Sebelum bercakap dan bertanya sesuatu perkara kepada wanita hamil, anda kena sentiasa ingat yang dia sedang melalui fasa perubahan hormon, bentuk fizikal sehingga menjadikannya mudah menjadi sensitif. Ambil tahu dan elakkan soalan-soalan seperti berikut.
1. Mengandung lagi ke? Bila nak bersalin?
Anda perlu tahu bahawa tempoh kehamilan mengambil masa sehingga 40 minggu atau lebih. Sudah tentulah ia mengambil masa yang panjang sebelum tiba masa untuk bersalin.
2. Mengandung kembar ke ni?
Saiz perut ketika hamil boleh menimbulkan isu sensitif. Jika saiz perutnya kelihatan besar pada pandangan anda, jangan sesekali ditanya soalan sebegini. Dibimbangi soalan itu membuatkan wanita hamil beranggapan bahawa perutnya terlalu besar untuk memuatkan seorang bayi.
3. Nanti nak ambil epidural ke? Tahu tak saiz jarum tu?
Jangan sesekali menakut-nakutkan orang lain yang tidak pernah melalui pengalaman yang sama seperti anda. Lebih-lebih lagi jika wanita hamil itu sedang menunggu hari untuk bersalin.
Ads
4. Anak lelaki/ perempuan lagi?!
Jantina anak bukanlah sesuatu yang boleh dipilih. Ia adalah rezeki yang sudah ditentukan oleh Tuhan.
5. Kenapa awak seorang je yang panas?
Apabila usia kehamilan bertambah terutamanya di akhir trimester, kebanyakan wanita hamil akan mengalami situasi di mana akan kerap berasa panas disebabkan peningkatan jumlah darah dalam tubuh. Jadi, adalah normal bagi wanita hamil untuk sentiasa berasa panas sedangkan anda rasa di sebaliknya.
6. Berapa lama agaknya boleh kembali kurus lepas bersalin?
Wanita hamil itu belum pun selamat melahirkan anaknya, anda sudah bertanya soalan sebegini. Soalan ini tidak patut ditanya kerana ia mungkin boleh membuatkan wanita hamil itu stres dengan berat badannya.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Mungkin ramai ibu berhadapan dengan rasa stres melihat helaian rambut makin banyak gugur selepas anak mula menyembur air liur. Adakah ia saling berkait?
Rambut merupakan penyeri kecantikan wanita. Namun setelah bersalin beberapa bulan, semakin banyak rambut melekat pada sikat apabila rutin menyikat rambut. Mengikut mitos orang lama, ia disebabkan terkena air liur bayi, hakikatnya sebenarnya tiada kaitan langsung!
Jururawat, Puan Bel Nawhen berkongsi mengenai persoalan rambut di kalangan wanita semasa hamil & selepas bersalin yang mungkin berlegar dalam masyarakat. Paling parah sekali ialah tidak membasuh rambut selepas bersalin sehingga 40 hari!
SOAL JAWAB TENTANG RAMBUT SEWAKTU HAMIL DAN SELEPAS BERSALIN
Pada waktu kehamilan ataupun melahirkan akan ada muncul beberapa pertanyaan berkaitan rambut.
Seperti kita tahu, rambut merupakan mahkota kecantikan bagi seorang wanita. Makanya, jika terdapat sedikit masalah berkaitan rambut, adatlah kan kalau kita mencari jalan penyelesaiannya.
Soalan 1 Boleh tak saya mengubah gaya rambut atau mewarnakannya semasa hamil?
Jawapan
Seeloknya elakkan dari melakukan perkara demikian kerana dikhuatiri bahan kimia dari pewarna atau ubatan pengubah gaya rambut itu akan meresap ke dalam pori-pori dan kulit kepala ibu-ibu hamil.
Soalan 2 Benarkah selama kita hamil, ibu hamil tidak boleh potong rambut kerana bimbang bayi akan cacat?
Jawapan
Tidak ada kaitan antara potong rambut dengan bayi yang dikandung. Ia adalah mitos. Ibu hamil boleh sahaja kalau mahu potong rambut. Baru nampak segar dan kemas kan.
Soalan 3 Boleh atau tidak ibu-ibu baru melahirkan dari mencuci rambut. Benarkah ada larangan dari melakukan perkara demikian selama 40 hari?
Jawapan
Ia tidak benar. Sebenarnya, seeloknya ibu yang dalam berpantang terus menjaga kesihatan rambut. Sebenarnya larangan itu adalah bagi ibu-ibu yang mengalami komplikasi selepas melahirkan contohnya mudah pitam kerana dikhuatiri akan jatuh pengsan di dalam tandas. Cuba bayangkan kalau tak dibasuh selama 40 hari? Bau peluh yang terperangkap tu silap-silap akan buat kita pengsan.
