Mahu jadikan ia sebagai kejutan, pelakon Julia Ziegler mengakui tidak melakukan pemeriksaan jantina anak yang dikandung walaupun kini sudah hamil lapan bulan.
Mungkin bagi sesetengah pasangan lain teruja nak ketahui jantina anak, tapi baginya dan suami biarlah rahsia.
Menurut Julia di instagramnya, dia mahu jantina bayinya itu menjadi kejutan ketika melahirkan anaknya itu nanti.
“Ramai yang bertanya kepada saya, bayi lelaki atau perempuan? Jawapannya, saya tidak tahu, kerana saya mahu menjadikan sebagai kejutan. Lelaki atau perempuan, Alhamdulillah, tak kisah asalkan sihat sempurna dan selamat semuanya,” katanya.
Dia juga menjelaskan ramai yang bertanya bila dijangka melahirkan Julia Johan Junior?
Jika ikut pengiraan doktor dan tiada sebarang masalah lain, insya-Allah Januari tahun depan.
“Apa pun, saya ucapkan terima kasih pada semua yang mendoakan. Amin,” tulisnya.
Ads
Rata-rata mendoakan agar Julia selamat bersalin dan berharap agar dia serta bayinya diberi kesihatan yang baik.
“Lelaki ok, perempuan pun ok… Yang penting dua-dua sihat masa bersalin nanti,” tulis noorsalasiahhamzah.
“Ya, yang penting semuanya selamat dan semoga dipermudahkan Julia Ziegler,” tulis neeja.s.m.a.r.a11.
Ads
Bagaimanapun, ada juga yang cuba meneka jantina anak yang dikandung Julia.
“Ianya lelaki. Sebab tengok mommy tak gemuk. Apa-apa pun tahniah. Moga dipermudahkan, amin,” tulis my_matahari.
“Macam perempuan, InsyAllah. Tak kisah apa pun, janji mummy dan bayi selamat. Amin,” tulis natashanordean.
Ads
Sebelum ini, Julia juga ada berkongsi berat badannya nak 10 kilogram kerana selera makannya bertambah.
Julia atau nama penuhnya, Julia Bob Fauzi Ziegler berkahwin dengan jurutera mekanikal dikenali sebagai Johan pada 1 Januari 2017.
Menurut laporan BH sebelum ini, Julia akui cepat letih sepanjang tempoh trimester pertama.
“Badan saya macam tiada tenaga… Asyik makan dan tidur saja. Manalah berat badan tak naik.
“Cuma ketika ini, saya lebih bertenaga dan aktif. Saya biasakan diri membuat kerja rumah termasuk memasak,” katanya.
Sumber: ig Julia Ziegler
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bagi seorang wanita mengandung, pemakanan adalah antara aspek penting yang perlu diberikan perhatian. Jom ketahui makanan yang dilarang untuk ibu hamil 1 bulan.
Makanan yang dilarang untuk ibu hamil 1 bulan
Apabila bergelar wanita mengandung, pastinya anda sudah biasa mendengar tentang pantang larang dalam aspek pemakanan.
Tapi mengapa?
Umumnya, terdapat beberapa makanan yang dilarang untuk ibu hamil 1 bulan kerana ia mungkin berisiko untuk membuat anda sakit atau membahayakan bayi dalam kandungan.
Jadi adalah penting untuk anda mengetahui fakta tentang makanan yang perlu dihindari sepanjang tempoh kehamilan ini.
Sudah tentu makanan terbaik untuk dimakan oleh wanita mengandung adalah makanan yang baru dimasak atau baru disediakan.
Jom ketahui apakah makanan yang harus anda hindari sepanjang kehamilan ini.
9 jenis makanan yang dilarang untuk ibu hamil 1 bulan
Terdapat beberapa makanan yang harus dielakkan wanita mengandung semasa peringkat awal kehamilan.
Berikut adalah antara 9 jenis daripadanya:
1. Keju lembut
Keju lembut adalah keju yang diperbuat daripada susu yang tidak dipastur dan mengandungi bakteria yang boleh menyebabkan keracunan makanan.
Oleh itu, lebih baik mengelakkan keju lembut semasa awal kehamilan.
2. Makanan dibungkus dan diproses
Makanan yang dibungkus dan diproses seperti jus, makanan sedia untuk dipanaskan dengan gelombang mikro, kek, biskut atau susu pekat adalah antara contoh yang perlu dielakkan.
Ini kerana ia mengandungi bahan pengawet dan tidak mempunyai kalori.
Beberapa makanan dibungkus juga boleh mengandungi bakteria yang boleh menyebabkan keracunan makanan.
Sebagai gantinya, ambillah makanan yang dimasak sendiri terutamanya yang dibuat menggunakan bahan semula jadi atau organik.
3. Makanan laut
Makanan laut mengandungi kadar merkuri tinggi, yang boleh menyebabkan kerosakan otak janin dan kelewatan dalam perkembangannya.
Walaupun ikan mengandungi protein dan asid lemak omega-3 penting yang disyorkan semasa kehamilan, tapi anda harus memilih ikan dengan kadar merkuri yang rendah.
Elakkan ikan todak dan kerang mentah serta hadkan pengambilan tuna, salmon, ikan tenggiri, sardin dan ikan trout.
Jangan makan makanan laut mentah seperti tiram mentah, sashimi dan sushi kerana mempunyai risiko pencemaran listeria yang lebih tinggi.
Pencemaran listeria adalah pencemaran bakteria Lesteria monocytogenes pada makanan.
Jika jangkitan berlaku pada wanita mengandung, ia boleh mengakibatkan masalah seperti:
Kecacatan kelahiran
Keguguran
Kematian bayi
Kelahiran pramatang
Jangkitan lain yang mengancam nyawa bayi baru lahir
4. Betik
Antara makanan yang dilarang untuk ibu hamil 1 bulan adalah betik yang tidak masak dan separuh masak.
Ini kerana ia mengandungi getah yang boleh mencetuskan kontraksi pada rahim dan menyebabkan kelahiran pramatang atau keguguran.
Sebaliknya, betik yang masak sepenuhnya baik untuk diambil kerana mengandungi nutrien dan boleh makan dalam jumlah sederhana.
5. Susu tidak dipastur
Jika anda mahu minum susu, sebaiknya pilihlah susu yang dipastur atau UHT (ultra-heat treated).
Sekiranya ia merupakan susu mentah, masak ia sehingga mendidih terlebih dahulu.
Susu mentah mungkin mengandungi Campylobacter, E. coli, Listeria, atau Salmonella, yang menyebabkan keracunan makanan.
Disebabkan anda sedang berbadan dua, ia meningkatkan kecenderungan untuk jatuh sakit kerana kehamilan akan menjejaskan sistem ketahanan badan.
6. Makanan mentah atau separuh masak
Telur atau daging yang mentah atau separuh masak berisiko untuk dicemari bakteria seperti Salmonella dan Listeria yang berbahaya untuk perkembangan anak dalam kandungan.
Jika anda memakan daging babi, elakkan daripada daging yang kurang dimasak. Ini kerana ia mengandungi sista cacing gelang yang boleh menyebabkan masalah serius pada kesihatan bayi.
7. Kafein
Kafein harus dihadkan pengambilannya pada awal kehamilan kerana jika diambil secara berlebihan boleh menyebabkan tidak cukup tidur, mudah marah dan gugup.
Tahap kafein yang tinggi dapat meningkatkan risiko keguguran, berat badan lahir rendah dan mengalami proses kelahiran yang sukar.
Kafein secara semula jadi terdapat dalam banyak makanan, seperti kopi, teh dan coklat. Bahan itu juga ditambahkan pada beberapa minuman ringan dan minuman tenaga.
Minuman tenaga tidak digalakkan diambil kerana mungkin mengandungi kafein yang tinggi dan bahan-bahan lain yang tidak digalakkan untuk wanita mengandung.
8. Minuman beralkohol
Alkohol adalah pilihan minuman yang sangat tidak sihat bagi janin yang sedang berkembang kerana boleh menyebabkan kecacatan kelahiran kronik.
Tidak ada tahap alkohol yang selamat untuk diminum semasa kehamilan anda.
Sama ada anda sedang merancang kehamilan, sudah hamil atau menyusukan badan, elakkan pengambilan minuman beralkohol adalah pilihan paling selamat.
9. Makanan bergula
Seorang wanita hamil memerlukan 300 kalori tambahan setiap hari untuk menyokong pertumbuhan bayi.
Walau bagaimanapun, pengambilan terlalu banyak makanan bergula boleh menyebabkan kenaikan berat badan dan diabetes kehamilan.
Tip penjagaan wanita mengandung
Anda sudah mengetahui antara 9 jenis makanan yang dilarang untuk ibu hamil 1 bulan.
Walaupun begitu, mungkin bagi sesetengah wanita menganggap ia sesuatu yang leceh dan sukar dilakukan.
Umumnya, pada bulan pertama kehamilan, beberapa perubahan berlaku di dalam badan anda. Perubahan hormon boleh menyebabkan emosi terjejas, keletihan dan mabuk pagi.
