Muzik terhasil daripada bunyi yang wujud di sekeliling kita. Kepelbagaian bunyi dari kicauan burung, gelombang ombak hinggalah ke bunyi bising dari kenderaan di jalan raya, jika diatur dan disusun dengan cara tertentu, ia boleh mewujudkan alunan bunyi yang tertentu.

Ia merupakan antara salah satu perkara penting dalam kehidupan kita. Ia adalah lebih daripada sekadar hiburan semata-mata. Bagi kebanyakan individu, tidak mengira usia; dewasa mahupun kanak-kanak, ia boleh membawakan kegembiraan dan memotivasikan diri, menjadi peneman ketika menghadapi kesukaran dan dapat mengurangkan rasa bimbang dan kegelisahan.

Apa itu muzik?

Muzik merupakan satu koleksi bunyi atau bunyi yang diselaraskan. Penghasilannya merupakan satu proses untuk meletakkan bunyi dan nada dalam urutan yang tertentu, dan menggabungkan untuk menghasilkan komposisi bunyi yang bersatu. Ia boleh terhasil daripada bunyi, getaran dan suasana yang sunyi, malahan penghasilannya tidak semestinya merupakan satu yang menyenangkan atau cantik. Ia boleh digunakan untuk menyampaikan pelbagai pengalaman, persekitaran mahupun emosi.

Ia mewujudkan perbezaan kepada perasaan dan emosi, contohnya bagi kanak-kanak yang sedang bersedih, mungkin akan menjadi gembira apabila mendengar lagu kegemarannya berkumandang. Ia mempunyai cara tersendiri untuk membuka minda, hati dan perasaan untuk berhubung dengan diri sendiri, individu di sekeliling dan juga persekitaran. Namun, bagaimana dengan terapi muzik untuk kanak-kanak? Apakah manfaatnya?

Apa itu terapi?

Sebelum berbicara lebih lanjut mengenai terapi muzik, apa kata kita fahami dulu mengenai terapi itu sendiri. Terapi, atau turut dikenali sebagai psikoterapi atau kaunseling, merupakan proses pertemuan bagi seseorang individu dengan ahli terapi untuk menyelesaikan isu berkaitan tingkah laku, kepercayaan, perasaan, masalah dalam perhubungan dan / atau tindak balas somatik (somatic responses) yang bermasalah. Terapi merupakan satu langkah permulaan ke arah menjadikan kehidupan, kesihatan yang lebih baik – walau apa pun cabaran yang mungkin anda hadapi. Melalui terapi, anda boleh mengubah tingkah laku, dan tabiat yang merosakkan atau memudaratkan diri, menyelesaikan perasaan atau emosi yang menyakitkan, memperbaiki hubungan dan banyak lagi.

Apakah terapi muzik?

Bila Anak Dengar Muzik Terus Berjoget. Sebenarnya, Muzik Terapi Terbaik Anak

Terapi muzik adalah perkara yang melibatkan profesional terapi yang terlatih dan bertauliah bagi menggunakan muzik secara klinikal dan berasaskan bukti untuk mencapai objektif bagi setiap individu yang berbeza. Ia digunakan untuk mengurangkan kesakitan kepada pesakit, menawarkan keupayaan untuk mengekspresikan diri mereka tanpa menggunakan kata-kata dan memudahkan proses untuk menenangkan diri melalui nyanyian, bermain instrumen, menulis lagu atau sekadar mendengarnya.

Muzik dipercayai boleh membantu individu, terutamanya kanak-kanak yang sedang mengalami tekanan dan kegelisahan yang disebabkan masalah kesihatan yang dihadapi. Terapi ini pada asasnya adalah mekanisme penyembuhan yang digunakan ahli terapi. Melalui kemahiran menggunakannya, ia dapat meningkatkan, memulihkan dan mengekalkan aspek kesihatan pesakit. Ini melibatkan fizikal, emosi, psikologi, perasaan dan juga rohani.

Ia dipercayai dapat mempengaruhi emosi dan mampu meningkatkan neurokimia dalam badan termasuk endorfin baik. Terapi ini juga dikenali sebagai terapi muzik aktif atau terapi muzik pasif, menunjukkan keupayaan untuk memperbaiki kawalan motor dan fungsi emosi kepada pesakit yang mempunyai pelbagai penyakit atau ketidakupayaan. Dari kes skizofrenia sehingga kepada penyakit Parkinson, penggunaannya seperti membantu mengurangkan simptom semula jadi bagi masalah kesihatan seperti kemurungan, atau kegelisahan, membantu menaikkan kreativiti, dan mempertingkatkan komunikasi antara pesakit dengan penjaga dan pelbagai manfaat lain.

Persatuan Terapi Muzik Amerika (The American Music Therapy Association, AMTA) mengatakan bentuk rawatan ini boleh membantu menggalakkan peningkatan kesejahteraan, menguruskan tekanan, mengurangkan kesakitan, mengekspresikan perasaan, meningkatkan memori, meningkatkan komunikasi dan mempromosikan pemulihan fizikal. Kebanyakan masa, ia secara langsung langsung digunakan kerana ia lebih fleksibel dan menawarkan peluang yang lebih besar untuk interaksi antara ahli terapi dan pesakit.

Terapi ini adalah berbeza dengan proses penghasilan muzik atau sebarang pengajaran lain kerana ia bukan sesuatu yang berasaskan pendidikan. Sebagai contoh, hasil daripada terapi ini bukanlah mengenai untuk mengajar pesakit cara atau kaedah memainkan instrumen atau membaca not muzik. Sebaliknya, tumpuan terapi ini adalah lebih kepada untuk memfokuskan pesakit untuk bergerak ke arah mencapai potensi mereka. Untuk mendapatkan khidmat ahli terapi ini, tiada sebarang syarat bahawa kanak-kanak, remaja mahupun individu dewasa untuk mempunyai kemahiran dan bakat dalam bidang ini.

Wujudkah persatuan khas di Malaysia?

Jangan tidak tahu, di Malaysia juga sebenarnya wujud persatuan yang merupakan sumber rasmi dan badan utama yang mengawal semua perkara berkaitan dengan terapi muzik di negara ini, iaitu Persatuan Terapi Muzik Malaysia (MMTA). Mengikut sejarah, pada tahun 1990-an, sekumpulan individu telah kembali ke Malaysia setelah ditauliahkan sebagai ahli terapi muzik yang berkelayakan dan mewujudkan persatuan ini yang menerapkan pelbagai kaedah terapi berasaskan muzik. Ini termasuk meningkatkan kesedaran mengenai terapi ini, meningkatkan profil terapi, menafsir dan menganjurkan perkhidmatan profesion kepada disiplin profesional lain, dan berkhidmat sebagai badan pengawal untuk terapi muzik di Malaysia termasuk hak, kelayakan, pensijilan dan pembangunan profesional ahli terapi yang lain. Tidak sangka bukan, bahawa di negara kita juga sebenarnya wujud terapi sebegini. Mungkin kerana masyarakat kita kurang terdedah atau sebenarnya, masyarakat kita malu untuk mengikuti terapi kerana beranggap terapi atau sebarang program kaunseling, adalah petunjuk kelemahan diri.

IKLAN

Salah faham tentang terapi muzik

  • Perubatan muzik, yang membawa kesan langsung kepada sistem dan fungsi badan pesakit dengan mendengarnya sama ada secara langsung atau rakaman, bukanlah satu terapi muzik
  • Ia tidak memenuhi syarat sebagai pendidikan muzik khas, yang mengajar pelajar khas mengenai muzik
  • Terapi muzik bukanlah salah satu subjek pelajaran yang membantu meningkatkan kemahiran prestasi seseorang individu dengan instrumen atau vokal
  • Muzik rekreasi yang bertujuan untuk melibatkan seseorang individu dalam aktiviti muzik secara santai bukanlah terapi muzik
  • Terapi muzik juga bukanlah satu hiburan yang melibatkan persembahan muzik secara langsung atau dirakam untuk individu yang terlibat secara pasif

Bagaimana ia berfungsi?

Bila Anak Dengar Muzik Terus Berjoget. Sebenarnya, Muzik Terapi Terbaik Anak

Kaedah dan bentuk terapi ini adalah berbeza mengikut individu. Setiap individu mendapat bantuan yang mereka perlukan berdasarkan keutamaan dan kebolehan mereka. Bagi sesetengah individu, ia bermakna memainkan instrumen, sementara yang lain mungkin lebih banyak untuk menyanyi. Sekiranya seseorang individu bergelut membuat muzik itu sendiri, saluran mereka boleh terdiri daripada penulisan lagu.

Walau apa pun kaedah dan bentuk yang digunakan, tidak dapat dinafikan bahawa terapi ini boleh menjejaskan kadar jantung dan pernafasan pesakit, terutamanya apabila ia melibatkan irama kuat. Terapi ini menggalakkan pembebasan neurotransmitter, yang dipanggil endorfin, yang mencetuskan perasaan positif dalam badan dan bertindak sebagai ubat penghilang rasa sakit semula jadi, mengurangkan ketegangan otot dan menggalakkan kelonggaran. Terdapat juga bukti bahawa ia membantu melepaskan kenangan, emosi negatif atau perasaan tertindas. Ini penting dalam proses penyembuhan pesakit kerana ia boleh membawa perubahan positif dalam pemikiran, tingkah laku dan sikap mereka.

Faedah terapi

Terapi ini boleh membantu seseorang individu, sama ada kanak-kanak, remaja mahupun individu dewasa secara keseluruhan daripada aspek badan, fikiran dan semangat. Melalui proses penghasilan dan bertindak balas kepada muzik, antara faedah yang boleh diperolehi adalah melibatkan:

  • Kebolehan untuk mengekspresikan emosi
  • Kebolehan untuk mengekspresikan kreativiti
  • Mengurangkan kesakitan dan kegelisahan
  • Membantu menjadikan seseorang individu lebih bertenang dan mendapat tidur lebih berkualiti
  • Menjadikan pengalaman tinggal di hospital lebih positif

Apa yang berlaku semasa terapi dijalankan?

Seseorang ahli terapi bertauliah akan menggunakan pelbagai kaedah dan cara untuk berhubung dengan seseorang individu kanak-kanak. Sesi ini akan memberikan tumpuan kepada kekuatan dan bidang yang diminati oleh kanak-kanak. Intervensi terapi ini mungkin termasuk:

  • Menyanyi sama ada dengan iringan instrumen secara langsung atau rakaman
  • Penulisan lirik lagu
  • Memainkan instrumen seperti hand percussion
  • Bercerita
  • Improvising (menghasilkan muzik)
  • Mendengar muzik secara langsung atau rakaman
  • Melukis atau bergerak mengikut alunan muzik
  • Mempelajari teknik ketenangan (relaxation) yang dibantu muzik, seperti ketenangan otot progresif atau pernafasan yang mendalam
  • Mengetuk dram
  • Menambah muzik pada instrumen suara
  • Menari atau bergerak dengan iringan muzik sama ada secara langsung atau rakaman

Terdapat sesetengah ibu bapa juga berminat untuk melihat atau mengambil bahagian dalam sesi terapi ini.

Apakah kesannya?

Bila Anak Dengar Muzik Terus Berjoget. Sebenarnya, Muzik Terapi Terbaik Anak

  • Kesan kepada fizikal

Bagi kanak-kanak dan individu remaja yang mengalami kanser atau penyakit lain, kesakitan adalah sesuatu perkara yang sukar untuk dibayangkan dan ditanggung – walau berapa banyak ubatan yang diberikan, malahan ada masa, ubatan yang diberikan mungkin tidak mencukupi untuk menutup kesakitan yang dirasai. Dengan mendengar dan bermain instrumen termasuk menulis lagu dan menyanyi, kesakitan mungkin dapat dikurangkan. Terapi ini dapat melegakan kesakitan dan mengurangkan tekanan serta kegelisahan kepada pesakit, yang membawa kepada perubahan fisiologi, seperti:

IKLAN
  • Memperbaiki pernafasan
  • Menjadi tekanan darah lebih rendah
  • Memperbaiki fungsi jantung
  • Memperbaiki kadar denyutan jantung
  • Memberikan kelegaan kepada otot yang tegang

Terapi ini dipercayai memberikan kesan signifikan terdapat keberkesanan rawatan pesakit, termasuk mengurangkan kesakitan, memberi ketenangan, memperbaiki kadar penafasan, dan menjadikan tahap kegelisahan pada tahap yang lebih rendah.

  • Kesan kepada mental

Berada di hospital, khususnya kepada kanak-kanak, boleh memberikan pengalaman yang menakutkan dan mengerikan, lebih-lebih lagi melibatkan masalah kesihatan berkaitan kanser atau penyakit lain yang serius. Salah satu impak berada di hospital adalah tekanan, yang dengan sendiri boleh mewujudkan masalah kesihatan.

Antara simptom tekanan yang biasa adalah:

  • Sakit kepala
  • Kesakitan atau ketegangan otot
  • Sakit dada
  • Kelesuan
  • Gangguan pada perut
  • Masalah tidur

Antara kesan tekanan kepada emosi:

  • Kegelisahan
  • Kurang rehat
  • Kurang motivasi untuk fokus
  • Perasaan bercampur baur
  • Kemarahan
  • Kemurungan atau kesedihan

Antara kesan tekanan kepada tingkah laku:

  • Bereaksi secara berlebihan atau sebaliknya
  • Kemarahan yang melampau
  • Mengasingkan diri dari sosial

Adakah ia berkesan?

Seperti seorang anak kecil atau bayi yang akan mula menari apabila mendengar lagu, setiap individu sama ada remaja, mahupun dewasa, akan mempunyai respons semula jadi kepada muzik. Perkara yang sama turut berlaku kepada individu yang mengalami masalah kesihatan seperti gangguan mental atau fizikal. Muzik mempunyai ‘kuasa ajaib’ untuk menghubungkan dan menjadikan setiap individu untuk memberikan tumpuannya. Dengan bimbingan ahli terapi yang bertauliah, ‘kuasa ajaib’ ini boleh digunakan untuk menghiburkan, meningkatkan, membuka minda dan membangkitkan deria untuk memenuhi pelbagai tujuan dan manfaat terapeutik.

Apakah manfaatnya?

  1. Mengurangkan kegelisahan, tekanan

Walaupun mungkin terdapat pelbagai variasi pilihan muzik, tetapi secara amnya, ia memberikan kesan fisiologi langsung melalui sistem saraf autonomi. Ia berkeupayaan untuk mewujudkan respons motor dan emosi secara langsung, terutama apabila digabungkan dengan pergerakan dan rangsangan laluan deria yang berbeza.

IKLAN
  1. Memperbaiki simptom autisme

Minat yang ditunjukkan oleh kebanyakan individu yang mengalami autisme terhadap muzik, memperlihatkan perubahan dalam komunikasi nonverbal dan lisan melalui terapi ini – yang kini dipercayai antara satu rawatan alternatif untuk merawat autisme. Kajian menunjukkan terapi ini dapat memperbaiki tingkah laku sosial, tumpuan, perhatian, komunikasi, kegelisahan dan tahap kewaspadaan diri pesakit autisme.

  1. Memperbaiki kemurungan

Terapi ini adalah antara cara untuk merawat masalah kemurungan. Ia bukan sekadar membantu memperbaiki emosi, tetapi dapat memperbaiki kadar denyutan, pernafasan dan tekanan darah.

Bila Anak Dengar Muzik Terus Berjoget. Sebenarnya, Muzik Terapi Terbaik Anak

  1. Mengatasi masalah penyakit Alzheimer dan Parkinson

Kajian menunjukkan terapi ini dapat meningkatkan fungsi kognitif dan kualiti hidup pesakit yang mengalami masalah kognitif, termasuk Parkinson dan Alzheimer. Muzik dipercayai dapat memberikan satu bentuk terapi yang menggalakkan pesakit-pesakit ini untuk membantu mereka mengatasi simptom dan menawarkan rangsang kepada deria mereka bersama sokongan sosial untuk sesi yang dijalankan secara berkumpulan.

  1. Meningkatkan perkembangan janin

Ibu hamil yang sering mendedahkan muzik kepada bayi dalam kandungan menunjukkan bayi akan lebih bertindak balas terhadapnya selepas dilahirkan. Malah muzik juga dapat mempengaruhi tingkah laku positif neonatal.

  1. Mengurangkan kesakitan

Terapi ini dapat merubah anggapan tentang kesakitan individu. Kajian menunjukkan, pesakit pediatrik yang telah menjalani pembedahan, pesakit yang mengidap penyakit kronik berkaitan masalah belakang, pesakit kanser – sebagai contoh – apabila dilakukan terapi ini, dapat mengurangkan tahap kesakitan pesakit.

  1. Meningkatkan deria

Terapi ini akan mengguna pitch, irama dan perkataan, di mana semua itu adalah sebahagian daripada ucapan dan bahasa. Belajar bermain instrumen dapat membantu meningkatkan harga diri dan membantu pesakit untuk mengembangkan koordinasi gerakan jari dan tangan. Mendengarkan jenis muzik tertentu juga akan dapat membantu otak yang sedang berkembang. Terdapat penyelidikan yang menunjukkan bahawa terapi ini dapat menggalakkan pembelajaran yang membantu pertumbuhan pada bahagian pendengaran dan motor dalam otak.

  1. Kemahiran menguruskan

Matlamat terapi ini adalah untuk membuat pesakit berasa lebih selesa dan membantu mereka untuk mengatasi pengalaman traumatik. Seperti yang dinyatakan Persatuan Terapi Muzik Amerika, “seorang ahli terapi mungkin boleh bercakap dengan pesakitnya, tetapi ahli terapi muzik yang bertauliah akan dapat menggunakan muzik menghubungkan pesakit secara aktif dengan keadaan psiko-emosi mereka pada kadar yang cepat.

Dengan kaedah yang tertentu, ahli terapi bertauliah ini akan dapat membantu pesakit memperbaiki keseimbangan emosi, mengurangkan kebimbangan dan kemurungan. Terapi ini akan dapat membantu kanak-kanak yang berdepan dengan kehilangan dan kesedihan serta membantu mempertingkatkan tahap komunikasi dan kemahiran sosial mereka.

Secara kesimpulannya, terapi muzik ini akan dapat membantu meningkatkan kebolehan dan kemahiran mengendalikan dan menguruskan kesakitan serta membantu mengurangkan sebarang tekanan berkaitan yang timbul kerana keperluan yang wujud untuk berada di hospital disebabkan faktor kesihatan.

Sumber: Hello Health Group

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI