Saya nak tahu boleh ke beri air kanji (minum air nasi) untuk mengurangkan pemberian susu formula?
Daripada – ibu yang ingin tahu
Jawapan daripada Dr. Hairin Anisa;
Semua ibu digalakkan untuk menyusukan bayi mereka sepenuhnya dengan susu ibu sehingga umur bayi 6 bulan dan kemudian memulakan pemberian makanan tambahan yang seimbang kepada bayi disamping meneruskan penyusuan susu ibu.
Ini adalah konsep dalam pemakanan bayi sejak lahir kerana susu ibu adalah lengkap dengan segala nutrisi yang diperlukan oleh bayi. Namun , bukan semua ibu mampu untuk menyusukan bayi mereka kerana pelbagai alasan dan selalunya kerana kurang ilmu. Maka, para ibu yang tidak menyusukan bayi memilih untuk memberikan susu formula sebagai ganti.
Dalam susu formula, khasiatnya tidak standing dengan susu ibu namun nutrisi di dalam susu formula bayi boleh melengkapkan keperluan metabolisma dan tumbesaran tubuh bayi. Jika dibandingkan dengan air kanji sudah pasti tidak sama kerana susu formula mengandungi makronutrien yang sesuai iaitu karbohidrat (laktosa, sukrosa dan kanji daripada selalunya jagung), protein dan lemak. Malah dalalm susu formula juga telah ditambah dengan pelbagai mikronutrien seperti semua vitamin (A, B, C & D) dan mineral penting termasuk zat besi.
Manakala, air kanji (air nasi) hanya mengandungi komposisi karbohidrat yang lebih tinggi (75 – 85 %), tidak mengandungi lemak serta kandungan protein yang sangat sedikit berbanding dengan susu ibu atau susu formula. Walaupun air kanji ini dikatakan mengandungi vitamin B1, B2, B3, garam sodium dan potasium, kuantitinya tidak mencukupi untuk keperluan tubuh bayi. Justeru, amat tidak sesuai untuk diberikan kepada bayi di bawah usia 6 bulan samada bayi yang menyusu ibu atau menyusu susu formula.
Namun, jika ingin memulakan pemakanan pelengkap, boleh gunakan air nasi ini yang dicampurkan dengan puri sayuran atau buah-buahan untuk peringkat awal. Sekiranya bayi boleh menrima makanan dengan baik, sediakan hidangan yang lengkap dan seimbang yang mengandungi semua makronutrien (karbohidrat, protein dan lemak), mikronutrien iaitu semua vitamin dan mineral seperti zat besi, zink, kalsium, magnesium, selenium dan sebagainya. Justeru, untuk mendapat semua zat yang seimbang, ibubapa mestilah menyediakan bubur nasi yang mengandungi 2-3 jenis sayuran (pelbagai warna) dan sumber protein seperti ikan, ayam atau daging.
Dakwaan memberikan air nasi kepada bayi sudah pasti tidak menepati saranan pemakanan yang sihat dan seimbang untuk bayi samada sebelum atau selepas 6 bulan. Ia tidak boleh menggantikan susu ibu mahupun susu formula kerana kandungan zat makanan yang tidak mencukupi.
Terdapat juga saranan seorang isteri selebriti yang mencadangkan supaya ibu menambahkan madu di dalam air kanji yang ternyata saranan ini tidak betul. Madu adalah makanan yang manis yang tidak sesuai diberikan kepada bayi terutama di bawah 12 bulan. Malah madu yang tidak diproses dengan cara yang bersih (mengikut piawai) juga dikaitkan dengan risiko kepada pencemaran spora bakteria Clostridium botulinum yang menghasilkan toksin yang menyerang sistem saraf bayi. Gejala serius akibat neurotoksin ini ialah kelumpuhan otot bayi ldan kesukaran bernafas. Di samping itu, rasa madu yang manis akan menyebabkan bayi cenderug kepada makanan yang manis yang akhirnya boleh meningkatkan risiko kepada penyakit kencing manis dan tinggi kolesterol dalam darah pada usia muda.
Oleh itu, sebagai pakar kanak-kanak dan pakar laktasi saya tetap menyarankan para ibu mengamalkan pemberian makanan yang sihat dan seimbang untuk bayi kalian bermuladengan penyusuan susu ibu sepenuhnya sehingga 6 bulan pertama. Sekiranya gagal untuk menyusukan bayi sepenuhnya, saya sarankan carilah ibu susuan atau susu ibu perahan daripada ibu susuan. Jika tiada ibu susuan, susu formula adalah pilihan terakhir dan air nasi bukan pengganti susu formula yang sesuai untuk bayi. Jika bayi telah memulakan makanan pelengkap, berikan bayi hidangan yang seimbang dan berwarna warni (kepelbagaian jenis makanan) untuk tumbesaran tubuh dan perkembangan otak mereka yang optima.
Sekian, terima kasih.
Sumber: Dr. Hairin Anisa, Paediatrician & IBCLC (Lactation Consultant)