Stress atau tekanan ialah keadaan seseorang itu mengalami ketidakstabilan sama ada fizikal ataupun mental dan ianya berkaitan dengan cara hidup kita.
Dr. Hans Selye, pengasas kepada teori stress atau tekanan perasaan telah mendefinisikannya sebagai “suatu reaksi yang tidak spesifik oleh diri seseorang disebabkan oleh sesuatu bebanan yang menimpanya.
Kanak-kanak ada tekanan dia. Tekanan di sekolah, tekanan berkawan, tekanan pelajaran, tekanan expectation parent, dan tekanan keinginan bermain yang terhalang.
Remaja ada tekanan dia. Tekanan dalam pelajaran, tekanan dalam perhubungan, tekanan dalam pemilihan hala tuju kerjaya, tekanan berkawan, tekanan media sosial.
Orang dewasa ada tekanan dia. Tekanan dalam pekerjaan, tekanan dalam perniagaan, tekanan dalam hubungan, tekanan dengan anak-anak, tekanan dengan family, tekanan kewangan, tekanan kesihatan.
Orang tua ada tekanan dia. Tekanan kesihatan yang makin merosot, tekanan anak-anak abaikan, tekanan dalam pekerjaan masih perlu bekerja dalam keadaan pelupa dan sakit lutut, tekanan kewangan hutang belum habis.
1. Bila badan rasa penat. Pergi lah ke pantai. Tanggalkan selipar dan berjalan di atas pasir dengan berkaki ayam. Rasakan kaki memijak pasir pantai. Sekali sekala biarkan kaki terkena ombak pantai. Tenang rasanya.
Ads
2. Bila baru lepas bergaduh dengan pasangan. Bawalah pasangan ke pantai supaya mereka boleh menenangkan hati, reflect diri melihat apa hikmah pergaduhan sebentar tadi.
3. Bila lepas balik kerja, ada sesuatu di luar jangkaan berlaku di pejabat dan tempat kerja. Pergi la ke pantai. Tenangkan diri sebentar sebelum pulang ke rumah. Bawa pulang positif vibe ke rumah.
4. Mental burnout sebab terlalu banyak berfikir. Banyak kerja tak siap yang masih bertangguh. Pergi lah ke pantai. Bagi otak hirup udara pantai, organ badan bersentuhan dengan alam semula jadi untuk merangsang saraf-saraf yang tertekan.
5. Bila anak semakin pasif, tak aktif. Asyik main telefon je. Kurang bercakap. Bawalah mereka ke pantai. Supaya badan mereka bergerak. Motor skill halus dan kasar di aktifkan.
6. Bila anak tantrum, suka menangis menjerit. Suka rosakkan barang rumah, suka usik adik-adik. Bawalah dia ke pantai. Biarkan dia menjerit, berlari, bermain dengan pasir pantai.
Tiada siapa yang boleh lari daripada tekanan. Tapi orang yang menang adalah orang tahu cara melepaskan tekanan dengan baik. Tekanan yang tak di lepaskan dengan baik akan di lepaskan dengan cara tak baik.
Ads
Tekanan yang tak di lepaskan, akan jadi gunung berapi yang tunggu masa untuk meletus. Kasihan badan kita.
Alam semula jadi sentiasa jadi terapi terbaik untuk semua jenis masalah dan penyakit. Manfaatkan.
Kredit : Hajar Syazwan
Jom, join Gathering Ibu Hamil Menawan sekarang! Banyak aktiviti dan hadiah menarik menanti dan penampilan istimewa Pn. Nad Masrom. Klik DAFTAR segera!
Kos sara hidup semakin tinggi. Kebanyakan pasangan suami isteri perlu bekerja untuk menampung kos kehidupan, lebih-lebih lagi bila anak sudah bersekolah.
Kita kadang kala menjadi terlalu pentingkan diri sendiri dari keutamaan menggalas tanggungjawab sebagai ibu bapa.
Kita seakan-akan lupa masa depan yang lebih penting sehingga sanggup berhutang semata-mata untuk kepuasan diri.
Jadi untuk panduan bersama, Penasihat Kewangan Infinite Signature Group, Ariff Ismail memberikan tip bagaimana kita boleh hidup tanpa hutang setelah tidak lagi bekerja.
1. Rekod Duit Keluar Masuk
Untuk mengelakkan kita terperangkap dalam perbelanjaan tidak perlu, rekod setiap duit keluar dan masuk. Pastikan ada resit dan nota. Cara ini dapat mengawal perbelanjaan secara berhemah setiap bulan.
