Masa kini, ramai wanita yang hamil lewat usia. Salah satu sebabnya adalah trend berkahwin lambat. Malah, ada juga yang disebabkan faktor-faktor yang lainnya.
Orang selalu berkata, ada bahayanya kalau cuba hamil lewat usia. Berdasarkan kajian, berikut adalah antara yang bakal dihadapi oleh wanita di dalam kes ini.
Masalah kesuburan
Usia yang semakin meningkat dikaitkan dengan tahap kesuburan yang kian menurun.
74% wanita yang menerima rawatan kesuburan pada 30 tahun dan ke bawah boleh hamil dalam masa 1 tahun. Namun, jumlah ini menurun kepada 61% pada usia 31 – 34 tahun. Apabila mencecah 35 tahun dan ke atas, hanya 54% wanita yang berjaya hamil.
Kesihatan bayi terjejas
Disebabkan faktor usia, kemerosotan kualiti telur dan sperma yang dihasilkan oleh anda dan suami boleh menyumbang kepada penyebab masalah kesihatan bayi.
Antara masalah lain yang boleh timbul ialah keguguran, bayi kurang berat badan, kelahiran pramatang atau meninggal dunia dalam kandungan.
Wanita yang mengandung selepas usia 35 tahun mungkin lebih sukar untuk melahirkan bayi secara normal dan memerlukan bantuan proses tertentu seperti vakum, forsep atau pembedahan caesarean.
Ada kajian mendapati wanita yang berusia 35 tahun ke atas kurang sensitif terhadap oksitoksin. Secara tidak langsung menyebabkan otot rahim tidak dapat mengalami kontraksi dengan baik.
Perubahan hormon progesteron turut menyebabkan proses bersalin menjadi lambat lalu menyumbang kepada punca komplikasi.
Komplikasi kesihatan diri
Apabila meningkat usia, wanita semakin cenderung memiliki masalah kesihatan tertentu seperti masalah darah tinggi, diabetes, kolesterol tinggi dan lain-lain.
Apabila ada penyakit, ia boleh
menjejaskan kesihatan bayi dalam kandungan.
Risiko sindrom Down
Sindrom Down didapati meningkat apabila kehamilan berlaku pada lewat usia. Data menunjukkan kebarangkaliannya adalah
1 dalam 240 pada usia 35 tahun; 1 dalam 53 pada usia 40 tahun dan 1 dalam 19 pada usia 45 tahun
Walau bagaimanapun, ada kajian menjelaskan hamil lewat usia ada kelebihan tersendiri. Salah satunya didapati hormon kehamilan mempunyai manfaat jangka masa panjang kepada otak wanita.
Estrogen meningkatkan fungsi dan struktur otak, manakala progesteron mendorong perkembangan tisu otak serta perkembangannya.
Secara tidak langsung, ia membantu peekembangan otak bayi di dalam kandungan juga.