Bila Dah Bagi Ubat Punggung, Jangan Bagi Lagi Paracetamol Lain! Maksimum 4 Kali Sehari

Share

Pemberian ubat jenis supositori atau lebih dikenali sebagai ubat punggung kerana dimasukkan melalui punggung selalu diberikan kepada kanak-kanak dan bayi semasa demam. Persoalannya ialah berapakah dos yang diperlukan untuk anak anda?

Panik bila anak demam dan suhu badan naik mencanak. Memberikan ubat punggung boleh membantu mama papa menurunkan suhu dan mengawal demam anak.

Ketahui fungsi, cara menggunakannya, sukatan dan jenis ubat ubat buntut atau  supositori paracetamol ini.

Berikut ialah perkongsian info tepat daripada Public Health Malaysia untuk memberikan penjelasan kepada ibu bapa yang sering mengalami kekeliruan tentang penggunaan dan penyimpanan ubat ini.

UBAT BUNTUT @ SUPOSITORI PARACETAMOL

Pada perkongsian sebelum ini tentang cara pengiraan dos dan isipadu sirap Paracetamol, ada yang bertanyakan bagaimana pula dengan supositori Paracetamol?

FUNGSI

Supositori Paracetamol digunakan untuk melegakan demam dan kesakitan seperti sakit kepala dan otot.

DOS/ SUKATAN

Secara umumnya dos supositori Paracetamol boleh diberikan kepada kanak-kanak adalah:

  1. 60-125mg untuk bayi berumur 3 bulan -1 tahun.
  2. 125-250 mg untuk 1-5 tahun.
  3. 250-500 mg untuk 6-12 tahun.

Dos mengikut berat pula adalah 40mg/kg stat (dengan segera sekali sahaja) kemudian diikuti dengan 30mg/kg, maksimum 5g/hari.

KEKERAPAN

Cara pemberian supositori adalah setiap 4 hingga 6 jam jika perlu, maksimum 4 kali sehari.

Untuk bayi berusia bawah 3 bulan pula, ibu bapa digalakkan merujuk dahulu profesional kesihatan sebelum menggunakannya.

ELAK OVERDOSE!

Bagi penggunaan supositori Paracetamol, jangan gunakan ubat-ubatan lain yang turut mengandungi Paracetamol pada masa yang sama. Bimbang overdose akan berlaku.

CARA PENYIMPANAN

Supositori Paracetamol perlu disimpan pada suhu bawah 25℃, terlindung daripada cahaya dan lembapan.

JENIS

Terdapat tiga jenis supositiri Paracetamol di pasaran iaitu 125mg, 250mg dan 500mg. Di premis kesihatan kerajaan pula biasanya hanya supositori 125mg dan 250mg yang disimpan.

Supositori Paracetamol boleh diperolehi di farmasi komuniti atau klinik swasta dengan harga Rm5.50(5 biji) untuk 125mg dan Rm6.50(5 biji) untuk 250mg. Harga mungkin berbeza mengikut tempat.

Bawa anak anda untuk mendapatkan rawatan dengan segera apabila anak tidak semakin pulih walaupun setelah menggunakan supositori Paracetamol.

Jika anda ragu, sila rujuk dahulu profesional kesihatan sebelum memberikan/menggunakan supositori Paracetamol.

Sumber: Public Health Malaysia

Published by
Azma ML