Perempuan bila hamil memang banyak yang akan berubah. Bukan sahaja bentuk fizikal, malah emosi dan juga perwatakan kadang kala turut memberi kesan. Maklum sahaja perubahan hormon yang berlaku ketika tempoh kehamilan itu adalah perkara biasa buat seorang ibu hamil.
Justeru itu penting untuk setiap ibu hamil menjaga kesihatan agar perubahan yang berlaku pada fizikal dan juga emosi tidak menjejaskan kesihatan ibu dan anak yang dikandung.
Seperti yang dikongsikan oleh Dr Zubaidi Hj Ahmad yang menyatakan ramai ibu hamil yang bekerja tidak begitu menitikberatkan soal kesihatan dan keselamatan di tempat kerja.
Menurutnya juga, kebanyakkan ibu hamil anggap bila dah jalani pemeriksaan antenatal secara berkala di klinik kesihatan telah cukup untuk memastikan kesihatan dan keselamatan ibu dan bayi sepanjang kehamilan.
Ramai wanita yang bekerja ketika hamil tidak begitu menitikberatkan soal kesihatan dan keselamatan di tempat kerja. Sebagai contoh, mereka menganggap kerjaya sebagai pegawai tadbir yang bekerja di pejabat, tidak mengganggu kehamilan dan kesihatan diri mereka.
Mereka berpendapat dengan menjalani pemeriksaan antenatal secara berkala di klinik kesihatan telah cukup baik bagi memastikan kesihatan dan keselamatan ibu dan bayi sepanjang tempuh kehamilan.
Mereka lupa bahaya isu kesihatan dan keselamatan tidak semestinya hanya isu-isu berat yang menyebabkan kemudaratan fizikal dan nyawa. Perkara-perkara kecil seperti keletihan mental dan fizikal, pergerakan dan postur, perjalanan dan bunyi bising adalah antara isu keselamatan yang harus diberikan perhatian.
Nasihat saya bagi wanita yang hamil dan bekerja, agar pastikan bekerja di tahap yang selesa mungkin. Anda boleh cuba :
1. Berehat sekejap
Jika pekerjaan anda begitu memenatkan, berehat sebentar apabila dari memfokuskan suatu pekerjaan selama beberapa minit.
2. Lakukan senaman sesuai
Letak kaki di atas jika anda telah lama berdiri, atau berdiri dan berjalan setiap dua jam sekali jika anda telah lama duduk. Ini akan membantu mengurangkan bengkak di kaki dan buku lali, dan membuat anda berasa lebih selesa. Lakukan beberapa senaman regangan untuk melindungi belakang anda.
3. Pakaian yang selesa
Pakai pakaian yang selesa, dan longgar yang diperbuat daripada kapas
4. Kasut yang sesuai buat ibu hamil
Pakai kasut bertumit rendah dan pastikan kasut anda mempunyai tumit yang tebal.
5. Bawa kelengkapan lain untuk keselesaan
Jika anda bekerja di dalam persekitaran yang berhawa dingin, pastikan membawa selendang dapat membantu menghangatkan badan.
Wanita yang hamil juga harus menjaga pemakanan mereka. Cuba dapatkan masa masa untuk makan dengan lebih kerap. Pastikan makanan yang dimakan mempunyai banyak serat untuk mengelakkan sembelit.
Pilih makanan tengah hari yang seimbang dan berkhasiat. Saya cadangkan agar membawa bekalan makanan dari rumah untuk mengelakkan keracunan makanan apabila makan di gerai yang kurang bersih.
Sumber: Dr Zubaidi Hj Ahmad