Perasan tak anak kecil anda semakin pandai meniru? Jadi tolong tunjuk dan cakap benda yang baik ya ibu ayah. Bila tiru benda elok tak mengapa risau pula kalau yang ditirunya itu perbuatan yang tak senonoh.
Semua ibu bapa sedia maklum yang anak-anak adalah peniru yang hebat. Mereka akan meniru perkara yang menarik perhatian dan yang mereka henda tahu sangat. Maka tak hairanlah jika ramai orang cakap, bila nak tengok bagaimana sifat diri kita maka lihatlah anak sendiri.
Menurut Lisa Nalven, M.D., Pakar Perkembangan Dan Tingkahlaku Kanak-Kanak di Valley Center for Child Development, Ridgewood, New Jersey menyatakan bahawa perbuatan meniru adalah perkara yang sangat penting dalam tahap perkembangan kemampuan bahasa dan sosial si kecil.
Perlu anda ketahui bahawa perbuatan meniru si kecil biasanya bermula apabila dia berusia setahun. Pada usia ini, anak mula masuk ke tahun-tahun penting dalam tahap perkembangannya. Mereka akan menyerap segala nilai-nilai atau kebiasaan yang berlaku di rumah dan persekitarannya. Maka ibu bapap mesti boleh menunjukkan nilai-nilai baik kepada anak.
Daniel B. Kessler, M.D., Pengarah Pakar Perkembangan dan Tingkahlaku Kanak-Kanak di Children’s Health Center of St. Joseph’s Hospital, Phoenix berkata, kanak-kanak biasanya akan memerhati dan menyerap maklumat yang mereka lihat atau dengar sebelum menirunya. Di usia setahun, anak biasanya meniru apa yang mereka lihat dan dengar.
Berdasarkan kajian dan pemerhatian yang dibuat oleh pakar, kita dapat buat kesimpulan betapa pentingnya peranan ibu ayah menjadi contoh yang baik kepada anak kerana melalui pengaruh anda berdua perkembangan karektor dan keperibadian anak dapat berlaku dengan baik.
Berikut adalah tips yang anda boleh buat supaya perbuatan meniru si kecil boleh memberi pengaruh baik pada peribadinya.
Ads
1. Jadi role model yang terbaik pada anak
Bila anda mempunyai anak kecil di rumah bererti anda sedang berada dalam pengawasan anak-anak. Maksudnya anak anda akan memerhati dengan teliti segala apa yang anda lakukan di rumah. Jadi anda perlu tunjukkan kelakuan yang terbaik.
Selama si kecil berada dalam tahap penting perkembangannya, iaitu apabila dia masuk umur setahun, sangat penting untuk menunjukkan sikap dan perilaku terbaik dari diri anda.
Ini kerana mereka akan melihat dan menyerap segala apa yang dilihat dan didengar daripada ibu ayah termasuk dalam bab makan dan minum. Sekiranya anda seorang perokok, lebih baik hentikan tabiat itu kalau mahu anak nanti tidak menurut jejak langkah anda.
2. Tanamkan rasa saling menghargai dan menghormati
Ads
Sentiasa menunjukkan sikap menghargai dan menghormati ahli keluarga supaya si kecil boleh melihat dan belajar bahawa sangat penting memiliki sikap menghargai dan menghormati orang lain.
Contohnya biasakan anda mengetuk pintu terlebh dahulu bila nak masuk ke bilik anak anda sehingga dia akan meniru kelakuan tersebut dan seterusnya memahami apa erti menghargai dan menghormati orang lain.
3. Pastikan rumah selamat kepada si kecil
Oleh kerana si kecil suka meniru perbuatan orang dewasa maka sikap tersebut juga berisiko membahayakan mereka. Contohnya mereka akan tiru buka atau tutup pintu rumah, mereka akan tiru duduk sendiri di meja makan dan macam-macam lagi perbuatan orang dewasa yang tidak sesuai dilakukan oleh si kecil tanpa pengawasan ibu ayah. Ia mungkin boleh mengundang bahaya tanpa sedar.
4. Tanamkan nilai murni pada anak anda
Ads
Mempunyai anak yang aktif meniru kelakuan ibu bapa memang kadang-kala boleh membuatkan anda risau tetapi ia adalah waktu yang tepat untuk anda mengajarnya nilai-nilai kehidupan yang baik dan berguna di masa depan.
