Tak dinafikan minuman manis dan berperisa menjadi kegemaran anak-anak. Jika tak diajar dari awal memang susah nak membiasakannya.
Jika diikutkan air putih sangat penting untuk kanak-kanak, bukan saja membuatkan otot berfungsi dengan cekap, tetapi juga membantu otak secara optimum. Namun, memang sukar mendidik anak minum air, tambahan lagi air kosong. Kalau minum pun, sikit sangat, macam tak luak pun.
Bilakah Masa yang Sesuai Didik Anak Minum Air?
Pakar pediatrik sedunia bersetuju masa yang paling sesuai mendidik anak minum air adalah ketika berusia 1 hingga 3 tahun. Pada usia ini, kanak-kanak digalakkan minum air sebanyak lima setengah cawan setiap hari, termasuk air minuman campuran seperti jus dan susu, selain air daripada makanan.
Persatuan Pediatrik Amerika (AAP) menasihati ibu bapa mengehadkan pengambilan jus dan susu berperisa antara 4oz (120ml) hingga 6oz (180ml) sehari. Sebaliknya, menyarankan mengambil 100 peratus jus asli berbanding minuman ringan dan soda.
Jika memilih mengambil susu berperisa pula, ibu bapa boleh memilih susu rendah lemak dan gula. Selain air, susu juga pililhan terbaik buat anak-anak, tetapi pengambilan minuman itu perlu dihadkan kepada 16oz (470ml) hingga 24oz (700ml) sehari. Ini kerana sumber dan jenis air perlu dipelbagaikan bergantung keperluan aktiviti fizikal kanak-kanak.
Bagaimanakah Menarik Minat Kanak-Kanak Minum Air?
- Perkenalkan Elemen Menyeronokan
Hidangkan air dalam botol dan gelas berwarna. Jadikan bekas air dengan watak kartun kegemaran anak adalah idea yang baik. Jika kanak-kanak kecil suka bermain masak-masak dengan perkakasan mainan seperti periuk, kuali atau sudu, gunakan permainan itu untuk mengisi sedikit air dan berikan mereka minum. Namun, perlu diingat ya, ibu bapa perlu berhati-hati tentang perkakasan mainan yang digunakan. Lebih selamat jika bebas Bisphenol A (BPA).
- Letak Bekas Air Berhampiran Bayi
Pastikan bekas air mudah dicapai anak-anak. Mereka biasanya kerap terlupa tentang dahaga apabila sibuk bermain. Jadi, pastikan bekas air sentiasa berada bersama mereka.
- Perkenalkan Alternatif Sihat yang Lain
Ibu bapa boleh cuba beri anak-anak minuman lain yang menyihatkan. Misalnya minuman ais kosong untuk menyejukkan badan atau yogurt untuk membantu sistem pencernaan.
Tetapi Ingat, Jangan Amalkan Perkara Ini!
- Jangan Guna Bekas untuk Jus
Penggunaan bekas air membantu kanak-kanak beralih dari botol ke cawan. Tetapi penggunaan berlebihan boleh membawa kepada masalah gigi. Elakkan beri jus atau minuman manis dalam bekas minuman, terutama sebelum tidur. Biasakan hidang air kosong.
- Jangan Beri Minuman Berkafein
Elakkan teh, kopi dan sebarang minuman yang mengandungi kafein. Semua minuman kafein tidak sesuai untuk kanak-kanak. Begitu juga minuman tenaga yang mengandungi jumlah gula yang tinggi.
Sumber: MomJunction.com
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI