Kalau boleh, kita nak duit sentiasa ada. Buka wallet. Duit ada hati lega. Duit makin kurang hati gelisah. Duit tak ada lagilah tak tentu arah.
5 tips untuk kita sentiasa tenang bila duit makin susut

Ada 5 tips untuk kita supaya relaks, happy dan tenang. Walaupun Bukak wallet. Tapi kosong. Duit tak ada.
#Tips1
Setiap Kali kita terima duit. Asingkan kepada 3 bahagian. Untuk kegunaan, simpanan dan sedekah.
Duit sedekah boleh disedekahkan setiap hari atau setiap Jumaat atau pun setiap hujung bulan. Tak kisah. Terpulang pada pemberi sedekah.
Sedekahkan setiap hari amatlah digalakkan.
Sekiranya biz online. Dapat je sales. Duit untung tu Boleh bahagikan 3. Duit modal tu simpan jejauh. Nak guna untuk restok barang. Senang. Duitnya dah ada.
#Tips2
Sekiranya setiap hari dah ada duit untuk simpanan tu. Setiap hari lah ke bank untuk menyimpan.
Masukkan ke akaun bank tertentu. Mudah sangat sekarang ni transfer online je akaun tersebut. Klik je dihujung jari
Then
Lupakan duit simpan tu. Tak payah nak kira berapa dah dapat simpan. Simpan dan tutup mata 😊
#Tips3
Bila keluarkan duit dari wallet. Tenangkan fikiran. Senyum. Iringi baca ayat 54 dari surah sad. “Inna haza larizquna maalahu minnafad”
Bermaksud “sesungguhnya ini ialah pemberian Kami kepada kamu, pemberian yang tidak habis habis”
Baca dan fahami maksudnya. Masa kita baca sambil faham maksudnya hati kita yakin bahawa rezeki dari DIA.
So walaupun duit tinggal seposen je pun dalam wallet. Hati dan minda kita tetap tenang kannn.
#Tips4
Bila dapat saja duit. Masukkanlah duit dalam wallet dengan iringi ucapan Alhamdulillah ataupun baca Surah Al Fatihah.
Amalan ini kita mensyukuri segala apa yang kita dapat.
Kan janji Allah. Setiap kali kita mensyukuri nikmat Allah pasti Allah tambah lagi nikmat pada kita.
#Tips5
Biasakan baca asmaul husna Ya Mughni (Maha Memberi Kekayaan). Bacalah 1000x setiap hari atau pun sebanyak yang boleh.
Bila kita sentiasa berzikir. Hati dan minda kita tenang. Kita akan sentiasa ingat padaNya.
So bila wallet kosong tak ada duit pun. Masih boleh senyum dan sentiasa berusaha ke arah kebaikan.
Banyak lagi sebenarnya doa, ayat al Quran, asmaul husna serta amalan yang boleh kita buat.
Kuncinya bila kita tenang. Apa jua kesulitan pasti Allah mudahkan.
Paling penting. Tiang agama sentiasa ditegakkan. Itu yang wajib.
Akhir sekali. Allah pasti bantu kita.
“Sesungguhnya, cara Allah memberi jalan keluar, tidaklah seperti cara yang kita sangka ( masalah duit tidak semestinya selesai dengan duit)”
Sumber : Md Azhari Daud
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ramai Anak Demam, Batuk & Selesema Lepas Sekolah Kembali Di Buka, Ini Tip & Saranan Dari Doktor!

Tidak dinafikan, sejak sekolah kembali dibuka pada awal Mac lalu, banyak klinik dibanjiri anak-anak yang kebanyakkannya mengalami masalah demam, batuk dan selesema. Hal sebegini seringkali berlaku dan ia merupakan masalah biasa.
Menurut Dr Kamarul Ariffin Noor Sadan, hal sebegini memang kerap terjadi dan ini 10 panduan dan tip untuk mak ayah bagi memastikan anak berada dalam keadaan lebih baik.

10 TIPS PENJAGAAN ANAK BATUK & SELSEMA
Sejak sekolah kembali dibuka, ramai yang datang ke klinik saya bawa anak-anak demam, batuk dan selsema. Hari ni, saya nak beri beberapa tips penjagaan anak yang ada gejala-gejala ni.
1. Perbanyakkan minum air kosong. Air diperlukan agar kahak tidak terlalu pekat. Ia juga boleh melegakan tekak yang kering.
2. Elakkan makanan atau minuman yang boleh sebabkan iritasi pada tekak seperti makanan pedas/berempah dan berminyak.
3. Boleh ambil buah-buahan yang kaya Vitamin C dan madu (setahun ke atas). Bayi bawah 6 bulan, tak usah beri selain susu badan/formula.
4. Bawa jumpa doktor jika simptom berterusan lebih 3 hari. Makan ubat yang diberi mengikut ketetapan yang ditentukan oleh doktor/ahli farmasi.

