan mengingat anak akan meningkat pada usia 8 bulan hingga 3 tahun. Sekitar usia 2 tahun, anak dapat mengingat kembali kejadian-kejadian yang terjadi beberapa bulan sebelumnya. Mereka juga dapat memahami dan mengingat dua arahan ibu atau bapa serentak dan mampu mengulangi lagu atau zikir yang biasa didengarnya semasa hendak tidur.
Si kecil juga cepat menangkap kata-kata baru. Pada usia 2 tahun, anak mengalami perkembangan yang pesat dalam mengucapkan kata-kata. Perbendaharaan kata anak-anak pada usia ini mencapai 50 perkataan. Apatah lagi jika ibu sendiri yang menyebut perkataan- perkataan baru itu.
Begitu banyak perkara yang mampu dibuat ketika anak berusia 2 hingga 3 tahun. Siapa yang menjadi role modelnya? Tidak lain dan tidak bukan ialah ibu dan bapanya sendiri. Jadi kepada ibu bapa, kawal diri anda, jangan mengeluarkan kata- kata atau melakukan perkara- perkara yang tidak sepatutnya. Berilah makanan yang baik- baik pada anak dan ajarlah anak sendiri jika ada masa.
Sumber: Puan Aminah Hussain