Soalan 4 Boleh tak kita mandi selepas bersalin. Tak masuk angin ke dalam badan? Bila waktu yang sesuai untuk mandi?
Jawapan
Selepas melahirkan, kebiasannya badan kita akan cepat melekit dan berbau. Yelah, dah kita guna tenaga kan semasa meneran dan mengeluarkan baby. Memang berpeluhlah semasa meneran tu.
Dengan mandi, badan kita akan berasa segar. Logiknya, badan yang melekit tu akan merimaskan kita kan. Jika tak dibersihkan sisa-sisa peluh atau ketuban bimbang pula kuman mudah menjangkiti kita. Mandi sahaja dengan air suam.
Jika ada larangan bahawa jangan mandi kerap-kerap semasa berpantang, ikutkan sahaja, tetapi sekurang-kurang mandilah sekali sehari dan basuhlah rambut selang 2/3 hari sekali. Saya sendiri mandi dan membasuh rambut saya kerana mahukan keselesaan dan kesegaran. Kemudian, keringkan rambut dengan sempurna.
Soalan 5 Benarkah air liur yang disembur oleh bayi akan menyebabkan rambut banyak gugur selepas bersalin?
Jawapan
Rambut gugur selepas bersalin adalah normal. Ini disebabkan oleh penurunan hormon estrogen (yang mana semasa hamil ia telah meningkat dan menyebabkan rambut akan tumbuh dengan banyak). Jadi air liur bayi bukan penyebab kepada keguguran rambut.
Mitos mengatakan bahawa dengan mandi/membasuh rambut selepas melahirkan akan menjemput angin meroyan adalah salah.
Meroyan bukanlah disebabkan oleh angin yang datang dan duduk di dalam badan. Tetapi lebih kepada masalah perubahan hormon; masalah peribadi seperti kurang pengalaman dalam menangani bayi bagi ibu yang kali pertama melahirkan selain kurang sokongan emosi dari suami dan keluarga dalam menjaga bayi.
Musim cuti sekolah inilah masa yang sesuai untuk anak-anak berkhatan. Sebagai ibu bapa amat penting untuk mengetahui tip penjagaan luka selepas berkhatan agar tidak bentan atau bernanah dan luka cepat sembuh.
Berkhatan, Doktor Kongsi Tip Jaga Luka
Selari dengan perubahan zaman, kanak-kanak kini tidak lagi dapat membayangkan kelibat Tok Mudim dengan pisaunya. Hanya doktor dengan peralatan khas untuk berkhatan. Teknik berkhatan yang digunakan kini juga ada beberapa kaedah iaitu biasa, laser dan clamp.
Ramai ibu bapa yang memilih untuk menggunakan teknik clamp kerana cara penjagaannya yang lebih mudah dan tempoh penyembuhan juga lebih cepat. Ibu bapa perlu memastikan anak-anak mereka bersedia secara mental untuk menghadapi prosedur berkhatan.
Supaya Tak Bentan, Bernanah & Cepat Sembuh
Berikut dikongsikan tip tentang penjagaan luka selepas berkhatan.
1. Jangan biarkan balutan luka tidak dibuka lebih 72 jam. Ia perlu dibuka, untuk pantau komplikasi berikut:
*Jangkitan/nanah
*Bengkak/bentan
*Jahitan terbuka
*Keruping melekat pada balutan
2. Luka berkhatan perlu dicuci 2-3 hari sekali menggunakan normal saline. Caranya:
*Bersihkan daki / darah beku sekitar luka
*Cuci luka dengan normal saline
*Periksa jika ada jahitan & tanda jangkitan
*Tutup semula luka jika tiada tanda-tanda
3. Ada beberapa ubat yang dibekalkan oleh doktor selepas prosedur berkhatan:
*Tahan sakit: diambil bila perlu
*Antibiotik: perlu diambil ikut jadual
*Ubat cucian: lazimnya normal saline
*Elak sapu minyak/herba pada luka
4. Anak-anak kadangkala mengadu berasa ngilu bila kepala zakar bergesel dengan pakaian(seluar/kain). Itu perkara normal kerana ia bahagian yang sensitif dan sebelum ini ia dilitupi kulit, tetapi kini terdedah. Ngilu itu akan beransur-ansur hilang.
5. Pakai pakaian yang longgar dan selesa supaya aliran darah tidak terganggu dan dapat pengudaraan yang secukupnya. Ini membantu proses penyembuhan luka. Boleh pakai seluar, asalkan tidak terlalu ketat.
6. Selepas berkhatan, anak-anak dibenarkan berjalan. Malah mereka tidak digalakkan hanya berbaring sahaja. Aktiviti ringan ini membantu pengaliran darah dan mengurangkan tempoh penyembuhan luka. Cuma jangan lasak sangatlah.
7. Pastikan minum air secukupnya. Ada petua lama yang mengatakan minum air banyak selepas berkhatan menyebabkan bentan. Itu tidak benar. Air yang cukup adalah satu faktor yang penting untuk penyembuhan luka.
8. Jaga pengambilan makanan. Perlu ambil makanan yang mengandungi protein, serat, vitamin secukupnya. Boleh makan: ayam, telur, ikan, kicap, sayur. Ia tidak akan menyebabkan kegatalan atau kehitaman pada luka berkhatan.
9. Luka berkhatan akan sembuh dalam masa 10-14 hari. Jika ada tanda-tanda berikut, jumpa doktor:
*Sakit/bengkak melampau
*Nanah yang banyak
*Demam tinggi
*Tak boleh kencing
10. Bergantung pada teknik khatan, mungkin perlu bawa anak berjumpa doktor untuk rawatan susulan.
*Jahitan konvensional: tak perlu dibuka
*Klamp: perlu jumpa doktor untuk dibuka
*Gam: tak perlu jumpa doktor semula
Semoga tip ini dapat membantu ibu bapa memudahkan urusan menjaga anak-anak selepas melalui proses berkhatan.
Siapa yang perah mengandung dan dapat penyakit gatal-gatal di perut. Gatal sangat sampai tak boleh nak tidur malam dibuatya. Tahu tak sebenarya itu adalah satu penyakit yang bernama PEP (Polymorphic Eruption Of Pregnancy). Jom ketahui dengan lebih lanjut mengenai penyakit ini melalui perkongsian dari Dr Aween Liana.
Melalui perkongsian doktor Aween di aplikasi Twitter, nama penyakit ini dahulu sebenarnya (PUPPP) Pruritic Urticarial Papules and Plaques of Pregnancy. Penyakit ini sebenarnya sangat biasa dalam kalangan ibu mengandung. 1 dari 160 ibu mengandung berpotensi untuk menghidap penyakit ini dan PUPPP kebiasaannya terjadi kepada ibu yang mengandung buat kali pertama. Ada kajian menunjukkan risiko lebih tinggi utk ibu yg bertambah berat bdn secara berlebihan dan kalau mengandung lebih dari satu (twins/triplets).
Selain itu, PUPPP akan terjadi dalam 3rd trimester, maksudnya bila perut mula membesar dari bulan mengandung ke 7 hingga 9. Dikatakan ada kaitan dengan ketegangan kulit perut yg membesar (skin stretch) dgn perubahan hormone sewaktu mengandung.
BAGAIMANA UNTUK KENALPASTI?
Senang sahaja untuk kenalpasti. Ia akan bermula dengan biji-biji gatal selalunya di kawasan strech marks perut dan ia akan merebak dan merebak ke dada dan kaki. Apa yang menariknya, selalunya di pusat perut ibu mengandung tidak akan terkena.
Menurutnya lagi, bentuknya pula boleh bermacam-macam, boleh jadi gegata, biji-biji kecil dan biji-biji besar. Kadang-kadang tu bentuk macam eczema. Oleh sebab itu namanya kini adalah “Polymorphic…” disebabkan maksudnya pelbagai rupa dan bentuk.
Ibu-ibu jangan risau PUPPP akan hilang dengan sendiri dalam 4-6 minggu selepas bersalin. Namun, ada pesakit yang sangat gatal sehingga memerlukan pertolongan.
BAGAIMANA UNTUK MERAWAT??
Perlu ingat, penyakit ini tidak berbahaya. Tidak akan berjangkit kepada anak sama sekali. Dan selalunya tidak berulang dengan kandungan seterusnya, melainkan jika mengandung twins/triplets.
Peringatan:
Bagi ibu-ibu yang sedang mengandung jika ada penyakit ini, saranan dari doktor pakar perunding kulit ini adalah untuk minta “Mr Jannah” atau Encik suami pakaikan pelembab dan ubat.
Bantuan Awal Persekolahan, "Peluasan BAP kepada pelajar tingkatan enam pertama kali dilaksanakan..." Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 diperluaskan kepada pelajar Tingkatan Enam bermula pada sesi persekolahan 2025/2026.