2. Elakkan Hutang Tidak Perlu
Ramai orang muda tanpa sedar mengaktifkan hutang tidak perlu. Sebagai contoh kad kredit dan pinjaman peribadi.
Kad kredit berguna ketika waktu kecemasan, tetapi jika tersalah cara penggunaan akan mengakibatkan komitmen bulanan yang tinggi.
Pinjaman peribadi juga salah satu punca utama masalah kewangan yang sering dialami oleh individu terutama golongan muda. Pinjaman peribadi yang dilakukan biasanya untuk majlis perkahwinan, deposit kereta dan pengubahsuaian rumah. Ini secara langsung akan mengakibatkan kita terjerat dengan hutang tidak perlu.
3. Perbelanjaan Berhemah
Perkara paling sukar untuk dilakukan ialah berbelanja mengikut kemampuan dan keperluan. Sebagai contoh, ramai yang sanggup berlapar untuk memiliki kereta idaman. Sedangkan itu bukan keperluan.
Bagi ibu bapa muda pula, suka berbelanja mewah untuk anak yang baharu lahir. Tanpa mengira perkara yang lebih penting untuk anak kita. Sebagai contoh mengadakan majlis ulang tahun kelahiran anak secara besar-besaran, sedangkan pelan perlindungan dan pelan perubatan anak tidak diberi perhatian.
Selain daripada tiga tip yang diberikan ini, untuk jangka masa panjang apabila kita sudah tidak bekerja atau isteri seorang suri rumah, anda boleh memilih Caruman Sukarela dengan Insentif Persaraan (i-Saraan), Kumpulan Wang Simpanan Pekerjaan (KWSP).
Caruman Sukarela dengan Insentif Persaraan (i-Saraan)membolehkan ahli yang bekerja sendiri dan tiada pendapatan tetap untuk membuat caruman sukarela untuk tujuan persaraan, dan pada masa yang sama menerima caruman tambahan daripada pihak kerajaan.
Faedah i-Saraan
1) Menyediakan saluran persaraan untuk golongan yang bekerja sendiri dan mereka yang tiada pendapatan tetap.
2) Mencarum mengikut masa dan kemampuan kewangan anda serta anda masih boleh membuat pengeluaran
3) Menikmati dividen tahunan di atas simpanan persaraan anda
4) Menerima insentif khas sebanyak 15% tertakluk kepada jumlah maksimum RM250 setahun bagi ahli yang berumur kurang 55 tahun. Insentif khas ini diberikan dari tahun 2018 sehingga 2022.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
“Bagaimana untuk solat awal waktu bila anak suka mengempeng?” Ini antara dilema yang ramai ibu menyusu selalu tanya. Kadang tu tak khusyuk untuk solat kerana anak merengek di tepi.
Kaunselor Laktasi, Nad Masrom ada kongsi tip yang dilakukannya sendiri bila anaknya dalam keadaan mengempeng sepanjang masa.
Pertama sekali, ini bukanlah tip dari saya 100%. Sejujurnya, banyak kali saya tak berjaya nak apply kesemuanya. Tapi saya cuba juga buat tip-tip yang saya baca ini. Kebanyakan memang berhasil cuma perlukan istiqamah untuk melakukannya. Terima kasih kepada para ibu bapa yang telah berkongsi semua tip ini (maaf saya tak ingat sumber setiap satu). Semoga pahala jariah ini berpanjangan apabila diamalkan oleh orang lain.
1. Pastikan anak dalam keadaan selesa
Sebelum masuk waktu solat, pastikan pampers anak tidak penuh atau pampers diganti dahulu. Bersihkan anak dan sekiranya perlu, boleh bawa anak solat bersama bila anak sudah dibersihkan.
2. Pastikan anak kenyang dan tidak lapar
Susukan anak sebelum masuk waktu solat. Sekiranya anak sudah mula makan, cuba beri anak makan dahulu supaya anak tidak meragam.
3. Berikan mainan yang bersesuaian
Berilah busy book, soft toys dan apa sahaja yang boleh buat anak busy sekejap dalam masa 5 minit. Dan solatlah berhampiran anak supaya anak tidak meragam mencari ibunya.
4. Ajar anak senyap waktu azan
Biasakan anak senyap dengan beri signal jari di mulut dan bagi tahu panggilan azan itu adalah untuk ibu solat. Dan segeralah solat pada waktu itu secara konsisten setiap hari supaya anak faham dengan konsep azan = ibu solat sekejap.
5. Ajak anak solat bersama
Kaedah ini boleh dipraktiskan dari usia bayi lagi. Biasakan solat berhampiran bayi. Bila anak sudah mula faham, ajak dia untuk bersolat sama walaupun akhirnya ibu dan ayah menjadi ‘kuda’.
