Siapa suka tengok bila bayi sedang tidur? Biasanya ibu suka memerhatikan si kecil sedang tidur. Tenang dan damai sangat. Bahagia rasa hati ibu dan ayah.
Tetapi di sebalik ketenangan si comel, ada bermacam perkara sebenarnya yang boleh menyebabkan tidurnya tidak selena yang disangkakan. Bayi kerap merengek, mengerang, tersenyum, menendang, berkerut, berpeluh, bernafas tidak teratur dan bermacam lagi perlaku lain ketika tidur.
Sebenarnya perilaku tidur yang seolah-olah ada ‘gangguan’ ini adalah normal dan biasa berlaku kepada bayi. Tak perlulah anda terlalu berasa bimbang.
Bagaimanapun tak salah untuk anda memahami keadaan buah hati ketika dia sedang tidur pkerana jika berlaku perkara di luar kebiasaan, anda boleh segera mengatasinya.
1. Berdengkur
Ia berlaku kerana saluran pernafasan bayi belum berkembang sempurna, rongga hidung serta kerongkongnya masih sempit. Jadi, saluran yang sempit dan terdapat lendir menimbulkan banyak suara getaran yang berbeza ketika dilalui udara.
2. Tersenyum
Ia berlaku kerana bayi mengalami perasaan yang baik dan momen yang menggembirakan. Sepanjang berada pada tahap REM (Rapid Eye Movement) tubuh bayi mengalami perubahan fisiologi yang mengaktifkan refleks tertentu yang membuatkan otot mukanya tertarik hingga membentuk senyuman.
Jadi, senyuman tersebut mungkin hanya reaksi fizikal, bukan tanda emosional. Apa pun, momen si comel tersenyum ketika tidur adalah saat paling menggembirakan hati ibu ayah.
3. Berhenti bernafas sesaat
Ia berlaku kerana bahagian otak bayi yang mengawal pernafasan berkembang, sehingga rentak pernafasannya kerap berubah ketika tidur. Ada kalanya mereka bernafas lebih cepat untuk sementara waktu, kemudian menjadi lambat, lalu berhenti bernafas antara 10 hingga 15 saat, sebelum bernafas normal semula, dan berulang lagi.
Anda tak perlu panik, kerana dalam bidang perubatan, keadaan ini dipanggil periodicbreathing dan biasa berlaku kepada bayi sehingga usianya mencecah enam bulan.
4. Terkejut dan menangis
Ini berlaku kerana pengaruh refleks Moro, salah satu refleks yang dibawa bayi ketika lahir. Refleks ini adalah cara primitif baginya untuk bertahan hidup, dan refleks Moro ini sering ‘bekerja’ tanpa mengganggu tidurnya.
Dalam sesetengah keadaan, gerakan terkejut juga diikuti tangisan singkat, namun bayi akan kembali tertidur semula. Keadaan ini membuktikan otot refleksnya bekerja dan pendengarannya berfungsi.
Bagaimanapun anda perlu berwaspada sekiranya bayi berusia lebih enam bulan masih lagi kerap terkejut dan tidak mempunyai waktu tidur berkualiti.
5. Berpeluh
Ini berlaku kerana pembahagian sel-sel semasa tumbesaran yang menghasilkan panas, sehingga membuatkan bayi berpeluh. Sel yang paling kerap membahagi terdapat pada bahagian otak.
Sebab itu bahagian kepala akan lebih panas, ini yang menyebabkan kening dan rambut lebih lembap berbanding bahagian badan yang lain. Berpeluh ketika tidur juga boleh disebakan bayi berkuap.
Oleh itu pastikan tidurkan bayi di tempat yang bersuhu sejuk dan pakaikan pakaian yang selesa. Bagaiamanpun jika berpeluh secara berlebihan ia juga boleh menunjukkan sesuatu seperti jangkitan dan sleep apnea. Sebaiknya dapatkan nasihat daripada doktor.
6. Bergoyang dan menendang
Ini berlaku kerana bentuk perilaku bayi untuk menghiburkan diri, boleh juga bentuk pengalihan perhatiannya daripada rasa sakit kerana tumbuh gigi, jangkitan teling dan sebagainya. Ia tidak berlaku kepada semua bayi. Biasanya ia terjadi kepada bayi yang berusia enam bulan ke atas, dan mungkin boleh berulang selama beberapa bulan atau tahun. Namun kebanyakan anak dapat mengatasi masalah ini di usia tiga tahun.