Bila Anak Jatuh Sakit, Elak Bawa Ke Tempat Awam. Tindakan Cik Piah Wajar Dipuji

Share

Feeya Iskandar atau Cik Piah, penyampai radio di Suria FM selalu mengambil langkah berjaga-jaga dengan tidak membawa anak-anaknya Adam Malique dan Nuh Aryyan ke tempat awam setiap kali mereka berdua jatuh sakit.

Langkah beginilah yang perlu dijadikan contoh oleh kebanyakan ibu bapa lain. Bukan apa, semuanya demi menjaga tahap kesihatan anak tersayang. Sekurang-kurangnya penyakit yang dialaminya tidak berpanjangan dan pada masa yang sama dia tidak menyebarkan penyakit kepada orang lain. Jadi, penyebaran wabak jangkitan tertentu dapat dikawal daripada awal.

Kata Cik Piah lagi, “Saya dan suami memang kurang gemar pergi ke tempat yang ada ramai orang. Bukan tak nak bergaul. Sekarang ada macam-macam virus. Bimbang anak-anak mudah berjangkit. Kalau keluar makan, saya dan suami akan pastikan duduk setelah baby chair dilap terlebih dahulu.

Malique dah dua kali kena HFMD. Jadi, kami perlu lebih berjaga-jaga. Jika mereka batuk atau selesema sahaja pun, kami memang tak bawa mereka keluar ke mana-mana dan hanya duduk di rumah. Setelah sihat baru bawa mereka berjalan.

Dalam menjaga kesihatan anak-anak, kami tak amalkan apa-apa suplemen. Bagi saya anak-anak kecil lagi dan tak perlu ambil suplemen. Mereka hanya minum susu dan bubur yang dibuat sendiri.

Pada masa yang sama, saya tak galakkan anak-anak makan makanan segera. Bagi saya tak elok. Sebaliknya, saya lebih banyak beri mereka makan buah-buahan untuk dapatkan vitamin dan khasiat makanan yang lain daripadanya.”

Dalam pada itu, Cik Piah sempat berkongsi petua yang diamalkannya untuk menjaga anaknya yang sakit. “Antibodi Malique belum kuat. Dia sangat mudah dijangkiti. Kalau dia batuk, saya bagi madu. Kalau demam, mandikan dengan air lemon. Untuk turunkan panas badan, saya tuam dengan kain basah. Apa yang pasti, kalau anak demam, memang tak keluar rumah.

Setakat ini, dah dua kali Malique kena HFMD dan Nuh berjaya tidak dijangkiti. Apa yang kami lakukan ialah dengan kuarantin mereka berdua daripada tidur sekatil dan tidak gunakan tuala yang sama. Segala-galanya diasingkan. Syukur Nuh sihat walaupun tinggal serumah dengan Malique.

Published by
Intan Jastina