Bayi ialah nasal breather. Maksudnya bayi cuma tahu bernafas melalui hidung sahaja. Bila bayi makin besar, barulah dia belajar untuk bernafas melalui mulut juga.
Sebab tu, bila bayi kecil kena jangkitan selsema dan batuk, mereka merengek teruk. Bayangkan satu-satunya laluan pernafasan mereka dah tersumbat.
Mereka merengek dan menangis sebab tak dapat bernafas dengan baik. Untuk bayi pramatang, hidung yang tersumbat ni boleh buat mereka jadi biru dan berhenti bernafas.
Tiga cara ni dapat legakan bayi yang hidungnya tersumbat:
1) Guna Normal Saline Nasal Drop
Boleh beri 1 titis nasal drop setiap 3-6 jam pada setiap lubang hidung bayi.
2) Guna nasal spray seperti Sterimar
Selepas spray diberi, hingus akan meleleh keluar. Lap hingus yang dah keluar dan baki yang masih ada boleh disedut keluar menggunakan baby nasal aspirator.
3) Pakai baby nasal aspirator
Ada dalam pelbagai bentuk. Simpan 1 di rumah.
Bila hidung dah tak tersumbat, barulah bayi rasa lega. Tidur pun nyenyak.
Kredit: Dr. Redza Zainol
Artikel: Bagus Untuk Anak! Formula Terbaharu Susu Kambing Karihome Dengan Kualiti Terbaik
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Doktor Jelaskan Punca Sakit Belakang & Cara Untuk Atasinya
Masalah sakit belakang terutama pada bahagian yang mendapat suntikan epidural sering menyebabkan ramai tertanya-tanya apakah penyebab sebenar.
Menurut Dr Aminudin Mohamed, Pakar dari Jabatan Ortopedik, Hospital Columbia Asia, Setapak kebanyakan ibu akan kerap berasa sakit belakang selepas pengambilan epidural ketika bersalin adalah disebabkan oleh prosedur epidural tersebut sahaja. Biasanya sakit ini hanya untuk sementara waktu.
Dalam kes-kes di mana sakit belakang tersebut berlanjutan selepas bersalin, punca-punca yang lain perlu dikenal pasti melalui pemeriksaan fizikal lanjut untuk memastikan tiada jangkitan kuman, tiada kebocoran pada cecair tulang belakang, tiada gangguan saraf mekanikal seperti slipped disc dan sebagainya.
KENAPA IBU SELALU SAKIT BELAKANG?
Kerap kali proses kehamilan itu sendiri melibatkan perubahan hormon yang secara tidak langsung memberi kesan melembutkan struktur sokongan saluran kelahiran seperti ligamen-ligamen tulang pinggul dan tulang belakang. Kesan daripada pelembutan struktur-struktur ligamen ini, membuatkan para ibu berisiko untuk mendapat slipped disc.
Tiada usia yang spesifik untuk menyatakan golongan ibu dalam lingkungan berapa tahun yang berisiko mengalami masalah kesakitan pada bahagian belakang. Apa yang pasti, pelbagai gejala bergantung kepada tahap keterukan keadaan ini.
CARA ATASI SAKIT BELAKANG
Terdapat pelbagai kaedah rawatan selepas pengesahan penyakit dibuat melalui pemeriksaan fizikal dan pemeriksaan radiologi.
RADIOFREQUENCY ABLATION (RFA)
Kaedah rawatan termasuklah penggunaan ubat-ubatan, terapi fizikal dan kaedah rawatan sakit belakang menggunakan Radiofrequency Ablation (RFA). Kaedah rawatan RFA ini adalah berkesan, cepat dan tidak melibatkan pembedahan. Sebahagian besar daripada mereka yang mengalami gangguan seperti ini dapat dirawat dengan kaedah-kaedah ini. Hanya sebahagian kecil pesakit yang memerlukan prosedur pembedahan dilaksanakan.