Macam-macam nilai murni yang anda boleh ajar pada si kecil ketika usianya yang suka meniru ini dan percayalah lama-kelamaan ia akan menjadi satu kebiasaan kepadanya.
5. Jangan malu untuk meminta maaf
Sebagai ibu bapa, kita bukanlah orang yang sempurna tapi pada pandangan anak kecil, kitalah yang paling sempurna di mata mereka. Sebagai manusia biasa yang kadangkala tak dapat menahan marah pada si kecil janganlah rasa malu untuk meminta maaf pada mereka.
Ini dapat bagus untuk mengajar anak anda tentang pentingnya mengakui kesalahan, meminta maaf dan memperbaiki kesilapan yang dilakukan. InsyaAllah sehingga dewasa didikan ini akan tersemat dalam diri anak anda.
Kita memang tak boleh hentikan perbuatan semula jadi si kecil yang hebat meniru tetapi jadikan peniruan mereka itu satu perkara positif yang dapat membentuk anak menjadi insan yang hebat dan berakhlak.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Muzik terhasil daripada bunyi yang wujud di sekeliling kita. Kepelbagaian bunyi dari kicauan burung, gelombang ombak hinggalah ke bunyi bising dari kenderaan di jalan raya, jika diatur dan disusun dengan cara tertentu, ia boleh mewujudkan alunan bunyi yang tertentu.
Ia merupakan antara salah satu perkara penting dalam kehidupan kita. Ia adalah lebih daripada sekadar hiburan semata-mata. Bagi kebanyakan individu, tidak mengira usia; dewasa mahupun kanak-kanak, ia boleh membawakan kegembiraan dan memotivasikan diri, menjadi peneman ketika menghadapi kesukaran dan dapat mengurangkan rasa bimbang dan kegelisahan.
Apa itu muzik?
Muzik merupakan satu koleksi bunyi atau bunyi yang diselaraskan. Penghasilannya merupakan satu proses untuk meletakkan bunyi dan nada dalam urutan yang tertentu, dan menggabungkan untuk menghasilkan komposisi bunyi yang bersatu. Ia boleh terhasil daripada bunyi, getaran dan suasana yang sunyi, malahan penghasilannya tidak semestinya merupakan satu yang menyenangkan atau cantik. Ia boleh digunakan untuk menyampaikan pelbagai pengalaman, persekitaran mahupun emosi.
Ia mewujudkan perbezaan kepada perasaan dan emosi, contohnya bagi kanak-kanak yang sedang bersedih, mungkin akan menjadi gembira apabila mendengar lagu kegemarannya berkumandang. Ia mempunyai cara tersendiri untuk membuka minda, hati dan perasaan untuk berhubung dengan diri sendiri, individu di sekeliling dan juga persekitaran. Namun, bagaimana dengan terapi muzik untuk kanak-kanak? Apakah manfaatnya?
Apa itu terapi?
Sebelum berbicara lebih lanjut mengenai terapi muzik, apa kata kita fahami dulu mengenai terapi itu sendiri. Terapi, atau turut dikenali sebagai psikoterapi atau kaunseling, merupakan proses pertemuan bagi seseorang individu dengan ahli terapi untuk menyelesaikan isu berkaitan tingkah laku, kepercayaan, perasaan, masalah dalam perhubungan dan / atau tindak balas somatik (somatic responses) yang bermasalah. Terapi merupakan satu langkah permulaan ke arah menjadikan kehidupan, kesihatan yang lebih baik – walau apa pun cabaran yang mungkin anda hadapi. Melalui terapi, anda boleh mengubah tingkah laku, dan tabiat yang merosakkan atau memudaratkan diri, menyelesaikan perasaan atau emosi yang menyakitkan, memperbaiki hubungan dan banyak lagi.
Apakah terapi muzik?
Terapi muzik adalah perkara yang melibatkan profesional terapi yang terlatih dan bertauliah bagi menggunakan muzik secara klinikal dan berasaskan bukti untuk mencapai objektif bagi setiap individu yang berbeza. Ia digunakan untuk mengurangkan kesakitan kepada pesakit, menawarkan keupayaan untuk mengekspresikan diri mereka tanpa menggunakan kata-kata dan memudahkan proses untuk menenangkan diri melalui nyanyian, bermain instrumen, menulis lagu atau sekadar mendengarnya.
