Bila Nak Beli Susu Formula Untuk Anak, Ambil Kira 7 Faktor Penting Ini!

Share

Ada macam-macam jenis susu formula di pasaran sampai ibu ayah keliru mana satu yang patut dibeli untuk anak. Sebenarnya ada banyak faktor penting yang perlu diambil kira sebelum memilih susu formula untuk anak anda.

Susu ibu adalah makanan terbaik untuk bayi. Kementerian Kesihatan Malaysia mengalakkan agar pemberian susu ibu diberikan secara eksklusif kepada bayi dari lahir sehingga berusia enam bulan. Kemudian diteruskan sehingga mencapai umur dua tahun. Makanan pejal pula mesti diperkenalkan apabila bayi mencapai umur enam bulan.

Biasanya ramai ibu mula mencari susu formula untuk anak mereka apabila si manja mula mencecah usia setahun terutama apabila mereka sudah bercerai susu ibu. Ramai ibu akan keliru dan tak tahu mana satu susu formula yang sesuai untuk anak mereka.

“Aduh banyaknya jenama susu formula kat pasaraya ni. Mana satu yang sesuai untuk anak aku? Promoter susu ini pulak tak habis-habis cakap susu dia yang paling terbaik.”

Sebelum anda tersilap membuat pilihan susu formula untuk anak, ada baiknya semak dahulu beberapa kriteria yang perlu diberi perhatian sebelum membeli.

1. Kenali jenis-jenis susu formula

Susu formula memang ada banyak jenama tetapi ada empat jenis susu formula di pasaran iaitu susu formula berasaskan susu lembu, susu formula protein dihidrolisis, susu formula berasaskan soya dan susu kambing.

Susu formula berasaskan susu lembu

Biasanya jika anak anda tiada sebarang masalah alahan maka susu formula ini boleh menjadi pilihan. Susu lembu tidak disyorkan sebagai minuman bagi bayi di bawah umur setahun kerana kandungan zat besi dan vitamin C yang rendah.

Susu formula dihidrolisis

Ia direka khas untuk bayi yang mempunyai masalah alahan atau intoleransi terhadap susu lembu. Bayi yang alah terhadap susu lembu, protein dalam susu akan menyebabkan reaksi alahan. Dia akan sukar menghadam laktosa atau gula yang terkandung dalam susu lembu. Susu ini berasaskan susu lembu tetapi protein dalam susu telah dihidrolisis menjadikan ia bebas laktosa dan bayi yang ada intoleransi terhadap susu lembu boleh menghadamnya dengan mudah.

Susu formula berasaskan soya

Sementera susu berasaskan soya diperbuat daripada kacang soya. Ia diubah suai dengan penambahan vitamin, mineral dan nutrien untuk menjadikannya sesuai sebagai susu formula. Susu formula jenis ini hanya boleh diberi kepada bayi selepas mendapat nasihat daripada doktor yang memeriksa anak tersebut. Susu formula soya tidak digalakkan diberi kepada bayi yang mempunyai alahan terhadap susu lembu kerana biasanya mereka juga akan alah terhadap soya. Susu formula soya juga berisiko merosakkan gigi bayi dalam jangka masa panjang kerana ia mengandungi sirap glukosa.

Susu formula berasaskan susu kambing

Kini lebih banyak pengeluar susu telah mengkomerisialkan susu kambing kerana khasiatnya yang dipercayai lebih baik untuk tumbesaran anak.

2. Kenali khasiat tambahan dalam susu formula

Jika anda membaca label pada tin susu formula tentu anda akan terbaca beberapa khasiat tambahan yang ada dalam kandungan susu iaitu DHA, ARA, prebiotik dan probiotik. Tetapi anda sendiri tak tahu apa fungsi khasiat tersebut kepada si kecil.

Asid lemak omega 3 (DHA dan ARA)

Nutrien asid lemak omega 3 (Docosahaexaenoic Acid – DHA dan Arachidonic Acid – ARA) dikatakan penting untuk perkembangan kognitif memberangsangkan pada bayi dan penglihatan yang baik. Bayi menyerap nutrien ini sama ada melalui plasenta atau susu ibu (sebab itu susu ibu makanan terbaik untuk bayi!) mengumpulkan zat-zat ini dalam mata dan otak mereka dalam trimester ketiga (dalam kandungan ibu) dan semasa dua tahun pertama hidup mereka. Tetapi ibu jangan pula terpengaruh dengan label susu formula yang mendakwa kandungan DHA dan ARA mereka lebih tinggi adalah yang terbaik. Menurut pakar pemakanan, kandungan lebih banyak nutrien tersebut dalam susu formula tidak bererti ia adalah susu yang terbaik. Biasanya susu formula yang mempunyai kandungan DHA dan ARA lebih tinggi akan lebih mahal harganya. Sebaiknya berikan anak anda menu harian yang kaya dengan khasiat DHA dan AA secara semula jadi seperti ikan dan makanan laut lain bagi meningkatkan pengambilan nutrien tersebut. Jadi, jumlah DHA dan AA dalam susu formula tak perlu dirisaukan sangat.

Prebiotik dan probiotik

Nutrien ini penting untuk menghasilkan persekitaran usus yang sihat serta membantu mengurangkan jangkitan dan risiko alahan. Probiotik adalah bakteria baik yang membantu penghadaman dalam usus. Prebiotik pula menyediakan keadaan yang sihat untuk pertumbuhan bakteria tersebut.

3. Pilih ikut peringkat usia

Anda tidak boleh memberi susu formula bayi usia setahun kepada bayi yang baru berusia enam bulan. Walaupun ia susu tetapi kandungannya tidak sesuai untuk usia mereka. Pastikan anda beli susu formula mengikut peringkat usia anak anda. Susu formula untuk bayi enam bulan berbeza komposisi vitamin dan mineralnya berbanding susu formula untuk bayi usia setahun. Ini kerana sistem penghadaman bayi masih belum sempurna untuknya menghadam susu formula yang dirumus untuk kanak-kanak usia setahun ke atas. Jangan abaikan label kategori usia bayi ketika membeli susu formula anak. Jangan kerana nak cari susu yang murah anda abaikan hal itu.

4. Cuba sampel dulu

Kadangkala kita tidak tahu mungkin anak akan suka atau tidak susu formula tersebut dan paling penting adakah dia berisiko mengalami sebarang alahan atau masalah seperti kembung perut, sembelit, ruam jika minum sesuatu produk susu formula. Oleh itu elakkan daripada terus membeli susu formula bersaiz besar untuk si manja. Sebaiknya dapatkan sampel susu tersebut untuk dicuba oleh anak atau jika tiada sampel, belilah dalam saiz yang kecil. Dengan cara ini, anda dapat membuat pilihan tanpa perlu membazir.

5. Jangan ikut orang

Ada ibu bapa yang mungkin terikut-ikut atau terpengaruh dengan kawan-kawan yang mengesyorkan beli susu jenama tertentu untuk anak. Perlu diingatkan yang setiap bayi mempunyai tahap penerimaan yang berbeza antara satu sama lain. Tak semestinya jika susu A itu sesuai untuk anak orang lain maka ia juga bagus untuk anak anda. Sebaiknya tanyalah kepada doktor kanak-kanak yang memeriksa kesihatan anak anda.

6. Sesuaikan dengan bajet anda

Jangan mudah terpengaruh dengan harga susu formula yang mahal. Ini kerana harga yang malah bukan penentu ia adalah yang terbaik. Kadangkala jenama yang terkenal dan mahal itu kelihatan hebat kerana faktor pengiklanan dan pemasarannya. Paling penting sekali pilih jenama susu yang sesuai dengan bajet kewangan anda kerana si kecil bukan minum susu sekotak sahaja sebulan.

7. Kandungan gula tambahan

Kebiasaannya si kecil cenderung untuk kuat minum susu dan ini meningkatkan risiko kemungkinan dia boleh mengalami penambahan berat badan secara mendadak jika minum susu secara berlebihan dalam sehari. Ini kerana dalam susu formula terdapat pelbagai kandungan gula tambahan yang sangat tinggi. Sekiranya berat badan bayi anda naik mendadak selepas minum sesuatu jenama susu formula maka anda perlu menimbang semula sama ada untuk meneruskan atau menukar jenama lain.

Untuk pengetahuan para ibu bapa, sebenarnya jika anak sudah berusia setahun ke atas, mereka tak perlu bergantung kepada susu formula lagi. Sebaiknya mereka perlu mendapatkan nutrien dan zat makanan dari sumber semula jadi melalui menu makanan seimbang setiap hari. Contohnya dapatkan sumber kalsium dari yogurt, keju dan lain-lain. Jika anak nak minum susu berikan sahaja susu segar yang lebih mudah diberi dalam cawan.

Sumber info: babycenter.com

 

 

 

Published by
Hasnita Sawal