LUMBAR CORSET
Alat-alat sokongan yang boleh digunakan oleh para ibu semasa proses rawatan adalah antaranya penggunaan lumbar corset. Di samping itu, para ibu juga perlu diberi latihan untuk memberikan latihan teknik duduk, berjalan dan tidur yang betul.
KEKALKAN BERAT BADAN IDEAL
Selain itu, para ibu yang menghidap sakit tulang belakang juga perlu menjaga berat tubuh badan agar berada pada tahap optimum. Kesemua faktor ini dapat memastikan kesembuhan segera dan mengelakkan masalah ini daripada berulang.
RUTIN SENAMAN ELAK SAKIT BELAKANG
Ibu terbabit juga perlu melakukan rutin senaman stretching, core strengthening exercises dan memastikan keadaan persekitaran yang ergonomik semasa berada di rumah dan di pejabat.
PEMAKANAN
Secara umumnya, pengurangan pengambilan kalori dalam bentuk karbohidrat dapat memastikan berat badan tidak berlebihan dan sekali gus tidak membebankan struktur-struktur tulang belakang. Di samping itu, pastikan ambil makanan yang tidak diproses, kurang kandungan gula dan memperbanyakkan pengambilan makanan yang segar.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Apakah Ujian Apgar Pada Bayi Baru Lahir? Skor Apgar Kurang Dari 5, Bayi Memerlukan Bantuan Pernafasan!
Ujian Apgar ialah ujian yang dilakukan bagi menentukan sama ada bayi baru lahir memerlukan bantuan perubatan seperti pernafasan selepas dilahirkan. 5 perkara ini mama papa perlu tahu.
Selepas dilahirkan keadaan bayi anda amat kecil dan seluruh tubuhnya diselaputi oleh bahan berminyak putih yang dikenali sebagai verniks. Sebaik dilahirkan dan disambut, bayi akan diperiksa oleh pakar pediatrik. Ujian yang dilakukan dikenali sebagai Apgar.
Terdapat beberapa kriteria akan diperiksa seperti tindak balas, aktiviti otot (tone muscle), pernafasan, degupan jantung dan warna kulit akan diperiksa.
Menurut Pakar Pediatrik Avisena Specialist Hospital, Dr Roliza Ibrahim, ujian Apgar dilakukan di peringkat awal untuk mengetahui sama ada bayi memerlukan pemeriksaan lanjut atau tidak. Dalam ujian Apgar, doctor akan membuat skor semasa melakukan pemeriksaan. Skor paling tinggi adalah 10 untuk lima jenis pemeriksaan.
SKOR APGAR KURANG 5 BAYI PERLU BANTUAN PERNAFASAN
Ujian Apgar akan menentukan sama ada bayi memerlukan rawatan oksigen atau bantuan pernafasan pada masa itu. Jika skor Apgar kurang daripada 5, mungkin bayi perlu diberi oksigen, bantuan pernafasan atau CPR. Jika skor lebih daripada 5, doktor hanya akan mengesat dan membersihkan bayi.
Bila skor rendah ia tidak semestinya menunjukkan bayi sakit. Ini kerana ada sesetengah ibu yang telah diberi ubat pelali beberapa jam sebelum bersalin. Jadi bayi akan sedikit sebayak terpengaruh daripada kesan ubat tersebut.
Doktor akan memberi ubat pada bayi, dan selepas itu dia akan menangis menandakan keadaannya tiada masalah.
Bayi yang lahir pramatang akan dijangkakan mendapat skor Apgar yang tidak tinggi.
“Bila buat ujian Apgar ia hanya memberi panduan sama ada perlukan tindakan ketika itu atau tidak tetapi tidak semestinya bayi itu tidak sihat dan akan menghadapi masalah kesihatan. Tetapi jika skor apgar terlalu rendah, doktor boleh agak sama adabayi boleh terus hidup atau tidak,” kata Dr Roliza.
#1. Warna kulit
Jika berwarna biru atau pucat, skor yang diperoleh 0. Jika biru di hujung kaki tangan tetapi badan berwarna merah jambu, skor adalah 1 dan jika keseluruhan badan berwarna merah jambu maka skornya adalah 2.