Muzik dipercayai boleh membantu individu, terutamanya kanak-kanak yang sedang mengalami tekanan dan kegelisahan yang disebabkan masalah kesihatan yang dihadapi. Terapi ini pada asasnya adalah mekanisme penyembuhan yang digunakan ahli terapi. Melalui kemahiran menggunakannya, ia dapat meningkatkan, memulihkan dan mengekalkan aspek kesihatan pesakit. Ini melibatkan fizikal, emosi, psikologi, perasaan dan juga rohani.
Ia dipercayai dapat mempengaruhi emosi dan mampu meningkatkan neurokimia dalam badan termasuk endorfin baik. Terapi ini juga dikenali sebagai terapi muzik aktif atau terapi muzik pasif, menunjukkan keupayaan untuk memperbaiki kawalan motor dan fungsi emosi kepada pesakit yang mempunyai pelbagai penyakit atau ketidakupayaan. Dari kes skizofrenia sehingga kepada penyakit Parkinson, penggunaannya seperti membantu mengurangkan simptom semula jadi bagi masalah kesihatan seperti kemurungan, atau kegelisahan, membantu menaikkan kreativiti, dan mempertingkatkan komunikasi antara pesakit dengan penjaga dan pelbagai manfaat lain.
Persatuan Terapi Muzik Amerika (The American Music Therapy Association, AMTA) mengatakan bentuk rawatan ini boleh membantu menggalakkan peningkatan kesejahteraan, menguruskan tekanan, mengurangkan kesakitan, mengekspresikan perasaan, meningkatkan memori, meningkatkan komunikasi dan mempromosikan pemulihan fizikal. Kebanyakan masa, ia secara langsung langsung digunakan kerana ia lebih fleksibel dan menawarkan peluang yang lebih besar untuk interaksi antara ahli terapi dan pesakit.
Terapi ini adalah berbeza dengan proses penghasilan muzik atau sebarang pengajaran lain kerana ia bukan sesuatu yang berasaskan pendidikan. Sebagai contoh, hasil daripada terapi ini bukanlah mengenai untuk mengajar pesakit cara atau kaedah memainkan instrumen atau membaca not muzik. Sebaliknya, tumpuan terapi ini adalah lebih kepada untuk memfokuskan pesakit untuk bergerak ke arah mencapai potensi mereka. Untuk mendapatkan khidmat ahli terapi ini, tiada sebarang syarat bahawa kanak-kanak, remaja mahupun individu dewasa untuk mempunyai kemahiran dan bakat dalam bidang ini.
Wujudkah persatuan khas di Malaysia?
Jangan tidak tahu, di Malaysia juga sebenarnya wujud persatuan yang merupakan sumber rasmi dan badan utama yang mengawal semua perkara berkaitan dengan terapi muzik di negara ini, iaitu Persatuan Terapi Muzik Malaysia (MMTA). Mengikut sejarah, pada tahun 1990-an, sekumpulan individu telah kembali ke Malaysia setelah ditauliahkan sebagai ahli terapi muzik yang berkelayakan dan mewujudkan persatuan ini yang menerapkan pelbagai kaedah terapi berasaskan muzik. Ini termasuk meningkatkan kesedaran mengenai terapi ini, meningkatkan profil terapi, menafsir dan menganjurkan perkhidmatan profesion kepada disiplin profesional lain, dan berkhidmat sebagai badan pengawal untuk terapi muzik di Malaysia termasuk hak, kelayakan, pensijilan dan pembangunan profesional ahli terapi yang lain. Tidak sangka bukan, bahawa di negara kita juga sebenarnya wujud terapi sebegini. Mungkin kerana masyarakat kita kurang terdedah atau sebenarnya, masyarakat kita malu untuk mengikuti terapi kerana beranggap terapi atau sebarang program kaunseling, adalah petunjuk kelemahan diri.
