Bahaya atau tidak demam yang dialami semasa hamil adalah bergantung kepada jenis jangkitan kuman. Tambahan lagi pada masa kini, terlalu banyak jangkitan baru. Oleh itu, paras bahaya atau tidak demam itu kepada anda yang sedang hamil adalah bergantung kepada pendedahan diri kepada kuman yang ada.
Menurut Dr Lily Fariza Karim, Pengarah Perubatan yang juga Pakar Perbidanan dan Sakit Puan di Andorra Women & Children Hospital, Seri Kembangan, demam itu adalah salah satu simptom. Jadi, tidak boleh dikatakan sama ada ia ok ataupun sebaliknya sekiranya dialami oleh ibu hamil. Pemeriksaan doktor perlu dilakukan untuk mengetahui punca demam itu disebabkan oleh apa, lebih-lebih lagi jika demam itu melebihi daripada 38°C.
Sekiranya demam yang dialami terus tinggi iaitu antara 39°C hingga 40°C dan pada masa yang sama ada simptom berkaitan seperti anda keletihan, tidak berselera makan dan kurang minum air, itu menunjukkan demam itu bukan simptom yang biasa.
Oleh yang demikian, anda perlu segera ke hospital. Dalam kes seperti ini, ia perlu dilakukan kerana anda memerlukan pemeriksaan doktor. Jika perlu, ujian darah dan rawatan sokongan seperti drip intravenous perlu dilakukan.
Lazimnya, semasa mengandung, daya ketahanan tubuh wanita mengandung seseorang itu lebih rendah berbanding orang biasa. Disebabkan itulah, anda mudah mendapat jangkitan. Kadang-kadang orang biasa tidak mudah mendapat jangkitan seperti yang dialami oleh wanita hamil.
Walau bagaimanapun, jika demam itu adalah kurang daripada 38°C dan pada masa yang sama anda rasa ok dan tiada simptom sampingan lain, maka boleh ambil paracetamol. Selain daripada paracetamol, terdapat beberapa ubat untuk mengubati demam namun tidak begitu berkesan. Jadi, paracetamol adalah ubat paling berkesan untuk mengatasi demam.Tambahan pula, paracetamol mudah didapati. Jadi, pengambilannya sudah mencukupi.
Risiko boleh menular kepada kandungan
Bergantung kepada jenis demam dan jangkitan kuman yang disyaki, ia boleh memberi kesan kepada bayi di dalam kandungan. Apa yang membimbangkan oleh para doktor ialah jangkitan virus yang dialami anda boleh menular kepada bayi. Biasanya jika demam itu dialami dalam trimester pertama.
Ia boleh menjejaskan proses pembentukan organ. Penyakitnya adalah seperti rubela, German measles atau measles. Lantaran itulah, trimester pertama adalah tahap paling kritikal sepanjang tempoh kehamilan.
Satu lagi yang dirisaukan ialah apabila anda mendapat jangkitan chicken pox semasa trimester ketiga. Perlu anda ketahui bahawa di dalam mukus faraj terdapat banyak gelembung virus. Dalam proses kelahiran, bayi akan melalui saluran peranakan dalam proses kelahiran normal boleh terdedah kepada jangkitan yang sama.
Hal ini terutamanya jika anda mengalami chicken pox dua minggu sebelum tarikh jangkaan bersalin. Sekiranya demam anda aktif dalam tempoh kritikal itu, maka doktor akan menasihatkan anda untuk menjalani proses kelahiran melalui pembedahan caesarean.
Di dalam lain masa, risiko jangkitan boleh berlaku jika demam ada ada simptom. Jangkitan kuman merebak kepada bayi mengikut jenisnya. Suhu badan yang terlalu tinggi boleh menyebabkan nadi bayi menjadi laju. Hal ini kerana apabila suhu badan tinggi dan anda mengalami dehidrasi kerana kekurangan air, ia akan menjadikan aliran darah kepada bayi menjadi kurang, lalu nadi bayi pun menjadi laju. Lama-kelamaan bayi boleh mengalami distress.
Jadi, anda perlu cepat berjumpa doktor. Impaknya, ia boleh buat bayi distress dan paling teruk bayi meninggal dalam kandungan. Jika hal ini berlaku semasa di trimester ketiga dan usia kandungan lebih 34 minggu, bayi boleh dikeluarkan. Sebaliknya, jika umur kandungan kurang daripada itu, ia boleh sebabkan risiko kematian. Oleh sebab itu, sangat penting untuk anda kekal dehidrasi dan turunkan suhu dengan cepat.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Rawat Masalah Batuk Masa Mengandung Tanpa Guna Ubat. Hanya Guna Madu Sahaja!
“Sejak mengandung ni batuk tak baik-baik. Aku tak nak makan ubat batuk. Risau la ada effect kat baby.”
Mesti ramai ibu mengandung yang mengalami batuk berpanjangan tapi dalam masa yang sama nak minum ubat batuk yang diberi oleh doktor bimbang boleh beri kesan pada bayi dalam kandungan. Semakin lama batuk yang dialami makin berpanjangan dan membuatkan ibu tak tahan menanggungnya.
Sebenarnya kalau ibu dapat ubat batuk yang diberi oleh doktor jangan risau untuk meminumnya. Ia selamat untuk ibu mengandung! Tapi kalau tak nak minum pun boleh juga sebab Dr Zubaidi Hj Ahmad ada kongsi cara lain yang lebih selamat dan mudah diamalkan oleh ibu hamil yang batuk.
Manfaat Madu Bagi Wanita Hamil
“Doktor, boleh tidak minum madu semasa hamil?”
Mengambil madu adalah amalan baik bagi wanita hamil. Ia membantu mengatasi masalah berkaitan dengan kehamilan, terutama bagi wanita yang tidak gemar menggunakan ubat sintetik bagi mengatasi masalah-masalah tersebut.
Ramai yang tidak sedar bahawa madu adalah salah satu ubat natural yang lama digunakan berkurun lamanya dalam merawat beberapa penyakit ringan dan berat.
Di dalam madu terdapat komponen antiradang dan antibakteria. Jika dikombinasi dengan bahan natural yang lain seperti halia, cengkih, kayu manis dan lemon, khasiatnya semakin baik.
1. Mengurangkan batuk
Untuk mengurangkan batuk akibat lendiran pada kerongkong, kita boleh mencampurkan satu sudu makan madu ke dalam satu cawan susu panas.
Cara lain ialah dengan mencampurkan tumbukan bawang putih atau perahan lemon ke dalam madu. Simpan di dalam botol kaca selama seharian. Ambil satu sudu makan campuran ini untuk meredakan batuk.
2. Meredakan hidung tersumbat
Madu dapat mengurangi masalah hidung tersumbat, yang biasa berlaku di kalangan wanita yang hamil. Campurkan satu sudu makan madu dan perahan lemon atau limau sambal ke dalam air hangat. Bancuh sehingga sebati dan minum perlahan-lahan apabila air mula menjadi suam.
3. Mengurangkan rasa sakit tekak
Madu memiliki komponen antiradang yang dapat mengurangkan rasa sakit tekak. Campurkan satu sudu makan madu dan perahan lemon atau limau nipis dalam air hangat. Apabila menjadi suam, kumur-kumurkan campuran sehingga rasa di tekak. Kemudian ia boleh diminum.
4. Mengurangi rasa mual (morning sickness)
Rasa mual biasa dialami oleh wanita yang hamil terutama di awal kehamilan akibat perubahan hormonal. Campuran madu dengan perahan lemon atau cuka (khall) epal akan mengurangi rasa mual.
5. Mengatasi rasa pedih perut (gastritis)
Ketika hamil pencernaan makanan agak perlahan akibat perubahan hormonal dan pembesaran saiz rahim yang menekan usus dan perut membuatkan wanita yang hamil mudah mengalami masalah penghadaman. Ramai juga yang mengalami rasa pedih perut di akhir kehamilan. Satu sudu makan madu dengan segelas susu panas dapat mengurangi tidak selesa ini.
6. Menjaga kesihatan am ibu dan anak dalam rahim
Antioksidan yang kaya dalam madu akan meningkatkan kesihatan tubuh wanita yang hamil dan ia membantu perkembangan janin.
7. Mencegah pertambahan berat badan yang berlebihan
Madu adalah produk yang dihasilkan oleh lebah secara natural. Ia boleh dijadikan sebagai pemanis pengganti gula putih. Secara tidak langsung mengurangkan pertambahan berat badan yang diakibatkan oleh pengambilan karbohidrat ringkas yang banyak.
8. Mencegah alahan akibat kehamilan
Madu juga membantu mengurangkan reaksi alahan ketika hamil (terutamanya pada kulit seperti ruam, gatal dan kekeringan) kerana madu mempunyai komponen antiradang.
Banyak lagi manfaat madu yang dapat diperolehi jika diamalkan setiap hari. Madu yang selamat digunakan oleh wanita hamil adalah madu yang telah melalui proses pasteurisasi (pasteurized honey). Ini merupakan proses pemanasan singkat hingga 72 darjah celcius untuk membunuh bakteri- bakteri boleh menyebabkan penyakit.
Bagi mereka yang gemarkan madu yang tidak dipanaskan begini, carilah madu yang dipercayai mutu dan kebersihannya.
Banyak jenis madu yang dituai secara berhati-hati bagi mengawal mutu dan kebersihan agar dapat diambil secara mentah.
Sumber: Dr Zubaidi Hj Ahmad
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Bagaimana Jika Ibu Hamil Ingin Ambil Minyak Ikan? Selamat Atau Tidak?
Anda mungkin pernah mendengar tentang khasiat dan kebaikan minyak ikan untuk kesihatan bayi yang baru lahir. Walau bagaimanapun, adakah pengambilan minyak ikan untuk ibu hamil ini benar-benar selamat? Ini apa yang anda perlu tahu sebelum mengambil minyak ikan ketika anda mengandung:
Minyak ikan sumber DHA untuk bayi
Memandangkan 2 tahun pertama merupakan tempoh masa yang penting untuk perkembangan otak bayi, asid lemak omega-3 (khususnya DHA) menjadi elemen yang penting dalam diet wanita hamil dan juga bayi. Sebagai sumber utama DHA, minyak ikan sangat disarankan sebagai makanan tambahan untuk wanita hamil dan juga ibu menyusu.
Di samping DHA membantu membina dan mengembangkan membran sel saraf dan penglihatan dalam bayi, EPA – sejenis omega-3 yang turut terdapat dalam minyak ikan, memainkan peranan penting dalam sistem imun bayi dan mengurangkan risiko mendapat masalah mental.
Manfaat kesihatan minyak ikan untuk ibu hamil
Dalam satu kajian di Australia pada tahun 2006, 98 wanita hamil yang sihat dibahagikan kepada dua kumpulan. Kumpulan pertama menerima 4 gram minyak zaitun setiap hari manakala kumpulan kedua menerima 4 gram minyak ikan. Kedua-dua kumpulan mengambil minyak ini setiap hari bermula daripada minggu ke-20 kandungan sehingga hari mereka bersalin.
Para pengkaji membuat kajian susulan selepas usia bayi menjangkau 2.5 tahun dan ke atas untuk dinilai.
Keputusan kajian menunjukkan kanak-kanak daripada kumpulan 2 (minyak ikan) mencatatkan markah yang lebih tinggi dalam penilaian koordinasi mata dan tangan. Namun, tiada perbezaan yang dicatatkan antara kedua-dua kumpulan dari sudut perkembangan fizikal dan kemahiran bahasa,
Kajian juga telah membuktikan bahawa pengambilan minyak ikan oleh ibu mengandung membantu mengurangkan risiko asma (lelah), atopi dan penyakit kulit lain.
Adakah ia menjadi kewajipan pengambilan minyak ikan untuk ibu hamil?
Untuk kejutan pembaca, khususnya ibu mengandung, jawapannya bukanlah 100% ‘YA”. Hakikatnya, bukan semua jenis ikan itu sama justeru, bukan semua jenis minyak ikan selamat untuk bayi.
Terdapat dua jenis minyak ikan yang dijadikan sebagai suplemen atau makanan tambahan. Minyak ikan yang diperbuat daripada badan ikan itu sendiri adalah selamat namun kandungan omega-3 yang diambil daripada hati ikan tersebut (cod liver oil) perlu dielakkan kerana ianya tinggi dengan vitamin A.
Kandungan vitamin A yang tinggi dipercayai akan menyebabkan pengumpulan dalam hati bayi dalam kandungan dan membawa kepada kecacatan kepada bayi.
Sekiranya diet anda mengandungi kadar retinol yang tinggi, ianya adalah amat penting untuk anda kurangkan pengambilan zat ini untuk perkembangan bayi anda.
Ini termasuklah mengelakkan daripada kerap mengambil makanan tambahan multi-vitamin dan juga produk kecantikan berasaskan retinol.
Kesimpulan
Wanita hamil hanya digalakkan untuk mengambil minyak ikan jika mereka tidak suka makan ikan atau tidak tahan dengan bau ikan. Namun perlu diingat, memakan ikan yang masih dalam keadaan asal dan tidak diproses adalah satu kaedah terbaik untuk mendapatkan zat omega-3.
Menurut pakar kesihatan, sekiranya anda makan 2 atau lebih hidangan minyak ikan (Salmon, Tuna, Ikan Kembung) setiap minggu, tiada keperluan untuk mengambil minyak ikan untuk ibu hamil.
Sekiranya anda seorang pengamal vegan, omega-3 daripada algae disarankan untuk diambil sebagai sebahagian daripada diet mengandung anda.
Jangan abaikan keselamatan si manja ketika berada dalam kereta. Belajar tentang fungsi car seat serta ketahui kecederaan yang akan berlaku kerana impak kemalangan. Ketahui lebih lanjut tentang car seat di E-Workshop Sayangi Nyawa Anak Anak Dalam Kereta, Let’s Buckle Up!
Daftar secara PERCUMA di https://toko.ideaktiv.com/product/sayang-nyawa-anak-dalam-kereta/
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
“Sumpah Stress Bila Bacaan Gula Sangkut, Terus Rasa Down”! Ikut Petua Ni Untuk Hilangkan GDM
Kencing manis, jika dahulu merupakan satu penyakit yang hanya akan dihidapi oleh individu dewasa lebih berusia, namun, kini penyakit kencing manis boleh dialami oleh mana-mana individu tanpa mengira faktor usia, sama ada dewasa, kanak-kanak malahan ibu mengandung juga turut boleh mendapat kencing manis. Adakah terdapat petua hilangkan kencing manis ketika mengandung? Ikuti artikel ini untuk mendapatkan lebih info.
Apa itu Kencing Manis?
Kencing manis atau turut dikenali sebagai Diabetes Mellitus (DM) secara ringkasnya merupakan satu masalah kesihatan yang berkaitan dengan kadar gula dalam darah yang tinggi. Ia adalah satu keadaan yang mengganggu dan merosakkan keupayaan badan untuk memproses glukosa darah atau dikenali sebagai gula dalam darah.
Di Malaysia juga, kencing manis adalah penyakit yang sangat popular di negara ini. Jika ia dibiarkan secara berterusan, tanpa sebarang kawalan dan penjagaan yang lebih baik, kencing manis berisiko untuk menyebabkan pembentukan gula dalam darah, yang cenderung untuk meningkatkan risiko komplikasi penyakit kronik dan berbahaya seperti strok (angin ahmar) dan penyakit jantung.
Secara umumnya, seperti apa yang sering menjadi kepercayaan umum, penyakit kencing manis sering dianggap sebagai penyakit yang akan menyerang individu dewasa yang lebih berusia. Tapi hakikatnya, penyakit kencing manis ini juga boleh berlaku dan bermula dari zaman kanak-kanak.
Penyakit berkaitan gula dalam darah ini boleh dibahagikan kepada dua subkategori utama; Diabetes Jenis 1 dan Diabetes Jenis 2.
#Diabetes Jenis 1
- Biasanya didiagnosis dalam zaman kanak-kanak
- Tidak semestinya dikaitkan dengan berat badan yang berlebihan
- Biasanya dikaitkan dengan kadar keton yang tinggi
- Dirawat dengan suntikan atau pam insulin
- Tidak dapat dikawal tanpa pengambilan insulin
Diabetes jenis 1 merupakan suatu penyakit autoimun, yang mana sistem imun merosakkan sel-sel yang sihat dalam badan. Dalam kes ini, sistem imun merosakkan sel beta dalam pankreas sehingga pankreas tidak dapat menghasilkan insulin sendiri.
Walau bagaimanapun, tiada bukti saintifik yang menjelaskan kenyataan tersebut. Diabetes jenis 1 memerlukan suntikan insulin secara kerap untuk mengimbangi kematian sel beta, jadi semua pesakit diabetes jenis 1 adalah bergantung pada insulin.
#Diabetes Jenis 2
- Biasanya didiagnosis pada umur 30 tahun ke atas
- Biasanya dikaitkan dengan berat badan yang berlebihan
- Biasanya dikaitkan dengan tekanan darah dan/ atau tahap kolesterol yang tinggi
- Rawatan awal adalah tanpa perubatan atau pil sebagai ubat kencing manis
- Berkemungkinan dirawat tanpa perubatan diabetes
Dalam kes diabetes jenis 2, sistem imun tidak merosakkan sel beta. Sebaliknya, diabetes jenis 2 dikategorikan sebagai ketidakupayaan badan untuk bertindak kepada insulin, yang juga dikenali kerintangan insulin dan insulin malsecretion.
Berbeza dengan diabetes jenis 1, diabetes kategori ini berlaku disebabkan oleh kerintangan insulin dan boleh juga ada kekurangan penghasilan insulin. Kerintangan insulin ini menyebabkan penghasilan glukosa daripada hati meningkat, pengurangan penggunaan glukosa oleh pelbagai organ-organ penting, peningkatan penyerapan semula glukosa oleh buah pinggang dan juga pengurangan penghasilan hormon incretin.
Namun, apakah pula kategori bagi kencing manis yang dihidapi oleh individu wanita mengandung? Ikuti penjelasan selanjutnya.
Diabetes Gestasi
Sebelum mengetahui tentang petua hilangkan kencing manis ketika mengandung, mari kita kenali terlebih dahulu mengenai apa sebenarnya diabetes ketika mengandung.
Melalui panduan terkini Persatuan Diabetes Amerika tahun 2019, mendefinisikan diabetes gestasi ini sebagai “penyakit kencing manis yang didiagnosis pada trimester kehamilan kedua atau ketiga.
Diabetis gestasi atau gestational diabetes mellitus (GDM) adalah merupakan satu penyakit yang biasa dialami oleh individu wanita hamil. Ia adalah salah satu komplikasi perubatan kerap dihadapi semasa kehamilan. Tidak seperti bentuk diabetes yang lain, diabetes gestasi akan hilang sejurus selepas kelahiran, tetapi terdapat juga yang kekal melebihi 6 bulan dan menjadi masalah diabetes mellitus. Penyakit kencing manis ini mempunyai implikasi kesihatan yang penting untuk ibu dan anak dalam kandungan sekiranya tidak dikawal dengan baik. Sekiranya anda menghidap penyakit diabetes, anda perlu mengendalikan gula darah dan memastikannya sentiasa dalam paras normal untuk melindungi kesihatan anda dan bayi anda.
Diabetes boleh menjejaskan kesihatan ibu dan janin jika tidak dikesan dan dikawal. Wanita hamil mempunyai lebih banyak risiko preeklampsia, jangkitan, pendarahan selepas bersalin, dan keguguran. Merawat diabetes gestasi sangat diperlukan untuk memastikan janin sihat dan mengelakkan komplikasi semasa kelahiran.
Punca Kencing Manis ketika Mengandung
Kenapa GDM ini berlaku secara spesifik pada tempoh kehamilan, di mana ibu hamil berisiko mendapat masalah paras gula yang tidak terkawal? Dan kenapa ia tidak boleh dirawat seperti diabetes jenis 1 atau jenis 2? Ia adalah disebabkan patofisiologi GDM.
1. Patofisiologi.
Kehamilan diiringi oleh ketahanan insulin, diselia terutamanya oleh rembesan plasenta hormon diabetogenik termasuk hormon pertumbuhan, hormon pelepasan kortikotropin, laktogen plasenta (somatomammotropin chorionic), prolaktin, dan progesteron. Perubahan-perubahan metabolik ini dan lain-lain memastikan bahawa janin mempunyai bekalan nutrien yang mencukupi.
Gestational diabetes mellitus berkembang semasa kehamilan pada wanita yang fungsi pankreas tidak mencukupi untuk mengatasi rintangan insulin yang berkaitan dengan keadaan hamil.
2. Rintangan Insulin.
Kesan insulin terganggu disebabkan oleh pelbagai hormon (seperti estrogen, kortisol dan human placental lactogen) dihasilkan oleh uri atau plasenta. Semakin plasenta membesar semakin banyaklah hormon-hormon ini dihasilkan dan semakin tinggi rintangan insulin yang terjadi.
3. Kandungan glukosa yang berlebihan dalam darah.
Proses pencernaan glukosa di dalam aliran darah dikawal atur oleh insulin. Kekurangan insulin menyebabkan glukosa tidak dapat memasuki sel badan di mana ia digunakan sebagai sumber tenaga, sebaliknya glukosa akan terkumpul di dalam darah dengan berlebihan dan menyebabkan diabetes mellitus.
Faktor-faktor Risiko
Setiap individu wanita yang sedang hamil, mempunyai risiko untuk mendapat diabetes gestasi ini. Tetapi terdapat beberapa faktor yang menjadikan sesetengah individu wanita berdepan risiko yang lebih tinggi. Antara faktor-faktornya adalah seperti:
- Individu yang berusia lebih daripada 25 tahun
- Mempunyai sejarah keluarga atau peribadi. Risiko untuk anda menghadapi GDM akan meningkat jika anda mempunyai prediabetes, iaitu keadaan di mana kandungan gula dalam darah yang sedikit tinggi dan menjadi penanda kepada diabetes jenis 2. Sekiranya pada kehamilan sebelum ini anda mendapat GDM, maka risiko untuk mendapat kembali masalah ini adalah tinggi.
- Berat badan yang berlebihan. Masalah obesiti adalah sangat berkaitan dengan diabetes. Jadi kecenderungan untuk mendapat GDM adalah tinggi jika BMI anda 30 atau lebih daripada itu.
- Etnik. Ia adalah satu faktor yang sukar untuk diperjelaskan. Tetapi sekiranya anda adalah wanita berkulit hitam, Hispanik, Indian Amerika atau Asia, risiko untuk mendapat GDM adalah tinggi.
Bahaya Kencing Manis ketika Mengandung
Seperti yang dimaklumkan di atas, masalah kesihatan ini bukanlah satu masalah yang boleh dipandang ringan dan dibiarkan tanpa sebarang rawatan. Ini kerana terdapat beberapa risiko pada kesihatan yang mungkin boleh berlaku kepada ibu hamil. Antaranya seperti pendarahan, pitam, risiko melahirkan anda bersaiz besar. Antara risiko lain yang mungkin terjadi adalah seperti:
1.Makrosomia (didefinisikan sebagai bayi yang lahir dengan berat 4.0kg atau lebih). Bayi berkemungkinan akan menghadapi kecederaan di bahu semasa kelahiran dan meningkatkan risiko untuk menjalani pembedahan Caesarean.
2.Bayi anda mungkin mempunyai paras glukosa darah yang sangat rendah (hipoglisemia).
3.Bayi juga mudah terdedah kepada jaundis atau demam kuning yang berpanjangan.
4.Bayi anda juga berisiko untuk menjadi obes dan menghidap diabetes jenis 2 apabila dewasa kelak.
5.Ibu berisiko tinggi untuk mengalami komplikasi seperti jangkitan pada saluran kencing, diabetik ketoasidosis, dan jangkitan kulat pada kulit.
6.Mudah terdedah kepada kelahiran pramatang disebabkan Polihidramnios dan bayi yang bersaiz besar.
7.Ibu berisiko tinggi mendapat preeklampsia (darah tinggi) dan tumpah darah.
Petua Hilangkan Kencing Manis ketika Mengandung
Setiap penyakit atau masalah kesihatan pasti akan ada cara untuk mengatasinya atau paling tidak kaedah yang boleh diikuti untuk mengawal sesuatu permasalahan penyakit. Berikut adalah antara beberapa petua hilangkan kencing manis ketika mengandung yang boleh anda cuba dan ikuti.
1. Ubah diet pengambilan makanan seharian
Petua hilangkan kencing manis ketika mengandung yang paling utama adalah dengan melakukan perubahan dalam pemakanan yang anda makan. Diet yang penuh nutrisi adalah salah satu cara terbaik untuk mengawal gula darah. Wanita hamil perlu mengehadkan makanan yang mempunyai kadar gula dan karbohidrat yang tinggi.
Sebaliknya, ibu perlu makan pelbagai jenis makanan seperti kanji, zat besi, vitamin, dan makanan rendah lemak. Makan tiga hidangan kecil dan satu hingga tiga makanan ringan setiap hari. Wanita yang mengandung juga harus makan banyak makanan kaya serat seperti buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin, beras bijirin penuh, roti. Ibu hamil obes yang didiagnosis dengan diabetes gestasi harus bermula dengan diet 30 kcal/kg hari.
Doktor mungkin mencadangkan anda bertemu pakar diet berdaftar untuk membantu anda membuat pelan diet yang boleh anda ikut. Ia perlu bagi menangani kencing manis ketika mengandung, tetapi masih membekalkan kalori dan nutrien yang cukup untuk bayi anda.
Di bawah adalah beberapa tip memilih makanan baik yang boleh anda ikuti:
- Makanan bijirin penuh seperti roti gandum penuh
- Pilih makanan rendah GI, Indeks Glisemik- adalah bagaimana mengukur makanan yang mengandungi karbohidrat meningkatkan glukosa darah, seperti pasta yang diperbuat daripada tepung gandum, epal, oren, kekacang, jagung manis dan bubur.
- Henti minum minuman manis
- Pilih makanan yang dipanggang, bukannya digoreng
- Amalkan makanan berserat seperti perbanyakan pengambilan sayuran berdaun hijau dan buah-buahan
2. Makan secara tetap
Apabila sudah mengetahui pelan pemakanan yang baik untuk anda ikuti ketika sedang hamil, anda juga perlu memastikan anda mempunyai jadual pemakanan secara tetap dan elakkan daripada melangkau sebarang waktu hidangan makanan walau sesibuk mana anda dalam melaksanakan pekerjaan harian anda.
Maka petua hilangkan kencing manis ketika mengandung yang harus diamalkan adalah untuk makan 3 kali hidangan makanan yang bersaiz kecil atau sederhana. Jangan mengambil sesuatu hidangan makanan dalam kuantiti yang besar dan banyak. Jika perlu, anda juga boleh untuk menambah waktu pengambilan snek dalam pemakanan harian anda.
Berikut adalah panduan waktu pemakanan yang dicadangkan untuk diikuti:
Disarankan makan pada 3 waktu makan utama iaitu :
- Sarapan pagi antara jam 6.30 pagi hingga 8.00 pagi
- Makan tengah hari antara jam 12 tengah hari hingga 1.30 petang
- Makan malam antara jam 6.30 petang hingga 7.00 malam
Waktu untuk mengambil makanan snek, ambilnya di antara waktu makan utama:
- Minum pagi antara jam 10.30 pagi hingga 11.00 pagi
- Minum petang antara jam 4.00 petang hingga 4.30 petang
- Minum malam antara jam 10.00 malam hingga 10.30 malam
Cuba makan pada masa yang sama setiap hari dan pada jumlah yang sama setiap kali. Ini dapat membantu tahap gula dalam darah anda kekal stabil. Cara ini boleh dianggap sebagai petua hilangkan kencing manis ketika mengandung yang boleh diamalkan.
Berikut adalah beberapa jenis makanan yang perlu dielakkan, seperti semua jenis gula, minuman berkarbonat, kordial, sirap, jem, kaya,kuih manis, aiskrim, susu pekat manis, yogurt manis, buah dalam tin, jeli dan lain-lain.
Terdapat beberapa jenis makanan yang boleh diambil tetapi perlu dikawal kuantiti pengambilannya seperti bijirin, nasi, roti, biskut, kuih yang tidak manis, semua jenis pasta dan mi, capati, roti canai, tosai, semua jenis ubi, kekacang, susu dan buah-buahan.
3. Aktiviti fizikal
Siapa kata wanita mengandung tidak perlu melakukan sebarang aktiviti fizikal atau bersenam? Risau senaman akan mendatangkan mudarat kepada kandungan? Itu pastinya mitos yang terlalu karut untuk dipercayai. Ini kerana individu wanita yang hamil juga perlu untuk melakukan aktiviti fizikal untuk mengekalkan tahap kesihatan pada paras yang terbaik. Doktor mungkin mengggalakkan supaya anda menambah senaman kepada rutin mingguan anda, kerana ia adalah baik untuk anda dan bayi.
Senaman pastinya merupakan satu aktiviti fizikal yang dapat membantu menurunkan tahap gula dalam darah dengan berfungsi mengangkut gula ke sel untuk digunakan sebagai sumber tenaga. Mengamalkan senaman juga dapat meningkatkan kepekaan terhadap insulin, yang bermakna badan tidak memerlukan insulin untuk membantu membawa gula ke sel-sel badan.
Senaman juga pastinya dapat membantu mengurangkan rasa ketidakselesaan semasa kehamilan seperti sakit belakang, kekejangan dan lain-lain. Bersenam semasa hamil adalah tidak salah, tetapi apa yang perlu diutamakan adalah ibu yang mengandung perlu memilih senaman yang bersesuaian dengan keadaan fizikal semasa. Senaman ringan dan mudah seperti berjalan kaki, aerobik, berbasikal dan berenang adalah antara aktiviti fizikal yang digalakkan untuk dicuba. Lakukan aktiviti fizikal ini secara tetap dan teratur selama 15 sehingga 30 minit setiap hari. Ini bukan sahaja petua hilangkan kencing manis ketika mengandung, sebaliknya ia juga dalam masa yang sama membantu menjaga tahap kesihatan anda.
Ini akan membantu badan anda menggunakan insulin dengan lebih baik, dan membantu mengawal paras gula darah. Anda juga boleh bertanya kepada doktor anda mengenai senaman yang bersesuaian untuk dicuba serta dan kekerapan senaman yang boleh dilakukan oleh wanita hamil.
4. Pantau tahap gula dalam darah
Selain petua hilangkan kencing manis ketika mengandung dengan mengubah diet pengambilan makanan seharian, antara petua hilangkan kencing manis ketika mengandung yang perlu untuk dilakukan setiap hari adalah untuk memeriksa dan memantau paras gula dalam darah sentiasa dalam keadaan terkawal. Anda perlu menguji tahap gula dalam darah anda secara teratur, sebelum makan dan antara 1 atau 2 jam selepas pengambilan sebarang hidangan makanan utama.
Anda boleh melakukan pemeriksaan tahap gula dalam darah di rumah dengan mendapatkan alat pengukur meter glukosa darah yang boleh digunakan di rumah dan pastinya ia akan membantu anda untuk memudahkan kerja pemantauan paras gula dalam darah anda. Namun, sekiranya anda tidak mempunyai alat pengukur meter glukosa darah, doktor mungkin akan mencadangkan anda untuk mendapatkan pemeriksaan di klinik.
Terdapat juga sesetengah individu wanita hamil memerlukan rawatan insulin. Kira-kira 15% wanita mengandung yang menghidap kencing manis memerlukan insulin untuk mencapai tahap glukosa darah secara berterusan. Insulin adalah hormon yang digunakan untuk merawat diabetes dengan mengawal gula dalam darah. Jika diet dan senaman tidak cukup untuk mengimbangi gula dalam darah, wanita hamil akan disuntik dengan insulin supaya jumlah glukosa dalam darah kembali ke tahap yang selamat. Bagi sesetengah wanita, jenis ubat-ubatan seperti glyburide juga merupakan pilihan.
5. Pengambilan vitamin C dan D
Antara petua hilangkan kencing manis ketika mengandung adalah dengan memperbanyakkan pengambilan vitamin C dan D. Kekurangan vitamin c dikatakan mempunyai hubungan kait secara langsung dengan masalah kesihatan kencing manis semasa hamil. Terdapat kajian yang dilakukan kepada wanita yang hamil, menunjukkan bahawa individu wanita yang menghidap penyakit kencing manis semasa tempoh kehamilan dan memperbanyakkan pengambilan vitamin C secara tetap akan kurang untuk berdepan risiko mengalami diabetes jenis 2.
Vitamin D pula merupakan nutrien penting yang diperlukan dalam beberapa proses dan fungsi dalam badan kita. Penyerapan vitamin dan nutrien yang penting seperti kalsium, besi, magnesium, dan fosfat dapat dilakukan dengan memaksimumkan penyerapan nutrien makanan yang kaya dengan vitamin D.
Penjagaan Kesihatan
Hamil bermakna bahawa ia bukan mengenai anda sahaja lagi. Mulai sekarang, keselamatan bayi dalam kandungan anda harus diberi keutamaan dari apa jua keputusan yang anda buat. Oleh itu, ikuti gaya hidup yang sihat, lakukan senaman dan pantau paras glukosa darah anda adalah apa yang harus anda tumpukan semasa anda mengandung.
Mengalami GDM ketika hamil membuatkan anda cenderung untuk mengembangkan diabetes jenis 2, tetapi ia tidak semestinya akan berlaku. Apa yang penting anda perlu menjaga tahap kesihatan anda dengan lebih baik sekiranya anda dikesan mengalami masalah kencing manis ketika sedang hamil. Jangan lupa untuk mengamalkan dan mengikuti petua hilangkan kencing manis ketika mengandung!
Sumber: Hello Doktor
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI