Nak menguruskan anak kembar bukannya senang. Lagi-lagi bagi pasangan suami isteri yang berkahwin pada usia cukup muda. Tapi bagi Fad Bocey dan isterinya, Nur Syahirah A Rahman, mereka sepakat untuk enjoy membesarkan anak-anak tetapi memilih bertegas dengan anak dalam hal mendidik.
Kata Fad, kunci pada kehidupan berkeluarga mereka adalah sabar dan bekerjasama dalam semua perkara. Begitu kata Fad.
“Kami berkahwin pada usia cukup muda, saya ketika itu 24 tahun dan isteri pula baru 21 tahun. Dapat pula anak kembar lelaki yang sememangnya lasak. Sangat mencabar namun kami sama-sama mengamalkan konsep kerjasama dalam semua perkara,” kata Fad.
Malah kata Sya pula, menguruskan anak setiap hari memang memenatkan tetapi dia dan Fad sepakat untuk enjoy dengan apa yang dilalui kini untuk tengok anak-anak membesar depan mata. Satu hari bila anak-anak sudah membesar, pasti semua ini akan dirindui.
Kehadiran Favian Adrazin Hayyan Mohamad Fadzlie dan Favian Adrazin Zayyan, 3 tahun dan Nur Aminah Mishall Mohamad Fadzlie, 1 tahun menjadi detik terindah pasangan ini.
Tegas Dengan Anak-Anak
Ramai ibu bapa yang memilih untuk berlembut dan menggunakan pendekatan sendiri dalam mendidik. Namun bagi Sya dan Fad mereka sepakat untuk menggunakan ketegasan dalam mendidik ketiga-tiga anak mereka. Walaupun suka berjenaka tapi Fad rupanya cukup tegas dengan anak-anak.
“Fad sendiri kalau dirumah memang cukup tegas orangnya, berbanding seperti yang kita tengok di televisyen. Adakalanya bila dia jaga anak, saya sendiri tengok pun takut. Saya garang tapi dia lagi garang dengan anak-anak. Bila anak-anak buat salah dia memang cukup tegas.
Ada masanya dia berlembut dengan anak-anak dan tahu mana satu yang dia patut gunakan ketegasannya.
Kalau diikutkan ketiga-tiga anak, abang paling rapat dengan Fad. Walaupun dia tahu Daddy busy, tapi waktu tidur dia tetap mahukan Fad untuk dodoikan dia malah hanya Fad yang mampu buat dia tidur cepat. Aminah pula paling dimanjakan Fad tetapi setiap kali Aminah buat salah, yang salah tetap salah.
Fad juga daddy yang bijak memujuk bila anak-anak menangis. Dia tahu bagaimana nak pujuk anak dan tarik perhatian anak setiap kali menangis. Kalau saya biarkan saja tetapi tidak Fad, dia takkan biarkan anak menangis lama.
Kalau ada masanya dia sibuk, Fad selalu gantikan waktu dia dengan belikan bawa anak-anak berjalan dan belikan mainan. Bukan mewahkan anak-anak, tetapi pada Fad dulu dia susah dan tak pernah merasa malah tak dapat apa yang dia nak, dan bila ada anak sendiri dia mahu anak-anak merasa semuanya,” luah lagi.
Sebagai pengacara Program Pa&Ma Musim Keempat yang bakal bersiaran pada Mac ini, Fad dan Sya pastinya banyak kisah yang mahu dikongsikan buat semua. Jangan lupa menonton di kaca tv nanti.
Kredit: @fadbocey