Bila Amalina Disebelah, Airmata Ibu Lumpuh Mengalir Sendiri. Hanya Menumpang Kasih Kakak

Share

Kasihnya ibu membawa ke syurga. Tiada yang lebih menyentuh hati daripada melihat penderitaan si ibu selepas melahirkan zuriat ke dunia.

Nyawa jadi taruhan apabila seorang ibu lumpuh selepas selamat melahirkan anak perempuannya empat bulan lalu. Tidak sempat untuk mendakap dan mencium bayi yang dikandung, si ibu kini hanya terlantar.

Akibat komplikasi ketika bersalin, Norazlina Hasan, 42, di kaku terbaring di atas katil dan bergantung sepenuhnya kepada sumber makanan yang berupa susu khas yang dimasukkan melalui tiub untuk meneruskan hidup.

SI KECIL BELUM RASA SUSU IBU

Si kecil anak ketujuh, Nor Amalina Eliya Ibrahim yang kini berusia empat bulan merupakan anak ke tujuh Norazlina belum lagi merasa susu ibunya sendiri.

Apa yang paling meruntun hati dan menyentuh perasaan, air mata ibu ini menitis apabila Amalina diletakkan dalam pangkuannya. Meskipun badannya dalam keadaan kaku tak bergerak dan tanpa suara,  Norazlina seolah-olah amat rindu untuk memeluk dan membelai anak yang dilahirkan dari rahimnya sendiri

Situasi ini boleh menghiris hati sesiapa sahaja yang dilihat. Apatah lagi apabila Amalina kini hanya mampu menumpang kasih sayang dari kakak. Sentuhan seorang kakak menggantikan kehangatan kasih ibu.

KAKAK SANGGUP BERHENTI KERJA AMBIL TUGAS IBU

Kakak sulungnya, Nur Fatin Shahira, 22 yang sanggup melepaskan jawatan sebagai kerani di Petaling Jaya, Selangor semata-mata untuk menjaga dan mencurah khidmat buat ibu dan adik yang baru dilahirkan .

Kini tanggungjawab menjaga adik digalas Nur Fatin. Katanya dari hari pertama hingga ke saat ini adiknya dilahirkan, tidak pernah walau setitik susu ibu dirasai adik.”Adik dibesarkan dengan susu formula kerana ibu tidak sedarkan diri ketika melahirkan adik,” kata kakak penyayang ini.

JANTUNG BERHENTI, PARUT BEDAH BERDARAH KEMBALI

Selain itu, gadis ini turut menceritakan detik-detik kelahiran Amanlina di mana nyawa ibunya berada di hujung tanduk. Jantung berhenti berdegup dan parut bersalin berdarah semula.

“Jantung ibu terhenti seketika ketika dibius semasa pembedahan melahirkan adik. Parut lama pembedahan melahirkan anak tujuh tahun lalu di perut ibu juga berdarah kembali ketika saat getir itu.

“Kami bersyukur adik dan ibu dapat diselamatkan tetapi berat sungguh ujian Allah, ibu kami jadi lumpuh seluruh tubuh akibat komplikasi ketika bersalin itu,” katanya.

AWAL KEHAMILAN ALAMI STROK & KENCING MANIS

Nur Fatin berkata, ibunya pernah diserang strok dan menghidap kencing manis ketika awal kehamilan adik bongsunya itu. Namun ia tidak mengganggu proses kehamilan Norazlina.

“Ketika itu ibu tak tahu dia mengandung, disebabkan ada darah beku di kepala, ibu menjalani imbasan dan masa rawatan strok itulah doktor dapat kesan ibu mengandung.

“Serangan strok itu tidak menjejaskan kandungan dan ibu boleh mengandung sehingga cukup bulan.

“Tetapi ibu sakit nak bersalin awal seminggu dari jangkaan. Selepas dibawa ke hospital berlakunya komplikasi dan dibedah dua hari kemudiannya,” katanya.

Nur Fatin mengambil alih menguruskan ibu dan adik bongsunya itu kerana ayahnya, Ibrahim Ab Tashid, perlu keluar bekerja sebagai pemandu lori untuk menampung perbelanjaan keluarga termasuk kos perbelanjaan lampin pakai buang dan susu khas isterinya serta sewa rumah.

Bagi anda yang ingin memberikan sumbangan buat keluarga ini boleh menyalurkan ke dalam akaun Maybank Nur Fatin Shahira 164165039410

Sumber: Sinar Harian & Harian Metro

Published by
Azma ML