Fasa ini memerlukan kesabaran. Khadijah pun suka menguji saya. Kadang-kadang dia korek hidung saya waktu tahiyat. Kadang-kadang dia suap biskut. Bila saya tutup mata, dia buka mata saya dan say ‘Cakkk’. Duduk atas kepala sudah menjadi perkara biasa.
Tapi akhir-akhir ni dia dah mula faham dan mula ikut solat sama walaupun tak sampai seminit telekung dah tercabut dan biasanya dia sambung main semula macam tak ada apa-apa berlaku
Semoga perkongsian ini bermanfaat dan semoga kita semua (terutamanya saya) sentiasa berusaha untuk solat di awal waktu agar urusan harian lebih teratur. Amin.
p/s: Kalau ibu-ibu ada tip yang lain, kongsikanlah ya. Mana tahu tip yang diberikan lebih menarik dan mudah untuk dibuat
**mengempeng = anak melekat nak menyusu dalam tempoh yang lama
Anak yang mempunyai dua pusar sering dikatakan sebagai seorang yang nakal, degil, tidak mendengar kata, keras kepala, menimbulkan masalah, sukar dikawal dan dikaitkan dengan pelbagai lagi label yang negatif.
Benarkah semua mereka begini?
Menurut Puan Noor Afidah Abu Bakar selalunya dari lahir lagi sudah kelihatan pusar anak. Jika anak mempunyai dua pusar, dari lahir lagilah label diberikan kepada anak terutamanya oleh segelintir orang tua-tua. Walaupun kita belum lagi cuba untuk mengenali anak tersebut dan belum cuba lagi mendidik anak tersebut, dia sudah pun dilabel dengan label yang membawa konotasi ‘akan memberi kesukaran’.
Adilkah begitu?
Jika begitu persepsi kita dari awal, maka segala kebaikan anak tidak akan kita nampak kerana yang kelihatan hanyalah tingkah laku yang menguji kesabaran kita.
Mungkin segelintir orang tua-tua ini mempunyai pengalaman dengan beberapa anak yang mempunyai dua pusar pada masa lalu mereka tetapi untuk membuat generalisasi tentang semua adalah salah sama sekali, apatah lagi menyebarkan kepercayaan yang tidak tepat itu.
Menurut National Human Genome Research Institute, iaitu sebuah institut yang banyak menjalankan kajian tentang genetik dan genomic manusia, 5% penduduk dunia mempunyai dua pusar. Pusar ini berkaitan dengan gene manusia.
Kepercayaan tentang anak dua pusar bukan hanya wujud dalam masyarakat Melayu sahaja, malah ia juga dipegang oleh masyarakat Cina, Vietnam, Filipina, Amerika, Portugis dan beberapa kelompok masyarakat lagi. Kemungkinan besar penghijrahan manusia membawa kepercayaan ini berhijrah dari satu tempat ke satu tempat sejak beratus-ratus tahun dahulu.
Ada kepercayaan kuno yang mengatakan roh akan memasuki tubuh seorang manusia melalui pusarnya sejak dari awal kandungan di dalam perut ibu lagi. Apabila bayi mempunyai dua pusar, dua roh akan memasuki tubuh bayi tersebut dan menyebabkan pertelingkahan antara kedua-dua roh ini. Kedua-dua roh ini akan cuba bersatu menjadi satu roh yang kemudiannya menjadi roh anak tersebut. Kerana pertembungan dua roh inilah, bayi itu membesar menjadi seorang yang keliru, sering memberontak, sukar dikawal, nakal dan degil.
Anda percaya?
Bukankah sebagai seorang Muslim kita percaya bahawa seorang anak dilahirkan seumpama kain putih dan ibubapalah yang bertanggungjawab mencorakkannya walaupun berapa pusar sekalipun yang dimiliki oleh anak tersebut?
Bukankah seorang anak itu lahir suci bersih tanpa dosa?
Ingatlah, kata-kata adalah satu doa. Kata-kata yang sering anak dengar tentang dirinya terutamanya daripada orang dewasa yang dekat dengan anak akan mewujudkan konsep diri (self concept) anak.
Anak sering tertanya tentang dirinya.
Siapa saya? Apakah peranan saya? Apakah kebaikan saya? Jika yang sering didengari tentang dirinya adalah label negatif, maka itulah kepercayaan anak tentang dirinya. Berhati-hatilah dalam melabel anak.
Tingkah laku seorang anak tidak bergantung kepada sifat fizikalnya sama ada mata bulat atau sepet, hidung mancung atau pesek, kulit cerah atau gelap, punya cuping telinga atau tidak, boleh gulung lidah ataupun tidak, kaki panjang atau pendek dan sebagainya.
