Baby Car Seat atau kerusi keselamatan bayi antara barangan yang penting yang perlu ada dalam setiap kereta bagi yang mempunyai anak. Selain dapat mengurangkan risiko bayi tercampak keluar kereta, baby car seat juga memudahkan untuk travel walaupun tanpa pasangan.
Tetapi ramai yang tidak berjaya memujuk anak untuk berada dalam baby car seat. Ramai yang was-was, boleh ke anak duduk diam dalam car seat untuk perjalanan yang jauh? Ikuti perkongsian daripada Puan Ummi Mansor.
Carseat : Boleh Ke Anak Duduk Diam Untuk Perjalanan Jauh???
Jawapannya : BOLEH!
Tapi, Kita sebagai Ibu Bapa perlu ada ilmu, ada kemahiran yang betul. Nak bawa anak cuti-cuti Malaysia, bukan hanya perlu buat homework penginapan dan tempat makan sahaja. Tapi perlu juga gali ilmu untuk pastikan anak SELAMAT dan SELESA dalam perjalanan!
Tip-tip supaya anak selamat dan selesa dalam carseat;
1) Pastikan bekalan dalam kereta cukup
Jangan semua beg letak ke bonet. Di tempat duduk mesti ada; wet tissue, lampin, pakaian tambahan, air minuman, snek dan hiburan.
*Air minuman dan snek pastikan diletak dalam bekas yang ringan sahaja. Supaya jika berlaku kemalangan, ianya tidak terlalu membahayakan jika melayang dalam kenderaan.
*Hiburan pun sama; pilih yang ringan dan selamat sahaja. Soft toys ke, buku fabrik ke, foam puzzle ke. Jangan guna smartphone sentiasa, memang ada kes dahi berjahit dek smartphone melayang masa kemalangan. Pensel alat tulis bagai tu semua No No No!
2) Rancang perjalanan dalam waktu yang sesuai
Saya pilih siang, sebab laluan agak terpencil. Saya juga bajet masa supaya anak sempat tidur siang (nap) dalam car seat. Supaya sampai destinasi anak segar dan tak meragam.
3) Pilih untuk berhenti 10 minit selang 2-3 jam
Walaupun tiada keperluan bagi anda. Tukar lampin dan pakaian anak, kesian dia berpeluh.
Keluarkan dia dari carseat, meski hanya berlegar ke ruang hadapan sekejap.
Sebolehnya berikan anak masa dan ruang untuk berlarian di luar.
*Anak saya mabuk kenderaan, jadi hentian pertama pun dah muntah di RnR. Kami beri dia rehat lama sikit untuk hirup udara segar. Lega dia.
4) Selitkan waktu riadah dalam itinerari
Kalau anak asyik perlu keluar masuk carseat, pasti dia pun meragam. Kalau pagi dah bawa anak ikut kita membeli belah, petang cukuplah sekadar ambil angin di tepian pantai.
Kalau petang nanti nak bawa anak makan malam di restoran jauh sikit, pagi ni cukuplah makan di warung depan homestay sahaja. Tak perlu pagi petang siang malam dok ligan anak ke sana sini. Letih dia. Kesian. Itu pasal anak tak mahu duduk carseat.
5) Elakkan terikat dengan jadual masa anda
Ini terutama pada yang berjalan-jalan dalam masa yang singkat.
Contoh;
Jam 8 pagi bergerak pulang, jam 2 petang mesti nak sampai rumah. Sebab esok nak kerja katakan.
Tak boleh macam itu ye. Kita yang nak jalan, tapi anak tanggung seksa. Kesian dia. Saya amalkan berhenti bila anak dah menunjukkan bosan dalam carseat. Walaupun dah hampir nak sampai destinasi.
Jangan sesekali bila anak menangis; “Alahai sayang sikit lagi nak sampai. Sabar la.”
Anak akan rasa tidak didengari. Jadi memori dia dalam car seat adalah; “Kalau duduk sini, Ibu Ayah tak dengar aku menangis”. Jadi kemudian hari, anak fobia pada car seat.
Bukan salah anak. Salah kita sebenarnya. Cukup la 5 tips di atas dahulu ye.
Yang penting ingat;
Your children are a gift!
Treat them as you would an expensive gift,
Because they are PRICELESS!
P.S.: Para Ibu Bapa yang mahu belajar tentang penggunaan carseat, boleh sertai Child Passenger Safety Malaysia dan Malaysian Carseat Support Group
Ada beberapa soalan tapisan yang perlu dijawab, Senang sahaja! Yang penting kita usaha sehabis baik, Supaya anak selamat sentiasa!
Sumber: Ummi Mansor