5. Jika doktor saran kuarantin anak, maka tak usah bawa mereka ke tempat awam. Tak usah juga hantar ke sekolah. Khuatir jangkiti orang lain.
6. Jika terpaksa ke tempat awam, maka pakaikan anak pelitup mulut dan hidung untuk kurangkan risiko menjangkiti orang lain.
7. Boleh ambil pelalian (vaksinasi) terhadap influenza. Ia memberi sedikit perlindungan daripada jangkitan virus influenza. Perlindungan bertahan setahun.

8. Jika anda petugas kesihatan, pastikan anda bersih diri sebaik sahaja pulang ke rumah. Tak usah terus bertandang pada anak-anak.
9. Jika anda seorang perokok, maka ini masa baik untuk mula usaha berhenti merokok. Demi kesihatan anak, isteri dan anda sendiri.
10. Selain ubat, anak yang sakit perlu diberi lebih perhatian dan kasih sayang. Suami pula jangan lupa manjakan si isteri yang jaga anak tu. Hehe.

Semoga bermanfaat!
Saya doakan semua yang sakit akan dikurniakan semula kesembuhan secepat ya!
Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan
Doktor Komuniti FB
Artikel berkaitan: Anak Batuk, Demam & Selesema, Tambah Bawang Merah & Bawang Putih, Vitamin C Dalam Makanan
Nak relaks, jom cuci mata di SINI.
Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti atau event yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Anak Buang Air Kecil Atas Tilam Berat & Besar, Mufti Kongsi Cara Nak Bersihkan Dan Sucikan Dari Najis

Ada anak kecil dan sering terkucil atas tilam waktu tengah malam itu perkara yang biasa bagi sesetengah ibu bapa. Kencing malam atau ‘betwetting’ terjadi apabila kanak-kanak berusia 5 tahun dan ke atas tidak dapat mengawal kencing mereka semasa tidur. Perkara sebegini sering kali memberikan tekanan kepada ibu bapa malah kepada kanak-kanak itu sendiri.
Keadaan ini biasanya berlaku disebabkan oleh beberapa faktor antaranya genetik, stress dan masalah kesihatan yang lain. Namun persoalannya, menyucikan najis pada tilam yang besar dan berat itu pastinya agak sukar untuk dilakukan.

Dalam satu persoalan yang diutarakan mengenai masalah ini, Mufti Wilayah Persekutuan, Dato Seri Dr. Hj. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menerangkan bagaimana untuk membersihkan air kencing pada tilam yang besar dan berat.

Soalan :
Assalamualaikum w.b.t
Saya ada satu kemusykilan. Bagaimana cara untuk membersihkan najis air kencing anak (najis mutawassitah) di atas tilam tebal dan berat serta susah untuk diangkat? Cukupkah sekadar direnjis air mutlak di atasnya atau perlu dibasuh pada bahagian terkena najis? Harap Datuk Mufti dapat memberi pencerahan.
Jawapan :
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan sabda Nabi SAW :
الطُّهُورُ شَطْرُ الإِيمَانِ
Maksudnya : “Bersuci itu adalah antara ciri-ciri keimanan.”
Riwayat Muslim (223)
Islam sangat mengambil berat dalam hal bersuci dan kebersihan. Begitu juga, manusia cenderung kepada kebersihan dan secara tabi’i manusia tidak suka serta menjauhkan diri daripada kekotoran. Oleh sebab Islam adalah agama fitrah, maka secara tabi’i ia memerintahkan manusia supaya bersuci dan menjaga kebersihan.
Pembahagian najis
Najis terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu Najis Mukhaffafah (ringan), Najis Mutawassitah (sederhana) dan Najis Mughallazah (berat).
- Najis Mughallazah ialah anjing dan babi serta apa daripadanya.
- Najis Mukhaffafah merupakan air kencing bayi lelaki yang hanya minum susu ibunya sahaja dan berumur tidak lebih daripada dua tahun.
- Najis Mutawassitah pula adalah selain daripada kedua-dua jenis najis di atas. Najis Mutawassitah adalah seperti air kencing, najis haiwan dan darah.
(Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/40-41)

Cara membersihkan Najis Mutawassitah
Sebelum itu, kita mesti ketahui bahawa setiap jenis najis tersebut berbeza cara membersihkannya. Mengenai cara membersihkan najis Mukhaffafah, kami telah membahaskannya secara panjang lebar di dalam artikel kami :
- Irsyad al-Fatwa Siri ke-348 : Bayi Lelaki Yang Diberi Makan Ubat, Adakah Air Kencingnya Masih Mukhaffafah Dan Bagaimana Cara Membersihkannya?[1]
Manakala najis Mughallazah hendaklah dibersihkan dengan tujuh kali basuhan dan salah satunya adalah dengan air yang bercampur tanah. Bagi mendapatkan perbahasan lanjut mengenai perkara ini, bolehlah merujuk kepada artikel kami di dalam :
- Irsyad al-Fatwa Siri ke-176 : Jenis dan Kaedah Tanah Samak.[2]
- Irsyad al-Fatwa Siri ke-221: Hukum Sertu Munggunakan Sabun Taharah.[3]
Mengenai najis Mutawassitah Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff ada menyatakan bahawa ia terbahagi kepada dua kategori iaitu hukmiyyah (حكمية) dan ‘ainiyyah (عينية). Hukmiyyah ialah yang tidak kelihatan najisnya secara jelas kerana tiada tanda-tanda seperti bau,rasa dan juga warna. Cara membersihkannya adalah cukup sekadar mengalirkan air pada tempat yang terkena najis tersebut. Manakala ‘ainiyyah pula ialah najis yang kelihatan dan ada sifat-sifatnya sama ada bau atau rasa atau warna. Cara membersihkannya ialah dengan air sehingga hilang semua sifat-sifat tersebut (bau, rasa dan warna). Sekiranya najis tersebut dapat dihilangkan bersama sifat-sifatnya dengan sekali basuhan sahaja, ia sudah mencukupi. Akan tetapi sunat untuk dia membasuhnya pada kali kedua dan ketiga.
Begitu juga, sekiranya najis itu tidak dapat dihilangkan dengan sekali basuhan, maka wajib membasuhnya kali kedua. Dan sekiranya masih belum lagi hilang, wajib membasuhnya buat kali ketiga. Sekiranya najis itu masih belum lagi dapat dihilangkan sifat-sifatnya dengan tiga kali basuhan bersama bahan bantuan seperti sabun dan lain-lain, maka keadaan ini dinamakan sebagai keadaan yang susah (حالة التعسر).
(Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 135)
Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari menyebutkan bahawa contoh najis hukmiyyah adalah seperti air kencing yang telah kering serta tidak dilihat padanya kesan atau sifat-sifatnya. Maka, cara membersihkannya, cukup dengan hanya mengalirkan air padanya sekali. Adapun ‘ainiyyah, maka wajib dihilangkan sifat-sifatnya yang terdiri daripada bau, rasa dan warna, melainkan ada kesukaran bagi menghilangkan salah satu antara dua sifat iaitu sama ada warna atau bau. Maka, dalam hal ini tidak wajib menghilangkannya, bahkan ia telah pun dikira sebagai suci. Akan tetapi, sekiranya terhimpun kedua-duanya sekali (bau dan warna) pada tempat tersebut, maka wajib untuk dihilangkan kedua-dua sifat tersebut kerana ia adalah merupakan bukti yang kuat bahawa ‘ain najis itu masih ada sepertimana ciri atau sifat yang ditunjukkan oleh rasa. (Lihat Fath al-Wahhab, 1/25 dan Kasyifah al-Saja, hlm. 182-184)
Begitu juga, belum lagi dikira suci (masih najis), jika masih ada sifat najis daripada segi rasa kerana kebiasaannya ia mudah untuk dihilangkan. Oleh itu, sekiranya masih berbaki sifat rasa, maka wajib untuk dihilangkan sekalipun dengan mengikis atau menggosok sebanyak 3 kali. Cara mengikis adalah dengan mengikis tempat terkena najis itu menggunakan batu atau lain-lain, manakala menggosok pula adalah dengan menggunakan jari jemari dengan gosokan yang kuat dan kemudian menjiruskan air ke atasnya sehingga hilang ‘ain dan kesan najis itu. Selain itu, tidak disyaratkan menggunakan bahan bantuan seperti sabun dan usynan (sejenis pokok) bagi menghilangkan najis melainkan setelah terhimpun baud an warna sekali atau hanya daripada segi rasa sahaja. Maka, dalam situasi ini wajib menggunakan bahan bantuan tersebut. (Lihat Kasyifah al-Saja, 182-183)
Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff telah meringkaskan berkenaan hukum bagi keadaan susah (حالة التعسر) kepada dua, iaitu :
- Sekiranya hanya tinggal bau sahaja atau warna sahaja, hukumnya adalah dikira sebagai suci.
- Sekiranya yang tinggal adalah bau dan warna atau hanya rasa sahaja, maka wajib membasuhnya bersama bahan bantuan seperti sabun sehingga hilang sifat-sifat tersebut.
Akan tetapi, sekiranya orang yang berkepakaran (Ahl al-Khibrah) menyatakan najis tersebut, tidak akan dapat dihilangkan melainkan hanya dengan memotongnya (membuangnya), maka dinamakan bagi keadaan atau situasi ini sebagai situasi yang ada keuzuran (حالة التعذر). Hukumnya, ia termasuk dalam perkara yang dimaafkan dan sah solat dengannya. Walau bagaimanapun, jika dia mampu untuk menghilangkannya pada masa akan datang, wajib untuk dia menghilangkannya.
(Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 136)

