Wanita yang pertama kali hamil dan bakal bersalin sudah pasti tidak dapat membayangkan rasa sebenar sakit bersalin. Kebanyakan wanita yang sudah ada pengalaman melahirkan anak secara normal, rata-ratanya menyatakan sakit menahan kontraksi sebelum tiba masa mengeluarkan bayi.
Selain wanita itu sendiri bersedia daripada segi mental, suaminya juga perlu mengetahui serba sedikit informasi tentang kontraksi yang bakal dialami oleh si isteri. Dengan yang demikian, dapatlah sang suami memainkan peranan membantu isteRi melegakan dan mengurangkan kesakitan yang dialami.
Sakit faraj
Bila memasuki fasa aktif proses kelahiran, serviks akan meregang secara semula jadi. Ketika ini, faraj akan mengalami tekanan kesan gesaan kepala bayi yang cuba melalui saluran peranakan.
Apabila kontraksi semakin kuat dan menjadi kerap, kesakitan semakin dapat dirasai. Dalam keadaan ini suami perlu tenangkan isteri dengan meminta dia mempraktikkan latihan pernafsan yang betul.
Tarik nafas dalam-dalam dengan keadaan mulut tertutup dan hembuskan nafas sambil menyebut fuh dalam hela yang panjang.
Sakit pinggang
Dalam kes tertentu, kedudukan bayi dalam posisi posterior boleh menyebabkan isteri mengalami sakit belakang yang teruk. Sakit itu boleh dirasai sejak daripada awal. Di peringkat awal, kesakitan masih boleh ditahan, tapi semakin lama sakitnya sukar dikawal.
Lenguh kaki
Bila pinggang sakit, secara tidak langsung kaki pun terasa lenguh. Lebih-lebih lagi jika kantung ketuban sudah pecah. Ketika ini, urutan suami sedikit sebanyak akan membantu menstabilkan emosi isteri untuk menghadapi rasa sakit yang dialami.
Sembelit
Disebabkan gesaan kepala bayi yang melalui saluran peranakan, secara tanpa sengaja ia turut memberi tekanan kepada usus. Lalu, membuatkan perut anda terasa memulas seolah-olah mahu membuang air besar.
Apabila rasa tidak selesa, mungkin ada yang kerap ke tandas. Pastikan isteri ada peneman kerana ia adalah salah satu tanda hampir bersalin.
Seram sejuk
Kontraksi bersalin bukanlah sesuatu yang dibuat-buat. Rasa sakit yang dialami boleh menyebabkan isteri menggigil dan berpeluh.
Tambahan pula, kesakitan itu tidak dapat dijangka tempohnya. Ada yang cepat bukaan rahimnya dan dapat segera mengeluarkan bayi. Ada juga yang terpaksa menahan sakit berjam-jam sebelum bayi dilahirkan