Bila Bayi Merengek, Menangis Tanpa Alasan, Ada Sebabnya. Periksa Bahagian Perutnya Dulu

Share

Masalah bayi kembung perut sememangnya suatu keadaan yang kerap berlaku, terutama sekali bagi yang berumur 6 bulan ke bawah.

Oleh kerana ruang dalam abdomen (abdominal cavity) masih kecil berbanding dengan saiz organ dalam abdomen (usus, perut, hati, limpa,pundi air kencing), abdomen bayi boleh kelihatan seolah-olah kembung walaupun sebenarnya normal.

TANDA BAYI KEMBUNG PERUT

Apabila si kecil merengek dan menangis tanpa alasan yang jelas, cubalah untuk periksa bahagian perutnya. Jika perut bayi terasa agak keras, dan kerap buang angin, ini merupakan tanda bayi kembung perut.

Selain itu, kembung perut boleh diperhatikan melalui gerakan bayi. Jika bayi sering menggeliat dan melengkungkan punggungnya ke belakang, serta mengangkat kedua kakinya, ini antara petanda bahawa dia sedang merasakan ketidakselesaan akibat kembung perut.

Ada beberapa cara yang dapat dilakukan untuk mengatasi masalah bayi kembung perut. Antaranya:

  1. TENANGKAN BAYI

Sekiranya bayi menangis, anda boleh cuba mendukung bayi dan melarikannya seketika daripada suasana yang bising atau meriah.

  1. BEDUNG

Selain mendukung, cubalah membedung bayi semasa tidur kerana ia juga salah satu cara memberi keselesaan kepada bayi. Bedungan yang baik membantu bayi bertenang kerana tangan mereka tidak akan terkapai-kapai dan terasa seperti dipeluk.

  1. PERIKSA CARA BAYI MENYUSU

Pastikan bayi tidak meminum botol susu dengan posisi terlalu condong, saiz lubang botol yang tidak sesuai boleh menyebabkan banyak udara ditelan sehingga terjadi perut kembung.

Bagi ibu yang menyusu badan, praktikkan cara lekapan yang baik dan posisi menyusu badan yang selesa. Sekiranya payudara anda terasa sakit ketika menyusu, ia bermaksud anda berada dalam posisi yang salah.

  1. TUKAR SUSU FORMULA

Sekiranya anda mendapati bayi sering kembung sejak anda menukar susu formula, cuba hentikannya buat sementara. Sesetengah bayi mengalami alahan terhadap susu formula tertentu dan boleh menyebabkan mereka kembung.

  1. HINDARI MAKANAN TERTENTU

Sesetengah bayi yang menyusu badan mungkin turut mengalami masalah pencernaan sekiranya ibu menyusu memakan makanan tertentu.

Sebaiknya, ibu menyusu cuba elakkan makanan yang akan membentuk gas setelah dicerna seperti kubis, brokoli, bawang atau kacang. Kadangkala, makanan segera dan minuman berkafein juga boleh menjadi faktor bayi kembung perut.

  1. URUTAN

Cuba beri urutan perlahan pada tubuh bayi untuk melegakan dan memberi keselesaan.

Lakukan pada bahagian perut dan belakang bayi sambil menitiskan beberapa titik minyak bayi yang selamat.

  1. BIARKAN BAYI BERGERAK AKTIF

Akhir sekali, biarkan bayi bergerak aktif. Anda boleh meniarapkan bayi dari semasa ke semasa, atau membiarkannya merangkak dan bebas bergerak.

Gerakan-gerakan ini mendorong proses pencernaan supaya berfungsi lebih optimum, selain juga dapat membantu keluarnya gas melalui kentut dan sendawa.

BILA PATUT BERJUMPA DOKTOR?

Pada kebanyakan masa, kembung perut akan hilang dengan sendiri. Anda tidak perlu risau jika perut bayi kelihatan kembung sedikit, tetapi masih aktif dan pertambahan berat badannya normal.

Tanda-tanda bayi kembung perut yang merisaukan adalah seperti kurang berat badan, muntah-muntah, cirit-birit, najis berdarah, perut kembung sehingga sangat keras dan bayi kelihatan sangat lemah dan tidak sihat.

Jika terdapat tanda-tanda ini, atau tanda-tanda lain yang luar biasa, pastikan anda segera membawa bayi berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.

Sumber: DoktorBudak.com & zuriat.my

Published by
Wan Amy