Salah faham tentang terapi muzik
Perubatan muzik, yang membawa kesan langsung kepada sistem dan fungsi badan pesakit dengan mendengarnya sama ada secara langsung atau rakaman, bukanlah satu terapi muzik
Ia tidak memenuhi syarat sebagai pendidikan muzik khas, yang mengajar pelajar khas mengenai muzik
Terapi muzik bukanlah salah satu subjek pelajaran yang membantu meningkatkan kemahiran prestasi seseorang individu dengan instrumen atau vokal
Muzik rekreasi yang bertujuan untuk melibatkan seseorang individu dalam aktiviti muzik secara santai bukanlah terapi muzik
Terapi muzik juga bukanlah satu hiburan yang melibatkan persembahan muzik secara langsung atau dirakam untuk individu yang terlibat secara pasif
Bagaimana ia berfungsi?
Kaedah dan bentuk terapi ini adalah berbeza mengikut individu. Setiap individu mendapat bantuan yang mereka perlukan berdasarkan keutamaan dan kebolehan mereka. Bagi sesetengah individu, ia bermakna memainkan instrumen, sementara yang lain mungkin lebih banyak untuk menyanyi. Sekiranya seseorang individu bergelut membuat muzik itu sendiri, saluran mereka boleh terdiri daripada penulisan lagu.
Walau apa pun kaedah dan bentuk yang digunakan, tidak dapat dinafikan bahawa terapi ini boleh menjejaskan kadar jantung dan pernafasan pesakit, terutamanya apabila ia melibatkan irama kuat. Terapi ini menggalakkan pembebasan neurotransmitter, yang dipanggil endorfin, yang mencetuskan perasaan positif dalam badan dan bertindak sebagai ubat penghilang rasa sakit semula jadi, mengurangkan ketegangan otot dan menggalakkan kelonggaran. Terdapat juga bukti bahawa ia membantu melepaskan kenangan, emosi negatif atau perasaan tertindas. Ini penting dalam proses penyembuhan pesakit kerana ia boleh membawa perubahan positif dalam pemikiran, tingkah laku dan sikap mereka.
Faedah terapi
Terapi ini boleh membantu seseorang individu, sama ada kanak-kanak, remaja mahupun individu dewasa secara keseluruhan daripada aspek badan, fikiran dan semangat. Melalui proses penghasilan dan bertindak balas kepada muzik, antara faedah yang boleh diperolehi adalah melibatkan:
Kebolehan untuk mengekspresikan emosi
Kebolehan untuk mengekspresikan kreativiti
Mengurangkan kesakitan dan kegelisahan
Membantu menjadikan seseorang individu lebih bertenang dan mendapat tidur lebih berkualiti
Menjadikan pengalaman tinggal di hospital lebih positif
Apa yang berlaku semasa terapi dijalankan?
Seseorang ahli terapi bertauliah akan menggunakan pelbagai kaedah dan cara untuk berhubung dengan seseorang individu kanak-kanak. Sesi ini akan memberikan tumpuan kepada kekuatan dan bidang yang diminati oleh kanak-kanak. Intervensi terapi ini mungkin termasuk:
Menyanyi sama ada dengan iringan instrumen secara langsung atau rakaman
Penulisan lirik lagu
Memainkan instrumen seperti hand percussion
Bercerita
Improvising (menghasilkan muzik)
Mendengar muzik secara langsung atau rakaman
Melukis atau bergerak mengikut alunan muzik
Mempelajari teknik ketenangan (relaxation) yang dibantu muzik, seperti ketenangan otot progresif atau pernafasan yang mendalam
Mengetuk dram
Menambah muzik pada instrumen suara
Menari atau bergerak dengan iringan muzik sama ada secara langsung atau rakaman
Terdapat sesetengah ibu bapa juga berminat untuk melihat atau mengambil bahagian dalam sesi terapi ini.
Apakah kesannya?
Kesan kepada fizikal
Bagi kanak-kanak dan individu remaja yang mengalami kanser atau penyakit lain, kesakitan adalah sesuatu perkara yang sukar untuk dibayangkan dan ditanggung – walau berapa banyak ubatan yang diberikan, malahan ada masa, ubatan yang diberikan mungkin tidak mencukupi untuk menutup kesakitan yang dirasai. Dengan mendengar dan bermain instrumen termasuk menulis lagu dan menyanyi, kesakitan mungkin dapat dikurangkan. Terapi ini dapat melegakan kesakitan dan mengurangkan tekanan serta kegelisahan kepada pesakit, yang membawa kepada perubahan fisiologi, seperti:
Memperbaiki pernafasan
Menjadi tekanan darah lebih rendah
Memperbaiki fungsi jantung
Memperbaiki kadar denyutan jantung
Memberikan kelegaan kepada otot yang tegang
Terapi ini dipercayai memberikan kesan signifikan terdapat keberkesanan rawatan pesakit, termasuk mengurangkan kesakitan, memberi ketenangan, memperbaiki kadar penafasan, dan menjadikan tahap kegelisahan pada tahap yang lebih rendah.
Kesan kepada mental
Berada di hospital, khususnya kepada kanak-kanak, boleh memberikan pengalaman yang menakutkan dan mengerikan, lebih-lebih lagi melibatkan masalah kesihatan berkaitan kanser atau penyakit lain yang serius. Salah satu impak berada di hospital adalah tekanan, yang dengan sendiri boleh mewujudkan masalah kesihatan.
Antara simptom tekanan yang biasa adalah:
Sakit kepala
Kesakitan atau ketegangan otot
Sakit dada
Kelesuan
Gangguan pada perut
Masalah tidur
Antara kesan tekanan kepada emosi:
Kegelisahan
Kurang rehat
Kurang motivasi untuk fokus
Perasaan bercampur baur
Kemarahan
Kemurungan atau kesedihan
Antara kesan tekanan kepada tingkah laku:
Bereaksi secara berlebihan atau sebaliknya
Kemarahan yang melampau
Mengasingkan diri dari sosial
Adakah ia berkesan?
Seperti seorang anak kecil atau bayi yang akan mula menari apabila mendengar lagu, setiap individu sama ada remaja, mahupun dewasa, akan mempunyai respons semula jadi kepada muzik. Perkara yang sama turut berlaku kepada individu yang mengalami masalah kesihatan seperti gangguan mental atau fizikal. Muzik mempunyai ‘kuasa ajaib’ untuk menghubungkan dan menjadikan setiap individu untuk memberikan tumpuannya. Dengan bimbingan ahli terapi yang bertauliah, ‘kuasa ajaib’ ini boleh digunakan untuk menghiburkan, meningkatkan, membuka minda dan membangkitkan deria untuk memenuhi pelbagai tujuan dan manfaat terapeutik.
Apakah manfaatnya?
Mengurangkan kegelisahan, tekanan
Walaupun mungkin terdapat pelbagai variasi pilihan muzik, tetapi secara amnya, ia memberikan kesan fisiologi langsung melalui sistem saraf autonomi. Ia berkeupayaan untuk mewujudkan respons motor dan emosi secara langsung, terutama apabila digabungkan dengan pergerakan dan rangsangan laluan deria yang berbeza.
Memperbaiki simptom autisme
Minat yang ditunjukkan oleh kebanyakan individu yang mengalami autisme terhadap muzik, memperlihatkan perubahan dalam komunikasi nonverbal dan lisan melalui terapi ini – yang kini dipercayai antara satu rawatan alternatif untuk merawat autisme. Kajian menunjukkan terapi ini dapat memperbaiki tingkah laku sosial, tumpuan, perhatian, komunikasi, kegelisahan dan tahap kewaspadaan diri pesakit autisme.
Memperbaiki kemurungan
Terapi ini adalah antara cara untuk merawat masalah kemurungan. Ia bukan sekadar membantu memperbaiki emosi, tetapi dapat memperbaiki kadar denyutan, pernafasan dan tekanan darah.
Mengatasi masalah penyakit Alzheimer dan Parkinson
Kajian menunjukkan terapi ini dapat meningkatkan fungsi kognitif dan kualiti hidup pesakit yang mengalami masalah kognitif, termasuk Parkinson dan Alzheimer. Muzik dipercayai dapat memberikan satu bentuk terapi yang menggalakkan pesakit-pesakit ini untuk membantu mereka mengatasi simptom dan menawarkan rangsang kepada deria mereka bersama sokongan sosial untuk sesi yang dijalankan secara berkumpulan.
Meningkatkan perkembangan janin
Ibu hamil yang sering mendedahkan muzik kepada bayi dalam kandungan menunjukkan bayi akan lebih bertindak balas terhadapnya selepas dilahirkan. Malah muzik juga dapat mempengaruhi tingkah laku positif neonatal.
Mengurangkan kesakitan
Terapi ini dapat merubah anggapan tentang kesakitan individu. Kajian menunjukkan, pesakit pediatrik yang telah menjalani pembedahan, pesakit yang mengidap penyakit kronik berkaitan masalah belakang, pesakit kanser – sebagai contoh – apabila dilakukan terapi ini, dapat mengurangkan tahap kesakitan pesakit.
Meningkatkan deria
Terapi ini akan mengguna pitch, irama dan perkataan, di mana semua itu adalah sebahagian daripada ucapan dan bahasa. Belajar bermain instrumen dapat membantu meningkatkan harga diri dan membantu pesakit untuk mengembangkan koordinasi gerakan jari dan tangan. Mendengarkan jenis muzik tertentu juga akan dapat membantu otak yang sedang berkembang. Terdapat penyelidikan yang menunjukkan bahawa terapi ini dapat menggalakkan pembelajaran yang membantu pertumbuhan pada bahagian pendengaran dan motor dalam otak.
Kemahiran menguruskan
Matlamat terapi ini adalah untuk membuat pesakit berasa lebih selesa dan membantu mereka untuk mengatasi pengalaman traumatik. Seperti yang dinyatakan Persatuan Terapi Muzik Amerika, “seorang ahli terapi mungkin boleh bercakap dengan pesakitnya, tetapi ahli terapi muzik yang bertauliah akan dapat menggunakan muzik menghubungkan pesakit secara aktif dengan keadaan psiko-emosi mereka pada kadar yang cepat.
Dengan kaedah yang tertentu, ahli terapi bertauliah ini akan dapat membantu pesakit memperbaiki keseimbangan emosi, mengurangkan kebimbangan dan kemurungan. Terapi ini akan dapat membantu kanak-kanak yang berdepan dengan kehilangan dan kesedihan serta membantu mempertingkatkan tahap komunikasi dan kemahiran sosial mereka.
Secara kesimpulannya, terapi muzik ini akan dapat membantu meningkatkan kebolehan dan kemahiran mengendalikan dan menguruskan kesakitan serta membantu mengurangkan sebarang tekanan berkaitan yang timbul kerana keperluan yang wujud untuk berada di hospital disebabkan faktor kesihatan.
Ada kalanya kita terdengar anak-anak kita berkata pada jiran atau rakan sekelas mereka, “Buatlah macam tu, nanti di akhirat Allah bakar dia dengan api neraka” ataupun “Eeee, kenapa cakap macam tu? Berdosa, nanti Allah marah..”.
Agak meragukan jika dialog-dialog seperti ini datang dengan sendirinya daripada kanak-kanak. Tentu ada orang dewasa yang telah menggunakan dialog tersebut kepada mereka yang kemudiannya diingati oleh anak-anak ini. Di dalam satu sisi, kejadian seperti ini mungkin satu petanda yang baik, kerana ini bermakna anak-anak telah mempunyai kesedaran tentang kewujudan Allah di sekeliling mereka.
Namun, yang agak dikhuatiri tentang dialog-dialog sebegini adalah mesej yang dibawakan tentang sifat-sifat Allah. Kadangkala, oleh kerana perbuatan kita menakut-nakutkan anak-anak dengan Allah, kita telah mencipta satu imej negatif tentang tuhan dalam kotak pemikiran mereka
Persoalannya di sini, mengapakah kita jarang mempromosikan Allah yang Maha Pengasih, Maha Penyayang serta yang Maha Pemberi Rezeki kepada kanak-kanak? Allah hanya diletakkan sebagai penghukum apabila kita telah kehabisan daya untuk mengawal anak-anak kita.
Justeru, untuk membina tanggapan yang betul kepada Allah kepada anak-anak yang sedang membesar, haruslah dengan cara yang betul . Ikuti perkongsian pendapat daripada guru berpengalaman dan pemilik tadika Islam, Puan Nur Edzati Kamaluddin yang merupakan Ahli Gabungan Persatuan Tadika Islam Malaysia (PERTIM) yang menyenaraikan tip membina tanggapan yang betul tentang Allah yang dipraktisnya dalam pengajaran di tadika. Kepada ibu bapa boleh jadikan ini sebagai panduan untuk mendidik anak-anak tentang Allah. .
IKUTI 5 KAEDAH INI
1.GUNAKAN SUMBER YANG SAHIH
Kita boleh menggunakan 99 nama Allah untuk memperkenalkan kanak-kanak kepada Pencipta mereka. Dengan adanya garis panduan ini, anak-anak akan didedahkan dengan persepsi yang betul tentang Tuhan mereka. Contohnya, “Allah itu Al-Khaliq, Dialah yang cipta tangan, mata, hidung dan mulut kita. Hebatkan Allah, ciptakan kita ni cantik-cantik?”
2.INGATKAN GANJARAN ALLAH
Setiap kali anak-anak melakukan kebaikan, ingatkan tentang ganjaran yang bakal mereka terima di akhirat kelak. Contohnya, “MasyaAllah, hari ni Afiq solat dengan mama, lepas tu tolong mama susun pinggan. Mesti Allah suka tengok Afiq buat baik dengan mama dan sediakan Afiq pahala banyak-banyak di akhirat nanti!”
3.IMBANGI KISAH TELADAN
Seimbangkan kisah-kisah azab dan siksa yang menjadi pembalasan pada orang yang fasik dengan kisah-kisah ganjaran yang Allah berikan pada orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Kajian mendapati bahawa kanak-kanak mempunyai tanggapan negatif terhadap penghukum. Jadi, kita mestilah berhati-hati dalam membentuk persepsi yang betul terhadap Allah.
4.KAITKAN KEJAYAAN MEREKA DENGAN RAHMAT ALLAH
Contohnya apabila anak kita mencapai satu kejayaan, kita boleh katakan pada mereka, “Alhamdulillah, Aiman dah usaha sungguh-sungguh. Mesti Allah nampak Aiman usaha dan Allah berikan keputusan yang baik untuk Aiman.
5.BERITAHU ANAK-ANAK YANG ALLAH SENTIASA SAYANGKAN MEREKA
Sebagaimana anak-anak perlu tahu yang mereka disayangi oleh ibubapa, pasti mereka merasa lebih selamat dan terhibur apabila mereka mengetahui yang mereka turut disayangi oleh Allah, setiap masa dan ketika.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bila cerita anak-anak yang ke rumah orang dan buat perangai, ada mak-mak yang dah mula takut nak bawa anak-anak. Sebabnya takut tak dapat kawal tingkah laku bila terlepas pandangan mata.
Sebenarnya sikap ibu bapa yang boleh pastikan anak-anak kita hormat, faham arahan dan pandai bawa diri bila di khalayak ramai.
Seperti yang dikongsikan oleh Puan Ezzaty Sufian, dia ada memberi cara bagaimana ibu ayah boleh mengawal tingkah laku anak bila berada dirumah orang tanpa perlu nak fikir yang bukan-bukan.
Bagus bila cerita macam ni keluar. Sebab, secara tak langsung kita ibu ayah boleh muhasabah dan review semula perangai anak-anak kita terutama bila datang rumah orang.
Macam mana nak control anak-anak kat rumah atau majlis kenduri orang?
Kita tengok pada umur anak. 2 ke 3 tahun anak masih belum boleh fikir atau bezakan baik dan buruk apa yang dia buat. Masih dalam fasa nak explore lagi. Usaha kita kena lebih untuk fahamkan dia apa yang boleh, apa tak boleh.
Umur 4, 5, 6 even 7 tahun, sepatutnya dah boleh faham arahan dan larangan dengan lebih jelas (kena tengok pada tahap kefahaman dan kematangan akal). Untuk lingkungan usia macam ni : mungkin amaran, hukuman dan ugutan (beserta tindakan) dah boleh diguna pakai, bergantung pada tahap penerimaan anak-anak.
So, nak mula dari mana? Dari usia berapa?
Jawapannya dari usia anak mula dapat kaki (berjalan) iaitu lingkungan umur setahun hingga 3 tahun. Jangan tunggu anak umur 4 tahun baru nak ajar macam-macam. Dah memang terlambat.
1) Beri hak anak.
Hak bermain, hak memanjat, hak berguling, hak menyepah, hak membaling objek, hak berlari-larian tanpa arah DI TEMPAT YANG SEPATUTNYA DIA BUAT AKTIVITI MACAM ITU.
Bagi anak ruang untuk dia penuhi segala keperluan perkembangan awal dia. Bagi anak explore ruang hidup dia. Bagi anak experience setiap aktiviti yang dia buat. Jangan halang tapi kena monitor. Bagi anak bebas sebebas-bebasnya. No rules, just FREE PLAY.
Sama ada buat kat dalam rumah sendiri atau bawa keluar pergi ke mall atau juga di padang/taman permainan selalu (lagi bagus kalau bawa tiap-tiap hari).
Ibu ayah kena peka apa kecenderungan anak pada waktu tu. Kalau kerjanya asyik nak berlari je, haa bagi dia berlari tiap-tiap hari sampai puas. Kalau dah berubah, kerja nak memanjat pulak. Sama, bawa ke tempat yang sesuai untuk dia panjat sampai puas hati. Sampai dia bosan, sampai dia dah kurang/tak buat lagi aktiviti macam tu lagi.
Penting sangat ibu ayah concern bab hak anak ni supaya bila datang ke rumah orang, aktiviti dan kehendak dia nak melasak lebih mudah kita nak kawal.
2) Ekori/pantau setiap langkah anak dalam rumah orang/majlis kenduri orang.
Setakat ni, belum pernah lagi zaty dan suami dapat nikmati makanan atau makan kenyang kat rumah orang. Sebab fayyadh memang jenis aktif dari mula dapat kaki sampai usia dia 2 tahun setengah.
So, zaty dan suami ambil giliran makan semata-mata nak ekori langkah anak. Sorang makan, sorang jaga anak. Mana anak melangkah, kita ikut.
Tengok apa dia nak buat. Apa yang boleh, apa yang tak boleh sentuh. Mana tempat dia boleh jejak, mana yang tak boleh. Memanjang kitorang cakap : fayyadh, jangan! Walaupun tuan rumah kata takpe.
Ini bukan isu takpe. Ini cerita tentang kat rumah sesiapa pun yang kita pergi, tak boleh sesuka hati nak buat macam rumah sendiri. Ajar dan bagitahu betul-betul kat anak sampai anak tahu kat rumah orang dia tak boleh bebas macam kat rumah dia.
Bila ada hari yang fayyadh tak behave, kitorang memang sekadar memenuhi undangan je. Cukup setakat 15 minit, dapat minum air pastu terus minta diri kat tuan rumah untuk balik.
Resultnya sekarang umur fayyadh 3 tahun, kalau dia teringin nak buat something kat rumah orang, dia akan pandang kami dulu. Kalau zaty cakap jangan, then dia akan akur dan duduk kat sebelah zaty.
3) Kawal pemakanan anak.
Apa sebab anak terlebih aktif? Apa jenis makanan yang kita dah suap kat anak-anak?
Fayyadh kalau dapat susu farm fresh yang ada kurma tu je pun dah lain macam dia punya aktif. Apatah lagi bila kita suap anak makanan yang manis penuh gula.
Aiskrim, kek, gula-gula, biskut, minuman bergas even air coklat/malt seawal usia 2 tahun atau lebih awal daripada tu lagi memang boleh bagi kesan pada behaviour anak-anak.
Sangat bagi kesan sampai kita mengah nak kawal pergerakan anak. Ibu ayah kena kentalkan hati bab nak bagi makan kat anak. Biarlah orang nak cakap apa.
Cuba elak langsung dari bagi sugary foods. Ubah makanan manis kepada buah-buahan. Epal, oren, pear. Itupun dah cukup untuk keperluan gula dia.
3 tahun pertama memang umur paling KRITIKAL kita nak kawal sugary foods kat anak-anak. Tapi, bila kita berjaya kawal, kesan baiknya kita akan dapat tengok lepas usia dia 3 tahun. Banyak kesan baik dia. Next time zaty cerita ya.
Semakin ramai pasangan berkahwin kini cenderung memilih gaya hidup 'childfree', iaitu tidak mahu mempunyai anak. Trend ini dilihat membimbangkan.Walaupun keputusan ini dilihat sebagai hak...