Mengamalkan pemakanan yang sihat, makan secara kerap dalam jumlah kecil, menjaga kesihatan diri dan melakukan senaman ringan bagi mengelakkan tekanan boleh membantu mengekalkan tahap kesihatan anda dan bayi.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Wanita hamil memang akan ada perangai pelik yang mesti difahami oleh para suami untuk mengelakkan berlaku salah faham dan melabel isterinya mengada-ngada. Sebenarnya ia terjadi sendiri dan di luar kawalan wanita mengandung. Bayangkan, makanan yang disukai ketika mengandung jadi tak suka. Bau suami pun mula buat jadi loya.
Suami mana yang tak gembira dan bersyukur bila isteri tersayang disahkan sudah mengandung. Namun para suami terutama yang pertama kali bakal bergelar ayah perlu bersedia mental dan emosi untuk berhadapan dengan bermacam perangai ‘pelik’ si isteri.
Suami jangan cepat marah isteri kalau perangainya agak pelik dan ‘mengada-ngada’ daripada biasa. Itu lumrah isteri yang hamil. Pa&Ma senaraikan beberapa perkara pelik yang berlaku bila seseorang wanita itu mengandung:
1. Tak boleh masuk dapur
Entah kenapa bila sahaja ‘mabuk’ mengandung menyerang, dapur seperti menjadi kawasan larangan. Bukan semua masalah ini melanda ibu hamil tapi bagi yang mengalaminya, dapur seolah-olah kawasan yang sangat busuk dan memualkan.
Jadi, diharap suami dapat memahami dan tidak mendesak isteri atau menuduh orang rumah mengada-ngada. Biasanya perangai pelik ini akan berakhir dengan sendirinya apabila ‘mabuk’ mengandung hilang selepas tiga bulan kehamilan.
2. Malas mandi
Ini bukan main-main dan saja-saja tapi rasa malas itu datang tidak semena-mena. Entah kenapa badan terasa sakit bila terkena air paip. Bau bilik mandi juga menambahkan lagi rasa malas hendak mandi. Tapi suami jangan risau, biasanya selepas berakhir alahan, isteri akan kembali normal.
3. Benci dengar bunyi telefon
Di awal kehamilan, ada ibu hamil yang benci mendengar bunyi telefon. Rasa seperti mengganggu ketenteraman dan makin membuatkan rasa pening kepala.
4. Tak suka bau wangi
Kalau dulu pantang bau busuk, pewangi memang satu kewajipan. Tetapi bila awal mengandung, bau wangi seperti musuh ketat. Memang ibu akan tutup hidup ketat-ketat!
5. Bawa tisu ke mana-mana
Mungkin tak ramai yang mengalaminya tetapi bagi yang melaluinya ia adalah pengalaman perit sepanjang hamil. Bayangkan sepanjang sembilan bulan mengandung, tisu adalah peneman setia mesti ada dalam beg tangan. Kegunaan tisu adalah untuk membuang air liur/ludah yang sentiasa bertakung di mulut.
Perubahan hormon dalam badan membuatkan ada ibu hamil yang mengalami pengeluaran air ludah terlalu banyak dan perlu dibuang setiap masa.
6. Pantang bau masakan
Bau jiran sebelah rumah menumis bawang dan cili sudah cukup membuatkan ibu hamil termuntah-muntah. Ia bukan mengada-ngada tetapi tindakan tersebut berlaku secara spontan.
7. Tak suka makanan kegemaran
Entah kenapa sebaik sahaja disahkan hamil, tekak rasa loya dan tak lalu hendak menjamah makanan kegemaran. Jika dulu, pantang sebut, mesti tak sabar hendak makan. Tetapi bila awal hamil, makanan kegemaran menjadi makanan tidak digemari.
8. Tak boleh bau suami
Ini paling sukar difahami. Tetapi ia berlaku kepada sesetengah orang. Tiba-tiba bau badan suami menjadi bau yang kurang enak dan boleh membuatkan mual dan hendak muntah. Jika isteri anda berperangai sebegini, banyakkan bersabar!
9. Tak boleh minum air masak
Di awal kehamilan, ramai bakal ibu yang tidak boleh minum air masak. Tekak yang payau semakin menjadi-jadi apabila terpaksa minum air masak. Lebih teruk, ada yang sampai muntah-muntah jika dipaksa minum juga.
10.Tak suka masuk rumah/bilik sendiri
Pelik tapi benar. Perasan tidak suka itu bukan dibuat-buat tetapi secara tiba-tiba rumah atau bilik tidur sendiri seperti menjadi kawasan paling tidak digemari.
Mujurlah perangai pelik isteri hamil ini biasanya berakhir sebaik usia kandungan masuk empat bulan. Kalau tidak jenuh juga suami hendak berhadapan dengan perangai pelik isteri sepanjang sembilan bulan. Suami kenalah banyak bersabar, kadang-kadang perangai pelik ni isteri pun tak minta. Tahu-tahu jadi pelik, hormon ketika hamil ni mengubah macam-macam pada isteri. Ia tak lama, maka bertabahlah!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Ibu hamil biasanya kurang peka dengan diet sihat yang perlu diikuti sepanjang tempoh mengandung. Kebanyakan ibu akan makan mengikut nafsu. Akibatnya berat badan akan naik mendadak dan berpotensi untuk menghidap diabetes.
Pegawai Dietetik dari SALAM Shah Alam Specialist Hospital, LAILA FADHILAH BINTI OMAR, berkongsi maklumat tentang isu kenaikan berat badan mendadak saat ketika hamil.
BERAPA BANYAK SEPATUTNYA BERAT NAIK?
Bagi memudahkan anda untuk memahami formula kenaikan berat badan ketika hamil, lihat info ini. Secara ringkas berat badan ibu hamil harus naik sebanyak:
Bagi wanita yang mempunyai BMI normal sebelum mengandung, jumlah peningkatan ketika trimester pertama adalah 5.2kg. Jumlah peningkatan yang baik setiap minggu adalah 0.40kg.
MANAKALA ibu yang hamil anak kembar pula perlu mendapatkan jumlah kenaikan berat badan antara 15kg – 20kg sepanjang tempoh mengandung iaitu lebih kurang 0.68kg seminggu.
Sebenarnya kenaikan berat badan semasa hamil berbeza mengikut BMI seorang wanita sebelum hamil. Namun secara keseluruhanya (bagi wanita BMI normal) adalah 11.5kg – 16kg.
KENAPA BERAT BADAN BOLEH NAIK?
Pertambahan berat badan yang naik mendadak adalah berpunca dari pengambilan makanan yang tinggi lemak, berminyak, gula, dan berkalori tinggi tanpa kawalan. Ada pendapat yang mengatakan faktor genetik menjadi penyebab kenaikan berat badan ibu hamil, namun tiada hasil kajian yang menyokongnya.
Semasa pemeriksaan bulanan dilakukan ke atas ibu hamil, doktor akan menyarankan ibu untuk minum air gula jika didapati beratnya naik terlalu banyak. Fungsi air gula adalah untuk mengetahui sama ada ibu mengandung itu menghidap gestatinal diabetic mellitus (kencing manis ketika hamil) atau tidak.
Jika penyakit ini dapat dikesan dari awal, pemantauan kesihatan akan dibuat dengan lebih ketat dan si ibu akan diberikan diet seimbang yang harus dia ikuti.
RISIKO BERAT BADAN NAIK MENDADAK
Jika tidak diberi perhatian, ibu hamil mungkin menghidap kencing manis dan darah tinggi tanpa sedar. Si ibu akan berisiko untuk melahirkan melalui pembedahan atau bayi dalam kandungan bersaiz besar. Jika bayi terlebih berat, dia juga berkemungkinan menghidap hypoglycaemia (kurang glukosa dalam darah).
JAGA PEMAKANAN
Bagi mengelak berat badan naik secara mendadak adalah dengan mengurangkan pengambilan makanan yang tinggi lemak, berminyak, banyak gula dan tinggi kandungan kalori.
Selain itu, si ibu perlu belajar untuk mengawal jumlah makanan yang diambil. Susunan waktu makan yang teratur juga boleh membantu untuk mengelakkan kenaikan berat badan yang mendadak.
Apakah Pecahan Berat Badan Ketika Hamil? Adakah Semuanya Berat Ibu Dan Anak?
Tidak. Pecahan berat badan ini adalah pada bayi (3.55kg), uri (0.67kg), air ketuban (0.896kg), payudara (0.448kg), darah (1.34kg), cecair (3.2kg) dan pengembangan rahim (1.12kg).
Tiada diet yang terperinci ketika sedang mengandung, si ibu hanya perlu mengamalkan gaya hidup sihat dengan memastikan setiap pemakanan yang diambil seimbang dengan porsi yang sederhana.
Pengambilan susu tidak menyumbang kepada peningkatan berat badan. Berat badan boleh naik jika anda minum susu bersama makanan yang tidak sihat. Jadi janganlah risau untuk minum susu ketika hamil kerana khuatir pertambahan berat badan.