Dalam jangka hayat atau kehidupan seorang kanak-kanak, ruang lingkup pergerakannya hanya di beberapa lokasi atau kawasan. Kawasan rumah, bilik tidur, ruang makan dan tandas adalah antara tempat yang kerap dikunjungi si kecil yang biasanya jarang ditemani golongan dewasa.

Secara amnya, kanak-kanak terdedah dengan kecederaan yang berlaku di sekitar kawasan kediaman mereka. Keselamatan kanak-kanak adalah sangat penting bagi mengelakkan kemalangan dan kecederaan.

KESELAMATAN DALAM RUMAH

BILIK TIDUR

Dalam tak sedar sebenarnya banyak kemalangan yang berlaku dalam bilik tidur. Risiko untuk anak terjatuh dari katil amat tinggi lebih-lebih lagi jika mereka tidur Bersama orang dewasa. Untuk mengelakkan risiko anak terjatuh dari katil yang tinggi, anda dinasihatkan supaya menggunakan ketinggian katil yang sesuai. Katil yang lebih rendah sebenarnya lebih baik.

Anda juga boleh mengasingkan tempat tidur si kecil. Letak anak anda di dalam katil bayi agar lebih selamat. Pastikan tiada mainan, kain selimut atau bantal yang terlalu banyak di atas katil bayi kerana boleh menyebabkan risiko lemas ketika tidur.

Sekiranya menggunakan wayar terbuka pastikan ia dilekat di dinding, tempat tinggi dan tidak menghalang laluan. Biarkan cahaya yang terang di bilik. Gunakan mentor yang sesuai untuk menghasilkan cahaya yang terang supaya pergerakan si kecil sentiasa dapat diawasi.

BILIK AIR

IKLAN

Lemas mudah berlaku di kalangan kanak-kanak. Mereka tidak boleh melindungi diri sendiri dengan sepenuhnya. Lemas boleh berlaku dalam kolah mandi, bekas atau baldi yang berisi air.

Pastikan pintu bilik air sentiasa dikunci. Pastikan juga kunci pintu bilik air dipasang lebih tinggi untuk memastikan agar si kecil tidak dapat membuka kunci tersebut. Lemas berlaku dengan cepat tanpa amaran dan komplikasi Hampir lemas boleh menyebabkan kerosakan otak yang kekal.

Pastikan kanak-kanak diawasi oleh orang dewasa ketika berada di dalam bilik air. Jangan tinggalkan bayi/kanak-kanak berseorangan tanpa pengawasan. Jika anda perlu menjawab telefon atau mengambil tuala, bawa bayi bersama anda.

Kosongkan bekas air atau timba jika tidak digunakan. Terbalikkan bekas air atau timba yang kosong. Tutup takungan/bekas air.

DAPUR

Untuk keselamatan di dapur pula, pastikan permukaan lantai dapur yang digunakan tidak licin dan boleh mencederakan kanak-kanak. Jika perlu pasang pagar supaya bayi tidak dapat masuk ke bahagian dapur.

Barang tajam dan merbahaya seperti pisau, gunting, alat pembuka penutup tin dan sebagainya diletakkan ditempat yang selamat dan tidak boleh dicapai oleh si kecil.

Jauhkan kanak-kanak daripada dapur yang panas, air panas dan barang-barang elektrik. Jangan biarkan kanak-kanak dalam ‘baby walker’ di kawasan dapur dan jangan mendukung anak kecil ketika memasak. Jangan membawa masakan panas ketika anak-anak berada berhampiran.

Jauhkan mancis, pemetik api dan rokok daripada kanak-kanak. Jangan biarkan anak-anak bermain dengan barangan elektrik di rumah. Jangan biarkan wayar barangan elektrik berjuntai dan simpan sterika panas di tempat yang selamat. Jangan gunakan alas meja kerana kanak-kanak kecil boleh menariknya jatuh dan menyebabkan kecederaan seperti melecur di bahagian kulit.

Melecur merupakan kecederaan biasa yang mudah di cegah. Melecur mudah berlaku akibat kecuaian. Kecederaaan akibat melecur biasanya berlaku ke atas kanak-kanak kerana sifat ingin tahu dan gerakan motor yang belum matang.

Sebab-sebab biasa melecur boleh berlaku ialah lepuhan akibat daripada air panas atau cecair masakan, objek panas seperti sterika dan dapur, Haba daripada minyak masak yang terlampau panas atau percikan api, kebakaran elektrik seperti bermain dengan plug elektrik,sambungan wayar dan soket yang terdedah, terdedah terlalu lama kepada pancaran cahaya matahari.

TERCEKIK

Tercekik antara sebab kematian yang tidak disengajakan di kalangan kanak-kanak. Saluran pernafasan dan tenggorok yang sempit menyebabkan mereka berisiko untuk tercekik. Ketika tercekik, salur pernafasan dan tenggorok yang tertutup akan menghalang oksigen ke paru-paru dan seterusnya ke otak. Ini akan menyebabkan kematian. Sebarang objek bersaiz kecil boleh menyebabkan tercekik. Ini termasuklah bahan makanan, perkakasan rumah dan alat permainan.

Untuk mengelakkan anak daripada tercekik, jangan benarkan anak anda makan ketika bermain. Anda perlu sediakan makanan dalam bentuk saiz kunyahan supaya anak mudah untuk kunyah dan telan. Selain itu pastikan juga lantai, meja dan tempat mereka bermain bebas dari objek-objek yang kecil seperti butang, guli, duit syiling, pin dan manik-manik.

Elakkan makanan yang mudah tercekik bagi kanak-kanak seperti kacang tanah, gula-gula dan bertih jagung. Elakkan memberi alat permainan yang mempunyai bahagian-bahagian yang kecil kepada kanak-kanak. Pelajari bantuan kecemasan dan langkah-langkah yang patut dilakukan jika anak anda tercekik.

Jika kanak-kanak mengalami kecederaan sila bawa ke klinik berdekatan ataupun hospital bagi tujuan untuk mendapatkan rawatan. Talian 999, panggilan kecemasan untuk mendapatkan bantuan polis dan ambulans, 994 untuk bomba manakala 991 khusus bagi mendapatkan bantuan penyelamat dan kecemasan.

SUMBER: PORTAL MYHEALTH, KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)