Sifat fizikal tidak menentukan tingkah laku.
Tingkah laku anak bergantung kepada bagaimana ibubapa memahami dan mendidik anak.
Ibubapa perlu faham:
1) Perkembangan kanak-kanak (Child Development).
Semua tingkah laku anak adalah bersesuaian dengan usia dan perkembangannya. Kita tidak boleh mengharapkan anak kecil bersopan seperti orang dewasa kerana dia belum lagi boleh berfikir seperti orang dewasa, apatah lagi jika kita tidak membimbingnya dengan adab yang sepatutnya.
Kita juga tidak boleh mengharapkan anak A menjadi seperti anak B kerana mungkin perkembangan sosial dan emosi anak A tidak setara dengan anak B. Dia masih perlu dibimbing.
Kita tidak boleh mengharapkan anak berupaya untuk mendengar kata jika perkembangan bahasa dan komunikasinya masih perlu dipupuk supaya dia faham apa yang diberitahu dan diarah kepadanya.
Jika anak mempunyai kelewatan dari segi perkembangannya atau perkembangannya tidak sepadan dengan usia, bawalah anak berjumpa dengan pakar kanak-kanak.
Mereka dapat membantu dengan terapi yang sepatutnya. Usah diberi anak makan macam-macam produk yang mungkin hanya memudaratkan anak lagi. Kandungan gula yang tinggi boleh menyebabkan anak menjadi lebih sukar dikawal, begitu juga dengan bahan pengawet dan pewarna.
2) Pembawaan kanak-kanak (Temperament).
Setiap seorang daripada kita dilahirkan dengan sifat semulajadi atau pembawaan yang berbeza-beza. Ada yang mudah diuruskan,tidak cerewet, ada yang lebih aktif dan perlukan lebih pemahaman dan pemantauan, ada yang pendiam dan pemalu yang memerlukan lebih galakan.
Sebagai ibubapa kita perlu mengetahui anak kita berada dalam kategori pembawaan yang bagaimana kerana cara kita menguruskan anak bergantung kepada pembawaan mereka. Kita tidak boleh menggunakan satu kaedah saja untuk mendidik pembawaan yang berbeza-beza.
Oleh itu kenalilah anak anda. Luangkan masa bersama-sama anak untuk lebih mengenali dan memahami pembawaannya.
3) Fahami juga kecenderungan anak.
Kecenderungan anak kecil adalah bermain dan meneroka. Jika anak itu suka meneroka, sering ke sana kemari, mencuba itu ini, memegang itu ini, itu adalah sifat yang normal pada kanak-kanak. Kanak-kanak belajar melalui meneroka dan bermain. Usah di halang.
Apa yang perlu dilakukan oleh ibubapa adalah mewujudkan persekitaran yang selamat supaya penerokaan anak tidak memudaratkan keselamatan anak.
Peraturan juga perlu ditetapkan oleh ibubapa supaya penerokaan si anak tidak mengganggu orang lain atau pun merosakkan harta benda orang lain.
4) Selain itu ibubapa juga perlu sepakat dalam proses mendidik dan membesarkan anak. Ibubapa perlu sepakat tentang kaedah dan peraturan yang hendak ditetapkan dalam rumah supaya anak lebih mudah dikawal.
Jika ayah berkata “Ya” dan ibu berkata “Tidak”, anak akan keliru dan itulah yang menjadi punca utama anak degil dan tidak mendengar kata. Apabila dia keliru cakap siapa yang perlu diikut, dia akan mengikut kata hati dia sendiri yang sering kali menimbulkan lebih banyak masalah kerana dia belum berpengalaman untuk membuat keputusan.
5) Ibubapa adalah guru dan role model terbaik anak. Anak adalah cerminan diri kita sendiri. Adakah kita memberikan teladan tingkah laku yang baik buat anak-anak kita?
Ingatlah banyak faktor yang akan membentuk dan menentukan tingkah laku anak. Di antaranya adalah bimbingan daripada ibubapa, persekitaran anak, rakan-rakan anak, apa yang ditonton dan didengar, keyakinan diri dan jati diri anak, emosi anak, sosio ekonomi keluarga dan juga pegangan agama dalam keluarga yang akhirnya akan menentukan nilai dan akhlak secara keseluruhannya.
Jangan jadikan dua pusar sebagai ‘escapism’ atau jalan keluar untuk kita berputus asa dengan anak. Sentiasalah berdoa supaya anak-anak kita menjadi insan yang berguna dan menyumbang kepada masyarakat.
Oh ya, anak saya sendiri mempunyai dua pusar kepala.