Kesimpulannya
Berdasarkan kepada persoalan di atas, setelah diteliti dalil-dalil serta pandangan para ulama, kami menyimpulkan kepada beberapa perkara :
Serap guna span atau kain
- Sekiranya air kencing yang terdapat di atas tilam telah kering serta tidak dilihat padanya kesan atau sifat-sifatnya, maka bagi mensucikannya cukup dengan hanya mengalirkan air padanya. Dan sekiranya kuantiti air sedikit, hendaklah air yang dilalukan ke atas najis dan bukan sebaliknya sepertimana yang telah dijelaskan oleh Syeikh Ibrahim al-Baijuri di dalam hasyiahnya. (Lihat Hasyiah Syeikh Ibrahim Baijuri, 1/199)
- Akan tetapi, jika air kencing tersebut meninggalkan ‘ain atau sifat-sifatnya, maka terlebih dahulu hendaklah dihilangkan ‘ain dan sifat-sifatnya.
- Kami syorkan lap dan pindahkan air kencing yang bertakung di atas tilam semampu mungkin dengan menggunakan kain atau span atau wet/dry vacuum sehingga tidak ada lagi yang berbaki melainkan sedikit lembap yang tidak boleh dipisahkan (dielakkan) sebagaimana yang disebutkan oleh Syeikh Nawawi al-Bantani. (Lihat Kasyifah al-Saja, hlm. 181)
Alirkan Air
Kemudian, barulah dialirkan air di atasnya. Sekiranya air basuhan tersebut tidak dapat mengalir, hendaklah ia juga dipindahkan atau dikeringkan semampu mungkin, dengan menggunakan kain atau span atau seumpamanya. Sekiranya masih berbaki warna atau bau sahaja, tidak mengapa dan ia dikira telah suci.

- Akan tetapi, sekiranya masih berbaki warna dan bau sekali atau semata-mata rasa sahaja, hendaklah ia dihilangkan semampu mungkin dengan menggunakan bahan bantuan seperti sabun atau seumpamanya atau dengan menggosoknya sekuat mungkin sehinggalah sifat-sifat yang berbaki tersebut hilang. Sekiranya masih lagi tidak dapat dihilangkan ia termasuk dalam perkara yang dimaafkan serta sah solat di atasnya.
- Manakala apa-apa air yang mungkin terserap di dalam tilam semasa proses pembersihan adalah tidak mengapa. Basuhan di bahagian luar sahaja telah cukup. Dalam hal ini, Imam al-Nawawi telah menukilkan pendapat Imam Syafie bahawa:
لو أحمى حديد ثُمَّ صَبَّ عَلَيْهَا سُمًّا أَوْ غَسَلَهَا فِيهِ فَشَرِبَتْهُ ثُمَّ غُسِلَتْ بِالْمَاءِ طَهُرَتْ لِأَنَّ الطَّهَارَاتِ كُلَّهَا إنَّمَا جُعِلَتْ عَلَى مَا يَظْهَرُ فِيهِ لَيْسَ عَلَى الْأَجْوَافِ
Maksudnya : “Sekiranya dipanaskan sekeping besi dan kemudian besi tersebut disiram dengan racun (najis) atau dibasuh dengannya. Dan kemudian, racun tersebut telah meresap masuk ke dalam besi tersebut. Kemudian, besi tersebut dibasuh dengan air, maka ia kembali menjadi suci kerana kesucian itu adalah berdasarkan apa yang zahir (dilihat) dan bukannya pada apa yang ada di dalam rongga (tidak nampak). (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 2/600)
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Sumber: Siakap Keli & Mufti Wilayah Persekutuan
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Ramai Pasangan Tidak Bahagia Kerana Saling Memendam Rasa

Ramai pasangan tidak bahagia kerana saling memendam rasa. Isteri benci sikap suami, tabiat buruk, tidak bertanggungjawab, abai nafkah, suka tengking, panas baran, bercakap kasar, tidak membantu urusan rumahtangga dan seumpamanya. Namun pendam sendirian.

