Lain orang, lain cara mendidik anak. Tapi jika cara itu baik dan berkesan untuk ibu bapa dalam membesarkan anak-anak apa salahnya. Masing-masing ada impian untuk melihat anak-anak kita jadi ‘orang’.
Sebab itulah dalam situasi kita nak mengajar sesuatu yang elok untuk anak akan ada cabaran. Sama ada kita sabar atau tak kerana semua itu akan diingat sampai bila-bila.
Perkongsian dari seorang ibu ini, Nazia Suhaimi mengenai caranya mengawal sikap marah dan elakkan tangan naik ketika memarahi anak mungkin boleh dijadikan panduan. Walaupun tak dapat banyak, sikit pun ok dengan tujuan kita nak anak-anak dapat pengajaran dari itu.
Orang kata jangan upload gambar anak-anak kena denda dekat medsos, nanti kasihan pada anak. Tapi percayalah, saya bukan suka-suka nak up. Ada kisah di sebalik gambar ini.
Masa saya balik kampung, saya berbual dengan sepupu saya. Saya mengeluh, saya cakap saya selalu pukul anak-anak bila marah. Dalam keadaan marah tu, sukar nak kawal sebab saya baran. Kalau dah naik angin, tangan pun sama naik.
Sepupu saya tegur, dia cakap apa kata Nazia cuba denda anak berdiri menghadap dinding? Boleh mula seawal usia anak mula faham arahan. Saya tanya nak diri berapa lama? Jawabnya kalau;
2 tahun = 2 minit 3 tahun = 3 minit 4 tahun = 4 minit
Katanya lagi, anak-anak akan faham dia buat salah bila kita denda dia begitu.
Baik, saya cuba.
Lepas balik dari kampung, ada sekali tu Mawar buat perangai lagi. Saya dah nak marah sangat dah ni, rasa baran tu dah datang tiba-tiba saya teringat kata-kata sepupu saya.
Terus saya tunjuk berdiri dekat dinding. Mula-mula Mawar tak nak, saya dah mula naik berang lagi (masa ni baran betul-betul tak dapat kawal) saya tarik Mawar berdiri menghadap dinding. Mawar menangis meraung.
Saya pekakkan telinga. Saya tengok jam, baik 2 minit. Jarum panjang mula bergerak menjalankan tugas.
Ads
Tik tok tik tok. Rasa lama sungguh.
Dalam masa 2 minit itu jugalah sebenarnya saya tertampar dengan diri sendiri. Rasa marah meluap-luap macam gunung berapi tadi mula beransur pergi.
Saya lihat Mawar masih lagi menangis.
Sedihnya..
Ya Allah.. Sedihnya tengok anak menangis. Sebelum ini aku selalu pukul Mawar. Aku tak peduli pun janji hati aku puas memukul tapi hari ni tengok ni Ya Allah.. Hari ni aku tak pukul anak..
Saya kesat air mata. Sudah cukup 2 minit.
“Mawar, meh sini” panggil saya yang duduk sedikit jauh dari Mawar. Saya mendepakan tangan.
“Mamiiiiiiii” Mawar teresak-esak berlari anak memeluk saya. Allah Allah.. Sedihnya Ya Allah.. Sayang anak yang ini.
Ads
“Mawar tahu kenapa mami denda?” nada suara saya mula lembut. Mawar menggeleng sambil lap air mata.
“Sebab tadi Kakak dah buat salah. Kakak tak boleh buat macam tu” (sambil tunjuk kesalahan itu.)
“Nahh, kalau Kakak buat lagi, mami denda lagi ya. Denda diri dekat dinding lagi.”
Mawar mengangguk perlahan. Esakan tadi mula kendur. Kepalanya masih tunduk takut nak memandang saya.
“Mawar..”
“Sayang Kakak..” terus saya merangkul tubuh kecil ini.
“Mami minta maaf sebab selalu marah-marah..” air mata saya menitis lagi.
Bahasa badan Mawar mula lembut. Agaknya sebelum ini memang takut benar dia dengan saya. Itulah kali pertama saya denda Mawar cara hadap dinding.
