Bila Sesuai Khatankan Anak Lelaki & Bolehkah Dilakukan Semasa Masih Bayi? Benarkah Berkhatan Anak Cepat Baligh? Ini Pandangan Ustaz

Share

Berkhatan adalah kemestian yang perlu dilaksanakan kepada anak-anak. Tapi benarkah berkhatan awal boleh menyebabkan anak cepat baligh? Adakah khatan boleh dilakukan selepas kelahiran? Ini pandangan Imam Muda Jabbar

Bagi anak perempuan, khatan sinonim dilakukan dalam tempoh berpantang. Soalnya kini, bagaimana dengan anak lelaki. Hal ini kerana ramai yang keliru masa yang sepatutnya dan tepat untuk mengkhatankan anak lelaki.

Menurut Ustaz Abdul Jabbar Mohammed Kahar, pendakwah dan Pengarah Urusan AJAQ Consultancy & Management, berkhatan adalah sunah Rasulullah. Seperti mana sabda baginda yang bermaksud;

“Lima perkara fitrah iaitu berkhatan, mencukur bulu kemaluan, memotong kuku, mencabut bulu ketiak (cukur) dan memendekkan misai”. (Hadis Riwayat Muslim).

Pandangan para ulama dalam memahami hadis di atas terbahagi kepada tiga kumpulan iaitu hukumnya sunat bagi lelaki dan wanita  sebagai pandangan Imam Malik.

Manakala bagi mazhab Shafie, khatan diwajibkan bagi lelaki dan wanita. Bagi Mazhab Hanafi, berkhatan hukumnya adalah sunat sahaja bagi kedua-dua lelaki dan perempuan. Imam Ahmad pula berpandangan khatan hanya wajib ke atas lelaki sahaja sunat ke atas perempuan.
USIA UNTUK BERKHATAN

Bagi ibu bapa, tentunya ingin mengetahui waktu yang sesuai untuk melaksanakannya.  Bagi anak perempuan, khatan akan dilakukan selepas kelahiran atau dalam tempoh berpantang. Manakala bagi anak lelaki, ia perlu dilaksanakan sebelum mencapai usia baligh. Dalam masyarakat kita, waktu berkhatan tidak disyaratkan ketika kecil. Kebanyakannya berkhatan ketika dewasa antara tujuh hingga 10 tahun. Namun demikian, disunatkan para wali mengkhatankan anaknya pada hari ketujuh kelahiran.

Saidatina Aisyah menceritakan; Sesungguhnya Nabi SAW telah mengkhatankan Hasan dan Husein pada hari ketujuh kelahiran mereka berdua.” (Riwayat Imam al-Baihaqi dan al-Hakim)

Kebanyakan ahli ilmu berpendapat, khatan wajar dilakukan semasa budak lelaki meningkat umur baligh. Malah ada yang berpendapat lebih afdal bagi pihak ibu bapa atau penjaga melaksanakan khatan ke atas anak lelaki mereka sejak mula hari kelahirannya.

Maka tidak salah untuk melakukan khatan awal bagi anak lelaki kerana ia memberikan banyak kebaikan kepada si anak. Kulitnya juga masih lembut dan ia juga memberikan banyak manfaat dari segi kebersihan jika dilakukan pada peringkat awal usia.

KHATAN AWAL CEPAT BALIGH?

Tiada fakta yang menyokong kenyataan kanak-kanak yang berkhatan awal dikatakan mengalami akil baligh. Malah orang-orang Arab mengamalkan khatan anak lelaki selepas kelahiran dan anak-anak lelaki mereka tidak mengalami akil baligh awal seperti mana didakwa. Jika benar anak-anak akan menjadi cepat matang, maka ia lebih baik kerana dengan berkhatan anak akan dapat mengawal syahwatnya, berfikir dengan waras dan ia merupakan ciri-ciri mukmin yang berjaya.

MAJLIS ATAU JAMUAN, WAJIBKAH DIADAKAN SEMASA ANAK BERKHATAN?
 Kanak-kanak lelaki yang telah berkhatan akan merasakan diri mereka berbeza daripada kanak-kanak kecil yang lain dan seolah-olah seperti agenda dalam kehidupan menuju ke alam dewasa. Maka tidak salah untuk mengadakan majlis untuk meraikan anak-anak dan menzahirkan rasa syukur. Seperti mana firman Allah dalam surah Dhuha ayat 11 yang bermaksud “………dan adapun dengan nikmat Tuhanmu maka sebut-sebutkanlah (sebagai tanda bersyukur).

Pun begitu, mengadakan jamuan makan apabila melaksanakan kewajipan kepada anak tidaklah wajib hukumnya. Laksanakan dahulu kewajipan berkhatan dan jangan pula kerana tiada kemampuan untuk mengadakan jamuan maka kita akan melengah-lengahkan kewajipan berkhatan kepada anak.

Hikmah berkhatan bagi kanak-kanak lelaki

Hikmah berkhatan wujud dalam dua sudut, iaitu sudut agama dan sudut kesihatan. Antaranya ialah;

  • Mengelakkan terbentuknya smegma iaitu kotoran berbau busuk yang menyebabkan wuduk dan solat tidak sah.
  • Mengelakkan jangkitan pada alat sulit seperti phomosis, paraphimosis atau
  • Mengelakkan jangkitan kuman pada salur kencing.
  • Boleh mengelakkan sisa air kencing si anak daripada bertakung pada kulit kemaluan mereka terutama sekali untuk beribadah.
  • Membantu mengawal dan menstabilkan nafsu syahwat.
  • Mengurangkan risiko kanser prostat dan kanser serviks pada wanita.
  • Mencegah penyebaran kuman HIV.
  • Keselesaan semasa berhubungan intim.

INFO KHATAN ANAK LELAKI DAN PEREMPUAN

Anak lelaki

bagi anak lelaki, khatan ialah proses membuang lebihan kulit yang terdapat pada bahagian hadapan alat sulit. Proses dilakukan dengan bius untuk mengelakkan sakit.

Anak perempuan
Bagi anak perempuan,  ia dilakukan dengan cara memotong kulit yang berada di bahagian atas alat sulit. Bentuknya seperti butir atau balung ayam jantan dan yang wajibnya ialah memotongnya (menggoreskannya) sahaja tanpa membuang keseluruhannya.

Sumber: Majalah Pa&Ma

Published by
Azma ML