Biarlah Tengok Anak Menangis Kena Cucuk, Daripada Kita Menyesal Tengok Anak Sakit

Share

Siapa yang sanggup melihat anak menanggung kesakitan. Demi kasih sayang dan untuk melihat si kecil sihat, ibu seboleh-bolehnya mahukan jaminan dan berusaha dengan memberikan suntikan vaksin sebagai langkah perlindungan.

Faezah Elai yang muncul dalam rancangan TV Pa&Ma Episod 8: Imunisasi Elak Penyakit Berjangkit memberitahu dia  tak fikir panjang untuk vaksinkan anak kerana tahu kepentingannya.

Ibu kepada dua cahaya mata comel, Dealova Heyrinna, 6 tahun dan Aurora Heyrinna, 4 tahun kecewa dengan sikap ibu bapa yang enggan memberikan vaksin kepada anak.

BUAT RESEARCH APA YANG PENTING

Faezah mengambil vaksin untuk setiap anaknya. Selain itu, dia sendiri membuat pembacaan & research sendiri tentang jenis vaksin dan fungsi setiap satunya.

“Semasa membuat pemeriksaan anak-anak, saya tak lepas peluang bertanya dengan doktor. Saya akan tanya vaksin ini untuk apa, kalau tak ambil apa yang terjadi.

“Saya akan tanya dan memang selalunya saya akan banyak bertanya. Doktor pun kadang-kadang tak lalu nak layan (sambil tergelak). Ini untuk apa, yang ini pula untuk apa. Pada saya, sebagai ibu saya perlu diketahui.

“Sebab daripada dulu lagi dah ada vaksin ni. Daripada zaman 80-an dulu lagi. Mungkin vaksin dulu tidak sebanyak sekarang. Saya seorang yang sangat prihatin tentang kesihatan. Kerana masa saya kecil saya kerap sakit juga. Maka saya tidak mahu ia terjadi kepada anak-anak,” ujarnya yang mahukan terbaik bagi penjagaan kesihatan anaknya.

AMBIL VAKSIN PNEUMOCOCCAL

Sebagai ibu, Faezah tidak berfikir panjang demi kebaikan anak-anak. Tekad untuk memastikan kesihatan mereka pada tahap optimum, ibu jelita ini mengambil kesemua vaksin iaitu yang wajib dan tambahan termasuk vaksin pneumococcal.

Anak-anak Faezah, Dealova Heyrinna (kiri) dan Aurora Heyrinna.

ANAK PERNAH DISERANG PNEUMONIA

“Vaksin pneumococcal memang bukan wajib tapi bagi saya di zaman sekarang ini vaksin pneumococcal sangat penting. Ini kerana saya pernah hadapi di mana Aurora pernah kena pneumonia,” kata Faezah.

Ketika itu, aktres ini agak hairan kerana bagaimana anaknya terkena pneumonia sedangkan vaksin pneumococcal sudah diambil. “Oleh kerana saya berasa pelik saya bertanya kepada doktor dan beliau sudah menerangkan apabila suntikan diambil, tidak semestinya anak tidak akan dihinggapi penyakit berkenaan. Namun sekiranya terkena, infeksi yang dialami tidaklah seteruk yang tidak mengambil vaksin.

BIARLAH SAKIT MASA SUNTIK, ASALKAN TIDAK SAKIT TERUK AKIBAT JANGKITAN

Faezah berkongsi yang anak-anaknya tidak menangis setiap kali disuntik vaksin asalkan perhatian mereka dialihkan.  Namun sakit disuntik tidak sebanding dengan sakit apabila jatuh sakit sekiranya tidak disuntik vaksin.

“Mungkin ada ibu bapa yang beranggapan ia menyakitkan anak. Sebenarnya yang lebih menyakitkan ialah apabila kita melihat anak-anak sakit akibat jangkitan virus yang boleh dicegah,” kata anak kelahiran Pulau Pinang ini.

PERLINDUNGAN TIDAK MENYELURUH JIKA ADA YANG TIDAK DIVAKSINKAN

Mempunyai anak dalam peringkat prasekolah, apa yang merisaukan Faezah ialah adanya kanak-kanak yang tidak divaksin. “Apa yang paling kita kasihan ialah ibu bapa yang sudah memvaksinkan anak tetapi tetap akan terkesan apabila ada kanak-kanak yang tidak divaksinkan. Tetap ada kesan walau pun sedikit.

“Saya faham vaksin ini agak mahal. Bagi saya ambil yang penting. Sebab itu saya kata parents kena buat research, kaji apa yang anak perlukan. Kita mungkin nak lindungi anak tapi tak boleh nak ambil semua. Ambil yang dirasakan perlu. Ibu bapa jangan selfish. Bila anak sakit, fikirkanlah masa depan mereka,” ujar isteri kepada pengarah tersohor Heykal Hanifah ini.

Bagi anda yang ingin mengetahui lanjut mengenai vaksin dan apa kata doktor mengenai vaksin dan bagaimana ia bertindak melindungi tubuh si kecil boleh menonton Pa&Ma pada Sabtu, 24 Ogos 2019, jam 11 pagi di Astro Proma & Astro Prima HD bersama pengacara Mawar Rashid & Raf Yaakob. Jangan lupa tau!

Foto: Instagram Faezah Elai

Published by
Azma ML