Ads
Mula-mula saya tak percaya, akhirnya saya faham;
1. Selepas beberapa kali saya denda cara begini, selepas tempoh denda saya terangkan pada anak-anak apa kesalahan mereka jadi mereka lebih faham apa yang kita larang.
2. Anak-anak akan mula menangis dan meraung pada permulaan metod ini, lama-lama mereka faham, bila buat salah mereka sendiri berdiri menghadap dinding.
3. Tempoh denda anak tadi juga tempoh untuk kita sebagai ibu bapa reflects kesalahan diri. Juga tempoh untuk kita bertenang.
4. Bila kita sudah bertenang, kita lebih rasional untuk bercakap dengan anak-anak.
5. Marah-marah sebenarnya tidak menyelesaikan masalah.
Akhirnya, baru saya sedar. Kalau saya marah-marah, anak-anak tak dapat mesej apa yang saya nak sampaikan.
Bila mesej tak sampai, anak-anak akan buat lagi kesalahan yang sama. Bila buat lagi, kita marah lagi. Sudahnya, kita tak berganjak dari circle yang sama.
Terima kasih sepupu, saya mula bergerak mencari ilmu parenting dari titik peristiwa ini.
“Saya ‘beli’ gaji isteri semata-mata nak suruh dia berhenti kerja dan jaga anak.” Walaupun orang kata rugilah jadi suri rumah tapi ini pengorbanan isteri yang patut semua suami hargai,” kata Abam Bocey.
Abam Bocey mengakui bahawa dia meminta isterinya, Nor Hidayah Mohd. Ali untuk meninggalkan kerjayanya dan menjadi suri rumah sepenuh masa.
Abam atau nama sebenarnya, Syed Umar Mokhtar Syed Mohd. Redzuan, 32, berkata, dia berbuat demikian kerana tidak mahu anaknya dijaga oleh pengasuh luar.
“Sebaik sahaja anak saya lahir tempoh hari, saya meminta isteri untuk berhenti kerja demi menjaga anak kami.
“Jadi, apa yang saya lakukan ialah saya ‘beli’ gaji dia. Saya berhentikan dia kerja dan saya bayar gaji yang sepatutnya dia peroleh setiap bulan,” katanya kepada Gempak.
Menurut Abam lagi, gaji yang diberikan itu untuk kegunaan peribadi isterinya tanpa termasuk keperluan nafkah lain.
“Kalau dia nak beli apa dengan duit itu, dia punya pasal. Saya hanya deposit ke akaunnya setiap bulan, itu hak dia, duit gaji dia.
“Bab nafkah dan keperluan lain, itu tak termasuk sekali kerana saya beri lain,” katanya yang memberitahu isterinya merupakan seorang akauntan sebelum ini.
Kata Abam lagi, dia lebih suka jika anaknya dibesarkan dan mendapat didikan sepenuhnya oleh keluarga sendiri.
Abam mendirikan rumah tangga dengan Nor Hidayah, pada 8 Disember 2017.
Hasil perkahwinan, pasangan itu kini dikurniakan seorang cahaya mata, Syed Uthman Hamzah yang kini berusia lapan bulan.
Ada sesetengah kanak-kanak memang ada masalah tiap kali nak buang air besar. Kadang sampai menangis-nangis meneran nak membuang. Tapi sudahnya gagal juga nak membuang. Kesian tengok si kecil yang ada masalah sebegini.
Dalam perkongsian yang dibuat oleh Dr Zubaidi Hj Ahmad, perkara sebegitu sering menjadi persoalan yang diajukan kepadanya ketika bekerja di klinik mahupun ditanya di laman Facebook.
Menurut Dr Zubaidi sembelit bukanlah satu penyakit malah kalau si kecil anda membuang tiga hari sekali juga masih dikira normal. Dalam perkongsian tersebut, Dr Zubaidi turut memberi saranan kepada ibu ayah yang tidak mahu menggunakan ubatan sebagai solusi untuk masalah tersebut.
SEMBELIT DI KALANGAN BAYI DAN KANAK-KANAK
“Doktor, anak saya sudah tidak buang air besar semenjak semalam. Saya risaulah..”