#2. Degupan jantung
Jika tiada degupan semasa skor Apgar dilakukan, doktor akan pegang pada tali pusat untuk periksa degupan, jika masih tiada maka skornya adalah 0. Sekiranya degupan perlahan iaitu kurang daripada 100 per minit, skor ialah 1 dan jika degupan jantung lebih daripada 100 per minit, skor ialah 2.
#3. Kadar pernafasan
Jika bayi keluar tidak bernafas, skor ialah 0. Ada bernafas tetapi perlahan, skornya 1 dan jika bayi terus menangis dan bernafas elok maka skornya 2.
#4. Tone muscle
Jika lembik, skornya 0. Sekiranya ada gerakan di hujung kaki tetapi badannya lembik, skor adalah 1. Jika keluar bayi menangis, kaki dan tangan bergerak aktif maka skor ialah 2.
#5. Tindak balas terhadap tiub
Bayi baru lahir dipenuhi air, jadi doktor akan menyedut hidung dan mulut menggunakan tiub suction. Jika bayi diam semasa disedut, skornya 0. Jika bayi menunjukkan mimik muka maka skornya 1. Jika semasa disedut, bayi batuk atau bersin maka skornya 2.
Jika jumlah skor Apgar keseluruhan bayi tiada masalah maka dia tidak memerlukan rawatan selanjutnya.
Artikel berkaitan: Mustahaknya Berat Badan Sebagai Petunjuk Kesihatan Bayi. Mama Papa Jangan Pandang Remeh!
Selain itu, jom mama papa kita belajar untuk membedung bayi dengan langkah dalam video di bawah ini.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Tia Alami ‘Severe Eczema’, Paling Sedih Sampai Kena Berhenti Belajar Di Tadika
Anak sakit sikit pun mama dah sedih, inikan pula melihat anak kesayangan menggaru-garu, kulit pedih keterlaluan hingga berdarah. Lebih teruk lagi apabila air bisa yang keluar dari kulit yang digaru. Tapi itu antara perkara dan pengalaman biasa yang dihadapi oleh kanak-kanak yang bernama Tia Al-Batrisya Muhamad Alhafiz.
Mawarni Abd Manaf atau lebih mesra dengan panggilan Mimi yang merupakan ibu kepada Tia menambah hanya mereka yang mengalami masalah sebegini faham akan situasi yang dialami.
“Ramai orang ingat ekzema setakat gatal-gatal saja. Hanya yang merasai tahu perasaan ini. Sukar nak berhenti menggaru. Malah, cabaran utama pesakit ekzema ialah mengadu sangat pedih apabila terkena air ketika mandi. Begitulah juga yang dihadapi Tia, paling kesian bila selepas menggaru kulit Tia melecet hingga rapuh dan mula membengkak. MasyaAllah hanya Yang Maha Esa saja yang tahu deritanya Tia. Bila dari muka hingga kaki bengkak dek kerana kesan kulit gatal yang digaru. Bukan itu saja malah rambutnya gugur dan keningnya hilang,” terang Mimi yang rasa cukup gelisah bila keadaan sedemikian dialami anak kesayangannya dan suami, Muhamad Alhafiz Zakaria.
Tia Disahkan Hidap Severe Eczema
Mimi juga menerangkan anaknya disahkan menghidap Severe Eczema iaitu dari hujung rambut hingga hujung kaki alami kegatalan teruk sehingga membuatkan anak kecil ini sering kegelisahan.
“Tia mula menghidap ekzema ketika umurnya empat tahun. Penyakit ini mula menyerang selepas hari raya. Permulaannya kulit Tia jadi kering dan hitam. Dari situ saya dan suami ke klinik-klinik pakar untuk merawat Tia. Tapi keadaan dia semakin lama semakin teruk. Pada masa yang sama kami ke Pakar Kulit HUKM dan kemudiannya selepas lima bulan doktor pakar membuat surat rujukan untuk Tia dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur kerana kondisinya yang semakin teruk.
