Biarkan Terbalut Lebih 72 Jam & Tak Dicuci Punca Luka Khatan Bernanah & Bentan! Doktor Kongsi 10 Tip Penjagaan

Share

Luka berkhatan anak lelaki, jika silap cara boleh menyebabkan bernanah dan bentan. Ikuti 10 tip penjagaan daripada Dr Kamarul Ariffin Sadan ini boleh mama papa ikuti.

Menjelang cuti sekolah, maka musim berkhatan pun bermula. Seram sejuk anak-anak lelaki bila diusik tentang pelbagai perkara berkaitan berkhatan. Mama papa juga tidak kurang berdebar, lebih-lebih lagi yang tiada pengalaman menjaga anak lelaki berkhatan.

Tanpa panduan yang jelas atau mungkin penjagaan yang salah, luka berkhatan boleh bernanah, lambat sembuh atau bentan. Ia sebenarnya perlu dicuci, luka perlu dibuka dan dipantau. Tidak terhad kepada penjagaan luka semata-mata, soal pemakanan & kesihatan si kecil juga perlu diberi perhatian.

Dr Kamarul Ariffin Sadan, Pengarah Operaasi GreatLife Physiotherapy & Rehabilitation dan bertugas di Klinik Maimunah & Rakan-Rakan telah berkongsi 10 tip penjagaan luka berkhatan yang tepat.

10 TIP PENJAGAAN LUKA BERKHATAN

Sekarang ni musim berkhatan, ramai ibu bapa mohon saya tips penjagaan selepas berkhatan agar tidak bentan atau bernanah dan luka cepat sembuh.

Jadi hari ni saya nak beri sedikit penerangan tentang penjagaan luka selepas berkhatan.

 

#1. Jangan biarkan balutan luka tidak dibuka lebih 72 jam. Ia perlu dibuka, untuk pantau komplikasi berikut:
— Jangkitan/nanah
— Bengkak/bentan
— Jahitan terbuka
— Keruping melekat pada balutan

#2. Luka berkhatan perlu dicuci 2-3 hari sekali menggunakan normal saline. Caranya:
— Bersihkan daki / darah beku sekitar luka
— Cuci luka dengan normal saline
— Periksa jika ada jahitan & tanda jangkitan
— Tutup semula luka jika tiada tanda-tanda

#3. Ada beberapa ubat yang dibekalkan oleh doktor selepas prosedur berkhatan:
— Tahan sakit: diambil bila perlu
— Antibiotik: perlu diambil ikut jadual
— Ubat cucian: lazimnya normal saline
— Elak sapu minyak/herba pada luka

#4. Anak-anak kadangkala mengadu berasa ngilu bila kepala zakar bergesel dengan pakaian(seluar/kain). Itu perkara normal kerana ia bahagian yang sensitif dan sebelum ini ia dilitupi kulit, tetapi kini terdedah. Ngilu itu akan beransur-ansur hilang.

#5. Pakai pakaian yang longgar dan selesa supaya aliran darah tidak terganggu dan dapat pengudaraan yang secukupnya. Ini membantu proses penyembuhan luka. Boleh pakai seluar, asalkan tidak terlalu ketat.

#6. Selepas berkhatan, anak-anak dibenarkan berjalan. Malah mereka tidak digalakkan hanya berbaring sahaja. Aktiviti ringan ini membantu pengaliran darah dan mengurangkan tempoh penyembuhan luka. Cuma jangan lasak sangatlah.

#7. Pastikan minum air secukupnya. Ada petua lama yang mengatakan minum air banyak selepas berkhatan menyebabkan bentan. Itu tidak benar. Air yang cukup adalah satu faktor yang penting untuk penyembuhan luka.

#8. Jaga pengambilan makanan. Perlu ambil makanan yang mengandungi protein, serat, vitamin secukupnya. Boleh makan: ayam, telur, ikan, kicap, sayur. Ia tidak akan menyebabkan kegatalan atau kehitaman pada luka berkhatan.

#9. Luka berkhatan akan sembuh dalam masa 10-14 hari. Jika ada tanda-tanda berikut, jumpa doktor:
— Sakit/bengkak melampau
— Nanah yang banyak
— Demam tinggi
— Tak boleh kencing

#10. Bergantung pada teknik khatan, mungkin perlu bawa anak berjumpa doktor untuk rawatan susulan.
— Jahitan konvensional: tak perlu dibuka
— Klamp: perlu jumpa doktor untuk dibuka
— Gam: tak perlu jumpa doktor semula

Semoga bermanfaat!

Sumber: Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan, Doktor Komuniti FB Anda

IKLAN