Itu adalah pertanyaan yang sering saya terima sama ada ketika bekerja di klinik, atau menjawab soalan-soalan di facebook.
Saya sering memberitahu ibubapa bahawa sembelit bukanlah penyakit, dan ia tidak didiagnosakan dengan mengira bilangan hari mereka tidak buang air besar. Malah kalau tiga hari sekali masih dikira normal jika tiada tanda-tanda bayi atau kanak-kanak itu mengalami sembelit.
Tanda-tanda anak sembelit
Antara tanda-tanda itu ialah bayi atau kanak-kanak itu menangis dan menunjuk rasa resah atau tidak selesa ketika membuang besar. Bagi kanak-kanak yang lebih besar akan mengadu rasa sakit atau mereka kelihatan meneran ketika sedang membuang air besar. Selain itu najis mereka kelihatan kering, keras, berbiji-biji seperti biji kacang. Kentut dan najis juga mungkin berbau lebih busuk.
Dalam kebanyakan kes yang berlaku, sembelit mula disyaki apabila bayi atau kanak-kanak itu hanya membuang air besar sebanyak tiga kali dalam seminggu. Ini menyebabkan mereka tiada selera untuk makan dan perut menjadi kembung.
Sering kali juga saya ditanya mengenai punca berlaku sembelit. Antara punca utama berlakunya sembelit ialah susu formula. Bayi yang diberikan susu formula mudah mendapat sembelit berbanding bayi yang diberikan susu ibu kerana susu formula sukar dihadamkan dan diserap masuk ke dalam usus.
Begitu juga jika bayi yang mula diberikan makanan separuh pejal juga mudah sembelit. Usus mereka yang tidak matang belum dapat berfungsi sepenuhnya dengan baik. Jadi pastikan makanan separuh pepejal yang hendak diberikan adalah makanan yang lembut dan mudah dihadam. Banyak kandungan air dalam makanan itu ketika menyediakannya.
Bayi dan kanak-kanak yang tidak selera untuk minum susu kerana demam, selsema, jangkitan pada tekak dan mula tumbuh gigi mudah mengalami sembelit kerana sebab kekurangan air dalam badan atau disebut dehidrasi. Bagi mengelakkan dehidrasi yang berterusan, selalunya tubuh akan menyerap lebih banyak air dari najis bagi menampung kekurangan air dalam badan. Ini menyebabkan najis menjadi lebih kering dan keras, akhirnya menyebabkan najis disimpan lebih lama dalam usus besar dan menyebabkan sembelit.
Saya tidak menafikan ada beberapa kes di mana punca sembelit disebabkan oleh penyakit kecacatan semasa lahir (congenital disease)yang disebut Hirschprung's disease apabila lubang dubur agak ketat dan sukar membuang air besar. Begitu juga jika lubang dubur tidak dibentuk dengan sempurna seperti dalam kes penyakit anorectal malformation, spinal bifida dan cystic fibrosis.
Bagi bayi atau kanak-kanak yang sering mengalami sembelit, saya cadangkan dibawa untuk pemeriksaan doctor agar penyakit kecacatan semasa lahir seperti Hirchprung’s disease dapat dikenalpasti dengan lebih awal. Penyakit-penyakit seperti ini mungkin memerlukan rawatan yang lebih agresif seperti pembedahan, jika tidak masalah sembelit akan berulang, sehingga ada kalanya mereka tidak boleh membuang air besar untuk beberapa bulan dan menyebabkan abdomen mereka kembung.
Cadangan untuk mak ayah yang nak elak pemberian ubat
Bagi ibu bapa yang mahu mengelakkan pemberian ubat, saya cadangkan melakukan beberapa cara :
1. Baringkan bayi dengan kaki ke atas dan cuba lakukan pergerakan seolah-olah sedang mengayuh basikal di udara. Ini akan merangsangkan pergerakan najis dalam usus.
2. Jika bayi yang berusia lebih enam bulan ke atas dan menyusu susu formula, boleh berikan makanan separuh pepejal seperti lobak yang dikisar dan disediakan secara segar. Berikan pada kadar yang berpatutan dan minta nasihat doctor. Ini akan menambah kandungan serat dalam pemakanan mereka dan memudahkan mereka buang najis dengan lebih mudah.
3. Bagi kanak-kanak yang berumur satu tahun ke atas boleh diberikan air buah-buahan seperti tembikai atau air mineral suam dalam kadar yang berpatutan. Memberikan jus betik yang dikisarkan juga sangat baik untuk mereka, kerana selain mempunyai banyak serat, betik juga mengandungi bahan semulajadi yang dapat merangsang pergerakan usus.
Jika ibubapa telah mencuba langkah-langkah tersebut tetapi tidak berjaya, maka bolehlah menggunakan ubat-ubat yang diberikan doctor. Antara ubat yang selamat digunakan untuk bayi enam bulan ke atas ialah Lactulose, kecuali bagi mereka yang mempunyai masalah galactose intolerant. Lactulose dijual sebagai ubat ‘over the counter’ iaitu pembeliannya tidak memerlukan preskripsi.
Lactulose boleh diambil sebanyak dua atau tiga kali sehari, dan selalunya mengambil masa empat jam untuk mendapat kesannya.
Bagi kanak-kanak berumur 5 tahun ke atas, ubat Lactulose 3.1-3.7g/5ml oral solution diberikan 5-10 ml dua kali sehari.
Bagi bayi berumur 11 bulan hingga ke 5 tahun, ubat Lactulose 3.1-3.7g/5ml oral solution diberikan 2.5-5 ml dua kali sehari.
Bagi bayi berumur kurang dari setahun, perlukan pendapat ahli farmasi atau doctor kerana dosenya bergantung kepada berat bayi itu. Tanda sembelit bayi atau kanak-kanak itu telah pulih apabila mereka mengeluarkan najis yang lembut 2 atau 3 kali sehari. Bagi ubat-ubat lain yang lebih ‘kuat’ memerlukan pandangan doctor sebelum diberikan. Jika masalah sembelit masih tidak reda, dapatkan nasihat doctor.
Jika isteri tak boleh tegur suami, maka siapa lagi yang boleh? Orang tua kita? Adik beradik kita?
Mereka tidak tinggal sekali dengan kita. Jika mereka tinggal sekali dengan kita pun, mereka tidak tahu perangai sebenar kita sebab kita tak tunjuk apa dan siapa diri kita yang sebenar pada mereka.
Tapi kita tunjuk pada isteri. Kita tinggal dengan isteri, kita tidur sekatil dan sebantal dengan isteri.
Jadi, sekiranya teguran isteri itu mencalarkan ego kita sebagai suami, menjatuhkan kedudukan kita sebagai suami, maka siapa lagi yang boleh tegur kita?
Sampai bila-bila kita takkan boleh memperbaiki diri, bermuhasabah diri andai kata tiada siapa pun yang boleh menegur diri kita sendiri.
Sentiasa merasakan diri tu betul dan sentiasa merasakan diri itu tidak salah maka, tunggulah saja teguran dari Allah SWT yang mana lebih dahsyat dan lebih besar kesannya daripada teguran dari orang-orang di sekeliling.
Ingatlah bebelan isteri atau peringatan isteri itu bukan ayat yang membosankan. Tapi itu tandanya dia sayang dan nak jaga suaminya dengan baik. Andai satu hari nanti, tiada lagi ingatan atau pesanan dari orang yang paling dekat, pasti ia akan dirindui.
Buat isteri, anda juga harus sentiasa tahu suami adalah insan yang sentiasa susah senang bersama. Hargailah dia sebaiknya. Jangan selalu samakan kehidupan kita dengan orang lain.
Layarilah rumah tangga ini dengan penuh nilai kasih sayang dan berdoalah agar dipermudahkan urusan untk terus mencapai kebahagiaan dan rumah tangga sentiasa dirahmati Allah.
Nora Danish bimbang penampilan berhijab dilabel munafik - "Tidaklah sempurna tapi lebih baik." Pelakon Nora Danish seperti yang kita ketahui sudah berhijab. Wanita ini tampil berhijab dengan penampilan yang sopan setiap kali menghadiri pelbagai majlis.