Bila Bertegas Tak Bermakna Kita Dah Berjaya Disiplinkan Anak. Ini Fakta Yang Kena Tahu!

Share

Bila bertegas tak bermakna kita dah berjaya disiplinkan anak. Namun kebiasaannya ibu bapa lebih mudah memarahi anak dan melarang mereka dari meneroka dunia sekeliling mereka kerana itu lebih mudah buat kedua ibu bapa. Anda bagaimana?

Apakah anda ingin mendidik anak dengan cara yang mudah atau cara yang berkesan?

Orang yang ingin mendidik anak dengan mudah lebih suka anak mereka menjadi anak yang selalu duduk diam sahaja, menurut kata kedua ibu bapa dengan perasaan takut. Apabila anak melakukan kesilapan, hukum mereka supaya mereka tahu apa yang mereka buat itu akan menyebabkan mereka dihukum, jadi mereka takkan mengulangi perbuatan itu lagi.

Maka lahirlah anak yang tidak melakukan perbuatan yang dilarang kerana takut akan hukuman dan ancaman dari kedua ibu bapa. Di luar dari lingkungan ibu bapa mereka pun bermaharaja lela berbuat sesuka hati.

Atau kebarangkalian lain, lahirlah anak yang selalu memberontak kerana mereka belajar bahawa cara untuk menyuruh orang lain melakukan apa mereka inginkan adalah dengan cara memarahi mereka, sama seperti yang dilakukan kepada mereka.

Seorang anak belajar bagaimana bertindak dengan orang sekelilingnya adalah daripada bagaimana orang sekelilingnya memperlakukan dirinya. Seorang anak yang selalu dimarahi akan belajar bahawa untuk mendapatkan sesuatu dia juga perlu memarahi orang lain.

Seorang anak yang selalu dimanjai akan belajar bahawa untuk mendapatkan sesuatu dia tidak perlu berusaha apa-apa. Dan begitulah seterusnya.

Bagaimana mendidik anak agar menjadi matang sebelum usia mereka? Layanlah mereka seperti anda melayan seorang dewasa yang belum mengerti apa-apa.

Seorang anak kecil belum lagi mahir mengawal saraf otot mereka dengan baik. Disebabkan itu, pergerakan mereka tak selancar orang dewasa. Air tertumpah, barangan terjatuh, alatan-alatan yang pecah dan sebagainya akan sering menjadi sebahagian dari jadual sehariannya.

Seorang anak kecil mempunyai perasaan ingin tahu yang tinggi. Disebabkan perasaan inilah mereka dapat belajar dengan cepat dan menguasai ilmu kehidupan. Semua yang berada di sekeliling mereka menimbulkan tanda tanya.

“Ibu kenapa ikan tu duduk dalam air?”

“Ayah kenapa ayah solat?”

Menghalang mereka daripada meneroka di sekitar mereka bererti menghalang suatu kehendak yang membuak-buak dari dalam jiwa mereka.

Tapi kalau tak halang, habislah bersepah rumah. Berteraburlah semua barangan. Tak laratlah asyik nak kemas rumah je.

Dalam hal ini  banyak penyelesaian yang ada, antaranya :

  1. Mengajarkan mereka agar bertanggung jawab mengemaskan kembali barangan yang telah dia sepahkan. Anda boleh menjadikan mengemas itu satu perbuatan yang seolah-olahnya sangat menyeronokkan. Boleh juga memberikan syarat kepada mereka kalau nak main kena kemas balik selepas habis main. Menyediakan satu ruang khusus untuk mereka bermain juga satu kelebihan.
  2. Sediakan barangan permainan yang mencukupi buat mereka. Maka mereka tak perlu bereksperimen dengan barangan kita yang lain yang lebih berharga. Tapi biasanya anak lebih berminat dengan barangan dia selalu lihat kita gunakan. Ingat mereka sebenarnya ingin belajar dan bereksperimen bukan sekadar bermain. Dia ingin merasai pengalaman membuat semuanya. Dia ingin mengetahui cara melakukan semua perkara.
  3. Bermain bersama mereka akan mengubah suatu permainan yang membosankan menjadi sangat menarik. Anak sangat suka apa pun jenis permainan yang dimainkan bersama orang yang dia sayangi.

Anak yang dipenuhi kehendak perasaan ingin tahu mereka akan menjadi anak yang cepat matang. Anak yang cepat matang akan mudah menerima pelajaran. Anak yang mudah menerima pelajaran, sekaligus kurang merosakkan barangan dan kurang menyepahkan. Malah andai mereka diajar bertanggung jawab, mereka akan menjadi pembantu anda yang sangat baik.

Jadi, biarkan mereka bereksperimen. Biar kita susah sebentar, biar kita susah dalam usaha mereka untuk menjadi matang, biar kita susah sekarang, asalkan anak kita lebih cepat menjadi anak yang bijak dan akhirnya dapat menjadi pembantu, bukan lagi penyusah. Didiklah anak dengan rasa cinta tanpa perlu nak marah-marah kalau mereka silap.

Sumber: pendidikanawal.wordpress

Published by
Wan Amy