Bila Si Kecil Dah Pandai Meniru. Tolong Tunjuk Dan Cakap Benda Yang Baik Ya!

Share

Perasan tak anak kecil anda semakin pandai meniru? Jadi tolong tunjuk dan cakap benda yang baik ya ibu ayah. Bila tiru benda elok tak mengapa risau pula kalau yang ditirunya itu perbuatan yang tak senonoh.

Semua ibu bapa sedia maklum yang anak-anak adalah peniru yang hebat. Mereka akan meniru perkara yang menarik perhatian dan yang mereka henda tahu sangat. Maka tak hairanlah jika ramai orang cakap, bila nak tengok bagaimana sifat diri kita maka lihatlah anak sendiri.

Menurut Lisa Nalven, M.D., Pakar Perkembangan Dan Tingkahlaku Kanak-Kanak di Valley Center for Child Development, Ridgewood, New Jersey menyatakan bahawa perbuatan meniru adalah perkara yang sangat penting dalam tahap perkembangan kemampuan bahasa dan sosial si kecil.

Perlu anda ketahui bahawa perbuatan meniru si kecil biasanya bermula apabila dia berusia setahun. Pada usia ini, anak mula masuk ke tahun-tahun penting dalam tahap perkembangannya. Mereka akan menyerap segala nilai-nilai atau kebiasaan yang berlaku di rumah dan persekitarannya. Maka ibu bapap mesti boleh menunjukkan nilai-nilai baik kepada anak.

Daniel B. Kessler, M.D., Pengarah Pakar Perkembangan dan Tingkahlaku Kanak-Kanak di Children’s Health Center of St. Joseph’s Hospital, Phoenix berkata, kanak-kanak biasanya akan memerhati dan menyerap maklumat yang mereka lihat atau dengar sebelum menirunya. Di usia setahun, anak biasanya meniru apa yang mereka lihat dan dengar.

Berdasarkan kajian dan pemerhatian yang dibuat oleh pakar, kita dapat buat kesimpulan betapa pentingnya peranan ibu ayah menjadi contoh yang baik kepada anak kerana melalui pengaruh anda berdua perkembangan karektor dan keperibadian anak dapat berlaku dengan baik.

Berikut adalah tips yang anda boleh buat supaya perbuatan meniru si kecil boleh memberi pengaruh baik pada peribadinya.

1. Jadi role model yang terbaik pada anak

Bila anda mempunyai anak kecil di rumah bererti anda sedang berada dalam pengawasan anak-anak. Maksudnya anak anda akan memerhati dengan teliti segala apa yang anda lakukan di rumah. Jadi anda perlu tunjukkan kelakuan yang terbaik.

Selama si kecil berada dalam tahap penting perkembangannya, iaitu apabila dia masuk umur setahun, sangat penting untuk menunjukkan sikap dan perilaku terbaik dari diri anda.

Ini kerana mereka akan melihat dan menyerap segala apa yang dilihat dan didengar daripada ibu ayah termasuk dalam bab makan dan minum. Sekiranya anda seorang perokok, lebih baik hentikan tabiat itu kalau mahu anak nanti tidak menurut jejak langkah anda.

2. Tanamkan rasa saling menghargai dan menghormati

Sentiasa menunjukkan sikap menghargai dan menghormati ahli keluarga supaya si kecil boleh melihat dan belajar bahawa sangat penting memiliki sikap menghargai dan menghormati orang lain.

Contohnya biasakan anda mengetuk pintu terlebh dahulu bila nak masuk ke bilik anak anda sehingga dia akan meniru kelakuan tersebut dan seterusnya memahami apa erti menghargai dan menghormati orang lain.

3. Pastikan rumah selamat kepada si kecil

Oleh kerana si kecil suka meniru perbuatan orang dewasa maka sikap tersebut juga berisiko membahayakan mereka. Contohnya mereka akan tiru buka atau tutup pintu rumah, mereka akan tiru duduk sendiri di meja makan dan macam-macam lagi perbuatan orang dewasa yang tidak sesuai dilakukan oleh si kecil tanpa pengawasan ibu ayah. Ia mungkin boleh mengundang bahaya tanpa sedar.

4. Tanamkan nilai murni pada anak anda

Mempunyai anak yang aktif meniru kelakuan ibu bapa memang kadang-kala boleh membuatkan anda risau tetapi ia adalah waktu yang tepat untuk anda mengajarnya nilai-nilai kehidupan yang baik dan berguna di masa depan.

Macam-macam nilai murni yang anda boleh ajar pada si kecil ketika usianya yang suka meniru ini dan percayalah lama-kelamaan ia akan menjadi satu kebiasaan kepadanya.

5. Jangan malu untuk meminta maaf

Sebagai ibu bapa, kita bukanlah orang yang sempurna tapi pada pandangan anak kecil, kitalah yang paling sempurna di mata mereka. Sebagai manusia biasa yang kadangkala tak dapat menahan marah pada si kecil janganlah rasa malu untuk meminta maaf pada mereka.

Ini dapat bagus untuk mengajar anak anda tentang pentingnya mengakui kesalahan, meminta maaf dan memperbaiki kesilapan yang dilakukan. InsyaAllah sehingga dewasa didikan ini akan tersemat dalam diri anak anda.

Kita memang tak boleh hentikan perbuatan semula jadi si kecil yang hebat meniru tetapi jadikan peniruan mereka itu satu perkara positif yang dapat membentuk anak menjadi insan yang hebat dan berakhlak.

Published by
Hasnita Sawal