Ibu mana tak luluh hati bila anak yang dihantar dalam keadaan ceria, kini pulang tak bernyawa. Bayi lelaki berusia enam bulan ditemui meninggal dunia dengan muka dilitupi selimut di rumah pengasuhnya di Merlimau, Jasin. Kehilangan ini bukan sahaja meruntun jiwa keluarga, tetapi membuka mata kita semua tentang betapa pentingnya keselamatan anak kecil di bawah jagaan.
Memetik laporan Harian Metro, Kejadian 11.30 pagi (9 Disember 2024) disedari pengasuh wanita berusia 27 tahun apabila mendapati bayi berkenaan dalam keadaan terlentang dengan selimut menutupi mukanya.
Bapanya, Nazrul Nizam Mohd Tahar, 29, berkata, dia dihubungi isterinya, Ainol Izzah Raslan, 25, pada 11.40 pagi sambil menangis teresak-esak yang memaklumkan kejadian.
Katanya, pengasuh wanita terbabit menghubungi isterinya memaklumkan keadaan anak tunggal mereka yang tidak sedarkan diri.
“Ibu saya yang lebih dekat dengan rumah pengasuh tiba beberapa minit kemudian dan melihat bibir anak sudah biru, serentak itu pengasuh mendakwa muka anak saya tertutup dengan selimut ketika dia sedang sibuk melakukan tugas lain di rumah berkenaan.
“Ibu saya kemudian membawa anak ke Klinik Kesihatan Merlimau sebelum dirujuk ke Hospital Melaka dan doktor memaklumkan anak saya sudah tiada,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Melaka, petang tadi.
Nazrul Nizam berkata, beliau tidak menyalahkan pengasuh berkenaan kerana sebelum ini wanita itu sudah menjaga anaknya dengan baik sejak empat bulan lalu tanpa sebarang kejadian tidak diingini.
“Saya kenal pengasuh itu pun melalui media sosial dan dia sendiri pun mengaku ada pengalaman menjaga bayi sebelum ini tapi ternyata Allah lebih menyayangi anak saya,” katanya.
Ketika ini, jenazah bayi berkenaan masih menunggu untuk proses bedah siasat, dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Merlimau, esok.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
Sumber: Harian Metro
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI