Bila Anak Lebih Rapat Dengan Ayah Berbanding Ibu, Sedihnya! “Playing Favourite” Petanda Sihat

Share

“Sayang, jom ibu dukung” ujar Lia kepada anaknya Zara. “Tak nak, Zara nak ayah yang dukung!”, jawab si anak. Aduh, sedihnya hati ibu bila menerima jawapan sebegitu. Bagaikan tamparan padu hinggap ke wajah.

Fahami situasi

Mesti terkedu dan kecewa jika berdepan dengan situasi di atas, bukan? Keadaan itu merujuk kepada istilah child prefers one parent atau playing favourite di dalam konsep keibubapaan. Di mana anak lebih memilih untuk bersama dan rapat dengan salah seorang, sama ada ibu atau ayah sahaja.

“Anak tak suka aku ke?”,  mesti akan timbul persoalan sebegini apabila di-reject oleh anak. Walau bagaimanapun, ibu atau ayah yang mengalami situasi ini, tidak perlu mengambil hati dengan apa yang berlaku. Ketahuilah ia adalah satu perkara normal yang berlaku kepada ibu bapa lain di luar sana.

Playing favourite

Apabila berlaku playing favourite, ia sebenarnya adalah satu petanda sihat dan positif terhadap perkembangan emosi dan kognitif si manja anda. Ini bermakna dia sedang meneroka kebebasan dalam perhubungan serta mempertingkatkan kemahiran untuk membuat pilihan berdasarkan apa yang diingininya. Menguasai kemahiran ini bererti anak anda akan dapat membesar menjadi individu yang lebih berdikari.

Di samping itu, jika permata hati anda lebih memilih si ayah (atau ibu) berbanding anda, ini bermakna dia berasa selamat dengan anda dan yakin bahawa walaupun dia meluangkan masa lebih banyak bersama ayahnya (atau ibu), anda akan tetap menyayangi dan sentiasa ada buat dirinya.

Selain itu, keadaan ini juga berlaku apabila si manja menyedari bahawa mereka akan mendapat lebih perhatian jika bersama salah seorang ibu atau ayah dalam satu-satu masa. Ini logik, bukan? Rasa sebagai individu dewasa pun, sudah tentu kita mahukan perhatian apabila bersama seseorang.

Ubati hati ibu

Walau apa pun, sedikit sebanyak jika anda bukan favourite si manja, sudah tentu akan terasa juga. Ya lah, penat mengandung 9 bulan, si ayah juga yang dipilih, sedihnya hati ibu. Jadi berikut Hello Doktor kongsikan beberapa tip yang boleh anda cuba. Moga-moga tidak wujud lagi istilah ‘pilih kasih’ pada si manja anda.

  1. Bertenang

Perkara paling penting untuk mengubati hati ibu adalah untuk kekal bertenang dan jangan membiarkan situasi itu menjejaskan anda. Yes! Melakukan tidak semudah untuk melafazkannya. Tetapi anda harus sedar, bahawa ia adalah satu fasa yang bagus untuk perkembangan si manja. bersabar , okay?

  1. Rutin baru

Cuba anda lihat rutin harian si manja. Biasanya situasi pilih kasih ini berlaku apabila si kecil lebih banyak menghabiskan masa dengan salah seorang ibu atau ayah. Jadi mungkin anda boleh cuba mengubah rutin harian. Jangan terlalu drastik, lakukan secara perlahan-lahan. Mungkin anda boleh mulakan rutin baru seperti menyediakan sarapan pagi di hujung minggu bersama.

  1. Menyertai si anak

Menurut seorang profesor klinik psikiatri kanak-kanak dan kejururawatan di Yale Child Study Center and School of Medicine, di New Haven, Connecticut, Dr Kyle Pruett, “Ketika si comel bermain, cuba untuk meluangkan masa untuk melihat mereka bermain. Kemudian tanyakan sama ada anda boleh turut sama bermain.”

Peluang untuk anda menyertainya bermain akan ada jika anda duduk di lantai bersamanya dan mengikuti arahannya ketika bermain. Jadi mungkin anda boleh mencubanya.

  1. Kerjasama

Ketika sedang melakukan tugasan rumah seperti menyapu sampah atau menyiram pokok, cuba untuk mengajak si kecil melakukan bersama anda.

  1. Masa bersama

Wujudkan satu tempoh waktu secara berkala untuk melakukan satu aktiviti menyeronokkan buat seisi keluarga. It does not need to be fancy. Sekadar meluangkan masa membaca buku cerita pun sudah mencukupi.

Terus menyayanginya

Jika masih tidak berjaya memenangi hati si manja, bersabarlah. Ia bukanlah kayu ukuran yang boleh menilai rasa sayangnya kepada anda. Keadaan ini biasanya hanyalah untuk sementara sahaja.

Walau apa pun, pastikan anda terus mengasihi dan menyayanginya. Hindari daripada melepaskan rasa tidak dihargai itu dengan memarahi si kecil, ini hanya akan memburukkan lagi keadaan. Jangan mengalah!

Sumber: Health Group

Published by
NuFa