Apabila dilanda demam, ada segelintir ibu menyusu mengambil keputusan untuk tidak menyusukan bayi sedangkan tindakan itu salah! Perbetulkan ia dan terus susukan bayi demi kesihatannya juga.
Sebagai manusia, kita kadang kala diserang demam apabila suhu badan meningkat melebihi 37.5 °C. Ramai yang keliru dan risau apabila demam kerana bimbang ia membawa kemudaratan kepada bayi jika dia terus disusukan. Ketahuilah, ramai pakar perubatan menegaskan penyusuan susu ibu harus diteruskan walaupun anda demam!
Apabila demam biasa dan hanya mengalami selesema, sakit tekak dan batuk, anda sangat digalakkan untuk terus menyusukan bayi kerana ia tidak memberi kesan kepada anak yang disusukan itu. Doktor berpendapat bahawa menyekat penyusuan susu ibu sewaktu diri mengalami demam biasa boleh menyebabkan bayi mudah jatuh sakit dan demam kerana dia tidak mendapat perlindungan daripada susu ibu.
Jadi, apa lagi! Terus susukan anak anda kerana susu ibu memberikan perlindungan kepadanya daripada kuman-kuman yang telah mengakibatkan anda demam. Hal ini kerana susu ibu kaya dengan nutrien dan antibodi melawan kuman.
Ketahui juga bahawa apabila anda demam, terdapat reaksi imunologi iaitu pembentukan antibodi yang dipercepatkan dengan suhu tinggi yang dialami. Dengannya, antibodi dapat disalurkan menerusi susu ibu. Antara reaksi imunologi yang berlaku ialah:
- Meningkatkan pergerakan leukocytes.
- Menggalakkan sel darah putih memusnahkan kuman.
- Mengurangkan kesan toksin.
- Memperbanyakkan sel-sel antibodi (T-cells).
Jaga kebersihan diri
Dalam pada itu, anda sangat digalakkan untuk menjaga kebersihan diri bagi mengelakkan bayi dijangkiti. Antara amalan yang boleh dilakukan ialah mencuci tangan sekerap mungkin dan mengelakkan batuk atau bersin secara langsung ke muka bayi.
Sementara itu, semasa mendapatkan rawatan, anda perlu memberitahu doktor bahawa sedang menyusukan anak. Hal ini penting supaya doktor berkenaan dapat membekalkan ubat-ubat yang selamat untuk penyusuan.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Penyusuan Anak Melebihi 2 Tahun Tidak Salah, Yang Penting Ibu Kena Kental Hadapi Orang Sekeliling!
Penyusuan anak melebihi 2 tahun tidak salah untuk dilaksanalan. Yang penting ibu kena kental hadapi orang sekeliling! Tapi kena ingat ini bukan penyusuan eksklusif.
Tahniah, anda sudah menyusukan anak selama dua tahun seperti yang digalakkan di dalam Islam! Kini, makin ramai ibu mengambil keputusan meneruskan amalan penyusuan susu ibu tetapi terpaksa menempuh cabaran yang datang daripada orang sekeliling.
Menurut IBCLC, Siti Nur Suraya Mohamed Ali pelbagai persoalan timbul apabila ada ibu yang mahu meneruskan amalan penyusuan susu ibu setelah anaknya mencecah usia dua tahun. Seharusnya hal sebegini tidak berlaku. Sebaliknya, mama kena yakini dan percaya bahawa proses menghentikan penyusuan susu ibu perlu dilakukan secara semula jadi dan tanpa paksaan.
JANGAN CERAI SUSU SECARA PAKSA!
Jangan lakukannya secara mengejut seperti meletakkan sesuatu pada payu dara ibu sebagai suatu usaha untuk merangsang si manja berhenti daripada berterusan menyusu susu ibu. Proses bercerai susu seperti ini boleh menggugat emosi anak, malah pada ibu itu sendiri. Beringatlah, adalah fitrah untuk anak berpisah susu dengan ibunya apabila tiba masanya.
Bagi anda yang nekad mahu meneruskan penyusuan susu ibu, berikut adalah soalan-soalan yang mungkin ditanya orang sekeliling. Turut disenaraikan ialah idea untuk anda respons kepad persoalan orang ramai dengan memberikan jawapan yang berhemah.
#1 HAH, MASIH MENYUSU LAGI?
Reaksi: Terima cemuhan dengan baik. Walaupun soalan bernada terkejut, ubah ia sebagai pujian. Jawab soalan tersebut dengan berkata, “Alhamdulillah, anak saya masih mahukan susu ibu. Ia memberikan perlindungan imunisasi dan zat yang optimum. Selain itu, ia membantu saya mencegah diri daripada barah payu dara dan serviks.”
#2 ANAK TAK GIGIT KE? GIGI DIA KAN DAH BANYAK
Reaksi: Terangkan dengan lemah lembut bahawa sepanjang penyusuan, gigi bayi tidak akan terkena pada payu dara. Lekapan yang baik akan memberikan keselesaan dan ketenangan. Menerusinya, susu ibu akan mengalir dengan baik. Malah, penyusuan susu ibu dapat membantu bayi memperoleh gigi yang cantik. Hal ini berikutan daripada aktiviti menghisap susu daripada payu dara membantu pembentukan gigi yang akan tumbuh.
#3 ANAK TAK MAKAN KE?
Reaksi: Penyusuan susu ibu secara eksklusif ialah untuk tempoh enam bulan pertama sahaja. Selepas usianya genap 180 hari, bayi akan mula mengambil makanan pejal. Apabila memasuki fasa ini, susu ibu hanya sebagai pelengkap dan bukan lagi makanan utamanya. Bertenanglah ketika berhadapan dengan persoalan seperti ini. Ini kerana kadang kala soalan ini ditujukan oleh golongan yang tidak pernah mempunyai anak ataupun belum berkeluarga. Niatkan dalam hati bahawa jawapan yang anda berikan ini sebagai pengenalan awal kepada yang individu yang bertanya. Jadi, dia akan mempunyai maklumat asas tentang penyusuan susu ibu sebelum dia mempunyai bayi nanti.
#4 BILA NAK BERHENTI MENYUSU?
Reaksi: Anda boleh beritahu kepada yang bertanya bahawa doktor anda meminta anda melanjutkan penyusuan susu ini lantaran terdapat banyak kebaikan dan zat di dalam susu ibu. Sambil tersenyum beritahu bahawa anda sekeluarga gembira dengan proses ini dan ia langsung tidak mengganggu aktiviti seharian anda.
#5 DIA KAN DAH BESAR. PERLU MENYUSU LAGI KE?
Reaksi: Penyusuan susu ibu memberi ketenangan setiap kali anak anda sedih. Manakala anda pula berbesar hati membekalkan susu yang terbaik untuk perkembangan usianya. Tidak lama lagi anak anda akan menjejakkan kaki ke alam pra sekolah dan proses bercerai susu akan berlaku secara perlahan-lahan. Apa yang paling penting, fahami bahawa amalan melanjutkan tempoh penyusuan susu ibu menyediakan suatu ruang yang cukup selesa untuk anak bertenang dan belajar berdikari.
Yakinlah, anak yang cukup pengisian emosinya semasa dua tahun pertama lebih tenang dan mudah dikawal.
TIP KEKALKAN PENGHASILAN SUSU IBU
Minum air
Pastikan anda mengambil air minuman atau apa-apa sahaja jenis cecair lebih daripada tiga liter sehari.
Grooming
Ketika menyusukan anak, belailah dia. Langkah sebegini bagus kerana tanpa disedari anda sebenarnya sedang merangsang tubuh untuk menghasilkan lebih banyak susu ibu.
Pam lebih lama
Bagi anda yang masih lagi mengepam payu dara untuk menghasilkan stok susu ibu untuk kegunaan anak yang berusia lebih dua tahun, jangan hadkan masa mengepam. Ambillah masa antara 15 – 20 minit untuk setiap belah payu dara. Yang penting, pastikan payu dara benar-benar kosong.
Urutan payu dara
Urutan di bahagian payu dara sememangnya baik untuk merangsang pengaliran susu ibu dengan lancar. Paling kurang, anda boleh mengurut payu dara sendiri dengan menuamnya menggunakan tuala yang telah direndam di dalam air suam terlebih dahulu. Kemudian urut secara lembut dan perlahan-lahan.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Lenguhnya Nak Pegang Bila Bayi Suka Melompat. Mama Papa Jangan Mengeluh Sebab Ia Perkembangan Yang Baik
Lenguh tangan dan penat memegang bayi bila dia mula melompat-lompat? Ya hampir semua ibu bapa akan menghadapi fasa ini. Tapi kalau tahu faedahnya, mama papa tidak akan mengeluh.
Perkembangan fizikal bayi memang sangat pesat dan pantas. Tidak sekadar itu, kebolehannya dari segi psikologi, fizikal, kognitif, pertuturan sangat pesat!
Mama dan papa mungkin akan keletihan untuk memegang bayi pada fasa ini. Bila diletakkan dalam kedudukan berdiri pasti ia akan terus melompat-lompat! Malah jika didukung, kakinya mula menunjal perut atau dada anda. Jika anda tahu faedahnya melompat ini kepada bayi, tentu anda tidak akan mengeluh lagi!
