Kehamilan

Bila Scan, Doktor Kesan Ada Kebocoran Jantung Bayi. Ibu Ini Nasihat Buatlah Detailed Scan, Lebih Penting Dari 3D4D

Share

Ramai yang teruja dan tak sabar untuk membuat ujian imbasan kehamilan tertutama 3D4D scan. Kebanyakkan pasangan ingin melihat wajah anak dengan jelas ketika dalam kandungan. Namun ramai yang tidak tahu tentang detailed scan dan kepentinganya.

Rasa terpanggil untuk menjelaskan, Puan Ell berkongsi mengenai detailed scan yang telah dilakukan beliau dan menerima dugaan dengan hati yang terbuka.

Bismillah. Bila tengok video Lana Nordin haritu, memang menangis teresak-esak sama. Tengok anaknya Billy, perasaan ni boleh kata nak sama walaupun belum bersua muka lagi dengan baby sendiri ni.

Sebenarnya nak kongsi benda ni bila baby dah keluar. Tapi memandangkan ramai kawan dekat FB ni berbadan dua, jadi saya kongsikan saja. Semoga bermanfaat untuk semua.

Detailed Scan lebih penting daripada 3D4D

Pesanan untuk bakal ibu dan ayah, kalau ada rezeki lebih, buatlah detailed scan masa si ibu mengandung. Lebih penting daripada buat 3D4D scan hanya untuk lihat wajah baby ikut hidung mak ke, ikut bibir ayah ke.

Detailed scan ni untuk tengok anggota-anggota badan baby secara terperinci seperti otak, jantung, buah pinggang, perut, bilangan jari tangan jari kaki, tulang belakang, kedudukan antara mata dan lain-lain.

Kepala baby yang doktor check termasuklah cecair dalam otak, saiz kepala. Tengok juga baby ada sumbing ke tak. Ada ciri-ciri down syndrome ke tak. Jantung tu tengok dinding jantung, salur darah di jantung, ada kebocoran atau tidak. Buah pinggang pula tersumbat ke tidak. Macam-macam lagi.

Boleh dibuat antara 18-28 minggu

Detailed scan ni boleh buat bila usia kandungan antara 18-28 minggu tapi lebih baik antara 18-22 minggu sebab makin besar baby makin susah nak check, susah nak detect, susah nak tengok apa yang tak normal dan sebagainya.

2 orang anak sebelum ni, memang kami tak pernah buat. Kandungan kali ni memang tergerak hati nak buat. Masa tu dah 25 minggu. Dugaan buat kami. Doktor dapat kesan ada kebocoran di jantung baby. Terus kena rujuk pakar di hospital.

Apabila scan, Baby ada masalah VSD 

Mengikut doktor pakar, baby kami baby VSD iaitu mempunyai masalah “ventricular septal defects” atau kecacatan septum ventrikel. Secara spesifiknya PMVSD (Perimembranous Ventricular Septal Defects).

Tapi inshaAllah ada harapan untuk “spontaneous closure” maksudnya lubang tertutup dengan sendiri. Sama ada sebelum baby keluar, atau selepas baby keluar.

Seharian juga menangis sampai demam bila dapat tahu. Tapi alhamdulillah ada hikmahnya juga. Sekurang-kurangnya dapat tahu awal, dapatlah nasihat sedikit sebanyak dari pakar sebelum bersalin. Juga boleh bersedia dari segi mental. Boleh merancang kelahiran baby ni, juga penjagaan selepas baby keluar nanti.

Sepanjang kehamilan kali ni, memang banyak dugaannya. Terlalu penat fizikal & mental sampai kadang rasa tak nak cakap dengan sesiapa. Nak duduk rumah diam-diam macam duduk dalam gua. Malas nak layan ragam manusia. Sekarang ni masih cuba positif setiap hari, walaupun risau & gundah gulana tu tetap ada.

Detailed anatomy scan sangat penting!

Alhamdulillah ‘ala kulli hal. Dalam ujian Allah pasti ada hikmah & kebaikannya. Doakan baby keluar nanti sihat walafiat, dipermudahkan kelahirannya dan tiada komplikasi; mamma dan juga baby. Aamiin ya Mujib.

Cuma saya harap semua dapat mesej yang saya nak sampaikan. Detailed anatomy scan ni penting. Buatlah.

As usual, 
Ell.

Extra note: Ada yang tanya kos berapa. Saya ambil pakej detailed scan + 3D4D RM150. Kalau detailed scan saja RM110. Kos bergantung kepada klinik/hospital swasta tersebut.

Sumber: Ell F Azman

IKLAN