“Semakin hari keadaan Tia semakin teruk dan tidak terkawal sehinggalah kulit dia tak boleh nak pegang. Melecet pedih, 24 jam gatal-gatal dan dia menggaru. Bila mandi dia menjerit-jerit kesakitan.
“Malam tak boleh tidur. Berpeluk saja dengan dia 24 jam. Kemudian dia terus ditahan di HKL selama sembilan hari. Bermacam-macam jenis ubat yang diberikan kepada Tia. Sehari lapan jenis ubat yang Tia makan. Berjumpa doktor selang tiga hari, turun ke seminggu sekali, dua minggu sekali, tiga minggu sekali, sebulan sekali selama setahun lebih. Keadaan terkawal sebab penggunaan steroid dan ubat hospital. Dari ubat makan sampai ubat sapu. Bila berhenti makan ubat, keadaan menjadi kembali teruk.
“Sehingga satu ketika sewaktu berusia enam tahun, Tia sudah pandai luahkan perasaan dan dia tak mahu makan ubat lagi. Sebabnya bila dia makan ubat dia akan rasa lemah, letih dan tak boleh bermain-main. Dia rasa tak seronok dan dari situ saya mula mencari alternative lain dengan menggunakan Viprolabs. Alhamdulillah perlahan-lahan penyakit Tia berkurangan,” ungkap Mimi.
Berhenti Dari Tadika
Mimi turut berkongsi dia berasa sangat sedih apabila pada usia lima tahun, Tia hanya berpeluang ke Tadika selama beberapa bulan sahaja kerana keadaannya itu.
“Ketika usianya 5 tahun, hanya dua bulan dapat ke tadika. Kemudian dia terpaksa berulang alik ke hospital. Ketika usia 6 tahun, dua tadika dia pegi. Tadika pertama dan kedua tidak dapat menerima keadaan Tia. Jadi dia hanya sempat bersekolah paling lama pun hanya tiga bulan sahaja.
“Akhirnya Tia tak pergi terus ke sekolah. Tapi syukur, tadika ketiga memahami keadaan Tia dan menerima Tia sebagai salah seorang pelajar mereka.” cerita Mimi dengan nada yang cukup sedih.
Tia Semakin Pulih
Tahun 2019 Tia mula bersekolah, bulan pertama memang penuh cabaran, Minggu pertama semuanya berjalan dengan lancar. Minggu kedua keadaan Tia mula meruncing.
“Minggu kedua Tia mula menangis-nangis, tergaru-garu sehingga cikgu hubungi saya kerana badan Tia dah berdarah-darah. Kadang tu masuk pukul 7.30 kemudian jam 8.30 sekolah dah hubungi saya untuk ambil Tia. Bulan kedua bersekolah saya tunggu Tia di kantin dan dia akan hadir setakat mana dia mampu bertahan.
“Selama tiga bulan lebih Tia menderita ketika di sekolah akhirnya sekarang Tia pulih dan syukur kerana dia sudah tidak gatal-gatal teruk seperti dulu. Walaupun semakin pulih namun saya masih menjaga pemakanan Tia dan dia juga berpantang daripada mengambil beberapa makanan yang boleh membuatkan kulit Tia kembali gatal. Penyakit Tia bukan disebabkan faktor keturunan atau makanan, tetapi menurut doktor ia berpunca daripada sistem imun Tia sendiri,” jelas Mimi.
Demi menjaga anak kesayangannya, Mimi juga terpaksa berhenti kerja dek kerana keadaan Tia yang teruk pada tahun 2017. Namun pengorbanan itu sangat berbaloi kerana dia berasa puas dapat menjaga dan bersama-sama dengan Tia tatkala anaknya memerlukan ibu di sisi. Selain itu Mimi juga sangat bersyukur kerana keluarga memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada mereka sekeluarga sepanjang Tia menderita penyakit yang dihidapi.
sumber: Mingguan Wanita
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI