Boleh Ke Menyusukan Anak Dengan Susu Badan Lebih Dari 2 Tahun? Mufti Jelaskan Hukumnya

Share

Adakah boleh anak yang berumur 3 – 4tahun menyusu badan lagi? Tentu ramai ibu bapa yang tertanya-tanya berkenaan soalan ini. Pasti ramai yang inginkan penjelasan adakah dibolehkan anak yang melebihi 2 tahun menyusu badan? ikuti jawapan penuh daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلاَدَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ لِمَنْ أَرَادَ أَن يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ

Maksudnya: Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu.

(Surah al-Baqarah, 2:233)

Firman Allah Taala:

أَسْكِنُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ سَكَنتُم مِّن وُجْدِكُمْ وَلَا تُضَارُّوهُنَّ لِتُضَيِّقُوا عَلَيْهِنَّ ۚ وَإِن كُنَّ أُولَاتِ حَمْلٍ فَأَنفِقُوا عَلَيْهِنَّ حَتَّىٰ يَضَعْنَ حَمْلَهُنَّ ۚ فَإِنْ أَرْضَعْنَ لَكُمْ فَآتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ ۖ وَأْتَمِرُوا بَيْنَكُم بِمَعْرُوفٍ ۖ وَإِن تَعَاسَرْتُمْ فَسَتُرْضِعُ لَهُ أُخْرَىٰ

Maksudnya: Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani idahnya) itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu; dan janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakiti mereka (di tempat tinggal itu) dengan tujuan hendak menyusahkan kedudukan mereka (supaya mereka keluar meninggalkan tempat itu). Dan jika mereka berkeadaan sedang mengandung, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya sehingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya; kemudian jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upahnya; dan berundinglah di antara kamu (dalam hal menyusunya) dengan cara yang baik. Dan (sebaliknya) jika kamu (dari kedua pihak) mengalami kesulitan, maka bolehlah perempuan lain menyusukannya.

(Surah al-Talaq, 65:6)

Ayat di atas merupakan dalil bahawa penyusuan anak sehingga 2 tahun genap adalah hak bagi ibu dan bukan kewajipannya. Wajib bagi si bapa untuk memberikan upah kepada isterinya, atau bekas isterinya yang melahirkan anaknya, bagi penyusuan tersebut jika dia meminta. Namun wajib ke atas ibu untuk menyusukan anaknya dengan al-liba’, yakni susu yang turun pada awal-awal kelahiran (kolostrum). Ini kerana anak itu kebiasaannya tidak hidup tanpanya, dan bahan lain tidak mampu menggantikannya. Bahan lain juga tidak menguatkan anak dan memberikan kekuatan pada perkembangan bayi.

Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (4/290) oleh Syeikh Muhammad al-Zuhaili.

Berkata Imam al-Qurtubi Rahimahullah: “Dan penambahan atas kadar dua tahun atau berkurangnya adalah dibolehkan dengan syarat tanpa kemudaratan kepada bayi dan berlaku dengan keredhaan kedua ibu bapa.”

Rujuk Tafsir al-Qurtubi (3/162)

Manakala menurut Imam Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah Rahimahullah: “Dan harus bagi ibu untuk meneruskan penyusuan selepas dua tahun sehingga separuh tahun ketiga atau lebih daripada itu.”

Rujuk Tuhfah al-Maudud (hal. 235)

Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili Rahimahulah menyebut dalam al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh (10/7288): “Jika berterusan penyusuan selepas dua tahun kerana lemahnya bayi maka tiada halangan untuk itu kerana keperluan. Akan tetapi tidak sabit lagi hukum mahram kerana penyusuan atau tidak boleh lagi bagi ibunya yang ditalak meminta upah.”

Justeru kami berpendapat bahawa harus hukumnya bagi ibu bapa untuk meneruskan penyusuan badan kepada kanak-kanak yang berumur lebih 2 tahun dengan syarat:

-tidak memudaratkan anak tersebut,
-tidak mengkhususkan dengan susu badan sahaja sebaliknya ditambah makanan yang memiliki gizi seimbang untuk tumbesaran yang sihat,
-dilakukan atas hajat keperluan. Sebaiknya dirujuk kepada pakar pediatrik untuk nasihat mereka tentang kesan kesihatan akibat penyusuan selepas 2 tahun.

Wallahua’lam.

Kredit: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Followers Pa&Ma yang nak dapatkan barangan bayi dengan harga murah, dapatkan di SINI.

(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)

Published by
NuFa