Keadaan ini selalunya berlaku lebih kurang pada usia bayi 6 hingga 9 bulan. Lazimnya bayi akan mula melompat apabila dipegang secara berdiri.
Melompat adalah sebahagian proses yang untuk menguatkan otot kaki dan paha sebagai persediaannya untuk merangkak dan berjalan. Ia juga menguatkan bahagian belakang bayi.
5 PERKARA MAMA PAPA PERLU TAHU BILA BAYI MELOMPAT
Apabila bayi mula melompat, dia sebenarnya sedang melatih dirinya untuk berjalan dalam satu jangka masa yang panjang.
Aktiviti melompat ini ialah peringkat awal bayi kepada fasa perkembangan seterusnya iaitu berjalan.
#1 PEGANG BAYI & PERMUKAAN KERAS
Pada sekitar usia enam bulan, bayi akan mula melompat apabila berada dalam keadaan berdiri. Jadi, pastikan mama dan papa bantunya dengan memegang pada bahagian ketiaknya dan biarkan dia dia berpijak pada permukaan yang keras dan rata untuk aktiviti ini.
#2 PERSEKITARAN YANG MENYOKONG
Bayi ialah peniru yang baik. Dia suka memerhati dan meniru apa yang dilihat di sekelilingnya. Jadi apabila bayi dalam fasa melompat ini, dedahkan mereka kepada persekitaran yang memperlihatkan kanak-kanak dan bayi lain yang sudah berdiri dan berjalan. Ini sebagai galakan untuknya meniru perbuatan kanak-kanak lain iaitu berdiri dengan sendiri.
#3 PENTING UNTUK MENGUATKAN KAKI
Aktiviti ini bertindak sebagai latihan untuk menguatkan kaki bayi.
#4 BERI GALAKAN & PUJIAN
Pada sekitar usia sembilan bulan, kebanyakan bayi sudah boleh berdiri sendiri. Jika dia menunjukkan perkembangan ini, mama dan papa boleh boleh turut serta dalam aktiviti si kecil sebagai galakan.
Berikan pujian kalau dia boleh berdiri sendiri walau pun terjatuh. Galakkan dia terus mencuba. Anda juga boleh cuba untuk memegang mainan dari atas dan biarkan bayi cuba mencapai mainan tersebut dalam keadaan berdiri.
#5 TIKAR YANG LEMBUT
Sediakan tikar permainan yang lembut supaya bayi tidak sakit apabila terjatuh semasa cuba untuk berdiri.
#6 BELAJAR MENGIMBANGI BADAN
Ia melatih otot dan tulang kakinya, belajar mengimbang badan dan berdiri. Lama kelamaan, bayi akan belajar untuk berdiri lebih tegap dan lama seterusnya mampu berpegang pada perabot.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Jangan Paksa Anak Berjalan Sebab Anak Orang Lain Seusia Dah Boleh Berjalan, Sabarlah.
Pertama kali bergelar ibu dan bapa, sudah tentu wujud perasaan teruja dengan tahap perkembangan bayi. Antara proses yang paling ditunggu-tunggu adalah menyaksikan anak mula berjalan, kan?
Bila anak mula berjalan?
Apabila si manja sudah boleh mencapai sesuatu pastinya ia antara usaha untuk anak mula berdiri. Selepas si kecil sudah boleh berdiri dengan sendirinya, ia merupakan 1 tahap perkembangan yang paling dinantikan kebanyakan ibu bapa.
Sebelum anak mula berjalan, dia perlu mempunyai koordinasi dan kekuatan pada bahagian otot. Proses ini akan bertambah baik apabila dia mula belajar untuk duduk, meniarap dan merangkak.
Selepas anak mempunyai koordinasi dan kekuatan otot, mereka akan mula menarik sesuatu untuk membantu diri bangun atau berdiri. Kebiasaannya anak mula berdiri sambil memegang sesuatu sekitar usia 6 hingga 10 bulan.
Bermula daripada proses berdiri itu, si kecil akan mula menambahkan keyakinan serta keseimbangan dirinya. Rata-rata bayi akan mula membuat langkah pertamanya apabila menjelang usia setahun.
Pada usia 1 tahun 3 bulan, kebanyakan anak mula berjalan tanpa sebarang bantuan.
Namun, jika anak anda mungkin memerlukan masa lebih lama daripada itu, usah bimbang. Ia adalah 1 keadaan normal. Ini kerana ramai bayi yang tidak boleh berjalan tanpa bantuan sehingga berusia 1 tahun 5 bulan hingga 1 tahun 6 bulan.
