Melangkah masuk ke kediaman mewah ini sudah cukup buat sesiapa teruja. Gabungan dekorasi eksklusif, sentuhan landskap ala resort, dan suasana rumah yang begitu “hidup” menjadikan setiap ruang seolah-olah bercerita tentang gaya hidup si pemiliknya yang penuh warna dan inspirasi.
Figura yang dimaksudkan adalah Dato’ Azril Mohd Radzi, pengasas kepada jenama terkenal V’Asia Cosmetic & Healthcare. Seorang figura yang bukan sahaja berjaya dalam dunia perniagaan, malah cukup menjaga kesihatan, kekeluargaan, dan spiritual.
Di sisi beliau, sentiasa setia menyokong adalah Datin Balqish hussni isteri tersayang yang menjadi tulang belakang dan sumber ketenangan dalam kehidupan seharian.
Baru-baru ini Pa&Ma mendapat peluang untuk berkunjung ke kediaman usahawan yang berjaya ini bagi program Projek Dekorasi Parenting. Nak tahu jom ikuti lanjut perbualan kami dengan Dato’ Azril.
Dekorasi Rumah Ala Resort Gabungan Elegan & Inspirasi Global
Apabila berbicara mengenai dekorasi kediamanya, menurut Dato’ Azril dia memilih kediaman yang menyatukan elemen modern tropical resort, dihiasi warna-warna menenangkan seperti hijau dan biru lembut, mural dinding yang diinspirasikan dari Eropah, serta gabungan perabot dan idea daripada pereka antarabangsa itulah konsep kediaman mereka.
Setiap sudut ada ceritanya. Ruang famili misalnya, diberi sentuhan mural Eropah, menggambarkan cinta Dato’ Azril terhadap travel dan seni.
FULL VIDEO KEDIAMAN DATO’ AZRIL:
Ads
“Dekorasi dari inspirasi dari designer antarabangsa, tapi semua tetap ikut taste dan gaya saya sendiri,” kongsinya.
Ketika pandemik, rumah ini didekor bersama ID (interior designer), namun hasil akhir masih mengekalkan jiwa pemiliknya.
Infrared Sauna & 10,000 Langkah Sehari
Bila ditanya tentang ruang istimewa di rumah, Dato’ Azril terus menyebut tentang gym room dan sauna inframerah yang ada di kediaman mereka. Katanya, demi jaga kesihatan, dia pastikan setiap hari berjalan sekurang-kurangnya 10,000 langkah.
“Saya pastikan setiap hari saya buat 10,000 langkah untuk kekal sihat dan bertenaga,” kata Dato’ Azril.
Tidak hanya mengamalkan gaya hidup sihat, rumah ini juga dilengkapi dengan infrared sauna.
“Saya pun guna sauna lepas bersenam. Isteri pula memang akan gunakan sauna setiap kali berpantang untuk keempat-empat anak kami,” tambahnya lagi.
Ruang Hiburan Seperti Mini Pawagam
Selain itu, rumah ini turut dilengkapi mini pawagam. Bila tiba hujung minggu, keluarga ini akan “berpindah” ke bilik hiburan mereka yang lengkap dengan skrin besar, kerusi empuk seperti panggung wayang, serta set karaoke .
Ads
“Saya tak pandai menyanyi. Tapi anak-anak memang suka menyanyi . Karaoke ini biasanya kami guna bila ada tetamu kata Dato’ dengan senyuman.
Set Hi Tea Jenama Mewah
Selain itu, Pa&Ma juga berpeluang meninjau di ruangan dapur. Masuk ke dapur, mata pasti tertumpu pada ruang yang luas dan moden, dengan rekaan konsep kaca.
“Saya masak setiap hari, itu rutin dan terapi bagi saya,” kongsi Datin Balqish . Tak hairanlah, koleksi pinggan mangkuk beliau pun memang luar biasa. Daripada Royal Albert yang dibeli di London dan set hi-tea Noritake yang lazimnya harga mencecah RM1,000. Semuanya menggambarkan cita rasa elegan dan premium mereka suami isteri.
Malah, menurut datin, Dato’ Azril turut meminati koleksi pinggan mangkuk, menjadikan hobi ini sebagai aktiviti bersama yang unik.
Mini Surau dan Misi Kemanusiaan
Ads
Lebih dari sekadar kemewahan, kediaman ini juga menyimpan nilai spiritual yang tinggi. Mereka memiliki sebuah surau yang boleh memuatkan 20 orang dalam satu masa. Di sinilah diadakan kelas mengaji dan majlis ilmu.
Malah, dari hasil penjualan produk dan perniagaan, menerusi Yayasan V’Asia, Dato’ Azril turut menyumbangkan misi kemanusiaan antaranya membina masjid di Gilgit, Pakistan, sebuah kawasan sejuk yang sebelum ini tidak memiliki masjid.
“Bila ada perayaan, ibadah korban pun banyak kami salurkan ke sana,” kongsi Dato’ dengan rendah hati.
Kolam Luas, Rumah Kucing & Taman Kanak-Kanak
Siapa sangka, rumah ini turut menjadi tumpuan kerana konsep landskap ala hotel. Ada kolam air yang dikelilingi pokok hijau, deruan air yang menenangkan, dan suasana tropika yang mendamaikan.
Mereka turut membina rumah kecil lengkap dengan gelongsor khas untuk anak-anak, serta rumah kucing untuk haiwan kesayangan mereka.
Nyata, Dato’ Azril tidak kisah berhabis untuk memberikan yang terbaik buat keluarganya.
Satu Harapan, Banyak Inspirasi
Melihat rumah ini bukan sekadar menilai rekaan atau gaya, tapi juga menyerap semangat dan inspirasi yang dibina dari usaha gigih, kasih sayang keluarga, dan kepercayaan kepada rezeki Tuhan.
“Kami hanya berkongsi, mana tahu boleh beri inspirasi pada orang lain.” – Dato’ Azril
Dan ya, sememangnya ia memberi semangat pada yang melihat bahawa kejayaan bukan hanya tentang kemewahan, tapi bagaimana ia digunakan untuk beri nilai kepada orang lain.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Duit raya guna beli emas, gadis minat emas sejak Sekolah Menengah. Sudah menjadi kelaziman anak muda hari ini menggunakan wang simpanan mereka untuk membeli gajet terbaru atau barangan fesyen yang sedang menjadi ikutan.
Duit Raya Guna Beli Emas, Gadis Minat Emas Sejak Sekolah Menengah
Namun, berbeza pula dengan seorang gadis dari Kemaman, Terengganu ini. Dia memilih untuk membelanjakan wangnya dalam bentuk pelaburan yang lebih bernilai iaitu emas.
Nurulain Nazifa Azuwa @ Anith, 24 tahun, berkongsi kisah minatnya terhadap emas bermula sejak zaman persekolahannya. Ketika itu, beliau membeli sebentuk cincin seberat dua gram sebagai permulaan simpanan emasnya. Walaupun masih di bangku sekolah menengah ketika itu, beliau sudah mempunyai kesedaran awal tentang pentingnya menyimpan.
“Saya berasal dari keluarga yang sederhana. Sebagai anak sulung, saya belajar untuk lebih bertanggungjawab dan berfikiran jauh ke hadapan. Selain itu, saya banyak membaca tentang kepentingan menyimpan. Setiap kali musim perayaan, saya kumpulkan duit raya dan gunakan untuk membeli emas,” ujarnya.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Pentadbiran dari Universiti Teknologi Mara itu turut menjelaskan bahawa didikan ibu bapanya yang menekankan agar berbelanja mengikut keperluan dan bukan kehendak menjadi prinsip yang dipegang hingga hari ini. Baginya, membeli emas adalah pilihan bijak memandangkan nilainya yang sentiasa meningkat.
Tambahnya lagi, emas pernah menjadi penyelamat kewangannya ketika melalui detik sukar semasa menuntut di universiti. “Pernah satu ketika saya terpaksa menggadaikan emas untuk mendapatkan wang. Jadi, walaupun harga emas kini lebih RM400 segram, saya tetap berusaha menyimpan. Setiap bulan saya peruntukkan kira-kira RM1,000 untuk membeli sekurang-kurangnya sebentuk cincin,” katanya.
Minat terhadap emas juga turut dikongsi oleh Nik Noor Azleeen Ramli, 42 tahun, yang sudah mengumpul barangan kemas sejak mula bekerja lebih dua dekad lalu. Menurut Pengurus Cawangan Affin Bank itu, minatnya terhadap emas berakar sejak kecil dan sehingga kini beliau masih aktif menambah koleksi peribadi.
Walaupun reka bentuk emas kini semakin moden, beliau menegaskan bahawa bentuk atau gaya tidak menjadi keutamaan dalam pemilihan. “Saya tidak semestinya membeli mengikut trend. Jika rekaan klasik pun tetapi menarik bagi saya, saya akan beli. Pernah juga saya menempah koleksi khas dengan nama sendiri walaupun harganya agak tinggi, tapi puas hati,” katanya yang memiliki koleksi emas bernilai sekitar RM16,000.
Anak kelahiran Kelantan itu juga memberitahu bahawa dia tidak pernah menjual mana-mana koleksi emas miliknya, malah turut membeli barang kemas untuk ketiga-tiga anak perempuannya sebagai simpanan masa depan.
Pastinya apabila mencapai usia 40 tahun kesihatan semakin menurun, badan bagaikan terasa lemah tidak bertenaga.
Malah ketika ini juga kita akan berasa mudah letih, emosi tak stabil, dan kadang-kadang lebih sensitif dari biasa.
Mungkin inilah yang orang panggil krisis pertengahan usia, fasa di mana kita mula melangkah ke alam kematangan sebenar. Tapi untuk kekal tenang, matang, dan seimbang, ada banyak perkara yang perlu kita belajar untuk kurangkan.
Begitulah juga dengan perkongsian puan Siti Suryani Yaakop yang berkongsi luahan rasa apabila usia telah mencecah 40 tahun.
Hari tu ada borak dengan suami. Saya kata kenapa semenjak masuk 40 ni, badan saya ni macam auto habis bateri.
Kawan-kawan yang nak masuk 40 pun mula kata benda yang sama. Cepat rasa penat. Kadang pula sensitif ya amat.
Memang begitu agaknya. Orang kata krisis pertengahan usia. Pemula pada usia yang nak masuk matang dan empuk macam orang selalu cerita. Untuk kekal matang dan empuk tu banyak benda kita kena KURANGKAN pada pandangan saya.
Jom daftar anak-anak ke Kem Solat Bintang Kecil! Peluang istimewa untuk anak-anak belajar solat dengan cara menyeronokkan! Terbuka untuk anak-anak berusia 5-12 tahun. Daftar sini https://kliik.je/product-details/137?title=kem-solat
1. Kurangkan makan. Oleh sebab badan kita ni dah menua. Begitu juga organ di dalamnya. Keperluan badan pun dah makin berbeza. Makan sekarang sekadar cukup nak bagi tenaga. Tak boleh dah lagi nak disumbat selagi ada.
2. Kurangkan berkawan. Bukanlah semua kena tinggalkan. Mana baik kita simpan. Mana toksik kita maafkan. Lepas tu lupakan. Kemudian alihlah perhatian. Waktu begini kena cari kawan yang selalu ingat mengingatkan. Bahawa dunia ini bukanlah tempat berkekalan. Dan sering nasihat kita untuk terus sediakan bekalan.
3. Kurangkan membeli. Saya perasan umur begini kita mula mengerti. Mungumpul barang tu dah tak perlu lagi. Semakin banyak barang semakin semak kita tengok sana sini. Lagi pula kita dah tahu barang tak pakai akan jadi beban di sana nanti. Berapa banyak rupanya dulu wang kita terbazir atas nama hobi. Dan sebab kita minat nak kumpul koleksi.
4. Kurangkan bercakap. Benda ni senang saja untuk suami. Untuk saya memang kena berlatih lagi. Kata Ustaz kalau nak kurangkan bercakap banyakkan berzikir di mulut dan hati. Bila semakin banyak ia terisi, semakin kurang rasa nak bercakap perkara yang tak mendatangkan erti.
5. Kurangkan komplen. Selama ni saya selalu perhati. Ada dua jenis orang saya pernah temui. Satu yang hidupnya suka sangat memuji-muji. Semua orang dan semua benda sentiasa memberi erti. Orang begini saya lihat sentiasa disayangi. Tapi ada juga yang gemar komplen tak henti-henti. Seakan semua benda tak beri kebaikan buat diri. Orang begini pula selalu orang lain hindari. Apa kita nak jadi nanti. Pandai-pandailah pilih sendiri.
6. Kurangkan ekspektasi. Nak rasa apa ni adalah atas pilihan kita. Ikhlaskan semuanya walau balasannya kadang tak seberapa. Tak pun kadang memang langsung tak ada. Kita baik sebanyak mana pun sentiasa ada yang tak suka. Selagi banyak mengharap balas atas segala usaha, semakin sakit jadinya hati saat diuji rasa. Tapi begitulah kaedahnya. Lillahitaala tu tak semudah berkata-kata.
7. Kurangkan kerja. Dulu kita ingat kerja ni lah yang bagi rezeki. Lagi banyak kerja lagi banyak duit kita nanti. Lalu kita kerja dan kerja tak berhenti-henti. Tak perasan satu masa anak dah besar dan pasangan dah tak sekuat dulu lagi. Tapi sekarang dah mula pandai bahagi-bahagi. Kita tahu bila nak kerja dan bila nak luang masa berkualiti. Kita nak menang dua-dua tak nak ada satu yang kita rugi.
8. Kurangkan anxiety. Nak hilangkan anxiety boleh cuba ikut pesan Ustaz Wadi. Yang dah lepas belajar lupa apa yang jadi. Yang akan datang jangan fikir begitu teliti. Jadi manusia kita cuma usaha sepenuh hati. Apa saja yang datang kemudian nanti itulah kita punya rezeki. Baik atau buruk sentiasa jadi rahsia yang sering menguji.
Sumber: Siti Suryani Yaakop
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Minat seorang isteri jangan dipandang ringan. Apabila mereka sukakan sesuatu, pasti mereka akan usahakan walau dengan cara bagaimana sekalipun. Begitu jugalah kegilaan para isteri dengan sebuah jenama bekas makan yang terkenal. Dek kerana kualitinya yang bagus, biarpun sedikit mahal para isteri sanggup ‘berhabis’ untuk melengkapkan koleksi mereka.
Para suami dan anak-anak pula cukup gerun jika dibekalkan makanan dalam bekas ini. Biarlah guna bekas biasa, janganlah yang jenama ini. Takut kalau hilang! Hilang bekas ini, umpama hilang nyawa. Begitulah yang dikongsikan oleh seorang suami, Mohd Fadli Salleh, melalui laman Facebooknya.
CERITA TERTINGGAL BOTOL AIR
Pergi ambil anak kat sekolah tadi dah jam 6:30 dah pun. Sampai kat jaga, Asyraff naik motor aku. Baru nak gerak, dia cakap,
“Ayah. Beg duit adik tertinggal kat kelas. Ada duit RM8 lagi dalam tu untuk untuk belanja esok dan lusa.”
“Biar la beg duit tu. Esok pagi ayah pergi tengok.”
Aku malas nak masuk dalam sekolah dah. Jauh juga pagar ke kelas dia. Kami pun bergerak pulang. Baru sekejap bergerak, Asyraff cakap lagi,
“Botol air pun tertinggal ayah.”
“Sreeettttt!”
Terus aku brek emergency.
“Kenapa tak cakap? Duit hilang ayah boleh niatkan sedekah. Kalau botol air hilang, bukan setakat Adik kena marah. Ayah pun mungkin hilang nyawa. Tupperware ke dik?”
“Tak tahu jenama apa.”
Ah, Tupperware ke, Tipuware. Kalau tinggal botol air kat sekolah boleh hilang nyawa woih.
Yang kelakarnya, waktu anak aku masuk kelas, ada seorang lagi lelaki di temani anaknya baru keluar dari kelas darjah 3 tingkat atas. Dari jauh aku laung,
“Kenapa tu bang?”
“Tertinggal botol air cikgu!” Balasnya dari kejauhan.
“Tupperware ke?” Jerit aku lagi.
“Yaaaaa!”
“Kahkahkah.”
Kami gelak bersama. Laju dia gerak balik. Tak sempat nak ambil gambar bukti. Lewat balik pun boleh kena soal siasat juga weh. Bahaya main dengan kaum wanita ni. Seram. 😅
Waktu keluar pintu sekolah, guard pula tegur,
“Tertinggal apa cikgu?”
“Nyawa.”
Senyum je guard dengar jawapan aku. Entah dia faham entah tidak. Lantakkan.
Gitu je aku jawab lantas pecut balik rumah dengan penuh kelegaan.
#MFS – Wanita bukan makhluk bumi –
Lucu perkongsian dari suami ini, tapi tidak boleh dinafikan kebenarannya. Jangan dibuat main, kerana bekas makanan ini sangat penting buat pengumpulnya. Yang tahu, pasti tahu akan hakikat ini.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Cara kenalkan telur kepada bayi dengan selamat, langkah demi langkah dari minggu ke minggu. Ketahui bila boleh mula, tanda alergi dan tip penting untuk elak risiko pada si manja.