Apabila rasa nak marah anak, mesti ibu ayah akan tinggikan suara atau pun pukul. Boleh dikatakan tindakan ini berlaku secara automatik. Kadang-kadang, marah yang keluar tu tak sepatutnya dengan kesalahan yang dibuat.
Contohnya kita tahukan anak kecil tu kalau makan, selalu berterabur. Sebahagian ibu yang hatinya sedang marah, boleh jadi meluahkan rasa marah yang maksimum ketika tengok anak makan terabur. Sedangkan ibu tahu anak kecil yang makan terabur tu memang sifat harian dia.
Maksudnya marah ibu itu kadang-kadang bukan atas faktor luaran tapi faktor dalaman. Faktor luaran itu, sekadar peluang bagi ibu untuk meluahkan rasa marah.
Apa nak buat ketika ibu ada rasa nak marah?
1) Bertenang
Kalau ibu ada rasa nak marah.. perkara penting yang perlu buat adalah berusaha untuk tenang. Nabi SAW ajar cara bertenang ketika marah.Jika berdiri maka duduk. Jika duduk maka berbaring. Lepas tu ambil wuduk.Duduk ambil nafas seketika, tenang sebentar, insya-Allah rasa marah itu akan berkurang atau hilang langsung.
2) Fikirkan terlebih dahulu
Sebelum memarahi anak, fikirkan adakah anda suka kalau dimarahi sebegitu oleh emak atau orang lain. Adakah anda mahukan anak anda memarahi anda pula seperti itu suatu hari nanti. Apa jua kesalahan yang dilakukan masih ada cara yang boleh diberitahu secara baik pada anak.
3) Elakkan mengeluarkan kata-kata negatif
Elak dari memarahi anak sehingga keluar kata-kata yang tidak elok. Setiap apa yang keluar dari mulut ibu bapa ibarat doa untuk anak. Walaupun anak mungkin belum faham tapi adakah elok jika anak juga akan meniru perkataan yang kita keluarkan apabila mereka bercakap dengan rakan-rakan. Fikir-fikirkanlah!
4) Anak bukan robot
Selain itu, kena tahu anda bukan melahirkan seorang robot yang mengikut apa sahaja arahan anda. Anda melahirkan seorang manusia yang mempunyai perasaan.Cuba fahami perasaan anak dan elakkan memarahi anak secara melulu tanpa fikirkan emosinya.
Perasaan marah ini bukan setakat pada ibu sahaja tetapi ayah pun perlu memanfaatkan perkara yang sama juga. Dalam membesarkan anak-anak, keseimbangan dalam mendidik harus ada agar anak dapat membesar dengan cemerlang.
Hakikatnya kini, dek kerana kesibukan bekerja bagi kedua ibu bapa, seolah-olah anak jadi mangsa keadaan. Anak buat silap sikit ditengkingnya dan anak menyepahkan mainan dipukul sehingga menangis teresak-esak.
Sedarlah anak-anak seperti kita juga melalui zaman bayi, zaman kanak-kanak, zaman remaja dan dewasa sama seperti anda. Jangan anggap anak-anak boleh berfikir dengan baik kerana mereka tetap memerlukan bimbingan dari ibu.