Suami benci sikap isteri yang melawan cakap, suka berleter panjang benda remeh, kuat merajuk terlampau, suka tinggi suara, bercakap lembut dengan lelaki lain tapi dengan dia menyinga, tidak hormat suami, suka membandingkan dengan dia dengan orang lain dan sebagainya. Namun diam.
Diam dan terus diam. Hanya membara di dalam tanpa meluahkan.
Kudis kecil menjadi barah. Dan barah menjadi parah. Akhirnya saling tidak bahagia dan membenci dalam diam.
Ramai yang pm aku cerita pasal ketidakpuasan hati pada pasangan masing-masing. Salah tu.
Jangan luah pada orang luar. Luah pada pasangan sendiri.
Di media sosial, di mata orang sekeliling, kelihatan mereka cukup bahagia. Sedangkan dalam hati, membenci pasangan sendiri.
Pembunuh utama sesebuah perkahwinan adalah memendam rasa. Diam pada benda tidak suka.
Tidak berterus terang antara satu sesama.
Itu punca keretakan yang boleh membawa kepada penceraian.
Betulkan hal ini kawan-kawan. Cari masa yang sesuai. Dalam keadaan paling tenang dan harmoni.
Kemudian berkomunikasilah. Luahlah. Ceritalah apa jua yang kita tak suka, tak setuju dengan pasangan kita.
Pasangan yang mendengar pula kena tenang setenang-tenangnya. Jangan cepat melatah, jangan cepat menidakkan, jangan melenting marah-marah.
Respon balik dengan tenang. Terima setiap teguran. Ubah mana yang patut. Bagi penjelasan atas setiap tindakan.
Komunikasi ini sangat-sangat penting dalam sesebuah hubungan. Namun sangat ramai pasangan mengabaikan hal penting ini.
Sedih mendengar cerita kawan-kawan yang memendam rasa, yang sampai bergaduh hingga tahap bercerai-berai, saling memaki hamun sesama hanya kerana masalah yang dipendam lama.
Rumahtangga tidak lagi menjadi tempat yang membahagiakan. Sebaliknya menjadi medan permusuhan dalam diam. Benda ni kena ubah. Jangan lagi pendam dalam diam.
10 sifat yang perlu ada pada pasangan tak kira lelaki atau perempuan.
1. Mendengar dengan baik.
2. Meluah.
3. Berkomunikasi.
4. Berbincang.
5. Tolak ansur.
6. Saling memahami.
7. Sudi menerima teguran.
8. Tidak ego.
9. Bertenang.
10. Menerima teguran dan membetulkan kesilapan.
Sesekali, hadiahkan pasangan kita dengan surprise gift. Walau harga murah bawah RM50 pun, mereka cukup rasa dihargai dan disayangi.
Jom sama-sama doakan semua pasangan yang sedang berantakan menemui titik persefahaman.
Agar cinta yang dulu membara dan hampir padam apinya kembali marak semula.
Salam sahur
#MFS
– Berkasihlah hingga ke syurga –
Kredit: Mohd Fadli Salleh

Ramadan kali ini lebih istimewa bersama Pa&Ma Superb Huffaz. Nantikan bacaan doa dan surah pilihan dari anak-anak Genius Aulad bermula 3 April ini! Saksikan setiap hari jam 7.00 malam di Facebook Majalah Pa&Ma.
Jangan ketinggalan okay! Teruskan menyokong kami di @majalahpama #majalahpama #pamasuperbhuffaz

Buat pertama kalinya BINTANG KECIL membawa anda menyaksikan kisah magisnya ciptaan Allah di samping mendekati kehidupan para sahabat nabi dan tokoh ilmuwan di dalam siri Hikayat 1001 Malam yang disokong sepenuhnya dari TATEH. Saksikan setiap hari sepanjang bulan Ramadan ini istimewa bersama PU RIZ dan team BK Squad di Youtube Channel Bintang Kecil bermula 1 Ramadan pada jam 6.30 petang. Jangan ketinggalan! Follow @bintangkecil #bintangkecilmy #bintangkecil #1001Malam
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!


