Bihun Tomyam Piawww, Kuah Pekat Menyelerakan. Rupanya Tambahkan Bahan Rahsia Ni Je!

Share

Kadang-kadang, ada juga rasa muak dan tak berselera nak makan nasi. Tekak teringinkan sesuatu yang masam, pedas dan panas-panas.Selain sup, salah satu resipi kegemaran rakyat Malaysia adalah tomyam. selain boleh dimakan dengan nasi dibuat lauk, ia juga boleh dinikmati dengan pelbagai jenis mi.

Seperti yang dikongsikan oleh Afy AL Habibi, resipi bihun tomyam ini pekat dan sedap dibuat hirup. Untuk membuatnya juga tidak sukar, tapi ada bahan rahsia yang menjadikannya kesedapan luar biasa.

Ikuti perkongsiannya ini.

Resepi Bihun Tomyam Piawww

Peminat tomyam ramai tak?
Selepas dapat buat resepi tomyam ala Siam yang pekat sedap ni, cikgu tak tukar lain dah. Masa taip ni pun telan air liur banyak kali. Ahaa sedap sangatttt. Kegemaran suami juga. Dia hirup kuah sampai berpeluh-peluh dahi. Habis licin semangkuk.

Tengok gambar pun terliur kan. Aha.
Macam biasa, resepi cikgu ada tambah satu dua bahan untuk memberi kesedapan yang luar biasa.

Silakan resepi istimewa cikgu.

1. Sediakan bahan-bahan di bawah:

– 3 helai daun limau purut
– 4 tangkai cili padi
– 1 biji bawang besar Holland
– 4 ulas bawang putih
– 1 keratan batang daun ketumbar
– 3 hiris nipis lengkuas
– i inci halia (diketuk)
– 2 batang serai dihiris pendek (diketuk hujungnya)
– 1 biji tomato

2. Panaskan satu sudu besar minyak. Masukkan terlebih dahulu bawang putih. Selepas naik bau, barulah masukkan semua bahan di atas tadi kecuali tomato.

Tomato ditumbuk sehingga hancur. Barulah masukkan sekali.
*Rahsia memekatkan kuah*

3. Sediakan pes seperti dalam gambar. Cikgu campur sekali perencah asam pedas. Selain warna tomyam cantik, rasanya juga sedap.

– 1 pek asam pedas Adabi
– 1 pek tomyam Adabi
– 1 sudu besar Thai Tom-Yum

Resipi Lain: [Belanja Anak Minum Petang Dengan Apam Milo 4 Bahan, Mudah Sangat!]

4. Masukkan kesemua pes tadi. Kacau dan biarkan seketika.

5. Kemudian, masukkan terlebih dahulu ayam yang telah dipotong. Tutup periuk seketika.

6. Biarkan ayam separuh masak.
Seterusnya masukkan 3 gelas air.
Terus masukkan sayur pilihan. Cikgu suka kobis bunga je.

7. Rahsia seterusnya, masukkan satu senduk sos cili Life untuk kelainan rasa.
Sebelum tu tambahkan perahan asam limau nipis sebiji. Tak suka masam, kurangkan.

8. Untuk perasakan tomyam secukup rasa, cikgu masukkan garam dan gula.

Siapa tak suka rasa manis dalam tomyam tak payah letak ye.

9. Selepas kuah mendidih, masukkan sotong.
2 minit sebelum tutup api, barulah masukkan udang dan fishball.

10. Untuk menaikkan rasa tomyam seperti makan kat kedai Siam, taburkan setangkai daun ketumbar.

11. Boleh juga masukkan lagi sekali daun limau purut dan cili padi untuk mendapatkan warna yang cantik.

12. Sedia dihidangkan bersama bihun yang telah dicelur.

Resipi Lain: [Anak Pencinta Tegar Ayam Goreng, Resipi Ayam Rangup Ala KFC Ni Terbaik, Mudah Sangat!]

Makan Tomyam, Elak Kanser?

Menurut sebuah artikel di portal Mingguan Wanita, “Beruntung siapa yang rajin makan tom yam. Sebab bahan-bahan yang terkandung dalam masakan tom yam ini didapati mempunyai banyak khasiat antaranya boleh menghalang pertumbuhan tumor dan pertumbuhan kanser. Namun, ada cara makan yang betul untuk dapatkan tom yam yang benar-benar berkhasiat.”

Ini dinyatakan oleh Dr Suri Roowi, Saintis merangkap Timbalan Pengarah Program Perekaan Makanan dari Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dalam temubualnya bersama radio IKIMfm.

Dr Suri Roowi memfokuskan kajian mengenai makanan yang kaya dengan antioksidan. Yang mana usahanya ini untuk memberi kesedaran kepada orang ramai tentang kebaikan makanan yang kaya antioksidan.

“Ada satu kajian yang dibuat di Universiti Kasetsart, Thailand dan Universiti Kyoto, Jepun tentang tom yam mendapati bahan-bahan dalam tom yam boleh menghalang pertumbuhan tumor dan kanser berbanding makanan lain.

Tambah beliau lagi, “Siapa rajin makan tom yam sebenarnya dia lebih rendah risiko alami kanser usus besar. Syaratnya bahan-bahan tom yam yang digunakan mestilah menggunakan sumber-sumber asli seperti daun limau purut, serai dan sebagainya. Dan semasa nak memasak, kenalah kurang kurangkan penggunaan MSG.”

Antara Bahan Masakan Dalam Tom Yam Yang Anti Kanser:

Daun Ketumbar
Menurut Dr Suri, antara bahan-bahan dalam tom yam sangat memberi peranan dalam aktiviti anti kanser adalah daun ketumbar. Yang mana, daun ketumbar ini sangat bagus kerana ada sifat antioksidan. Tumbuhan ini bagus untuk orang yang mengalami masalah diabetes (kencing manis) terutama untuk mengawal gula dalam darah. Daun ketumbar juga bermanfaat untuk mereka yang ada masalah saraf.

Serai
Dari kajian menunjukkan bahan citral dalam serai ini bertindak sebagai anti kanser terutama kanser usus besar, kanser ovari dan kanser payu dara.

Kajian ke atas serai ini banyak melibatkan sel. Yang mana semasa kajian dibuat, saintis akan tanam sel dalam satu bekas dan menggoncangkan bekas tersebut. Kemudian, dikaji dengan memasukkan satu minyak dalam sel. Dan hasilnya kelihatan sel-sel kanser itu mati.

Daun Limau Purut
Dalam masakan tom yam juga terdapat daun limau purut. Daun ini kaya antioksidan. Kajian terkini menunjukkan bahawa daun limau purut boleh bertindak sebagai anti kanser. Yang mana, kajian itu telah dilakukan ke atas tikus.

Temu Kunci
Bagi sesetengah pengguna, selain penggunaan lengkuas, mereka juga memasukkan temu kunci dalam masakan tom yam. Ini banyak dilakukan oleh masyarakat Vietnam. Sebenarnya temu kunci ini ada banyak manfaat kesihatan iaitu anti kanser dalam kanser pankreas. Yang mana, khasiat ini banyak ditemui dalam rizom temu kunci.

Published by
Emy H