Dikatakan bayi yang lebih banyak mengesot akan lebih lambat berjalan berbanding bayi yang merangkak.
Tahap perkembangan sihat
Umumnya, ibu bapa akan bimbang apabila bayi lain yang seusia dengan anak mereka sudah boleh berjalan sedangkan si manja mereka masih merangkak lagi.
Pastinya soalan yang biasa timbul adalah sama ada anak mempunyai masalah kesihatan yang serius?
Anak mula berjalan adalah 1 langkah penting dalam tahap perkembangan fizikal si kecil. Semestinya bayi yang semakin membesar tidak akan duduk diam dan berbaring di dalam buaian atau di atas katil semata-mata.
Mereka juga pastinya berasa rimas jika didukung sepanjang masa. Ini kerana mereka akan mula untuk mencuba bangun dan berdiri, bertatih, berjalan tanpa bantuan, berlari dan melompat dengan rasa penuh keyakinan diri.
Haaa…mesti ibu bapa tidak sabar menanti saat-saat itu, bukan?
Dalam keterujaan itu, diharapkan para ibu bapa sekalian dapat bersabar, ya? Jangan pula dipaksa si kecil berjalan sedangkan mereka belum bersedia lagi.
Berikut DIkongsikan tahap perkembangan anak mula berjalan.
Lahir hingga usia 2 bulan
Selepas dilahirkan, si kecil akan mempunyai refleks untuk menendang apa sahaja permukaan yang disentuh kaki mereka. Ia bukanlah bermakna mereka cuba menggunakan kaki untuk berjalan tetapi ia cuma tindakan refleks sahaja dan akan hilang selepas 2 bulan.
Sebagai contoh, jika anda memegang si kecil dalam keadaan menegak di atas paha sambil menyokong kepalanya, pastinya anda berasakan seperti mereka cuba menggunakan kaki, bukan?
5 hingga 10 bulan
Ketika mencecah usia 5 bulan, jika anda memegang si kecil dan kakinya menyentuh paha anda, mereka akan terenjut-enjut turun dan naik.
Ia adalah 1 aktiviti kegemarannya untuk beberapa bulan akan datang.
Sepanjang tempoh ini, otot kaki bayi anda akan berkembang ketika mereka belajar meniarap, duduk dan merangkak.
Menjelang usia antara 8 hingga 10 bulan, si kecil mula ‘memaksa’ dirinya untuk berdiri sambil berpaut atau berpegang pada perabot atau sebarang objek yang boleh menyokong dirinya.
Setelah beberapa minggu si kecil membiasakan diri dengan kemahiran ini, mereka akan mula bergerak secara tegak dengan berpaut pada objek.
Ada kalanya, apabila berasa yakin, mereka mungkin akan melepaskan pegangan tersebut dan berdiri tanpa sokongan.
Bilakah anak mula berjalan?
Apabila si kecil mula melepaskan sebarang pegangan, anda boleh mencuba untuk membantunya berjalan dengan memegang tangannya.
Pasti anak anda akan cuba untuk memulakan langkah untuk berjalan.
9 bulan hingga setahun
Ketika berusia 9 hingga 10 bulan, si kecil akan mula belajar untuk membengkokkan lututnya dan mengetahui cara untuk duduk selepas berdiri.
Haaa… Ini bukan 1 perkara yang mudah untuk bayi, okay?
Kebiasaannya, pada usia 11 bulan, anak anda mungkin sudah mempunyai kemahiran untuk berdiri sendiri, membongkok dan mencangkung.
Dia akan mula berjalan sambil memegang tangan anda.
Namun percayalah, dalam tempoh beberapa minggu, si kecil boleh melakukannya tanpa sebarang bantuan!
Walau bagaimanapun, ada sesetengah bayi masih berjalan berpaut untuk mendapatkan sokongan, jangan risau, ia adalah normal.
Ada juga bayi yang tidak berjalan sehingga mereka berusia 17 atau 18 bulan.
anak-mula-berjalan-ketahui-tahap-perkembangan
Biarkan anak mula berjalan secara semula jadi
Memang rasa teruja untuk melihat si kecil berjalan tetapi sebaiknya, biarkan ia berlaku secara semula jadi.
Jangan anda memaksa mereka untuk berjalan semata-mata kerana melihat bayi lain seusia mereka sudah boleh berjalan.
Tahap perkembangan setiap bayi adalah berbeza, jadi bersabar ya wahai ibu bapa sekalian.
Biarkan si kecil untuk melalui proses meniarap, merangkak, berpaut sebelum mula bergerak dan berjalan bebas tanpa bantuan.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI