Waktu mandi adalah antara bab yang paling merisaukan kebanyakan ibu bapa baharu. Pelbagai perkara bermain di fikiran. Tenang, ini cara memandikan bayi langkah demi langkah, barulah confident nak mandikan si kecil nanti.
Berapa kerap perlu memandikan bayi?
Mandi 2-3x seminggu, selama 5-10 minit bagi setiap sesi secara amnya sudah cukup untuk memastikan bayi berada dalam keadaan bersih. Manakala jika si kecil gemarkan air, anda boleh memandikan mereka sekali sehari.
Elakkan daripada memandikan lebih daripada sekali kerana ia boleh mengeringkan kulit bayi baru lahir. Bagi cara memandikan bayi untuk membersihkan bahagian kemaluan si manja, anda hanya perlu menggunakan air suam dan pad kapas.
Si kecil boleh dimandikan pada bila-bila masa, tetapi idea yang terbaik adalah ketika anda dalam keadaan tenang dan tidak terganggu. Hindari daripada membawa si kecil mandi pada saat mereka lapar atau sejurus selepas menyusu.
Jika bayi berasa lebih tenang selepas mandi, anda boleh memandikan mereka pada waktu petang. Tabiat ini dipercayai membantu si kecil tidur lebih lama.
Tip persediaan
Berikut antara tip untuk menghindari risiko semasa membawa si kecil mandi:
- Ketepikan telefon pintar untuk membolehkan anda fokus kepada si kecil
- Letakkan segala keperluan seperti tuala, kain lap, mainan mandian, losen atau syampu, pakaian dan lampin bersih berdekatan dengan anda
- Pastikan semua barangan keperluan atau peralatan elektrik jauh daripada capaian bayi
- Penting untuk pastikan suhu air yang akan digunakan untuk memandikan si manja antara 37-38°C
- Sebaiknya lap dan pakaikan bayi baju di lantai atau meja menukar pakaian
Cara memandikan bayi menggunakan span
Bayi baru lahir perlu dimandikan secara mandian span untuk beberapa minggu pertama usia mereka.
Ia adalah cara mudah untuk membersihkan bayi sebelum tali pusat tertanggal serta sesuai untuk mandikan bayi lelaki yang dikhatankan sebelum sembuh.
Ini cara memandikan bayi dengan span:
- Pilih bilik bersuhu sederhana untuk memandikan si kecil. Kemudian tanggalkan pakaian dan lampin bayi serta balutkan mereka dengan tuala.
- Baringkan si kecil atas permukaan rata seperti lantai, meja menukar pakaian atau katil dan pastikan sebelah tangan sentiasa memegang bayi agar mereka tidak jatuh.
- Buka tuala pada sebelah bahagian yang ingin dimandikan.
- Mulakan pada bahagian muka dan bahagian atas kepala bayi. Celupkan span bersih ke dalam air suam tanpa sabun untuk elakkan sabun daripada masuk ke dalam mata atau mulut bayi. Sapukan pada bahagian atas kepala, sekeliling mata dan telinga luar, dagu serta lipatan leher.
- Seterusnya titikkan 1-2 sabun ke dalam air suam. Celupkan span ke dalam air sabun dan lapkan pada seluruh bahagian badan serta kawasan lampin.
- Jika si kecil telah dikhatankan, cara memandikan bayi adalah dengan mengelakkan daripada membersihkan alat sulit mereka bagi memastikan lukanya kering, melainkan diarahkan sebaliknya oleh doktor.
- Keringkan bayi terutamanya pada bahagian lipatan kulit. Pakaikan lampin bersih. Anda boleh menggunakan tuala dengan hud untuk memastikan kepala mereka sentiasa hangat.
Cara memandikan bayi menggunakan tab mandi
Sebaik sahaja tali pusat bayi sudah tertanggal dengan sendirinya, anda boleh mula memandikan si manja dengan merendamkan badannya dalam tab mandi.
- Letakkan tikar anti licin pada lantai bilik air dan di dalam tab mandi.
- Isi tab mandian dengan air secukupnya. Jika bayi sudah boleh duduk, isikan air hingga pada kedalaman pusat nya.
- Pastikan air bersuhu sekitar 37- 38°C sebelum meletakkan bayi ke dalam tab mandian.
- Masukkan bayi ke dalam tab secara perlahan-lahan dan pastikan sebelah tangan anda sentiasa ada bersama mereka.
- Bagi memandikan bayi dalam tab mandi besar, anda perlu berlutut atau duduk di atas bangku rendah supaya tidak menyakitkan bahagian belakang.
- Rambut bayi hanya akan disyampu pada langkah terakhir, hanya 1-2x seminggu. Untuk melakukannya, bayi akan dibaringkan secara menelentang dan rambut dibilas secara perlahan-lahan.
- Gunakan kain lap lembut untuk membersihkan muka, leher dan badan bayi. Bahagian alat kelamin dan bawah dilakukan selepas itu.
- Perlahan-lahan, angkat bayi keluar daripada tab mandian dan balut mereka dengan tuala kering lembut bagi memastikan mereka kekal hangat.
- Sebaiknya kekalkan penggunaan sabun, syampu dan mandian buih pada tahap minimum – jika terlebih, ia boleh merengsakan kulit dan menyebabkan ruam lampin. Pembersih lembut bukan sabun adalah alternatif yang baik.
Jika bayi kelihatan takut untuk mandi dan menangis, anda boleh mandi bersama mereka. Lebih mudah sekiranya ada individu lain yang dapat membantu memegang bayi semasa anda masuk dan keluar daripada bilik air.
Risiko untuk bayi lemas dalam tempoh beberapa saat adalah tinggi walaupun dalam air yang sangat cetek.Jadi jangan pernah membiarkan bayi sendirian di dalam bilik air walaupun anda menggunakan kerusi mandi atau apa juga alasan.
Kanak-kanak kecil lain bukanlah individu yang terbaik untuk membantu mengawasi bayi, maka sekiranya perlu meninggalkan bilik air walaupun seketika, bawa si kecil bersama anda!
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI